04 Julai 2008

Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari


Nama dan keturunan


Beliau ialah al Imam al 'Allamah al Hafiz al Muhaddith al Usuli al Muhaqqiq al Mudaqqiq Abul Fadhl Sayyid Abdullah bin Muhammad bin Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin al Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Mukmin bin Ali bin al Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa'id bin Mas'ud bin al Fudhoil bin Ali bin Umar bin al 'Arabi bin 'Allal (Ali menurut bahasa Maghribi) bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Maulana Idris al Asghor bin Maulana Idris al Akbar bin Abdullah al Kamil bin al Hasan al Muthanna bin Imam al Hasan al Mujtaba bin Amirul Mukminin Imam Ali karamallahu wajhah dan Sayyidah Fatimah al Zahra' 'alaihassalam binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.


Berkata Sayyid Abdullah al Ghumari di dalam kitab beliau yang berjudul Sabilut Taufiq dan Bida'ut Tafasir :


Inilah susur galur keturunan kami yang popular di kalangan keluarga kami yang menetap di wilayah Ghumarah dan selainnya.


Kelahiran


Beliau dilahirkan di bandar Tonjah (Tangier), Morocco pada hujung bulan Jamadil Akhir atau awal bulan Rejab tahun 1328 Hijrah (1910 Masihi)


Latar belakang keluarga


Sayyid Abdullah al Ghumari dilahirkan di kalangan keluarga yang terkenal dengan ketaqwaan, keilmuan, kesolehan dan kemuliaan ditambah dengan kesucian keturunan.


Ayahanda beliau, Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari merupakan syeikh para ulama' Morocco. Beliau telah mengasaskan Zawiyah Siddiqiyyah yang berjaya melahirkan ramai ulama' yang berwibawa.


Datuk beliau sebelah ibu, Sayyid Ibnu 'Ajibah al Hasani merupakan seorang ulama' yang tidak asing lagi. Beliau merupakan pengarang kitab tafsir yang berjudul Bahrul Madid fi Tafsir al Quran al Majid dan kitab Iqozul Himam yang merupakan huraian kepada kitab Hikam Ibnu 'Atoillah al Sakandari.


Abang beliau, Sayyid Ahmad al Ghumari merupakan seorang tokoh hadith yang terkemuka sehingga mencapai martabat al Hafiz. Beliau juga telah menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi sehingga mencecah ratusan buah. Sebahagiannya masih lagi tersimpan dalam bentuk tulisan tangan di Darul Kutub al Misriyyah.


Adik-adik beliau, Sayyid Muhammad al Zamzami, Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy, Sayyid Ibrahim dan Sayyid Hasan pula merupakan tokoh-tokoh muhaddithin dan muhaqqiqin. Di kalangan mereka ada yang muncul sebagai pakar tafsir, usul fiqh, hadith dan ilmu-ilmu yang lain. Namun keluarga al Ghumari lebih terkenal dengan ketokohan dan kepakaran mereka dalam bidang hadith di wilayah Tangier sebagaimana keluarga al Kittani yang juga terkenal dalam bidang hadith di wilayah Fas (Fez).


Latar belakang pendidikan


Sayyid Abdullah al Ghumari memulakan pendidikan seawal usia lima tahun. Ayahandanya memasukkan beliau ke pondok dengan tujuan untuk menghafal al Quran. Lalu beliau mula menghafal al Quran dengan bacaan riwayat Warasy. Setelah itu, beliau menghafal pula al Quran dengan bacaan riwayat Hafs.


Di samping itu, beliau turut menghafal sebahagian besar matan-matan ilmu seperti matan Maurid al Zomaan, matan al Arba'in al Nawawiyyah, matan al Ajurumiyyah, Alfiyyah Ibnu Malik, Bulughul Maram dan Mukhtasor Khalil bin Ishaq dalam fiqh mazhab Malikiyyah.


