19 April 2008

Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari


Nama dan keturunan.


Beliau ialah al ‘Allamah al Muhaddith al Sufi al Muhaqqiq al Mudaqqiq al Imam Maulana Sayyid Abdul Aziz bin Muhammad bin Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin al Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Mukmin bin Ali bin al Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa'id bin Mas'ud bin al Fudhoil bin Ali bin Umar bin al 'Arabi bin 'Allal (Ali menurut bahasa Maghribi) bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Maulana Idris al Asghor bin Maulana Idris al Akbar bin Abdullah al Kamil bin al Hasan al Muthanna bin Imam al Hasan al Mujtaba bin Amirul Mukminin Imam Ali dan Sayyidah Fatimah al Zahra' binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.


Kelahiran.


Dilahirkan pada bulan Jamadil Awal 1338 (1920) di Tonjah (Tangier), Morocco.


Latar belakang pendidikan.


Beliau memulakan pendidikan seawal usia lima tahun dengan menghafal al Quran di bawah bimbingan Syeikh Muhammad Bu Durrah, murid ayahandanya. Setelah itu, beliau mula menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu-ilmu yang lain melalui pembelajaran, pembacaan dan kajian. Ayahandanya memberi sepenuh perhatian kepada beliau sepanjang tempoh pendidikan dengan nasihat-nasihat yang berguna dan petunjuk-petunjuk yang berfaedah. Ini disebabkan ayahandanya dapat mengesan bakat-bakat terpendam yang ada dalam diri beliau. Ayahandanya pernah berpesan supaya tidak merujuk sebarang nota kaki yang terdapat dalam mana-mana kitab yang dibaca. Alasannya ialah sebagaimana yang disebut oleh ayahandanya:


Jika engkau mempunyai bakat untuk menguasai isi kandungan kitab kecil dalam apa jua bidang ilmu, maka ilmu-ilmu itu akan mudah difahami walaupun ia terkandung di dalam kitab-kitab yang besar.


Selepas kewafatan ayahandanya, pada tahun 1355 (1937) ketika berusia 17 tahun, beliau merantau ke Mesir bersama-sama abangnya Sayyid Abdul Hayy al Ghumari untuk melanjutkan pelajaran di al Azhar al Syarif. Di al Azhar, beliau menuntut ilmu daripada para ulama’ yang berwibawa dalam pelbagai lapangan ilmu. Dalam tempoh ini juga, beliau mula berjinak-jinak dengan ilmu Hadith di samping melakukan latihan-latihan dan kajian-kajian sekitar ilmu ini.


Bergelumang dengan ilmu Hadith.


Mengenai permulaan beliau bergelumang dalam ilmu Hadith, Sayyid Abdul Aziz menceritakan pengalamannya bahawa beliau mula terlibat secara serius dalam ilmu Hadith setelah menamatkan pengajian dalam bidang Mustolah Hadith. Untuk mengaplikasikan apa yang telah beliau pelajari, beliau mula menumpukan kajian terhadap kitab al Laali’ al Masnu’ah karangan al Hafiz Jalaluddin al Suyuti. Melalui kajian beliau terhadap kitab ini, Sayyid Abdul Aziz berjaya menghasilkan karya yang berjudul al Jawahir al Ghawali.


Beliau turut menyebut bahawa melalui kajiannya terhadap kitab ini, beliau mempelajari methodologi kritikan terhadap para perawi hadith, rantaian sanad dan kaedah membezakan hadith yang sohih dengan yang dho’if. Setelah itu, beliau menumpukan kajiannya terhadap kitab-kitab hadith pula dengan membaca dan mengkaji hasil kajian hadith yang dihasilkan oleh abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari. Apabila selesai mengkaji karya-karya abangnya, beliau meneruskan usaha dengan mengkaji kitab-kitab hadith lain yang dikarang oleh golongan Huffaz yang berkaliber dalam bidang ini seperti al Hafiz al ‘Iraqi, al Hafiz al Zailai’e, al Hafiz Ibnu Hajar al ‘Asqolani, al Hafiz al Suyuti dan lain-lain lagi. Sepanjang kajian beliau terhadap ilmu Hadith, beliau seringkali berhubung dengan abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari untuk meminta nasihat dan petunjuk.


Kemuncaknya beliau menyebut bahawa setelah beliau merasa telah mahir dalam bidang ini dan mampu menguasainya dengan baik, maka beliau mula mengarang sebuah kitab yang berjudul Bulugh al Amani min Maudhu’at al Soghoni. Setelah selesai mengarang karya ini, beliau membentangkannya kepada abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari, lalu abangnya memberi komentar:


Sepatutnya karya ini diberi judul Hazij al Aghani kerana ia mengandungi faedah yang boleh membuatkan pembacanya menari-nari kerana riang dan kagum!


Kepulangan ke Tonjah.


Setelah 12 tahun menetap di Mesir, akhirnya pada bulan Rabiul Awwal 1366 (1949) beliau pulang ke Tangier untuk menyebarkan ilmu buat anak bangsanya. Di Tangier, beliau aktif mengajar di Zawiyah Siddiqiyyah di samping menulis dan mengadakan majlis zikir. Beliau juga turut dilantik menjadi khatib di madrasah tersebut. Beliau telah menunaikan ibadah haji dan umrah beberapa kali.


Guru-guru.


Antaranya:

  1. Ayahandanya Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari.
  2. Abang-abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari dan al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.
  3. Al ‘Allamah Syeikh Muhammad Bu Durrah, murid ayahandanya.
  4. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Mu’ti al Syarsyimi.
  5. Al ‘Allamah Syeikh Mahmud Imam.
  6. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Salam Ghanim al Dimyati al Syafie.
  7. Al ‘Allamah Syeikh Muhammad ‘Izzat dan lain-lain lagi.


Karya-karya beliau.


Semuanya berjumlah 73 buah. Kebanyakannya dalam bidang hadith. Antaranya:

  1. Tashil al Mudarraj ila al Mudarraj.
  2. Al Ta’nis bi Syarh Manzumah al Zahabi fi Ahli al Tadlis.
  3. Al Bughyah fi Tartib Ahadith al Hilyah.
  4. Ithaf Zawi al Himam al ‘Aaliyah bi Syarh al ‘Asymawiyyah.
  5. Al Qaul al Ma’thur bi Jawaz Imamah al Mar’ah bi Rubat al Khudur.
  6. Mafatih al Dahyan li Tartib Tarikh Asbahan.
  7. Al Tahzir Mimma Zakarahu al Nablusi fi al Ta’bir.
  8. Al Tuhfah al ‘Aziziyyah fi al Hadith al Musalsal bi al Awwaliyyah dan lain-lain lagi.


Kewafatan.


Beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1418 (1998) dan disemadikan di Madrasah Siddiqiyyah berhampiran pusara ayahandanya. Semoga Allah merahmati beliau dan membalas jasa-jasa beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.


Berikut ialah cerita beliau mengenai diri dan adik beradiknya menerusi satu wawancara yang diadakan oleh akhbar al Khadra' al Jadidah:


S: Berapakah usia beliau (Sayyid Abdul Hayy) jika dibandingkan dengan adik beradik tuan yang lain?


