14 Mei 2008

Nasihat Buat Sahabat Di 5 Negara

Saya sebenarnya masih lagi berada dalam tempoh peperiksaan. Minggu lepas, baru selesai ujian lisan. Tidak lama lagi ujian bertulis pula. Dalam kesibukan mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan terakhir, tiba-tiba terlintas di hati untuk menyisipkan beberapa nasihat buat diri sekadar sebagai ingatan. Tidak lupa juga buat sahabat-sahabat seperjuangan dalam menuntut ilmu di lima negara: Mesir, Jordan, Syria, Morocco dan Arab Saudi. Harap sudi mendengar nasihat saya sebagai perkongsian bersama.

Peperiksaan sememangnya penting kerana ia merupakan medium untuk mendapatkan apa yang kita harapkan berupa sijil pengajian. Lebih-lebih lagi saya mendapat maklumat bahawa ada sahabat-sahabat yang berada di negara-negara yang saya sebutkan juga sedang menghadapi peperiksaan. Apapun yang kita perlu ingat, bukan sekadar sijil bahkan yang lebih penting ilmu yang ditimba. Adakah kita mampu gunakannya kelak untuk ditaburkan buat anak bangsa seagama.

1) Buat sahabat-sahabat di Mesir, ingat kembali niat asal anda ketika menjejakkan kaki di bumi Kinanah yang penuh keberkatan ini. Untuk itu, perlu selalu kita perbaharui niat. Jangan lupa, kita sekarang menuntut di bumi yang telah melahirkan para ulama' yang hebat-hebat. Belajar di Universiti al Azhar al Syarif yang telah pun berusia 1000 tahun. Di samping sistem pengajiannya yang tersendiri. Semuanya membuatkan kita berasa bangga. Namun kebanggaan kita bukan sekadar pada nama. Kebanggaan kita pada ilmu yang ditimba, mampukah kita amalkan? Mampukah kita taburkan buat yang memerlukan? Mampukah kita mengikut jejak langkah guru-guru kita yang merupakan barisan ulama' terkemuka dalam menjunjung nama baik al Azhar bahkan nama baik Islam? Fikir-fikirkan buat muhasabah kita bersama.

2) Buat sahabat-sahabat di Jordan, anda juga tidak kurang hebat. Berada di bumi yang memiliki nilai sejarah yang tersendiri. Belajar daripada tokoh-tokoh yang hebat. Tak kira anda berada di mana, Mu'tah, Mafrak dan sebagainya, ingat bahawa kita belajar untuk memartabatkan Islam. Ilmu yang dituntut adalah untuk membimbing masyarakat yang sedang menanti kepulangan kita. Anda bangga dengan Jordan? Silakan kerana tidak salah untuk anda berbangga sepertimana kami juga berbangga dengan al Azhar. Namun ingat, nasihat saya tetap sama: Mampukah kita beramal dengan ilmu yang ada? Mampukah kita mengikut jejak langkah guru-guru kita? Mampukah kita memenuhi keperluan masyarakat? Fikir-fikirkan juga..

3) Buat sahabat-sahabat di Morocco, saya sebenarnya kagum dengan anda kerana anda sekarang berada di bumi yang juga telah melahirkan ramai tokoh ulama' yang menjadi idola saya. Tak kira anda belajar di mana jua, satukan niat kembali dan teruskan usaha. Anda perlu berbangga dengan Morocco kerana ulama'nya. Yang penting cambahkan ilmu. Sama sahaja nasihat saya: Mampukah anda beramal dengan ilmu yang ada? Mampukah anda lahir sebagai tokoh ilmuan seperti para ulama' di sana? Mampukah anda mengisi kekosongan jiwa masyarakat kita? Renung-renungkan agar jangan terleka...

4) Buat sahabat-sahabat di Syria, kekaguman saya terhadap anda memang tinggi sekali. Manakan tidak, bumi anda pijak adalah bumi yang melahirkan ramai tokoh ulama' yang berjasa buat Islam. Tak kira anda di mana pun, tuluskan niat. Hidupkan kembali nama para ulama'nya. Timba sebanyak-banyaknya ilmu di sana. Nasihat saya tetap sama buat anda seperti sahabat-sahabat yang lain: Mampukah beramal? Mampukah mengikut jejak langkah para ulama'nya? Mampukah anda menerajui masyarakat? Koreksi kembali...

5) Buat sahabat-sahabat di Arab Saudi, tak kira anda belajar di mana pun, yang penting ikhlaskan kembali niat. Ya, memang bangga belajar di Saudi, namun yang penting kebanggaan itu diterjemahkan melalui tindakan. Dikelilingi tokoh ulama' yang hebat-hebat, tak mustahil anda juga mampu menjadi seperti mereka. Cuma nasihat saya seperti yang lain: Mampukah ilmu itu anda amalkan? Mampukah anda mengikut jejak langkah para guru anda? Mampukah anda mengisi jiwa masyarakat kita? Sekali lagi, muhasabah kembali...

Kita rupanya punya misi yang sama. Belajar di negara-negara yang tidak kurang hebatnya. Hidup bersama para ulama'nya. Menimba ilmu dari mata air yang jernih dan menyegarkan. Maka nasihat saya: Ikhlaskan niat, teruskan usaha untuk mencambahkan ilmu, jangan terlalu cepat puas dengan apa yang ada dan bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat. Misi kita satu, langkah kita juga satu. Ketepikan perbezaan pendapat. Yang penting, bila pulang nanti kita bersama-sama membimbing masyarakat. Doa saya, moga Allah satukan hati-hati kita dan membantu kita dalam perjuangan menegakkan agama-Nya. Ya Allah! Perkenankanlah...