Setelah itu, dengan perintah ayahandanya beliau bermusafir ke wilayah Fez untuk menyambung pengajian di Masjid al Qurowiyyin yang merupakan pusat pengajian terkemuka di Morocco. Beliau menetap di situ selama lebih kurang 6 bulan. Kemudian beliau pulang semula ke Tangier dan setelah itu beliau kembali menyambung pengajiannya di Fez. Antara subjek yang beliau pelajari di al Qurowiyyin:


1) Nahu: Alfiyyah Ibnu Malik dengan Syarh Ibnu 'Aqil dan Hasyiah al Suja'i. Juga Syarh al Makudi dengan Hasyiah Ibnu al Haaj.


2) Fiqh: Mukhtasor Khalil bin Ishaq dengan Syarh al Khurosyi. Juga sebahagian besar Syarh al Zurqoni dan Syarh al Dirdir daripada bab al-Ijarah sehingga habis.


3) Hadith: Sohih al Bukhari dengan Syarh al Qostollani dan Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah dengan Hasyiah al Syinwani.


4) Tafsir: Tafsir al Jalalain dengan Hasyiah al Sowi.


5) Tauhid: Kitab al Tauhid susunan Imam Ibnu ‘Asyur.


6) Usul Fiqh: Jam'ul Jawami' dengan Syarh Jalaluddin al Mahalli.


7) Mantiq: Al Sullam dengan Syarh al Quwaisani.


Beliau juga turut mendalami bidang-bidang ilmu yang lain daripada guru yang pelbagai.


Setelah menamatkan pengajian di al Qurowiyyin, beliau pulang ke Tangier untuk meneruskan pengajian di Zawiyah Siddiqiyyah di bawah seliaan ayahandanya sambil mengajar para pelajar di zawiyah tersebut. Dalam tempoh ini juga, ayahandanya memberikan galakan supaya beliau mula menulis. Lalu beliau mula meringkaskan kitab Irsyadul Fuhul Ila Tahqiq al Haq fi 'Ilmi al Usul karangan Imam al Syaukani di samping menulis huraian matan Al Ajurumiyyah dalam ilmu Nahu. Setelah selesai mengarang huraian ini, beliau membentangkannya kepada ayahandanya untuk disemak dan diedit. Kemudian, abangnya Sayyid Ahmad al Ghumari menamakan huraian ini dengan judul Tashyidul Mabani Litaudhih Ma Hawathul Muqoddimah al Ajurumiyyah Minal Haqoiq wal Ma'ani. Semua ini beliau lakukan ketika masih lagi berusia belasan tahun.


Ketika berusia 21 tahun, dengan izin ayahandanya beliau bermusafir ke Mesir bersama abangnya Sayyid Ahmad dan adiknya Sayyid Muhammad al Zamzami bagi melanjutkan pengajian di al Azhar al Syarif. Di Mesir, bintang beliau sebagai seorang ilmuwan lebih-lebih lagi sebagai seorang muhaddith mula menyinar. Dengan galakan daripada rakan-rakan yang mengenali kewibawaannya, beliau menduduki peperiksaan Syahadah 'Alimiyyah Khassah dalam 12 subjek iaitu Usul Fiqh, Ma'ani, Bayan, Badi', Nahu, Sorf, Tauhid, Mantiq, Hadith, Mustolah Hadith, Fiqh dan Tafsir. Dalam peperiksaan ini, beliau memperolehi kejayaan yang cemerlang. Setelah itu, beliau sekali lagi menduduki peperiksaan Syahadah 'Alimiyyah al Azhariyyah dalam subjek yang sama seperti peperiksaan yang lalu. Cuma ditambah 3 subjek lagi iaitu ilmu al-Wadh'u, 'Arudh Qafiah dan Tasawwuf. Dalam peperiksaan ini juga, beliau beroleh kejayaan yang cemerlang dan berita kejayaan beliau disiarkan menerusi akhbar al Ahram sehinggakan Syeikh Mahmud Syaltut yang ketika itu merupakan wakil Fakulti Syariah al Azhar al Syarif berkata:


Kita mengucapkan tahniah kepada peperiksaan Syahadah 'Alimiyyah al Azhariyyah kerana ianya telah diambil oleh Syeikh Abdullah yang sememangnya datang dari negaranya dalam keadaan alim.