J: Beliau berusia lebih kurang 78 tahun dan beliau lebih tua daripada saya. Kalian seringkali bertanyakan tentang adik-beradik saya. Baiklah, yang paling tua sekali ialah abang sulung kami al 'Allamah al Hafiz Ahmad bin Siddiq yang disemadikan di Kaherah dan beliau telah meninggal dunia lebih kurang 40 tahun yang lalu. Beliau memiliki lebih kurang 300 buah karya. Kebanyakannya telah dicetak di Kaherah dan Morocco. Di antara keistimewaan beliau ialah beliau mengharamkan taqlid dan menyuruh supaya berijtihad serta menyeru supaya mempelajari ilmu-ilmu yang melayakkan kita untuk berijtihad. Kerana itu anda akan dapati beberapa pendapat beliau yang bertentangan dengan pendapat mazhab yang empat dan beliau turut menulis karangan mengenai perkara ini.


Selepas al 'Allamah Ahmad pula ialah abang kami al 'Allamah Abdullah bin Siddiq yang telah meninggal dunia sekitar dua tahun yang lepas. Jenazah beliau disemadikan di Zawiyah Siddiqiyyah, Tangier. Beliau hidup selama 80 tahun. Beliau belajar di Kaherah selepas menamatkan pengajiannya di al Qurowiyyin, Fez. Beliau telah menduduki peperiksaan Syahadah 'Alimiyyah dan kemudiannya memperoleh Ph. D. Beliau memiliki hasil karya yang banyak. Antaranya terdapat 100 buah yang telah dicetak di Syria dan Jordan. Majoriti ulama' al Azhar belajar dengan beliau dalam ilmu bahasa Arab dan Usul Fiqh.


Selepas al 'Allamah Abdullah, abang kami al 'Allamah Muhammad al Zamzami. Beliau meninggal dunia kira-kira 8 tahun yang lalu dalam usia lebih kurang 78 tahun. Beliau dilahirkan di Port Said, Mesir. Belajar di Kaherah dan kemudiannya pulang ke Tangier. Di Tangier, beliau sibuk mengadakan pengajian bebas di Zawiyah Siddiqiyyah dan Jami' al Kabir. Beliau turut memiliki beberapa karya yang sebahagiannya telah dicetak di Tangier dan Kaherah. Beliau juga mempunyai pemikiran yang janggal namun beliau tidak peduli untuk menyatakan perkara yang pada pandangannya adalah benar.


Selepas beliau, abang kami pula al 'Allamah Abdul Hayy bin Siddiq. Selepas beliau, hamba Allah ini, Abdul Aziz bin Siddiq. Allah Ta'ala telah mentaufiqkan saya untuk belajar di Kaherah selama 11 tahun. Saya telah belajar daripada para ulama' dan masyaikh yang besar. Saya juga telah menulis di majalah-majalah dan akhbar-akhbar sepanjang saya menetap di Kaherah. Kemudian saya pulang ke tanah air, Bandar Tangier. Maka saya pun mula sibuk mengajar. Di samping itu, saya turut menghasilkan beberapa karya ketika berada di Kaherah dan Tangier. Sebahagiannya telah pun dicetak di Mesir, Jordan dan Syria. Sebahagiannya lagi dicetak di Tangier, Tetouan dan Casablanca. Alhamdulillah, kebanyakannya mendapat sambutan daripada kalangan ulama'.

16 April 2008

Fatwa Sayap Kelima: Fatwa al Albani.





Oleh: Al 'Allamah al Muhaddith Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari.


Majalah 'World' yang diterbitkan di London bertarikh 3 Julai 1993 telah menerbitkan sebuah kenyataan yang bertajuk: Fatwa al Albani Yang Pelik.

Majalah itu dipetik sebagai berkata:

Dunia Islam menerima dengan perasaan terkejut dan marah fatwa yang dikeluarkan oleh tokoh hadith Salafi yang terkemuka, Syeikh Nasiruddin al Albani yang dilaporkan berkata, "Rakyat Palestin perlu meninggalkan Palestin dan menyerahkannya kepada Yahudi serta tinggal di luar Palestin."

Al Albani turut ditanya mengenai usaha yang dilakukan oleh salah sebuah gerakan jihad Islam di negara-negara yang dijajah, lalu beliau menjawab, "Gerakan itu hanyalah gerakan politik. Usaha yang dilakukan bukanlah jihad dan ia sendiri bukan sebuah gerakan Islam."

Sumber-sumber media Islam di Jordan pula dipetik sebagai berkata:

Fatwa al Albani tersebut telah selesai dirakamkan menerusi kaset-kaset dan diedarkan. Ia telah menyebabkan timbulnya fitnah yang tidak dapat dibendung serta menerima kritikan hebat daripada golongan ulama' yang berautoriti dalam bidang Fiqh.

Sampai di sini sahaja berita tersebut...

Ramai yang telah menghubungi saya bertanyakan tentang fatwa ini yang sememangnya dianggap sebagai bencana terhadap gerakan yang menentang penjajahan Zionis-Amerika di bumi Palestin yang setiap hari melenyapkan nyawa ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak: Apakah hukum syara' terhadap orang yang mengeluarkan fatwa ini?

Saya menjawab di sini: Orang yang mengeluarkan fatwa ini adalah sesat, melencong dan terkeluar dari jalan kaum Muslimin disebabkan fatwanya ini.

Jika anda merujuk kitab-kitab Fiqh Islam dalam pelbagai mazhab, anda akan dapati di dalamnya hukuman ke atas orang yang rela untuk tunduk kepada pemerintahan kuffar serta berusaha untuk menyerahkan bumi kaum Muslimin kepada mereka adalah kafir, murtad dan halal darahnya.

Ini adalah hukuman yang tidak diperselisihkan di kalangan para fuqaha'. Maka ia merupakan ijma' di kalangan mereka. Di antara kejahilan al Albani menerusi fatwanya ini ialah apabila beliau menghukum usaha yang dilakukan oleh gerakan jihad Islam bukannya jihad tetapi ia hanya usaha politik.

Siapa yang menyatakan kepada beliau (al Albani) bahawa orang yang berjuang untuk membebaskan tanah airnya bukan mujahid? Sedangkan hadith ada menyebut:


Barangsiapa yang terbunuh ketika mempertahankan hartanya, maka dia adalah syahid.


Maka mereka yang terbunuh di Palestin adalah syuhada' menurut nas hadith ini.
Bukan daripada ajaran agama jika kita meninggalkan politik yang mengatur urusan kehidupan baik ketika aman mahupun ketika peperangan. Bukan juga daripada ajaran agama jika kita hidup secara semberono sahaja tanpa mengambil langkah berhati-hati dan tidak merancang strategi untuk mencapai matlamat yang kita inginkan.

Sama sekali bukan wahai Salafi kurun ke-20!

Islam tidak menyuruh anda supaya meninggalkan politik dan hidup seperti orang kebingungan di muka bumi ini. Kerana itu, Islam mensyariatkan ijtihad dan istinbat (pengambilan) hukum berdasarkan realiti sesuatu zaman.

Sedangkan fatwa anda ini merupakan sebahagian taktik politik, bagaimana anda sendiri menolak politik?!

