30 Jun 2008

Taksub Yang Dicemuh

Berpegang dengan kebenaran serta berusaha keras mempertahankannya merupakan sifat yang terpuji. Sifat ini ditunjukkan oleh para Nabi 'alaihimussalam dan tokoh-tokoh pejuang Islam sebagaimana yang dicatit di dalam lembaran sejarah.


Adapun berpegang dengan kebatilan serta berusaha mempertahankannya tanpa dalil yang kukuh apatah lagi bertentangan dengan kebenaran, maka ini yang dinamakan taksub atau fanatik dan ia merupakan sifat yang tercela. Sifat ini juga mengundang dosa sekiranya terus dipertahankan tanpa memperdulikan kewujudan kebenaran.


Menurut Kamus Dewan, fanatik membawa maksud: Orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian (biasanya berkaitan dengan agama).[1]


Pada saya, definisi ini terlalu umum. Saya menambah: Tanpa dalil dan secara membuta tuli.


Taksub/fanatik biasanya berkait rapat dengan sikap taqlid. Sememangnya taksub merupakan sifat yang dicemuh kerana ia boleh membutakan mata hati. Kerana itu, al 'Allamah al Muhaddith Sayyid Muhammad Zaki Ibrahim radhiyallahu 'anhu pernah menegaskan:


Semoga Allah melaknat sikap taksub kerana dengan sikap ini, ada sebahagian orang yang sanggup mengubah maksub sebenar ayat ini[2] dengan menjadikan golongan yang membina masjid di sisi gua tempat Ashabul Kahfi disemadikan sebagai musyrik pelampau![3]


Dalam entri kali ini, saya menyenaraikan beberapa contoh sikap taksub yang sepatutnya dijauhi oleh kita semua. Saya turut sertakan jawapan balas terhadap dakwaan-dakwaan yang timbul berpunca daripada sikap taksub ini agar kita semua jelas dengan permasalahan sebenar. Sesungguhnya taufiq dan hidayah itu datang dari Allah Ta'ala jua.


1) Sebahagian ulama' qiraat mendakwa bahawa di Syurga kelak, al Quran akan dibaca menurut riwayat Warasy. Dengan erti kata lain, bacaan riwayat lain seolah-olah tidak benar kerana ianya tidak dibaca di Syurga kelak.[4]


Kami mengatakan: Dakwaan ini tidak berdalil. Tidak terdapat dalil sama ada daripada hadith yang sohih mahupun dho'if sekalipun yang menyokong dakwaan ini. Kita sedia maklum bahawa kesemua jenis qiraat al Quran yang dibaca sejak daripada zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sehingga sekarang merupakan bacaan yang diriwayatkan secara mutawatir daripada Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Mengapa hanya riwayat Warasy sahaja yang dibaca di Syurga kelak? Mengapa tidak semua riwayat dibaca sekali di Syurga? Atau penghuni Syurga yang membaca riwayat-riwayat tertentu ketika mereka di dunia dahulu, membacanya kembali di Syurga? Pelik, hanya riwayat Warasy sahaja yang dipilih. Ini tidak lain dan tidak bukan berpunca daripada sikap taksub terhadap riwayat Warasy dengan anggapan bahawa ia adalah bacaan terbaik. Ini dakwaan kosong! Jika begitu, maka umat Islam yang berada di Morocco, Algeria dan negara-negara Afrika beruntung kerana mereka membaca al Quran dengan riwayat Warasy. Manakala umat Islam di negara lain pula kurang beruntung kerana umat Islam di Tunis dan Libya membaca al Quran dengan riwayat Qalun. Yaman pula dengan riwayat Nafi'. Sudan dengan riwayat Abu 'Amru. Manakala baki negara-negara umat Islam yang lain membaca al Quran dengan riwayat Hafs. Persoalannya, adakah begitu? Jawapannya, sudah pasti tidak sama sekali!


2) Sebahagian ulama' Hanafiyyah memfatwakan bahawa jika seseorang yang bermazhab Hanafi berkahwin dengan seseorang yang bermazhab Syafi'i, maka perkahwinannya tidak sah kerana iman orang yang bermazhab Syafi'i diragui! Ini disebabkan golongan Syafi'iyyah mengharuskan kita mengucapkan begini, "Saya mukmin, insya Allah." Maka justeru itu, iman mereka ini diragui![5]


Kami mengatakan: Subhanallah! Disebabkan terlalu taksub kepada mazhab Hanafiyyah, sanggup mereka memfatwakan sebegini. Sedangkan perkahwinan ini berlaku di antara dua orang Muslim, cuma berlainan mazhab. Bagi menjawab dakwaan bahawa iman golongan Syafi'iyyah diragui kerana mereka mengharuskan kita untuk menyebut, "Kami mukmin, insya Allah.", kami menyatakan: Kalimah 'insya Allah' disebut dalam pernyataan ini bukan membawa maksud ragu-ragu adakah kita beriman atau tidak. Tetapi ianya disebut atas dasar tabarruk (mengambil berkat) dan untuk merealisasikan perintah Allah Ta'ala mafhumnya:


Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) mengatakan, "Saya akan melakukannya esok." (tetapi ucapkan sekali) sekiranya dikehendaki Allah (iaitu ucapan insya Allah).. [al Kahfi: 23 & 24]


Ayat ini menunjukkan bahawa kita dituntut mengucapkan 'insya Allah' ketika berhasrat ingin melakukan sesuatu walaupun kita yakin mampu untuk melakukannya. Selain ianya sebagai tuntutan, ia juga berupa zikir agar kita sentiasa mengingati Allah Ta'ala dalam setiap ucapan dan perbuatan supaya ianya membuahkan keberkatan. Kerana itu Allah Ta'ala berfirman dalam ayat yang sama selepas itu:


Dan ingatilah Tuhan-mu ketika engkau lupa serta ucapkanlah (doa), "Semoga Tuhan-ku memberiku petunjuk ke arah yang lebih terang daripada ini. [al Kahfi: 24]


Bahkan Sunnah juga menyokong kenyataan ini. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Sayyiduna Abu Hurairah radhiyyallahu 'anhu bahawa pada suatu hari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menziarahi tanah perkuburan bersama para sahabat lalu Baginda mengucapkan, "Selamat sejahtera buat kamu wahai penghuni negeri kaum Mukminin! Insya Allah, kami akan menyusuli kamu kelak.."