Berkata Sayyid Abdullah al Ghumari:


Pada asalnya, saya bermazhab Maliki. Kemudian saya berpindah ke mazhab Syafi'i. Apabila saya telah memiliki kelengkapan ijtihad, maka saya mula berijtihad tanpa terikat pada mana-mana mazhab. Namun begitu, apabila saya diminta untuk memberikan fatwa, kebiasaannya saya akan berfatwa berdasarkan mazhab Maliki atau Syafi'i kerana saya tidak ingin orang ramai terikat dengan pandangan saya kecuali dalam perkara-perkara yang benar-benar jelas dalilnya.


Kerjaya


Setelah menamatkan pengajian, beliau mula mengajar di Masjid al Azhar al Syarif dalam ilmu Nahu, Mantiq, Usul Fiqh dan Balaghah.


Di samping itu, beliau turut menyumbangkan karya-karya ilmiah kepada majalah-majalah yang pelbagai antaranya:


1) Majalah Hadyu al Islam.

2) Majalah al Irsyad.

3) Majalah al Robitoh al Islamiyyah.

4) Majalah al Syarq al 'Arabi.

5) Majalah Nasyr al Fadhoil wal Adab al Islamiyyah.

6) Majalah al Wasilah.

7) Majalah al Muslim yang diterbitkan oleh 'Asyirah Muhammadiyyah.


Selain itu, beliau juga aktif mengarang pelbagai kitab ilmiah yang bernilai terutama di dalam bidang hadith di samping mentahqiq beberapa kitab turath.


Hubungan beliau dengan pertubuhan & gerakan Islam di Mesir


Sayyid Abdullah al Ghumari sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa pertubuhan dan gerakan Islam di Mesir antaranya:


1) Pertubuhan al Hidayah al Islamiyyah yang dipimpin oleh Syeikh Muhammad al Khidr al Husain al Tunisi, salah seorang Syeikh al Azhar.

2) Al 'Asyirah al Muhammadiyyah di mana beliau merupakan salah seorang panel fatwa dan ahli jawatankuasa pertubuhan ini yang diasaskan oleh al Muhaddith Sayyid Muhammad Zakiyyuddin Ibrahim.

3) Pertubuhan Nasyr al Fadhoil wal Adab al Islamiyyah.

4) Pertubuhan al Robitoh al Islamiyyah.

5) Gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam al Syahid Hasan al Banna. Sayyid Abdullah al Ghumari berkata: Saya mempunyai hubungan yang erat dengan al Ustaz Hasan al Banna, pemimpin gerakan al Ikhwanul Muslimun dan ayahandanya al Ustaz Ahmad Abdul Rahman, pemilik sanad-sanad yang banyak di mana kami seringkali berhubung dan saling ziarah menziarahi.

6) Pertubuhan wanita yang diasaskan oleh Sayyidah Zainab al Ghazali. Sayyid Abdullah al Ghumari sering menyampaikan pengajian mingguan beliau di pusat pertubuhan ini.


Guru-guru beliau


Sayyid Abdullah al Ghumari memiliki seramai 62 orang guru sebagaimana yang disebut oleh beliau sendiri. Antaranya:


1) Ayahanda beliau sendiri, Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari al Idrisi al Hasani.

2) Abang beliau, al Hafiz Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Siddiq al Ghumari.

3) Sayyid Ahmad Rafi’ al Tohtowi, musnid negara Mesir.

4) Al ‘Allamah al Muhaddith Muhammad Zahid al Kauthari.

5) Al ‘Allamah Syeikh Muhammad Duwaidar al Kafrawi al Talawi al Syafi’i.