Sebenarnya apa yang perlu kita ambil perhatian di sini ialah fatwa ini keluar berdasarkan arahan daripada Rumah Putih (White House) yang berpandangan bahawa selepas kematian Kesatuan Soviet (Soviet Union), maka Amerika perlu meluaskan lagi jajahannya bersesuaian dengan kepentingan dan ideologi Kesatuan Soviet. Rancangan ini tidak akan sempurna melainkan dengan menghapuskan setiap penentangan yang menghalang kepentingan dan pelaksanaannya. Rancangan ini juga tidak dapat disempurnakan kerana ia dihalang oleh gelombang penentangan secara besar-besaran yang dipimpin oleh umat Islam di seluruh dunia bagi membebaskan negara-negara yang dijajah daripada cengkamannya. Untuk itu Amerika terus berfikir dan akhirnya berpandangan bahawa sebaik-baik perkara yang boleh dilakukan untuk melemahkan semangat para pejuang pembebasan ini ialah dengan menarik agen-agen yang terkenal dengan keilmuan untuk berdiri di sayap kelima batalion Amerika supaya agen-agen ini boleh berperanan melemahkan semangat perjuangan yang didirikan atas nama Islam dan memandang enteng penjajahan terhadap negara-negara mereka yang dilakukan oleh musuh Islam serta bertindak membasuh otak mereka daripada idea jihad untuk membebaskan tanah air sehingga akhirnya para pejuang ini meletakkan senjata dan membiarkan sahaja Amerika bermaharajalela tanpa sebarang tentangan.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini juga, Amerika telah mengutus delegasi yang membawa agen-agen daripada kalangan ulama' seperti al Albani untuk menentang al Syahid Sayyid Qutub. Saya pernah terbaca tulisan sebahagian mereka yang menafikan kelebihan dan keistimewaan Sayyid Qutub yang telah meletakkan methodologi bagi generasi ini untuk menentang Imperialisme dan Zionisme.

Untuk menarik agen-agen yang terdiri daripada kalangan ulama' ini, Rumah Putih (White House) telah membelanjakan wang yang melimpah ruah sehingga melelehkan air liur agen-agen ini serta melenyapkan pemikiran mereka. Kerana itu Abu Tamam berkata di dalam syairnya:
Biawak dhob dan ikan Nun diharapkan boleh berhimpun;
Namun jangan diharap Akal dan Emas boleh berhimpun.

Di dalam hadith sohih ada menyebut:

Binasalah hamba dinar. Binasalah hamba dirham. Binasalah dan terbalik. Apabila dia disengat, maka dia tidak bertindak balas!

Di antara tanda kebinasaan hamba dinar dan dirham ialah apabila dia mengengkari agamanya sendiri seperti orang yang mengeluarkan fatwa ini (al Albani) sehingga sanggup mengkhianati tanah airnya dan tunduk terhadap pemerintahan musuhnya. Segala urusan adalah milik Allah Ta'ala jua.

Saya menterjemahkannya berserta olahan daripada sumber asal:
http://www.alghomari.com/al_makalate/ar15.html

Mutiara Ilham Sayyid Abdul Aziz al Ghumari (5)

Oleh: Al 'Allamah al Sufi Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari.


Permasalahan:


Allah Ta'ala berfirman ketika menceritakan tentang Nabi Yusuf 'alaihissalam:


Yusuf berkata, "Lantiklah saya sebagai pengurus hasil bumi (Mesir). Sesungguhnya saya bersedia untuk menjaganya dan tahu cara untuk menguruskannya."[1]


Sebahagian ulama' menjadikan ayat ini sebagai dalil keharusan memohon jawatan tinggi seperti pentadbiran dan sebagainya sekiranya pemohon meyakini bahawa dia boleh melaksanakannya dengan baik.


Saya (Sayyid Abdul Aziz) menyatakan: Sebenarnya ayat ini bukan dalil untuk pendapat tersebut kerana Nabi Yusuf 'alaihissalam adalah seorang rasul yang menerima wahyu. Maka Baginda memohon jawatan tersebut berdasarkan wahyu yang diterimanya daripada Allah Ta'ala. Ini merupakan perkara yang tiada keraguan padanya. Tambahan pula pendapat ini mengambil hukum syara' yang bukan daripada syariat kita. Ini adalah kerana memohon jawatan tinggi membawa erti mendedahkan diri kepada risiko besar yang tiada siapa mampu melepaskan diri daripadanya kecuali sedikit sekali. Di samping itu, disebut di dalam hadith bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melarang daripada memohon jawatan tinggi bahkan menegah daripada mendedahkan diri kepadanya. Maka istinbat (pengambilan hukum) daripada ayat ini adalah batil kerana ianya bercanggah dengan syariat kita. Justeru, perhatikan dengan teliti.


Sumber: http://www.alghomari.com/bohot-wa-aamal/bouhoute_aamale10.html





[1] Surah Yusuf, ayat 55.

15 April 2008

Mutiara Ilham Sayyid Abdul Aziz al Ghumari (4)

Oleh: Al 'Allamah al Sufi Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari.


Permasalahan:


Firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Dan di antara orang-orang yang berkata, "Sesungguhnya kami adalah Nasrani." Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian perkara yang diperingatkan kepada mereka, lantas Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka sehingga ke hari kiamat..[1]


Ini merupakan sebahagian daripada mukjizat al Quran yang sangat hebat. Dari semasa ke semasa, pasti berlakunya peperangan yang mengerikan di antara negara-negara Kristian yang hampir-hampir melenyapkan penganut agama ini keseluruhannya. Sedangkan agama mereka adalah satu. Setiap negara daripada negara-negara Kristian ini sering bersiap sedia untuk menawan negara Kristian yang lain. Walaupun mereka sering memeterai beberapa siri perjanjian dan sering berhimpun dalam majlis jamuan yang diadakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun mereka sebenarnya tidak mempercayai antara satu sama lain bahkan mereka memerhatikan perjanjian-perjanjian yang dimeterai sesama mereka dengan pandangan waspada. Peperangan-peperangan yang berlaku dan memusnahkan keturunan dan harta benda mereka sejak beberapa kurun yang lalu, ianya tidak dicetuskan melainkan oleh penganut Kristian sendiri. Demikianlah keadaan mereka akan berterusan sehingga ke hari kiamat sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Ta'ala menerusi kitab-Nya.


Sumber: http://www.alghomari.com/bohot-wa-aamal/bouhoute_aamale10.html



[1] Surah al Maaidah, ayat 14.

Mutiara Ilham Sayyid Abdul Aziz al Ghumari (3)

Oleh: Al 'Allamah al Sufi Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari.


Permasalahan:


Firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua mengeluarkan hukuman mengenai tanaman yang dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kami menjadi pemerhati terhadap hukuman (yang mereka keluarkan). Maka Kami mengurniakan kepada Nabi Sulaiman kefahaman yang lebih tepat mengenai masalah itu..[1]


Kesimpulan ayat ini ialah:


1) Kesalahan yang berlaku dalam ijtihad adalah perkara yang tidak mengapa.

2) Kesalahan itu boleh terjadi daripada Nabi tetapi ia diberi perhatian oleh Allah Ta'ala.[2] Pendapat ini dinyatakan oleh beberapa ulama'.

3) Mujtahid itu adalah terpuji walaupun dia tersalah dalam ijtihadnya.

4) Hakim (mujtahid) perlu menarik kembali hukumannya apabila dia mendapati hukumannya itu mengandungi kesilapan. Ini berbeza dengan pendapat yang menyatakan bahawa ijtihad seseorang mujtahid itu tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad mujtahid yang lain walaupun ijtihad tersebut mengandungi kesilapan.

5) Perlu sentiasa kembali kepada kebenaran walaupun ianya lahir daripada kanak-kanak dan walaupun ianya zahir daripada anak seorang hakim (mujtahid).

6) Kadangkala seorang anak boleh menjadi lebih hebat daripada ayahnya dan ianya tidak dianggap boleh mengurangkan martabat si ayah apatah lagi dikira sebagai penderhakaan kepadanya.