Prof. Dr. Musa Syahin ketika mengulas hadith ini menyatakan:


Kalimah 'insya Allah' di sini diucapkan bukan disebabkan keraguan kerana kematian itu bukan perkara yang diragui. Bahkan kalimah ini diucapkan sebagai tabarruk (mengambil berkat) serta bertujuan untuk merealisasikan firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) mengatakan, "Saya akan melakukannya esok." (tetapi ucapkan sekali) sekiranya dikehendaki Allah (iaitu ucapan insya Allah).. [al Kahfi: 23 & 24][6]


Lihat bagaimana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengucapkan kalimah 'insya Allah' dalam menyebut kematian sedangkan kematian itu adalah perkara yang diyakini berlaku bahkan lebih diyakini daripada keimanan seseorang. Adakah kita boleh menjamin bahawa kita akan terus beriman dan mati dalam keadaan beriman? Mengapa kita begitu berani mempertikaikan keimanan saudara seislam, sedangkan kita sendiri belum pasti akan terus beriman. Kemudian zahir satu lagi jawapan lain buat saya iaitu: Golongan Syafi'iyyah mengharuskan perkara ini sebagai doa dan harapan agar diizinkan oleh Allah Ta'ala untuk terus hidup dan mati dalam keadaan beriman. Wallahu 'alam. Semoga kita semua dimatikan dalam iman. Amin..


3) Dakwaan sebahagian golongan Hanafiyyah bahawa apabila Nabi 'Isa 'alaihissalam turun kelak, Baginda akan menganut mazhab Hanafiyyah. Begitu juga Imam al Mahdi 'alaihissalam. Apabila muncul kelak, beliau akan berpegang dengan mazhab Hanafiyyah.


Kami menyatakan: Inna lillah wainna ilaihi roji'un (Kita adalah milik Allah dan kepada-Nya jua kita akan kembali)! Dakwaan apakah ini?! Sehingga membabitkan seorang Nabi Allah dan seorang bakal mujtahid.


Adapun Nabi 'Isa Ruhullah 'alaihissalam, apabila turun kelak maka Baginda akan melaksanakan syariat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bahkan pangkat Kenabian dan Kerasulan Baginda masih kekal. Maka bagaimana seorang Nabi dan Rasul mengikut mana-mana mazhab? Sekali lagi: Dakwaan apakah ini??


Manakala Imam al Mahdi 'alaihissalam pula, beliau dikurniakan oleh Allah Ta'ala dengan tiga darjat iaitu darjat Khalifah, Mujaddid dan Mujtahid. Sebagaimana yang tercatat di dalam ilmu Usul Fiqh, seseorang yang telah mencapai darjat ijtihad maka tidak harus baginya untuk bertaqlid bahkan wajib baginya beramal dengan ijtihadnya sehingga zahir dalil sohih yang bertentangan dengan ijtihadnya maka ketika itu wajib pula baginya mengikut dalil sohih tersebut. Bukan mengikut mana-mana mazhab! Sila fahami betul-betul!


4) Dakwaan sebahagian golongan Syafi'iyyah bahawa Imam Abu Hanifah radhiyyallahu 'anhu wafat sebelum kelahiran Imam Muhammad bin Idris al Syafi'i disebabkan tokoh tersebut tidak berani berdepan dengan Imam Syafi'i.


Kami menyatakan: Adakah kematian itu terletak di tangan Imam Abu Hanifah sehingga beliau mampu untuk menentukan tarikh kewafatannya? Sedangkan urusan hidup dan mati terletak di tangan Allah Ta'ala. Kemudian, apakah munasabahnya beliau perlu merasa gentar untuk berhadapan dengan Imam Syafi'i? Sedangkan beliau sendiri tidak tahu bahawa Imam Syafi'i akan lahir selepas kewafatannya. Jika beliau mengetahuinya sekalipun melalui firasat yang dikurniakan Allah Ta'ala buat beliau, untuk apa beliau merasa gentar? Logiknya, beliau pasti bergembira kerana akan munculnya seorang tokoh yang akan meneruskan perjuangan beliau menegakkan Islam. Imam Syafi'i sendiri memandang tinggi kedudukan Imam Abu Hanifah bahkan masyhur di sisi golongan Syafi'iyyah bahawa apabila Imam Syafi'i menyebut nama Imam Abu Hanifah, beliau tidak menyebutnya secara terang tetapi dengan berkias kerana memuliakan nama yang agung ini! Allahu Akbar! Alangkah tingginya adabmu wahai Imam!


5) Berkata sebahagian ulama': Tidak boleh bertaqlid pada mazhab selain mazhab yang empat walaupun mazhab tersebut bertepatan dengan pendapat sahabat, hadith sohih dan ayat suci al Quran! Sesiapa yang keluar daripada mazhab yang empat, maka dia adalah sesat lagi menyesatkan bahkan boleh membawa kepada kekufuran kerana berpegang kepada zahir al Quran dan Sunnah adalah daripada asas kufur!![7]


Kami menyatakan: Subhanallah!! Ini kes berat. Ketika menukilkan dakwaan ini, saya menukilkannya dengan perasaan kesal..


Kami menjawab secara umum: Yang benar di sisi golongan muhaqqiqin, bermazhab itu bukan suatu kewajipan. Inilah pegangan majoriti ulama' muhaqqiqin seperti al Hafiz al 'Iraqi, Imam Nawawi dan selain mereka. Lagi pun, jika kita mewajibkan umat Islam supaya berpegang dengan salah satu mazhab bererti kita telah mewajibkan mereka dengan perkara yang tiada dalil. Kita juga telah menyempitkan mereka daripada keluasan Islam. Sedangkan Islam adalah agama rahmat dan mudah. Kebenaran itu pula berada pada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala walaupun pada mazhab selain mazhab yang empat selagimana kebenaran itu berpaksikan al Quran dan Sunnah. Jika kita mengimbau kembali sejarah perundangan Islam, kita akan dapati bahawa mazhab itu tidak terbatas pada yang empat sahaja bahkan kita boleh katakan banyak mazhab telah tumbuh. Bermula dengan mazhab Zaidiyyah, Ja'afariyyah, Jaririyyah, Zohiriyyah, Auza'iyyah, Ibadhiyyah, Abu Thur, Abu 'Ubaid al Qosim bin Salam dan banyak lagi. Bila kita melakukan kajian perbandingan mazhab, kadangkala ternyata pendapat yang benar itu bersama mazhab selain mazhab yang empat. Ini hakikat yang perlu diterima. Namun apakan daya, mata hati yang buta kerana ditimpa penyakit 'katarak taksub' sukar melihat kebenaran..