6) Al ‘Allamah al Faqih al Usuli Syeikh Muhammad al Tohir bin ‘Asyur al Tunisi.

7) Al ‘Allamah Syeikh Abdul Baqi al Ansori al Laknawi al Madani.

8) Muhaddith al Haramain Syeikh Umar Hamdan al Mahrasi al Tunisi.

9) Al ‘Allamah Syeikh Abdul Wasi’ bin Yahya al Wasi’i al Yamani.

10) Al ‘Allamah al Faqih Muhsin bin Nasir Bahrobah al Hadhrami.

11) Al ‘Allamah al Faqih al Musnid Abdul Qadir bin Taufiq al Syalabi al Tarablasi al Hanafi.

12) Al ‘Allamah al Faqih Muhammad bin Muhammad al Halabi al Misri al Syafi’i.

13) Al ‘Allamah Muhammad Imam bin Ibrahim al Saqa.

14) Syeikh Darul Hadith Damsyiq al Muhaddith Badruddin Muhammad bin Yusuf al Hasani.

15) Sayyidah al Musnidah Ummul Banin Aminah binti Abdul Jalil bin Salim al Dimasyqiyyah.

16) Al Muhaddith al ‘Allamah Sayyid Muhammad Ja’afar al Kittani al Fasi.

17) Al 'Allamah Sayyid al Habib al Muhaji.

18) Al 'Allamah Muhammad al Haj al Sulami al Mirdasi.

19) Al 'Allamah Ahmad bin al Jilani al Amghori.

20) Al Qadhi Sayyid al Husain al 'Iraqi.

21) Al Qadhi al 'Abbasi bin Abu Bakar al Bunani.

22) Al 'Allamah Sayyid al Radhi al Hinsyi.

23) Al 'Allamah Sayyid Ahmad al Qadiri.

24) Al 'Allamah Syeikh Muhammad Bakhit al Muti'i al Hanafi, mufti kerajaan Mesir.

25) Al 'Allamah Syeikh Syu'aib bin Abdul Rahman al Dukkali.

26) Ayatullah Hibatullah al Husaini al Imami.


Dan lain-lain lagi di beberapa negara Islam seperti Mekah al Mukarramah, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Sudan dan Qatar.


Murid-murid beliau


Antaranya:


1) Adik-adik beliau sendiri Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy, Sayyid Hasan, Sayyid Ibrahim dan Sayyid Muhammad al Zamzami.

2) Al ‘Allamah Syeikh Muhammad al Hamid al Hamawi.

3) Al ‘Allamah Syeikh Abdul Aziz ‘Uyun al Sud al Himsi.

4) Al ‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah al Halabi.

5) Al ‘Allamah Syeikh Muhammad ‘Awwamah al Halabi.

6) Al ‘Allamah Syeikh Muhammad Ali al Murad al Hamawi.

7) Dr. Abdul Wahhab Abdul Latif.

8) Dr. Ali Juma’ah al Misri, Mufti Republik Arab Mesir sekarang.

9) Sayyid Soleh al Ja’afari, Imam Besar Masjid al Azhar suatu ketika dahulu.

10) Syeikh Hamdi Aslan al Albani.

11) Dr. Mahmud Sa’id Mamduh al Misri.

12) Syeikh Mahmud Hasan al Syeikh.

13) Dr. Hanafi Hasanain.

14) Syeikh Husain al Batanuti.

15) Dr. Faruq Hammadah.

16) Dr. Muhammad Fuad al Barazi dan ramai lagi dari seluruh pelusuk dunia.


Karya-karya beliau


Sayyid Abdullah al Ghumari telah menghasilkan pelbagai karangan yang bermutu tinggi hingga mencecah sebanyak 81 buah dalam pelbagai bidang ilmu terutama ilmu Hadith sehinggakan seorang ulama’ dari Madinah al Munawwarah pernah menulis dalam sepucuk surat yang dikirimkan kepada Sayyid Abdullah al Ghumari:


Kami menyangka tiada lagi ulama’ Hadith di Mesir dan Timur selain Syeikh Muhammad Rasyid Ridho dan Syeikh Ahmad Syakir. Namun setelah kami membaca hasil kajian dan semakan-semakan tuan di dalam bidang Hadith, maka kami mengatakan tuan adalah orang yang ketiga!