7) Kanak-kanak boleh mengeluarkan hukuman ketika kewujudan orang yang lebih tua daripadanya walaupun mereka berdua setanding dalam keilmuan.

8) Para Nabi 'alaihimussalam itu memiliki kelebihan masing-masing dalam keilmuan dan hikmah kebijaksanaan sebagaimana firman Allah Ta'ala mafhumnya: Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu).[3]

9) Para Nabi 'alaihimussalam itu turut berijtihad.


Sumber: http://www.alghomari.com/bohot-wa-aamal/bouhoute_aamale10.html



[1] Surah al Anbiya', ayat 78 & 79.

[2] Maksud kesalahan di sini ialah kesalahan dalam ijtihad seseorang Nabi. Bukan kesalahan yang menyebabkan dosa kerana para Nabi itu adalah maksum. Adapun kesalahan ketika berijtihad, maka ianya tidak mengapa.

[3] Surah al Baqarah, ayat 253.

Mutiara Ilham Sayyid Abdul Aziz al Ghumari (2)

Oleh: Al 'Allamah al Sufi Sayyid Abdul Aziz al Ghumari.


Permasalahan:

Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:


Daripada perkara dunia kamu, saya menyukai wangi-wangian dan wanita. Penyejuk mata saya pula dijadikan di dalam sembahyang.[1]


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyebut sembahyang selepas wangi-wangian dan wanita untuk memberitahu kita bahawa cara Baginda menyukai perkara keduniaan tidak sama seperti cara kita menyukainya. Kita mencintai dunia dan segala isinya serta beranggapan bahawa memiliki dunia itu akan menjadi penyejuk mata kita sehingga memalingkan kita daripada agama dan ibadah sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Kerana itu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


Saya tidak takut jika kefakiran menimpa kamu tetapi yang saya takut ialah kamu dikuasai keinginan berlumba-lumba mengumpul harta.[2]


Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya (harta, anak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk ke dalam kubur.[3]


Allah Ta'ala berfirman lagi ketika menceritakan tentang bangsa Qarun:


Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang inginkan kesenangan dunia, "Alangkah baiknya kalau kita memiliki kekayaan seperti Qarun. Sesungguhnya dia seorang yang bernasib baik." Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di kalangan mereka), "Janganlah kamu berkata demikian! Pahala daripada Allah itu lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh."[4]


Allah menceritakan bahawa disebabkan kekayaan Qarun, maka bangsanya berkata: "Sesungguhnya dia seorang yang bernasib baik." Ini semua menunjukkan kepada kita bahawa mereka berpandangan dengan memiliki kekayaan dan dunia ini, maka ia boleh menjadi penyejuk mata dan kegembiraan. Sikap ini bukan sahaja dimiliki oleh mereka bahkan dimiliki oleh setiap orang sebagaimana firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Serta kamu cintakan harta secara tamak haloba.[5]


Ertinya cinta kamu terhadap harta telah menguasai perasaan kamu sehingga tiada ruang di hati kamu untuk mencintai perkara yang lain.


Justeru, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyukai perkara keduniaan berupa wangi-wangian dan wanita tetapi bukan dengan cara yang sedemikian rupa. Baginda menyukai perkara-perkara ini menurut cara yang dihalalkan oleh Allah Ta'ala tanpa perasaan Baginda dikuasai oleh dunia sebagaimana yang kita alami. Bahkan penyejuk mata Baginda dijadikan pada perkara yang mendekatkan diri Baginda kepada Allah Ta'ala iaitu sembahyang. Cinta Baginda kepada perkara keduniaan hanya berbentuk zahir sahaja tanpa tetap di hati dan perasaan Baginda tidak dapat dikuasai oleh perkara-perkara ini. Lagipun Baginda tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada keduniaan. Kerana itu Baginda menyebut: Daripada perkara dunia kamu. Disebabkan wangi-wangian dan wanita adalah perkara keduniaan, maka Baginda menjelaskan kepada kita bahawa hati Baginda tidak terpaut padanya berbeza dengan keadaan kita. Bahkan hati Baginda hanya tertumpu kepada ibadah kerana di situ adanya penyejuk mata Baginda.


Setelah itu, saya (Sayyid Abdul Aziz) mendapati al Hafiz al Suyuti rahimahullah menyebut di dalam kitab al Hawi ketika beliau membicarakan hadith ini:


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengungkapkan perkara agama dengan ungkapan yang lebih mendalam berbanding dengan ungkapan Baginda terhadap perkara keduniaan. Baginda menyebut perkara dunia dengan ungkapan 'suka' sedangkan dalam perkara agama, Baginda menyatakan, "Penyejuk mata saya pula dijadikan di dalam sembahyang." Kerana 'penyejuk mata' itu lebih besar maknanya berbanding 'suka' sebagaimana yang kita sedia maklum.[6]

Sumber: http://www.alghomari.com/bohot-wa-aamal/bouhoute_aamale10.html



[1] Kasyful Khafa', al 'Ajluni, hadith no. 1089, hal. 391, jilid pertama, terbitan al Maktabah al 'Asriyyah, Beirut.

[2] At Targhib wat Tarhib, al Hafiz al Munziri, hal. 181, jilid empat, terbitan Dar al Rayyan lit Turath, tahun 1987 (1407).

[3] Surah al Takathur, ayat 1 & 2.

[4] Surah al Qasas, ayat 79 & 80.

[5] Surah al Fajr, ayat 20.

[6] Al Hawi lil Fatawi, al Hafiz Jalaluddin al Suyuti, kitab Nikah, hal. 424, jilid pertama, terbitan Darul Fikr, Beirut.

14 April 2008

Mutiara Ilham Sayyid Abdul Aziz al Ghumari (1)

Oleh: Al 'Allamah al Sufi Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari.



Permasalahan:

Kebanyakan ulama' tafsir telah membicarakan mengenai huruf-huruf hijaiyyah yang terletak pada permulaan surah-surah tertentu. Setiap individu daripada mereka memberikan pendapat mengenainya berdasarkan apa yang zahir menurut ijtihad masing-masing. Namun begitu, ternyata pendapat mereka lebih menjurus ke arah berlebih-lebihan dalam tafsiran huruf-huruf tersebut. Ini adalah kerana mereka telah menceburkan diri dalam perbincangan mengenai perkara yang hanya diketahui rahsianya oleh Allah Ta'ala bahkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sendiri tidak diizinkan oleh Allah Ta'ala untuk menjelaskannya. Kerana itu Imam al Sya'bi dan beberapa ulama' lain berkata: Alif Lam Mim dan semua huruf hijaiyyah yang terdapat pada permulaan surah-surah tertentu merupakan sebahagian daripada mutasyabihat yang hanya diketahui oleh Allah Ta'ala sahaja. Huruf-huruf ini merupakan rahsia al Quran. Kita beriman dengan zahirnya dan menyerahkan ilmu mengenainya kepada Allah Ta'ala.