Kemudian bagaimana pernyataan yang menyebut: Tidak boleh bertaqlid pada mazhab selain mazhab yang empat walaupun mazhab tersebut bertepatan dengan pendapat sahabat, hadith sohih dan ayat suci al Quran! Ini boleh diterima?? Seolah-olah pendapat mazhab yang empat lebih tinggi daripada al Quran, Sunnah dan pendapat sahabat yang lebih mengenali sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam!


Kemudian dihukumkan pula sebagai sesat lagi menyesatkan bahkan kufur! Allah Akbar! Ya Allah! Adakah sebegini sempit agama-Mu?! Agama-Mu tidak sempit, tetapi disempitkan oleh hamba-hamba-Mu yang taksub..


6) Dakwaan sebahagian pengamal tariqat Tijaniyyah yang jahil bahawa tariqat mereka adalah yang terbaik berbanding tariqat yang lain bahkan sesiapa yang memasuki tariqat selain tariqat Tijaniyyah, maka dia akan mati dalam Su'ul Khatimah (mati dalam kufur)!![8] Mereka juga mendakwa bahawa selawat al Fatih yang menjadi amalan tariqat ini lebih afdhal (mulia) daripada al Quran.


Kami menyatakan: Allah.. Allah.. Ini antara punca mengapa tariqat tasawuf ditohmah, dibenci dan dimusuhi. Sedangkan tariqat tasawuf tidak bersalah sama sekali. Pengamalnya yang jahil sepatutnya dipersalahkan. Dakwaan bahawa tariqat Tijaniyyah lebih baik daripada tariqat yang lain adalah dakwaan kosong tanpa dalil. Kemudian sesiapa yang tidak memasuki tariqat ini, akan mati dalam keadaan buruk. Adakah golongan ini menerima wahyu? Kami tidak menyalahkan pengasas tariqat ini iaitu Syeikh Ahmad al Tijani kerana kami yakin beliau adalah wali yang sejati. Beliau mengasaskan tariqat ini di atas paksi al Quran dan Sunnah. Namun para pengikut beliau yang taksub, telah menyimpang daripada dasar yang telah beliau tetapkan.


Adakah mereka menerima wahyu bahawa selawat al Fatih lebih mulia daripada al Quran? Saya tanpa ragu-ragu menyatakan, ini adalah kalam kufur! Astaghfirullahal 'azim (saya memohon keampunan Allah).


Kesimpulan.


Al Quran dan Sunnah adalah sumber perundangan yang sejati. Kebenaran sentiasa bersama al Quran dan Sunnah. Selagi mana kita berpegang dengan al Quran dan Sunnah, maka selagi itu kita akan sentiasa berada di atas jalan kebenaran. Ijtihad-ijtihad para ulama' itu boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Namun kita menghormati ijtihad-ijtihad mereka lebih-lebih lagi mereka ini dijanjikan pahala walaupun ijtihad mereka tersalah. Cuma kita dituntut untuk menurut ijtihad yang bersesuaian dengan al Quran dan Sunnah. Adapun ijtihad mereka yang salah, kita kritik dengan kritikan yang membina dan secara beradab. Diingatkan juga, bukan sebarangan orang boleh mengkritik ijtihad mereka. Hanya golongan mujtahid sahaja yang boleh mengkritiknya disertai dengan adab yang tinggi. Bukan sewenang-wenangnya oleh golongan jahil yang kononnya mendakwa sebagai mujtahid tapi masih lagi bertaqlid pada pendapat yang telah nyata kebatilannya! Semoga Allah Ta'ala sentiasa memimpin kita ke arah kebenaran. Amin. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.


Nota: Buat pengetahuan sidang pembaca, dakwaan-dakwaan yang dinyatakan di sini dikemukakan oleh ulama'. Namun sebagai beradab dengan mereka, saya tidak menyebut nama mereka. Bukan peribadi yang kita perlu kritik kerana mereka adalah golongan yang berperibadi mulia, tetapi pendapat mereka yang perlu kita perhatikan. Benarlah, kesempurnaan itu hanya milik Allah Ta'ala dan sifat maksum itu hanya dikhususkan oleh Allah buat para Nabi dan Rasul-Nya sahaja.


Bibliografi:


- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari, bahagian pertama, cetakan ketiga 2004 (1425), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari, bahagian kedua, cetakan pertama 1998 (1419), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Fiqh al Sunnah, al 'Allamah Sayyid Sabiq, jilid pertama, cetakan pertama 2003 (1423), terbitan al Fath lil 'Ilam al 'Arabi, Mesir.

- Fathul Mun'im Syarh Sohih Muslim, Prof. Dr. Musa Syahin Lasyin, jilid kedua, cetakan pertama 2002 (1423), terbitan Dar al Syuruq, Mesir.

- Kamus Dewan, edisi keempat 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.



[1] Kamus Dewan, halaman 406, perkataan: fanatik.

[2] Ayat yang dimaksudkan ialah ayat 21 daripada surah al Kahfi yang menyebut mafhumnya:

Berkata pula golongan yang menguasai mereka, "Kami akan membina masjid di sisi gua mereka (tempat mereka disemadikan)."

[3] Al Ifham wal Iqham, halaman 71 pada nota kaki.

[4] Khawatir Diniyyah, halaman 18, bahagian kedua.

[5] Fiqhus Sunnah, halaman 15, jilid pertama.

[6] Fathul Mun'im Syarh Sohih Muslim, halaman 148, jilid kedua.

[7] Khawatir Diniyyah, halaman 123, bahagian pertama.

[8] Khawatir Diniyyah, halaman 22, bahagian kedua.

29 Jun 2008

Di Antara Adab Para Nabi

Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Mereka (para Nabi) itu adalah golongan yang diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah petunjuk mereka (wahai Muhammad)..
[al An'am: 90]


Pangkat Kenabian dan Kerasulan adalah pangkat yang tertinggi di sisi Allah Ta'ala. Dikurniakan buat insan-insan pilihan yang telah mencapai tingkatan kesempurnaan. Mereka dididik secara langsung oleh Allah Ta'ala. Lantas kerana itu, mereka memiliki kesempurnaan yang melayakkan mereka untuk dijadikan contoh tauladan terbaik buat umat manusia. Di antara kesempurnaan yang mereka miliki adalah kesempurnaan adab. Para Nabi 'alaihimussalam adalah golongan yang paling beradab dengan Allah Ta'ala. Adab-adab mereka dirakamkan oleh Allah Ta'ala di dalam kitab-Nya untuk dijadikan tauladan.