Antara karya-karya beliau mengikut susunan bidang ilmu:


a) Usuluddin:


1) Itqanus Sun'ah fi Tahqiq Ma'na al Bid'ah.

2) Irsyadul Jahil al Ghobiy Ila Anna Adam Nabiy.

3) Irgham al Mubtadi' al Ghobiy bi Jawaz al Tawassul Bin Nabiy.

4) Al Tahqiq al Bahir fi Ma'nal Iman Billah wal Yaum al Akhir.

5) Ithaful Azkiya' bi Jawaz al Tawassul Bil Anbiya' wal Auliya'.

6) Iqomatul Burhan fi Nuzul 'Isa Akhiraz Zaman dan lain-lain lagi.


b) Ulum al-Quran:


1) Al Ihsan Fi Ta'aqqub al Itqan.

2) Bida'ut Tafasir.

3) Bayan Sohih al Aqowil fi Tafsir Ayat Bani Israil.

4) Taudhihul Bayan Liwusul Thawab Al Quran.

5) Zauqul Halawah Bi Bayan Imtina' Naskh al Tilawah.

6) Al Ru'ya fil Quran was Sunnah dan lain-lain lagi.


c) Ulum Hadith:


1) Al Ahadith al Muntaqah fi Fadhoil Sayyidina Rasulillah .

2) Al Arba'un al Siddiqiyyah.

3) Al Arba'un al Ghumariyyah.

4) Asanid al Kutub al Sab'ah fil Hadith.

5) Nihayatul Amal fi Sihhah wa Syarh Hadith 'Ardh al 'Amal dan lain-lain lagi.


d) Fiqh dan Usul Fiqh:


1) Husnut Tafahum wad Dark fi Masalah al Tark.

2) Al Adillah al Rojihah 'ala Fardhiyyah Qiraatil Fatihah.

3) Al Istiqso' Li Adillah Tahrim al Istimna'.

4) 'Ilam al Roki' was Sajid bi Ma'na Ittikhozil Qubur Masajid dan lain-lain lagi.


Juga beberapa karangan lain lagi yang agak banyak untuk disenaraikan di sini dalam pelbagai bidang ilmu. Sesiapa yang membaca setiap karangan beliau, pasti merasa kagum dengan ketinggian ilmu beliau yang menunjukkan keluasan kajian beliau ditambah dengan kekuatan dalil yang dikemukakan dalam setiap masalah yang beliau bentangkan apatah lagi beliau merupakan seorang pakar hadith yang telah mencapai martabat al Hafiz. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa Sayyid Abdullah al Ghumari sememangnya seorang tokoh ilmuwan yang hebat bagi sesiapa yang meneliti karangan beliau dengan pandangan yang saksama tanpa sebarang perasaan taksub.


Ujian hidup yang ditempuhi


Sayyid Abdullah al Ghumari pernah dipenjarakan pada zaman pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasir atas tuduhan mengintip bagi pihak Perancis sedangkan ini merupakan suatu tuduhan palsu melalui perancangan beberapa pihak tertentu yang merasa tergugat dengan kelantangan dan keberanian beliau. Pada asalnya, beliau dijatuhkan hukuman mati, namun setelah mahkamah mendapati beliau tidak bersalah, beliau dikenakan hukuman penjara selama 11 tahun bermula daripada 15 Oktober 1959 hingga 26 Disember 1969. Walaupun berada dalam penjara, ia tidak menghalang beliau untuk mengarang beberapa karya yang tidak kurang hebatnya.


Kepulangan ke Morocco dan kewafatannya.