Imam al Baghawi menukilkan daripada Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq radhiyallahu 'anhu bahawasanya beliau berkata: Setiap kitab memiliki rahsianya yang tersendiri. Maka rahsia Allah yang tersimpan di dalam al Quran adalah permulaan surah-surah tertentu (yang mengandungi huruf-huruf hijaiyyah).[1]


Saya (Sayyid Abdul Aziz) menyatakan: Ini adalah kata putus mengenai tafsiran huruf-huruf hijaiyyah ini dan inilah pendapat yang perlu kita pegang. Selain daripada pendapat ini, maka ia hanyalah bebanan dan berlebih-lebihan dalam pemahaman yang kosong daripada sebarang dalil. Jika Allah Ta'ala ingin menzahirkan rahsia huruf-huruf hijaiyyah ini kepada hamba-hamba-Nya, pastilah perkara ini akan dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Tetapi tiada suatu kenyataan pun yang menjelaskan mengenai perkara ini, maka kita menjadi yakin bahawa ia adalah sebahagian daripada perkara yang hanya diketahui oleh Allah Ta'ala sahaja dan Dia tidak menghendaki perkara ini diketahui oleh sesiapa pun. Antara dalil paling nyata yang menyokong pandangan ini ialah Allah Ta'ala telah mengalihkan keinginan para sahabat daripada bertanya mengenainya sedangkan mereka merupakan golongan yang bersungguh-sungguh bertanya untuk mendapatkan penjelasan tentang sekecil-kecil perkara yang terdapat di dalam al Quran. Apabila Allah Ta'ala menghendaki supaya rahsia-Nya kekal tersimpan rapi, maka Dia mengalihkan keinginan para sahabat daripada bertanya mengenai huruf-huruf hijaiyyah ini. Tidak terdapat pun sebuah hadith yang menyebut bahawa seseorang sahabat bertanya mengenainya. Jika ada, maka ia adalah hadith maudhu' (palsu). Oleh itu, sila ambil perhatian.


Sumber: http://www.alghomari.com/bohot-wa-aamal/bouhoute_aamale10.html



[1] Tafsir al Baghawi, halaman 11, jilid pertama, terbitan Dar Taibah, Riyadh.

13 April 2008

Mereka Bertanya Anda Tentang Keganasan

Oleh: Al 'Allamah al Muhaddith Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari al Hasani.


Sebenarnya bukan isu keganasan yang mencemarkan wajah kaum Muslimin apatah lagi wajah Islam di sisi negara-negara asing sebagaimana yang didakwa oleh golongan yang tidak mengerti hakikat kebenaran. Namun sebenarnya yang mencemarkan wajah mereka pada pandangan dunia di timur mahupun di barat serta menjatuhkan kedudukan mereka bahkan menyebabkan negara-negara ini memandang hina kepada mereka dan tidak mengiktiraf mereka sebagai umat yang perlu wujud adalah kerana cara hidup mereka yang telah terkeluar daripada landasan kemanusiaan apatah lagi landasan Islam serta jauhnya mereka daripada kebiasaan sosial yang disepakati di dunia ini. Kemunduran, kejatuhan dan kemerosotan dalam cara hidup yang tidak bersesuaian dengan cara hidup yang sepatutnya dilalui oleh seorang insan adalah punca mengapa negara-negara asing memandang kaum Muslimin dengan pandangan yang hina, jelik dan tidak peduli sehingga mereka tidak berminat untuk melayani kaum Muslimin dengan cara yang sepatutnya kerana umat Islam pada pandangan mereka telah terkeluar daripada landasan kemanusiaan sebenar. Cara hidup inilah yang menjadikan negara-negara asing memandang umat Islam dengan pandangan sepertimana hari ini. Pandangan yang jauh daripada kemuliaan. Bukannya keganasan yang menjadi sebab sebagaimana yang didakwa oleh golongan yang tidak berpandangan jauh. Ini adalah kerana setiap negara pasti wujudnya penentangan bersenjata yang dilakukan oleh golongan tertentu bertujuan untuk mencapai matlamat mereka. Di Eropah sendiri, wujudnya organisasi Ketenteraan Republik Irish (Irish Republican Army @ IRA) yang bertindak melakukan keganasan sehingga memeningkan kerajaan Britain. Begitu juga di Sepanyol, setiap hari pasti adanya tindakan keganasan yang dicetuskan oleh gerakan ETA (Euskadi 'ta Askatasuna/ Basque Homeland & Freedom) sebagaimana yang kita sedia maklum. Di Perancis pula, kedapatan sebahagian gerakan berhaluan kiri yang melancarkan tindakan keganasan dari semasa ke semasa hanya untuk merealisasikan matlamat mereka. Sama juga di Rusia. Namun begitu, tidak ada pula yang mengatakan bahawa tindakan keganasan yang dilakukan golongan ini mencemarkan kemuliaan negara mereka dan agama anutan mereka yang mengajar supaya berlemah lembut serta tidak bertindak ganas terhadap orang lain sehingga mereka sendiri menyebut perkataan Jesus yang termaktub di dalam Bible: Jika seseorang menampar pipi kanan anda, maka hulurkan pipi kiri anda pula (untuk ditampar)!


Semua tindakan keganasan yang dilakukan oleh golongan-golongan ini tidak pula menjadikan mereka dipanggil pengganas kerana golongan ini dianggap menuntut hak mereka. Sebab itu, negara-negara ini mengajak mereka untuk diadakan rundingan. Justeru, bukan keganasan yang menyebabkan negara-negara asing memandang hina dunia Islam bahkan punca sebenar ialah tingkahlaku umat Islam sendiri dan kemunduran mereka dalam semua perkara. Dari sudut pentadbiran, anda akan dapati keadaan kacau bilau menguasainya sehingga ke peringkat akar umbi dari setiap sudut. Dalam dan luarnya gelap. Siapa yang masuk ke dalamnya bagaikan hilang dan yang keluar daripadanya bagaikan dilahirkan semula. Anda akan dapati pentadbiran dunia Islam tidak memiliki sekelumit hubungan dengan penduduk mereka dalam urusan kebajikan dan kemaslahatan lebih-lebih lagi golongan yang lemah dan memerlukan. Ini berbeza sama sekali dengan tindakan yang dilakukan oleh negara-negara asing tersebut yang mengambil berat kebajikan rakyat mereka sedangkan keprihatinan ini adalah antara faktor ketamadunan sesebuah umat.


Dunia Islam kini ditadbir oleh mereka yang tiada autoriti dan pengalaman tentang tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan terhadap umat Islam sendiri. Kerana itu, anda akan mendapati situasi dunia Islam bergerak dari teruk ke arah yang lebih teruk lagi dan dari kerosakan menuju kerosakan yang lebih besar lagi. Sementara itu, negara-negara asing memerhatikan sahaja keadaan ini sambil terus melancarkan serangan sehinggakan terdapat dua rakyat Holand yang telah memeluk Islam kemudian mereka datang ke Morocco berkata, "Alhamdulillah. Nasib baik kami memeluk Islam sebelum melawat Morocco. Kalaulah kami datang ke Morocco sebelum memeluk Islam, pasti kami takkan memeluk Islam!"