Di sini saya senaraikan tiga contoh adab yang ditunjukkan oleh tiga Rasul yang mulia iaitu Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, Nabi Ibrahim al Khalil 'alaihissalam dan Nabi Isa Ruhullah 'alaihissalam. Ketiga-tiga mereka adalah Rasul Ulul 'Azmi. Selawat dan salam Allah buat mereka selama-lamanya.


1) Adab Nabi kita, Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.


Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Seringkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) selalu menengadahkan wajah-mu ke langit, maka Kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkan wajah-mu ke arah Masjid al Haram..
[al Baqarah: 144]


Ketika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah menetap di Madinah al Munawwarah selepas hijrah, Baginda bersembahyang dengan menghadap ke arah Masjid al Aqsa selama 16 bulan. Menurut riwayat lain selama 17 bulan. Melihat tindakan ini, golongan Yahudi mempersenda-sendakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sambil berkata, "Muhammad mencemuh agama kami, tapi sembahyang menghadap ke kiblat kami. Ini bukti kebenaran agama kami!"


Justeru itu, dalam diam Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sebenarnya ingin agar Allah Ta'ala menurunkan wahyu agar kiblat sembahyang ditukar ke arah Masjid al Haram. Kiblat ayahanda Baginda, Sayyiduna Ibrahim al Khalil 'alaihissalam. Namun begitu, Baginda hanya mendiamkan diri sahaja tanpa mengungkapkan doa memohon agar Allah Ta'ala mewahyukan perintah peralihan kiblat. Baginda hanya menengadahkan pandangannya ke langit setiap kali bersembahyang. Para ulama' menyatakan ini menunjukkan kesempurnaan adab Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Walaupun Baginda sangat berkeinginan agar berlaku peralihan kiblat ke arah Masjid al Haram, namun Baginda hanya berdiam diri tidak berdoa. Hanya melihat langit dengan harapan. Ini adalah kerana para Nabi hanya boleh berdoa jika mereka diizinkan Allah Ta'ala untuk berdoa. Ayat ini menunjukkan bahawa Baginda hanya memandang langit sahaja tanpa berdoa kerana jika Baginda berdoa, pasti akan dinyatakan oleh Allah Ta'ala. Daripada ayat ini, ada beberapa kesimpulan yang boleh diambil antaranya:


a) Ayat ini menunjukkan kesempurnaan adab Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dengan Allah Ta'ala sebagaimana yang telah saya jelaskan di atas.

b) Bagi memuliakan Baginda, maka Allah Ta'ala berkenan mengalihkan kiblat ke arah Masjid al Haram bahkan Allah Ta'ala menjadikan peralihan kiblat tersebut disebabkan oleh keinginan Baginda. Kerana itu Allah Ta'ala mengungkapkan 'maka Kami palingkan engkau ke arah yang engkau sukai' seakan-akan keinginan Baginda adalah keinginan Allah Ta'ala juga!

c) Allah Ta'ala juga menyebut wajah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di dalam ayat ini. Ayat ini juga menunjukkan bahawa perhatian Allah Ta'ala terhadap Baginda adalah lebih. Kerana itu Allah Ta'ala mengungkapkan 'Seringkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad)..


2) Adab Nabi Ibrahim al Khalil 'alaihissalam.


Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Dan ingatlah peristiwa ketika Ibrahim meninggikan dasar-dasar al Bait (Kaabah) dan (dibantu oleh) Ismail (sambil mereka berdua berdoa): Wahai Tuhan kami! Terimalah amalan kami ini. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar (doa kami) lagi Maha Mengetahui (isi hati kami).
[al Baqarah: 127]


Ayat ini juga merakamkan ketinggian adab Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'alaihimassalam. Walaupun mereka adalah golongan yang paling ikhlas dalam melaksanakan perintah Allah Ta'ala, namun dengan jiwa yang penuh tawadhu', mereka masih khuatir sekiranya pembinaan Kaabah ini dilakukan dengan hati yang kurang ikhlas. Lantas mereka berdoa dengan hati yang tulus ikhlas agar amalan mereka ini diterima oleh Allah Ta'ala. Allah Ta'ala Maha Mengetahui keikhlasan jiwa mereka lalu Dia memperkenankan doa mereka dan menerima amalan mereka dengan menjadikan Kaabah sebagai kiblat sembahyang buat umat yang beriman kepada Allah Ta'ala. Ada sebahagian ulama', apabila mereka membaca ayat ini lantas mereka menangis keharuan sambil berkata, "Wahai Nabi Allah! Tuan adalah manusia yang paling ikhlas dalam ibadah kepada Allah. Namun tuan masih mengharap agar Allah menerima amalan tuan. Aduh! Bagaimana pula dengan kami ini yang belum tentu lagi diterima amalan kami ini!!"


3) Adab Nabi 'Isa Ruhullah 'alaihissalam.


Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Dan ketika Allah berfirman, "Wahai 'Isa putera Maryam! Adakah engkau pernah mengatakan kepada manusia: Jadikan saya dan bonda saya sebagai tuhan selain Allah?" 'Isa menjawab, " Maha Suci Engkau! Tidak sepatutnya aku mengatakan perkara yang tidak benar. Jika aku mengatakannya, pasti Engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang terkandung dalam diriku sedangkan aku tidak mengetahui apa yang terkandung dalam diri-Mu. Engkau Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Aku tidak mengatakan kepada mereka selain perkara yang Engkau perintahkan iaitu: Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu."
[al Maidah: 116-117]


Ayat ini adalah sanggahan terhadap dakwaan golongan Kristian bahawa Nabi 'Isa dan bonda Baginda Sayyidah Maryam merupakan tuhan selain Allah Ta'ala. Allah Ta'ala mendedahkan kepalsuan dakwaan golongan Kristian dengan menceritakan dialog antara-Nya dan Nabi 'Isa 'alaihissalam. Ayat ini juga memperlihatkan ketinggian adab Nabi 'Isa 'alaihissalam ketika menjawab pertanyaan Allah Ta'ala. Jika kita perhatikan ayat ini, sepatutnya memadai jika Nabi 'Isa 'alaihissalam hanya menjawab dengan jawapan yang ringkas iaitu: Aku tidak mengatakannya! Namun begitu, sebagai adab kepada Allah Ta'ala, Baginda memulakan jawapannya dengan memuji Allah Ta'ala sambil mengakui kelemahan diri. Setelah itu barulah Baginda menjawab pertanyaan Allah Ta'ala dengan jawapan yang beradab juga.