Selamat meneruskan perjuangan menuntut ilmu dari saya di bumi Kinanah, bumi para Nabi, bumi al Azhar al Syarif, Mesir (semoga Allah memeliharanya)..

12 Mei 2008

Di Sebalik Tabir Ibu al Quran (Luahan Rasaku)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang (1) Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam (2) Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang (3) Yang Menguasai Hari Pembalasan (4) Hanya kepada-Mu kami memperhambakan diri dan hanya Engkau tempat kami memohon pertolongan (5) Tunjukkan kami jalan yang lurus (6) Jalan mereka yang Engkau kurniakan nikmat bukannya (jalan) mereka yang Engkau murkai dan bukan juga (jalan) mereka yang sesat (7)

1) Dengan Nama-Nya, aku mulakan segala-galanya kerana dengan nama-Nya, segala-galanya bermula. Dengan sebab-Nya alam ini wujud. Dengan taufiqnya, aku dan engkau merasai kewujudan hidup. Sedarkah engkau, Dia mengajar kita agar menyebut nama-Nya setiap kali kita memulakan kerja. Apa jua yang kita lakukan, dengan nama-Nya. Tanpa-Nya, kita tidak bermaya. Tanpa izin-Nya, jangan harap sebutir zarah pun akan bergerak!

2) Bila aku memujimu kerana kebaikan yang engkau lakukan, hakikatnya pujian itu adalah untuk-Nya. Bila engkau memujiku kerana kelebihan yang ada padaku, hakikatnya pujianmu adalah milik-Nya jua. Mengapa? Kerana Dia memberi taufiq kepadamu untuk mengerjakan kebaikan. Kerana Dia mengurniakanku segala kelebihan. Maka hakikatnya, pujian kita adalah milik-Nya jua kerana Dia adalah punca segala-galanya. Dari-Nya datang dan kepada-Nya kembali. Kita merasai kewujudan-Nya meliputi alam ini. Ke mana saja kita pergi, tetap dalam kerajaan-Nya. Di mana saja kita bersembunyi, tetap diketahui-Nya. Mana saja kita berlari, tetap kepada-Nya jua. Oh! Memang tiada tempat untuk melepaskan diri.. Namun hati kagum melihat kehebatan-Nya. Cuma tiada tahu cara mengungkapkannya. Lalu Dia mengajar kita: Ucaplah wahai hamba-Ku, "Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam."

3) Kita rasa gerun. Ya, kita tahu siapa Dia. Dia pemilik alam ini. Kita takut, cemas dan resah. Hampir putus asa kerana tiada jalan untuk melepaskan diri. Sangkaan kita, Dia menguasai segala-galanya jadi Dia akan lakukan apa saja yang Dia ingin kepada kita. Ah! Memang cemas. Tapi rupa-rupanya Dia beri kita harapan. Dia menyatakan yang Dia Maha Pengasih dan Penyayang. Harapanku dan engkau subur kembali. Rupa-rupanya Dia mencintai kita. Menyayangi kita sehingga kita merasai kesegaran kasih sayang-Nya meresap jauh ke dalam sanubari. Aku menangis keharuan bila kenangkan kasih sayang-Nya. Aku tidak akan putus asa dan kecewa kerana walaupun engkau tinggalkan aku, Dia tetap bersamaku. Dia tetap sayangkan daku walau satu dunia membenciku. Oh Tuhan! Biarkan haruman kasih sayang-Mu menghiasi hidupku.

4) Namun Dia ingatkan, jangan tertipu dengan rahmat-Nya. Jangan hanya duduk senang lenang tanpa berusaha membalas kasih sayang-Nya. Dia telah buktikan kasih sayang-Nya kepada kita dengan memberi apa saja yang kita perlukan. Mana bukti cinta kita pada-Nya? Patutkah kita menerima cinta-Nya tanpa membalas kembali? Patutkah?? Jangan tertipu dengan kasih sayang-Nya. Segera bangkit beramal kerana kita bukan hanya hidup di dunia ini saja, selepas ini kita akan bertemu hari pembalasan amalan. Mana hendak larikan diri?? Dia menguasai hari itu. Menyesal tidak berguna. Mengapa tidak balas cinta-Nya ketika hidup di dunia dulu? Sekarang rasakan keadilan-Nya pula!!

5) Oh! Lemahnya aku.. Aku hanyalah hamba yang lemah. Ketika itu aku berteriak dengan suara hatiku, "Hanya Engkau Tuhanku dan aku hanya menjadi hamba-Mu. Bantulah aku untuk jadi hamba-Mu yang terbaik." Dia menciptaku, Dia menyayangi aku kerana aku adalah hamba-Nya. Bahagianya aku menjadi hamba-Nya..

6) Aku hanya mengharapkan petunjuk-Nya dalam meniti jalan ini. Jalan cahaya yang lurus agar aku dapat sampai segera pada-Nya. Tunjukkan aku jalan-Mu Tuhanku! Kerana aku rindu ingin bertemu dengan-Mu..

7) Oh, baru ku jelas. Jalan yang perlu aku lalui adalah jalan hamba-hamba-Nya yang diberi nikmat. Siapa mereka? Para Nabi, siddiqin, syuhada' dan orang-orang soleh. Jika aku ingin sampai pada-Nya, aku perlu ikut jejak langkah mereka. Oh Tuhan! Kurniakan aku cinta mereka, agar dengan cinta mereka, aku sampai pada-Mu. Bukan jalan Yahudi. Bukan jalan Nasrani. Apa guna hidup jika Engkau murka padaku.. Apa guna jalan jika hanya penghujungnya jalan mati. Jangan biarkan aku kebingungan dan kesesatan. Pimpinlah aku wahai Tuhanku, agar aku dapat sampai kepada-Mu sebelum ajal menjemputku... Amin..