Inilah pandangan rakyat Eropah yang memerhatikan situasi dunia Islam. Tambahan lagi mereka memandang umat Islam kini dalam kesengsaraan, kemiskinan, kesempitan hidup dan pengangguran. Baik yang muda mahupun yang tua. Ditambah pula dengan pembaziran harta yang dilakukan oleh bangsa mereka sendiri sehingga memaksa golongan muda berhijrah ke Eropah untuk mencari peluang pekerjaan. Lebih teruk bagi kita di Morocco ini apabila golongan muda sanggup menaiki sampan yang benar-benar boleh mengancam nyawa mereka hanya kerana ingin mencari secebis roti! Sedangkan pihak pentadbiran di sini (Morocco) pula sibuk memikirkan bagaimana hendak membelanjakan wang yang berjuta hanya untuk menyambut perayaan dan hiburan. Ini tidak terjadi di negara mereka. Kalau ada, pasti berlaku kiamat hanya kerana membiarkan rakyat mereka mati kelemasan di lautan disebabkan sesuap makanan. Dunia Islam tidak menilai bencana ini sedangkan mereka melihat perkara ini sebagai isu yang besar dan kita pula melihatnya kecil saja. Inilah juga yang mendorong negara-negara asing memandang hina dunia Islam kerana pada pandangan mereka umat Islam telah terkeluar daripada martabat kemanusiaan dan berpindah kepada martabat kehaiwanan! Demokrasi di negara-negara Islam hanya tercatat di atas kertas saja, adapun pelaksanaannya adalah mustahil. Sedangkan neraca kemuliaan di sisi negara-negara asing ialah berjalan menurut demokrasi untuk menjaga hak asasi kemanusiaan. Jika demokrasi tiada, maka hilanglah segala perkara yang berkaitan dengan kemuliaan seseorang. Oleh itu, saya berpandangan jika kita ingin mempertahankan seseorang dan mengangkat martabatnya di mata negara-negara lain, maka kita perlu memberitahu mereka bahawa umat Islam hari ini tidak memiliki akhlak Islam dan kerana itu mereka tidak mempunyai hubungan dengan Islam. Maka jangan anda memandang Islam sama seperti pandangan anda terhadap umat Islam kerana Islam berlepas diri daripada mereka (umat Islam) sebagaimana serigala yang berlepas diri daripada tuduhan menumpahkan darah Sayyiduna Yusuf 'alaihissalam.


(Akhbar al Khadhra' al Jadidah, bil. 101, Khamis 29 Disember 1994)



Sumber: http://www.alghomari.com/al_makalate/ar14.html

09 April 2008

Imam Muhammad Khalil al Khatib al Hasani


Sempena sambutan hol Sayyid Muhammad Khalil al Khatib yang akan berlangsung tidak lama lagi, dalam kesempatan ini, sukacitanya saya mempersembahkan secara ringkas biodata guru kami ini yang merupakan pengasas Madrasah Khatibiyyah Syazuliyyah. Terkenal dengan gelaran Penyair Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Selamat berkenalan dengan beliau dari kami ikhwan Khatibiyyah Syazuliyyah Mesir.


Nama, keturunan & gelaran.

Beliau ialah al 'Allamah al Muhaddith al Muhaqqiq al Faqih al Imam al Lughawi Sayyid Muhammad bin Khalil bin Muhammad bin Sayyid bin Ismail bin Ahmad al Khatib bin al Tunajji bin Salim bin Salam bin Salam bin Sa’adullah bin Afandi Muhammad bin ‘Aliyu bin al Bakri bin Ismail bin Muhammad bin Ismail bin al Qasim al Rassi bin Ibrahim Tobatoba bin Ismail bin Ibrahim al Fakhr bin al Hasan al Muthanna bin Imam Hasan al Sibt bin Amirul Mukminin Imam Ali dan Sayyidah Fatimah al Zahra’ binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Terkenal dengan gelaran 'Penyair Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam' di mana gelaran ini diberi oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud yang merupakan Syeikhul Azhar pada waktu itu.

Kelahiran.

Dilahirkan di desa Naidah, markaz Akhmim, muhafazah Suhaj, Republik Arab Mesir pada hari Selasa, 9 Mac 1909 (16 Safar 1327). Beliau merupakan anak tunggal kepada pasangan Sayyid Khalil dan Sayyidah Na'isah.

Pendidikan.

Beliau mula menghafal al Quran semenjak kecil lagi dan berjaya menyelesaikan hafalannya ketika berusia 10 tahun. Setelah itu beliau mula menghafal sebahagian besar matan-matan ilmu sebelum melanjutkan pelajaran di Maahad Suhaj al Dini. Beliau berjaya menamatkan pengajiannya di Maahad tersebut dengan memperoleh Syahadah Ibtidaiyyah pada tahun 1924 (1342) ketika berusia 15 tahun. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah sehingga memperoleh Syahadah Thanawiyyah Azhariyyah pada tahun 1928 (1346) ketika berusia 19 tahun. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti al Azhar al Syarif, Kaherah sehingga berjaya memperoleh ijazah Syahadah 'Alamiyyah pada tahun 1933 (1357) ketika berusia 24 tahun. Kemuncaknya, beliau berjaya memperoleh Syahadah Takhassus (Ph.D) dalam bidang Bahasa Arab pada tahun 1936 (1354) ketika berusia 27 tahun.

Kerjaya.

Selesai menamatkan pengajian di al Azhar al Syarif, beliau telah dilantik menjadi tenaga pengajar di Maahad Ahmadi, Tanta selama 30 tahun sebelum menjawat jawatan sebagai pensyarah Fakulti Usuluddin, Jabatan Dakwah di Universiti al Azhar al Syarif. Selain itu, beliau turut mengadakan majlis pengajian bertempat di Masjid al Muhafazah, Tanta.

Perkahwinan.

Beliau berkahwin dengan Sayyidah Aminah binti Abdul Rahman al Khatib ketika berusia 27 tahun dan dikurniakan Allah dengan lima orang cahaya mata iaitu 4 putera dan seorang puteri. Mereka ialah Muhammad, Mustafa, Mahmud, Ahmad dan Iman.

Mazhab & Masyrab.

Sayyid Muhammad Khalil al Khatib merupakan seorang faqih bermazhab Hanafi. Namun begitu, beliau juga seorang alim lagi faqih dalam mazhab yang empat. Sering kali dalam majlis pengajiannya, beliau akan menjawab persoalan mengenai fiqh dengan mengemukakan pandangan daripada setiap mazhab. Beliau melalui masyrab sufi iaitu Khalwatiyyah dan Syazuliyyah di bawah bimbingan lima orang guru mursyid. Mereka ialah :

1) Sayyid Abdul Jawwad al Dumi, syeikh Tariqat Khalwatiyyah.
2) Sayyid Ali Daud, syeikh Tariqat Syazuliyyah.
3) Sayyid Mahmud Husain Syalabi.
4) Sayyid Abdullah Saad.
5) Sayyid Muhammad al 'Aqqad, syeikh Tariqat Syazuliyyah Fasiyyah Wafaiyyah.

Perkara ini beliau sebutkan dengan jelas di dalam kitabnya yang bertajuk Ithaful Akhyar bi Asohhil 'Aqoidi wal Azkar pada bab Sanad al Khatib. Beliau diizinkan untuk memimpin Madrasah Syazuliyyah Khalwatiyyah pada bulan Mac 1938 bersamaan bulan Muharam 1357 ketika berusia 30 tahun. Oleh yang demikian, beliau merupakan pengasas Tariqat Khatibiyyah Syazuliyyah Khalwatiyyah.

Karya-karya.

Beliau mula aktif dalam bidang penulisan ketika masih menuntut di peringkat menengah lagi. Sepanjang usianya, beliau telah menghasilkan sebanyak 77 buah karya yang merangkumi bidang Tafsir, Hadith, Nahu, Sorof, Balaghah, Sirah, Fiqh, Syair-syair Arab dan artikel-artikel semasa. Kitab yang telah mengharumkan nama beliau di kalangan para ulama' bertajuk Ithaful Anam bi Khutob Rasulil Islam yang menghimpunkan sejumlah 574 khutbah-khutbah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam pelbagai perkara. Beliau menghabiskan masa selama 15 tahun untuk menyiapkan kitab tersebut. Ini menggambarkan kepada kita tentang kesabaran dan ketelitian beliau bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Beliau merupakan contoh terbaik sebagai penulis yang sabar, sasterawan yang kreatif serta pengkaji yang teliti.