Maha Suci Allah yang memilih para Rasul-Nya dari kalangan insan terpilih untuk menjadi contoh tauladan buat umat manusia.


Beradablah dengan Allah Ta'ala wahai sidang pembaca! Hanya dengan adab, barulah kita akan sampai kepada Allah Ta'ala sebagaimana yang ditegaskan oleh golongan sufi.


Segala puji bagi Allah yang memberi taufiq dan ilham kepada sesiapa yang dikehendakinya.


Nota
: Saya mendapat idea untuk menulis tajuk ini ketika mendengar khutbah Jumaat. Kemudian saya diberi taufiq oleh Allah Ta'ala ketika meneliti ayat-ayat daripada surah al Baqarah. Segala puji bagi Allah Ta'ala..

28 Jun 2008

Tentang Minyak

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda mafhumnya:


Kelak akan muncul bahan-bahan galian dan ia akan dicarigali oleh manusia-manusia yang jahat.[1]


Hadith ini merupakan ramalan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tentang peristiwa akhir zaman. Peristiwa kemunculan bahan-bahan galian seperti petroleum, emas, perak dan sebagainya. Namun menerusi hadith ini, saya hanya ingin menyebut tentang petroleum kerana ia ada kaitan dengan perkembangan mutakhir ini.


Al Hafiz Sayyid Abdullah bin Siddiq al Ghumari al Idrisi al Hasani[2] di dalam kitab Khawatir Diniyyah menyatakan:


Benarlah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Apa yang Baginda nyatakan telah pun berlaku. Setelah lebih seribu tahun berlalu, bahan-bahan galian seperti petroleum dan emas telah ditemui di Hijaz dan negara-negara Arab yang lain. Bahan-bahan ini pula telah dicarigali oleh dua jenis manusia yang jahat:


1) Syarikat-syarikat Amerika dan England yang mencarigali bahan-bahan ini. Mereka telah membeli kelengkapan-kelengkapan khas untuk menjalankan proses carigali. Melalui bahan-bahan galian ini juga, mereka menjadikannya sebagai alat untuk mencampuri urusan pentadbiran negara-negara Arab serta memberi tekanan kepada negara-negara ini untuk dijajah bahkan syarikat-syarikat ini menggunakan keuntungan hasil petroleum negara-negara Arab sebagai dana yang disalurkan kepada golongan Yahudi bagi membantu mereka merampas Palestin.


2) Para pemerintah negara-negara tersebut. Mereka menganggap bahan-bahan galian itu adalah milik mereka secara khusus. Lantas mereka membelanjakan wang yang banyak semata-mata untuk memastikan bahan-bahan tersebut menjadi milik mereka untuk digunakan sebagai kepentingan peribadi serta untuk memuaskan nafsu syahwat semata sehingga mereka melampaui batas. Tidak terlintas di benak fikiran mereka atau sememangnya mereka tidak mengetahui bahawa hasil daripada bahan-bahan galian tersebut perlu digunakan untuk melaksanakan dua perkara yang diwajibkan oleh syara' iaitu:


a) 1/5 daripada hasil bahan-bahan galian tersebut perlu diagih-agihkan kepada golongan anak yatim, fakir miskin dan selain mereka sebagaimana yang dijelaskan oleh kitab-kitab Fiqh Islam.


b) Bakinya pula iaitu 4/5 lagi digunakan untuk kemaslahatan rakyat seperti memajukan bidang pendidikan, meningkatkan taraf kesihatan, membaik pulih jalan-jalan, membayar gaji para pekerja dan pelbagai lagi kemaslahatan yang memberi pulangan manfaat umum buat rakyat dan negara. Para pemimpin hanya boleh mengambil sedikit bahagian daripada hasil tersebut sebagai gaji mereka menguruskan bahan-bahan galian itu dengan baik.


Sekiranya para pemimpin ini bertindak seperti yang diwajibkan oleh syara', sudah pasti negara-negara mereka menjadi negara yang terbaik dari sudut kemajuan, pendidikan, kesihatan, kemakmuran dan pelbagai aspek kehidupan yang lain. Bahkan jika mereka menyekat syarikat-syarikat Amerika dan England daripada mencarigali bahan-bahan tersebut dalam usaha membantu Palestin, sudah pasti syarikat-syarikat ini tidak mampu membantu golongan Yahudi dan Palestin tidak dapat dirampas. Sesungguhnya hari pembebasan Palestin semakin hampir.[3]


Saya (Humair) pula menyatakan: Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari memperkatakan tentang petroleum yang wujud di negara-negara Arab secara umum. Saya pula mengkhususkannya buat Malaysia kerana negara kita adalah salah sebuah negara pengeluar minyak. Sememangnya hadith ini boleh kita kaitkan dengan suasana harga minyak yang berlaku di negara kita mutakhir ini. Adakah hasil minyak kita selama ini untuk kepentingan rakyat atau untuk kepentingan golongan tertentu sepertimana yang dinyatakan oleh Sayyid Abdullah. Saya tidak berapa pandai untuk mengulas mengenai isu minyak ini, namun saya tertarik untuk mengajak sidang pembaca menilai artikel yang ditulis oleh saudara Hishamudin Rais tentang isu minyak dan buat perbandingan dengan hadith yang saya nyatakan di sini. Saya yakin ianya ada kaitan. klik di sini.



Begitu juga dengan ulasan Harakah Daily tentang kemakmuran yang sepatutnya diperolehi melalui hasil minyak kita. klik di sini.



Kemudian imbas kembali tentang isu royalti minyak negeri Terengganu Darul Iman suatu ketika dahulu. Saya yakin sekali lagi, memang ada kaitan dengan hadith ini. Saya tidak ingin tuduh pemimpin kita jahat. Saya cuma mengajak sidang pembaca menilai kebenaran hadith ini dan kaitkan dengan isu minyak negara kita sekarang secara khusus. Itu sahaja. Saya hanya ingin berkata: Benarlah ramalan Nabi kita, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.


Bibliografi:

- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari al Hasani, bahagian pertama, cetakan ketiga 2004 (1425), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Kanzul 'Ummal fi Sunan al Aqwal wal Af'al, al 'Allamah 'Alauddin al Muttaqi bin Husamuddin al Hindi, jilid 12, cetakan tahun 1989 (1409), terbitan Muassasah al Risalah, Beirut.