Kewafatan.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat, 21 Februari 1986 (12 Jamadil Akhir 1406) dalam usia 77 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Masjid al Muhafazah, Tanta. Semoga Allah meredhai beliau serta membalas jasa-jasa beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.

Bibliografi:

- Nafhatul Qabul fi Sirah Syair ar Rasul, Syeikhuna Sayyid Mahmud Bin Muhammad al Khatib al Hasani, terbitan tahun 1987.
- Ithaful Akhyar bi Asohhil 'Aqoidi wal Azkar, Imam Muhammad Khalil al Khatib al Hasani, halaman 11-13, terbitan tahun 2002.
- Al Qasasul Haq li Sayyidil Khalq, Imam Muhammad Khalil al Khatib, pada muqaddimah, terbitan tahun 2000.
- Gema Negeri Edisi Perdana, ruangan tokoh, Danial Farhan bin Dolmat, terbitan Badan Kebajikan Anak-anak Negeri Sembilan Mesir (BAKANS).

Mempertahankan Diri


Musuh masih lagi menjajah negara kita. Membunuh kaum wanita dan kanak-kanak serta merampas harta benda kita. Oleh itu, memerangi mereka dan berusaha keras untuk mengusir mereka keluar dari tanah air kita serta mengembalikan semula hak milik kita yang dirampas tidaklah dinamakan sebagai tindakan keganasan (terrorisme) menurut syariat Allah Ta'ala. Bahkan ianya tidak bercanggah dengan undang-undang antarabangsa yang menyebut bahawa sesebuah negara itu tidak boleh dijajah dengan menggunakan kekuatan ketenteraan. Dengan mengguna pakai hukum ini juga, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak penubuhannya berusaha untuk mengembalikan negara-negara yang dijajah melalui ketenteraan kepada penduduknya kembali. Namun sayangnya, PBB tidak menggunakan hukum ini dengan adil dan saksama. PBB menjalankan hukum ini ke atas sebahagian negara, tetapi dalam masa yang sama memejamkan sebelah matanya daripada sebahagian negara yang lain pula bahkan membenarkan negara tersebut dijajah melalui kuasa ketenteraan. PBB mengiktiraf penjajahan tersebut sebagaimana yang ditunjukkannya terhadap tindakan Israel bahkan PBB menghukum mana-mana negara yang menentang penjajahan yang dilakukan Israel sebagai pengganas dan melanggar undang-undang antarabangsa. Dengan ini jelaslah kepada kita perbezaan di antara undang-undang Allah Ta'ala yang tidak membezakan sesiapa pun dalam perkara kebenaran dan keadilan sebagaimana firman-Nya yang berbunyi mafhumnya:

Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kamu bersikap adil kerana ianya lebih hampir kepada taqwa. (Surah al Maidah: 8) dengan undang-undang ciptaan manusia yang diatur menurut hawa nafsu dan kepentingan tertentu. Ini merupakan perkara yang sedia maklum mengenai PBB dan Majlis Keamanannya. Akan tetapi apa yang ingin saya rakamkan menerusi artikel ini ialah kenyataan bahawa akal fikiran manusia hari ini telah lenyap di mana neraca yang Allah Ta'ala letakkan untuk menimbang mana yang baik dan mana yang buruk serta mengenal mana yang ma'ruf dan mana yang mungkar telah tiada lagi di sisi mereka. Keadaan ini telah diramalkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ketika Baginda menceritakan tentang umat zaman ini menerusi hadithnya yang berbunyi mafhumnya:

Sesungguhnya akal fikiran umat zaman itu telah lenyap sehingga dikatakan kepada seseorang, "Betapa lucunya apa yang kamu fikirkan!" Tambahan pula hatinya tiada iman walaupun sebesar atom.

Inilah yang terjadi terhadap golongan yang gila ini di mana akal fikiran mereka telah lenyap sehingga ke peringkat menjadi kaki ampu dan pak turut terhadap pemahaman, pemikiran dan ucapan orang lain. Kriteria ini sudah cukup untuk membuktikan kegilaan dan kehilangan fikiran seseorang sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadith. Ini adalah kerana kewajipan orang yang berakal ialah mengukur sesuatu perkara dengan menggunakan pemikirannya sendiri bukan dengan pemikiran orang lain serta memahami sesuatu isu berdasarkan pemikirannya sendiri mengikut kaedah-kaedah yang diterima pakai oleh golongan yang berakal juga. Apabila dia menghukum sesuatu isu, maka hukumannya bukan mengikut hukuman pihak lain secara membuta tuli seolah-olah dia seperti binatang ternakan yang ditarik oleh tuannya kemana saja walaupun ke tempat penyembelihan untuk disembelih, dilapah dan dicincang!


Inilah realiti golongan yang melaung-laungkan bersama pihak musuh Islam bahawa tindakan yang dilakukan oleh para pejuang pembebasan di Palestin dan negara-negara jajahan lain adalah tindakan keganasan terhadap golongan Yahudi Zionis dan melanggar undang-undang! Wahai golongan yang mendakwa memiliki akal fikiran yang waras! Bagaimana tindakan ini boleh dikatakan sebagai keganasan dan pelanggaran undang-undang? Sedangkan para pejuang ini mempertaruhkan nyawa mereka melalui istisyhad (bom berani mati) hanya untuk menewaskan musuh yang menjajah tanah air mereka dan membunuh bangsa mereka yang tidak bersalah sama ada secara individu mahu pun beramai-ramai hatta ketika mereka sedang bersembahyang di Masjidil Aqso padahal kawasan Masjidil Aqso adalah kawasan yang aman dan dilarang daripada penumpahan darah. Katakan kepada saya wahai golongan yang mendakwa memiliki akal yang waras dan pemahaman terhadap politik, siapa sebenarnya pengganas jika diukur menurut akal yang waras dan pandangan yang betul? Adakah golongan yang menjajah Palestin dengan menggunakan kekuatan ketenteraan, mengusir penduduknya yang menderita, membunuh anak-anak yang tidak berdosa secara beramai-ramai mahupun bersendirian, menghalang mereka daripada segala yang mereka miliki sehinggakan tempat tidur sekalipun!! Atau yang dikatakan pengganas itu golongan yang tertindas ini? Yang berjuang bermati-matian mempertahankan negara, keluarga dan harta benda mereka??! Tidak diragui lagi bahawa akal yang waras berpandukan piawaian kebenaran dan keadilan serta tidak menurut telunjuk pihak lain akan mengatakan bahawa pengganas yang sebenar adalah mereka yang merampas tanah air anda. Menghalau anda dari rumah anda sendiri dengan menggunakan senjata yang menggerunkan. Justeru, menjadi kewajipan bagi golongan yang berhadapan dengan penjajahan dan kezaliman ini untuk berjuang dan mempertaruhkan nyawanya bertujuan membebaskan tanah airnya daripada cengkaman penjajah serta mengusirnya sebagaimana mereka diusir dulu. Ketika itu, mereka layak digelar pejuang yang menentang penjajah bahkan syahid sekiranya mereka terbunuh kerana orang yang terbunuh ketika mempertahankan hartanya, maka dia adalah syahid walaupun seluruh penduduk dunia ini memanggilnya sebagai pengganas. Yang penting ialah, penilaian kita melalui akal yang waras dan hati yang murni. Penilaian ini yang diguna pakai. Adapun penilaian orang yang telah lenyap akalnya dan mati jiwanya walaupun dia masih lagi berjalan di muka bumi ini, maka penilaian mereka ini telah terbalik dan menjadi sempit kerana mereka mengikut telunjuk orang lain. Mereka ini tidak ubah seperti keldai yang menanggung kitab-kitab yang tebal namun ia sendiri tidak tahu isi kandungannya. Kita berlindung dengan Allah Ta'ala daripada golongan yang sebegini sifatnya.

* Artikel ini ditulis oleh al 'Allamah al Muhaddith Sayyid Abdul Aziz bin Siddiq al Ghumari al Hasani. Saya telah menterjemahkannya berserta sedikit olahan.

Sumber: http://www.alghomari.com/al_makalate/ar18.html

02 April 2008

April Fool!

Bulan April tiba lagi. Saban tahun, setiap kali tibanya bulan April, pasti ada yang terkena. Terkena sakat, tipu dan sebagainya. Kemudian melaungkan: April Fool!! Sejak kecil lagi saya telah mendengar perkataan ini. Saya masih ingat lagi, ketika kecil dulu saya sering terkena dengan sepupu yang menyakat bila kami bermain bersama. Disakatnya saya sehingga saya merasa cemas dan tiba-tiba dia pun ketawa sambil menjerit: April Fool!! Memang terasa geram bila diperlakukan begitu, namun yalah, kanak-kanak. Rasa geram seketika saja, kemudian saya pun balas semula hehe.. Indah zaman kanak-kanak dulu. Lagi pun saya bukan tahu sangat apa itu April Fool. Yang saya tahu, bila tiba bulan April, masa untuk menyakat dan menipu pun tiba. Kemudian bila dah terkena, jerit: April Fool!!

Bila saya fikir-fikir balik, saya bertanya: Siapa yang 'fool' (bodoh)? Bulan April ke? Atau orang yang kena tipu? Atau orang yang menyakat? Atau semua orang jadi 'fool' (bodoh) bila tiba bulan April? Siapa yang mengasaskan April Fool? Apa tujuannya? Apa faedah yang boleh kita dapat daripada April Fool? Saya berfikir dan berfikir walaupun sebenarnya masalah ini telah ramai yang memperkatakan mengenainya. Kalau di sini (Mesir) kami hanya tahu 'ful' (sejenis kacang merah yang dimakan bersama 'isy) sahaja, tapi 'fool' (bodoh), kami tak tahu. Cuma kesimpulannya, April Fool adalah sambutan yang tidak berasas, merepek bahkan haram! Itu kesimpulan saya secara asas.

Sekarang kita lihat siapa yang mengasaskan April Fool. Saya pernah terbaca mengenai perkara ini, tetapi sayangnya saya terlupa tentangnya. Yang penting secara umum, ia bukan daripada gagasan Islam. Ia dicipta oleh orang bukan Islam. Tak pasti apa tujuannya. Ada pelbagai andaian. Boleh jadi untuk suka-suka atau mengajar kita supaya berbohong dan menyakiti orang lain. Atau mungkin ada tujuan lain selain yang disebutkan tadi. Namun kebiasaannya, orang akan menggunakan April Fool dengan tujuan untuk mengenakan orang lain melalui gurauan yang melampau diselangi dengan penipuan. Kemudian bila dah terkena, mesti jerit: April Fool!!

Apa faedahnya kita sambut April Fool? Adakah ia boleh mengeratkan ukhuwah? Atau boleh memberi ruang kepada kita seluas-luasnya untuk menipu dan menyakat orang lain? Maklumlah, kita hanya berpeluang menipu sepuas-puasnya dalam bulan April sahaja walaupun kita sebenarnya selalu menipu dan menyakat orang lain.

Daripada pernyataan-pernyataan di atas, saya terus membuat kesimpulan mudah tanpa ragu-ragu: April Fool haram. Kenapa saya kata begini? Kerana sebab-sebab berikut:

1) April Fool diasaskan oleh orang bukan Islam. Maka bererti ia bukan daripada ajaran Islam. Dengan erti kata lain, ia adalah bid'ah sesat yang haram. Maka April Fool adalah haram.
2) Jika kita melihat tujuan April Fool disambut, kita akan dapati ia hanya untuk menyakat dan menipu serta bergurau secara melampau. Tujuan sudah salah, maka apatah lagi sambutan April Fool itu sendiri. Bila kita menyakat orang lain sehingga melukakan hatinya bererti kita telah berlaku zalim. Bila kita menipu, bererti kita telah melakukan dosa. Bila kita bergurau secara melampau, maka kita telah melampaui batas gurauan yang diharuskan. Zalim, penipuan dan gurauan secara melampaui batas adalah perkara yang ditegah oleh Islam. Tidak salah bergurau, tetapi berpada-pada. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pun bergurau juga. Tetapi kita lihat Baginda bergurau dengan nada yang sopan, tidak melukakan hati orang lain dan tidak menipu. Maka adakah wajar kita bergurau dengan nada yang sinis sehingga melukakan hati orang lain sambil menipu pula?? Sekali lagi, April Fool haram..
3) Tiada faedah yang boleh kita dapat melalui sambutan April Fool. Adakah ia boleh mengeratkan ukhuwah? Adakah dengan menyakat, menipu dan bergurau berlebihan boleh mengukuhkan tali persahabatan? Sudah tentu tidak bahkan ia hanya mengundang keretakan hubungan! Islam adalah agama ukhuwah. Islam mengharamkan apa jua perkara yang boleh membawa kepada keretakan hubungan dan perpecahan. April Fool hanya menyebabkan perpecahan. Maka April Fool haram. Ada orang kata: Ini saja lah bulan untuk kita menipu dan menyakat orang. Benarkah begitu? Adakah zalim dan penipuan itu boleh dilakukan dalam bulan-bulan tertentu? Sudah tentu tidak. Orang yang tak belajar agama saja yang cakap begini. Sebab itu, dia menipu dan menyakat orang lain sepuas-puasnya sambil menjerit: April Fool! April Fool!! Sedangkan dia adalah 'fool' (bodoh). Allah mengharamkan kezaliman dan penipuan sepanjang masa tanpa pengecualian. Maka adakah wajar kita melanggar batas yang Allah tetapkan walaupun seketika?! April Fool haram..
4) Siapa yang 'fool' (bodoh)? Biar saya bagi jawapan: Bukan bulan April sebab bulan April tidak terlibat dalam kes ini. Bukan yang kena tipu atau disakat kerana dalam konteks ini kita katakan dia dizalimi. Jadi yang 'fool' (bodoh) adalah orang yang mengasaskan sambutan ini diikuti orang yang menyambutnya dan orang yang menyokongnya. Mereka ini adalah 'fool' (bodoh) tahap maksimum. Tidak memberi faedah langsung. Kalau 'ful' (kacang merah) ada juga faedah. Boleh dimakan. Tetapi mereka ini, tiada faedah yang boleh kita ambil. April Fool haram..

Daripada sebab-sebab yang saya kemukakan tadi, nyata kepada kita hakikat April Fool. Suka saya timbulkan persoalan: Mengapa kita mudah sangat terikut-terikut cara orang lain yang tidak seagama dengan kita? Apa agama kita tidak cukup sempurna kah? Mengapa kita mudah sangat meniru tindakan orang lain tanpa memikirkan baik buruknya tindakan tersebut? Kita dikurniakan akal untuk berfikir. Kemudian al Quran dan Sunnah sebagai panduan akal dalam menilai sesuatu perkara. Maka gunakan akal kita sebaik-baiknya. Jangan jadi 'fool' (bodoh) sangat. Kesimpulannya: NO APRIL FOOL!!