- Majma' al Zawaid wa Manba' al Fawaid, al Hafiz Nuruddin Ali bin Abu Bakar al Haithami, jilid 3, cetakan tahun 2005 (1426), terbitan Darul Fikr, Beirut- Lebanon.

- Al Musnad, Imam Ahmad bin Hambal, jilid 9, cetakan kedua 1994 (1414), Darul Fikr, Beirut- Lebanon dengan kerjasama al Maktabah al Tijariyyah.



[1] Hadith ini diriwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad bin Hambal daripada seorang lelaki Bani Sulaim, hadith: 23706 dan Kanzul 'Ummal, hadith: 30905. Al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari di dalam Khawatir Diniyyah menyatakan hadith ini diriwayatkan oleh al Hakim dan al Baihaqi dengan sanad yang sohih daripada Sayyiduna Abdullah bin Umar. Saya telah merujuk kitab al Mustadrak susunan Imam al Hakim, namun saya tidak bertemu hadith ini. Manakala di dalam Majma' al Zawaid, al Haithami menyatakan hadith ini turut diriwayatkan oleh al Tabrani. Hadith ini adalah hadith sohih.

[2] Lahir pada tahun 1910 dan wafat pada tahun 1993.

[3] Khawatir Diniyyah, halaman 111-112.

26 Jun 2008

Selamat, Aman & Makmur??



Tajuk ini adalah manifesto yang diutarakan oleh Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya yang lalu. Saya sengaja meletakkan tanda tanya pada tajuk ini kerana ada sesuatu yang menarik perhatian saya untuk diulas khususnya berkenaan suasana yang berlaku di negara tercinta Malaysia mutakhir ini.


Tanda tanya diletak sebagai satu persoalan yang berlegar dalam fikiran saya: Mengapa manifesto ini dipilih oleh BN?


Kemudian, adakah manifesto ini terlaksana atau mampu dilaksanakan?


Manifesto 'Selamat, Aman dan Makmur' adalah manifesto yang menarik. Boleh jadi ini antara faktor BN masih lagi menjadi pilihan rakyat ketika pilihan raya yang lalu. Cuma terlebih dahulu saya ingin menjawab soalan pertama mengenai slogan ini: Mengapa slogan ini dipilih?


Jawapan bukan daripada saya. Saya bertemu jawapan ini ketika berbincang secara ringkas dengan bekas guru saya di Maahad dahulu (beliau datang ke sini dalam rangka lawatan kerja). Beliau menyatakan BN memilih slogan ini kerana tahap keselamatan dan keamanan di Malaysia sebenarnya berada dalam keadaan yang membimbangkan. Sambil membuat perbandingan di antara tahap keselamatan di Mesir, Syria dan Malaysia, beliau mengatakan, "Kalau di Syria, keselamatan masih lagi terjamin. Baik dalam rumah mahupun di luar rumah. Kalau di Mesir pula, tahap keselamatan di luar rumah agak kurang terjamin walaupun tidak ketara khususnya buat warga asing namun di dalam rumah, masih lagi rasa selamat. Tetapi di Malaysia tidak lagi. Dalam rumah atau luar rumah, tak selamat. Luar rumah kena rompak. Kalau duduk dalam rumah pun dirompak juga. Sebab itu, slogan ini dipilih." Saya melihat ada rasionalnya pendapat beliau ini. Saya teringat dalam mesej yang dihantar oleh ibu saya, beliau menyatakan kawasan perumahan tempat kami tinggal sudah tidak selamat lagi. Selain disenaraikan sebagai 'black area', kejadian pecah rumah juga sering berlaku. Rumah saya turut menjadi mangsa! Nasib baik ibu dan ayah tiada apa-apa.. Kalau begini keadaannya, memang sesuai sangat slogan ini dipilih.

Soalan kedua: Terlaksanakah slogan ini atau adakah ia mampu dilaksanakan?


Jawapannya: Kalau menurut penilaian saya setakat ini, belum lagi. Bukan setakat Selamat dan Aman, Makmur pun belum tentu lagi. Saya terbaca di akhbar Harakah Daily bahawa slogan ini hanya bawa celaka. Ini bahasa akhbar tersebut. Masalah terkini yang berkaitan dengan slogan ini adalah masalah kenaikan harga minyak yang masih lagi hangat dibicarakan. klik di sini.


Saya tidak ingin mengulas panjang tentang slogan ini. Kesimpulan mudah yang ingin saya buat ialah kembali semula menghayati ajaran Islam. Itu sahaja.


Jika pengamalan Islam sebagai cara hidup diterapkan di kalangan rakyat Malaysia, maka slogan ini tidak perlu wujud. Kalimah 'Islam' itu sendiri telah memberikan makna 'Selamat, Aman dan Makmur'. Itu baru kalimah. Bagaimana pula dengan isi kandungannya? Sudah tentu sekali!


Masalah mengapa Malaysia ditimpa huru hara sehingga tidak selamat lagi walaupun sering digembar gemburkan bahawa negara kita selamat adalah kerana Islam tidak dihayati dengan penghayatan yang sebenar. Hanya sekadar termaktub di dalam perlembagaan bahawa ia adalah agama rasmi. Ditambah pula dengan pengenalan terhadap 'Islam Baru' yang bernama Islam Hadhari. Saya malas hendak berbicara tentang Islam Hadhari kerana sudah banyak pihak yang memperkatakan mengenainya dari sudut pro dan kontra.


Cuma bila berbicara mengenai maksud penghayatan Islam yang sebenar, ia bukan sekadar retorik semata. Bukan juga terbatas pada ibadah sahaja. Yang penting ialah Islam itu cara hidup yang lengkap merangkumi segenap aspek. Aspek muamalah, ekonomi, pemerintahan dan sebagainya. Kalau ini difahami dan dihayati, maka tidak perlu lagi slogan 'Selamat, Aman dan Makmur'. Kerana Islam mengandungi ini semua.


Sudah tiba masa untuk kita berbicara mengenai Islam dari segenap aspek. Tidak terbatas pada ibadah semata. Kalau Islam itu hanya sekadar amalan ibadah dan upacara-upacara tertentu, apa bezanya Islam dengan agama lain?? Jadi baik ketika berada di masjid. Bila di luar masjid, bebas! Suka hati lah nak bermuamalah macam mana pun. Satu tanggapan yang benar-benar menyimpang!


Untuk merealisasikan ini, sememangnya kita perlukan kuasa untuk memastikan Islam boleh ditegakkan kembali. Bukan lagi sebagai retorik. Bukan lagi sekadar ibadah sahaja. Dan saya pasti, sidang pembaca faham apa maksud saya..


Benarlah ramalan Kenabian bahawa di akhir zaman nanti, akan ada pegawai-pegawai penguatkuasa yang kita panggil sebagai polis. Kenapa? Kerana akhir zaman ini, jenayah semakin menjadi-jadi. Mengapa? Kerana Islam tidak diamalkan lagi. Hanya pada nama saja. Di Malaysia pula, polis pun macam penjenayah juga. Membelasah pihak-pihak yang tak bersalah sebagaimana yang dilaporkan di dalam akhbar. Belum dikira salah laku yang lain lagi. Kenapa? Kerana taqwa tiada di hati pihak polis. Mengapa? Kerana Islam tidak dihayati.


Cuba bayangkan suasana apabila Islam diamalkan. Taqwa ada di hati pemimpin dan rakyat. Muamalah yang bersih. Pemimpin yang adil. Hasil negara yang diurus dengan bijak. Sehingga slogan al Quran bergema 'Negara yang Baik serta mendapat keampunan Allah'. Namun apakan daya, kita sekarang berangan saja lah...


Konklusinya, saya sering tegaskan bahawa perjuangan masih belum selesai. Bukan perjuangan memartabatkan Melayu, tapi perjuangan memartabatkan Islam. Setiap kita bertanggungjawab dalam menyumbang kepada perjuangan Islam. Kalau dalam fikiran kita tiada lagi pemikiran untuk memartabatkan Islam, apa yang tinggal lagi?? Adakah kita ini orang Islam?? Tepuk dada, tanya iman..

25 Jun 2008

Hudud

Muqaddimah.


Menerusi entri kali ini, saya hanya membicarakan mengenai hudud secara umum dan ringkas berserta olahan yang mudah difahami, insya Allah. Dengan erti kata lain, entri ini hanya sekadar pengenalan mengenai hukuman hudud.


Definisi.


Hudud dari sudut bahasa Arab: Merupakan plural (jama') kepada kalimah had yang bermaksud "penghalang".


Dari sudut syara', ia digunapakai untuk hukuman-hukuman yang dikenakan terhadap perbuatan-perbuatan maksiat tertentu.


Oleh itu, para ulama' mendefinisikan hudud sebagai: Hukuman yang ditentukan syara' terhadap kesalahan-kesalahan melanggar hak Allah Ta'ala serta disandarkan kepada sebab-sebabnya.[1]


Hukuman ini dinamakan hudud kerana ia boleh menghalang manusia daripada berterusan melakukan jenayah tersebut.


Perbuatan maksiat yang dikenakan hudud.


Perbuatan maksiat yang dikenakan hudud adalah tujuh:


1) Murtad.


Apabila seseorang Muslim murtad daripada Islam dengan ucapan atau perbuatan, maka dia akan diberi tempoh tiga hari untuk bertaubat tanpa sebarang paksaan mahupun seksaan dikenakan. Sekiranya dia enggan juga bertaubat selepas tempoh tersebut, maka dia dijatuhkan hukuman bunuh. Ini adalah berdasarkan hadith yang menyebut mafhumnya:


Sesiapa yang menukar agamanya (murtad daripada Islam), maka bunuhlah dia.[2]


2) Membunuh.


Seorang Muslim yang membunuh seorang Muslim lain dengan sengaja, maka hukumannya adalah bunuh. Ia juga disebut sebagai Qisas. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Wahai orang-orang yang beriman! Qisas itu diwajibkan ke atas kamu dalam kes pembunuhan. [al Baqarah: 178]


3) Zina.


Seorang Muslim yang berzina, sedangkan dia belum berkahwin maka hukumannya adalah sebat seratus kali berdasarkan firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Wanita dan lelaki yang berzina, maka hendaklah kamu sebat mereka berdua sebanyak seratus kali sebatan. [al Nur: 2]


Kemudian dibuang negeri selama setahun berdasarkan hadith mafhumnya:


Pemuda pemudi yang berzina hendaklah disebat seratus kali dan dibuang negeri selama setahun.[3]


Manakala bagi penzina yang telah berkahwin, maka hukumannya adalah rejam sehingga mati berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Sayyiduna Jabir radhiyallahu 'anhu bahawa seorang lelaki telah berzina dengan seorang perempuan. Lalu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan agar dia disebat. Kemudian lelaki tersebut mengaku bahawa dia telah berkahwin. Lantas Baginda memerintahkan agar dia direjam.[4]


4) Liwat.


Seorang Muslim yang meliwat, maka hukumannya adalah dibunuh. Begitu juga yang diliwat sekiranya dia baligh. Tidak kira yang melakukan perbuatan liwat ini telah berkahwin ataupun belum. Ini adalah berdasarkan hadith yang menyebut mafhumnya:


Sesiapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Lut (iaitu liwat) maka bunuhlah orang yang meliwat dan yang diliwat.[5]


5) Qazaf (menuduh orang lain berzina).


Sesiapa yang menuduh seorang Muslim atau Muslimah berzina, kemudian dia tidak mendatangkan empat saksi yang menyokong tuduhannya itu maka dia dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali, dihukumkan sebagai fasiq serta tidak diterima lagi kesaksiannya. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang suci (dengan tuduhan zina) kemudian mereka tidak mendatangkan empat saksi (yang menyokong tuduhan itu), maka sebatlah mereka sebanyak 80 sebatan dan janganlah kamu menerima kesaksian mereka buat selama-lamanya dan mereka itu adalah golongan yang fasiq. Kecuali orang-orang yang bertaubat selepas itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [al Nur: 5]


6) Meminum arak.


Seorang Muslim yang meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, maka hukumannya adalah sebat sebanyak 80 kali.


7) Mencuri.


Seorang Muslim yang mencuri, maka hukumannya adalah dipotong tangan berdasarkan firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Lelaki dan wanita yang mencuri, maka potonglah tangan mereka berdua sebagai balasan terhadap perbuatan mereka dan juga pencegahan daripada Allah. Dan Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. [al Maidah: 38]


Sunnah menjelaskan bahawa sekiranya barangan yang dicuri memiliki nilai sebanyak 1/4 dinar emas tulen (lebih kurang 1.0625 gram emas) atau lebih atau barangan yang seumpama dengannya, maka jika dia mencuri buat kali pertama hukumannya adalah dipotong tangan kanan pada pergelangannya. Sekiranya dia mencuri buat kali kedua, dipotong pula kaki kiri pada pergelangannya. Jika dia masih lagi mencuri, dipotong tangan kirinya. Jika masih mencuri, dipotong pula kaki kanannya. Namun sekiranya dia masih lagi mencuri, maka hukumannya adalah ta'zir dan ia bergantung kepada ijtihad pemerintah ketika itu.


Hukuman buat kesalahan-kesalahan selain di atas.


Adapun bagi kesalahan-kesalahan selain yang dinyatakan di atas, maka hukumannya adalah berbentuk ta'zir. Ia bergantung kepada ijtihad pemerintah berdasarkan kemaslahatan. Hukuman tersebut boleh jadi pukulan, sebatan, buang negeri dan sebagainya.


Hikmah disyariatkan hudud.


Hudud disyariatkan bagi kesalahan-kesalahan yang dinyatakan di atas adalah kerana hikmah-hikmah yang berkait rapat dengan perkara-perkara asasi yang disebut sebagai al Maqosid al Syar'iyyah iaitu:


1) Agama.


Agama adalah suatu keperluan bagi individu bahkan ia adalah keperluan masyarakat. Bagi mengekalkan kelangsungan agama Islam, maka kita diwajibkan untuk berjihad memerangi golongan kuffar dan membunuh golongan murtad.


2) Nyawa.


Nyawa adalah asas kehidupan. Maka wajib dijatuhkan hukuman qisas ke atas orang yang mencabutnya tanpa alasan yang benar. Dengan qisas, keselamatan nyawa akan terjamin dan ia menghalang berlaku pertumpahan darah tanpa sebab yang kukuh lagi benar. Kerana itu Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Dan pada Qisas itu, terdapat kehidupan bagi kamu wahai orang-orang yang memiliki akal fikiran agar (dengan qisas itu) kamu memelihara (nyawa-nyawa yang tidak berdosa). [al Baqarah: 179]


3) Keturunan.


Keturunan adalah aspek yang membezakan manusia dengan hidupan lain. Kerana itu, Islam sangat menitik beratkan keturunan dengan memelihara kesuciannya. Melalui keturunan, manusia meneruskan kelangsungan kewujudannya di muka bumi ini. Disebabkan zina membawa kepada pencemaran nasab dan kekeliruannya, maka dijatuhkan hukuman sebat dan rejam. Begitu juga dengan liwat. Selain menjijikkan, ia juga adalah perbuatan songsang yang menyumbang kepada kekurangan kewujudan manusiawi. Kerana itu, hukuman bunuh dijatuhkan terhadap orang yang melakukan perbuatan songsang ini.


4) Maruah.


Sudah menjadi fitrah, manusia sangat mementingkan maruah. Islam sangat mengambil berat tentang maruah kerana manusia itu hidup terhormat jika maruahnya terpelihara. Disebabkan qazaf adalah tuduhan yang melibatkan maruah, maka dijatuhkan hukuman sebat bagi sesiapa yang mencemarkan maruah orang lain tanpa bukti.


5) Akal.


Akal adalah anugerah terbesar buat umat manusia. Dengannya, manusia menilai buruk dan baiknya sesuatu perkara. Dengan akal jua, kita ditaklifkan oleh Allah Ta'ala dengan taklifan-taklifan tertentu. Maka ia adalah anugerah yang sangat besar nilainya serta perlu dijaga keutuhannya. Oleh kerana meminum minuman yang memabukkan boleh menyebabkan kehilangan akal seterusnya membawa kepada perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan martabat kemanusiaan, maka Islam menjatuhkan hukuman sebat buat mereka yang sengaja meminumnya.


6) Harta.


Harta adalah pendokong kehidupan. Islam menggalakkan umatnya untuk berkerja mengumpul harta yang halal dengan tujuan untuk menyara kehidupan serta menyumbang kepada jalan Allah Ta'ala. Untuk memelihara harta, dikenakan hukuman potong tangan bagi pencuri.


Benarkah hudud tiada di dalam al Quran?


Sebagaimana yang telah saya nyatakan di atas, sidang pembaca jelas mendapati bahawa hukuman hudud disebut secara terang nyata di dalam al Quran dan Sunnah. Saya sengaja menimbulkan pertanyaan ini kerana saya pernah mendengar suara-suara sumbang (di kalangan mereka ada yang belajar di al Azhar!) menyatakan bahawa hudud tidak disebut di dalam al Quran. Saya tidak pasti bagaimana mereka boleh berfikiran begitu. Sama ada mereka tidak pernah membaca al Quran atau buta huruf. Boleh jadi juga mereka buat-buat bodoh. Mungkin juga mereka ada kepentingan peribadi yang menjadikan akal mereka bingung seketika. Cuma persoalan yang timbul adalah mengenai perlaksanaannya. Hudud disebut di dalam al Quran dan Sunnah. Adapun perlaksanaannya, bergantung kepada suasana. Wallahu 'alam.


Penutup.


Konklusinya, jika hukuman hudud dilaksanakan ia akan membawa kepada kesejahteraan hidup. Islam adalah agama kesejahteraan. Kerana itu, Islam mensyariatkan hudud bagi menjamin kesejahteraan hidup sebagaimana yang telah disebut menerusi hikmah-hikmahnya di atas. Segala puji bagi Allah, pengatur hukuman buat sekelian alam.


Bibliografi:

- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah bin Siddiq al Ghumari al Hasani, bahagian pertama, cetakan ketiga 2004 (1425), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Al Mu'tamad fil Fiqh al Syafi'i, Prof. Dr. Muhammad al Zuhaili, jilid kelima, cetakan pertama 2007 (1428), terbitan Darul Qalam, Damsyik.

- Nailul Autor min Asrar Muntaqol Akhbar, al Imam al Qadhi Muhammad bin Ali al Syaukani al Yamani, jilid 13, cetakan pertama 2006 (1427), terbitan Dar Ibni Jauzi, Arab Saudi.



[1] Al Mu'tamad fil Fiqh al Syafi'i, hal: 145, jilid 5, Darul Qalam, Damsyik.

[2] Nailul Autor, hadith 3215, halaman 509, jilid 13, Dar Ibnu Jauzi.

[3] Nailul Autor, hadith 3095, halaman 226, jilid 13.

[4] Nailul Autor, hadith 3096, halaman 226, jilid 13.

[5] Nailul Autor, hadith 3131, halaman 298, jilid 13.