Setelah keluar dari penjara, beliau pulang ke Morocco bagi meneruskan perjuangan dalam bidang ilmu. Sayyid Abdullah al Ghumari telah berada di Mesir selama 40 tahun dan beliau pulang ke tanah airnya untuk menabur bakti buat anak bangsanya di samping meneruskan kelangsungan Madrasah Siddiqiyyah yang telah diasaskan oleh ayahandanya. Setelah menabur bakti di Morocco selama lebih kurang 23 tahun, akhirnya beliau menyahut panggilan Ilahi pada hari Khamis 19 Sya'aban 1413 Hijrah (11 Februari 1993) dalam usia 85 tahun. Jenazah beliau disemadikan bersebelahan pusara ayahanda dan bondanya yang terletak di Madrasah Siddiqiyyah. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh beliau serta membalas amalan beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.

Pujian para ulama' terhadap beliau.


1) Ayahanda beliau sendiri memuji beliau dengan menyifatkan beliau sebagai seorang yang memiliki kefahaman yang baik. Dalam sepucuk surat yang diutus oleh ayahandanya kepada beliau, menyebut:


Engkau adalah seorang yang faqih, sufi dan muhaddith.


2) Abang beliau, Sayyid Ahmad al Ghumari ketika menulis muqaddimah untuk kitab beliau yang bertajuk Nihayatul Amal menyebut:


Gaya bahasa dan pena anda dalam kitab ini seperti gaya bahasa dan pena al Hafiz al Zahabi.


3) Ketika sahabat baik beliau Syeikh Abdul Majid al Lubban yang merupakan Dekan Fakulti Usuluddin al Azhar menziarahi beliau bersama beberapa orang pensyarah yang lain, Syeikh Abdul Majid berkata kepada para pensyarah yang hadir bersamanya:


Kamu tahu siapa pemuda ini? Ini adalah pemuda yang tiada tandingannya dalam ilmu Hadith!


4) Prof. Dr. al Bahi al Khuli berbicara tentang Sayyid Abdullah:


Yang mengkagumkan saya ialah ilmu beliau sentiasa hadir. Apabila ditanya tentang sesuatu perkara, beliau akan terus menjawabnya. Berbeza dengan ulama' al Azhar yang lain. Apabila ditanya, mereka tidak akan menjawab kecuali selepas merujuk kitab.


5) Wartawan Abul Khair Najib berkata:


Sayyid Abdullah adalah perbendaharaan ilmu.


Silsilah saya yang sampai kepada beliau.


Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala saya dikurniakan nikmat untuk menjalinkan hubungan dengan Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari melalui rantaian sanad berupa ijazah umum dan hadith-hadith musalsal. Secara umum, saya meriwayatkan silsilah-silsilah ini daripada dua orang guru yang saya kasihi iaitu al Muhaddith Sayyid Muhammad Ibrahim al Kittani al Husaini yang merupakan salah seorang murid kanan al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari dan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki. Semoga Allah Ta'ala menghimpunkan kita semua bersama-sama para kekasih-Nya. Amin.


Bibliografi:


- As Sayyid Abdullah al Ghumari: al Hafiz al Naqid, Prof. Dr. Faruq Hammadah, cetakan tahun 2006, terbitan Darul Qalam, Damsyik.

- Bida'ut Tafasir, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari, terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari, bahagian kedua, cetakan pertama 1419 (1998), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

Terpedaya Dalam Beragama

Berpegang dengan agama adalah perkara yang dituntut. Menganut sesebuah agama menuntut kita untuk berpegang dengan ajaran agama tersebut lebih-lebih lagi jika agama yang dianuti adalah agama yang benar.


Islam, sebagai sebuah agama yang benar menuntut penganutnya agar berpegang teguh dengan ajaran-ajarannya kerana Islam bukan sekadar sebuah agama biasa yang menitikberatkan amalan mahupun upacara tertentu bahkan Islam adalah sebuah cara hidup yang lengkap. Ibadah yang sempurna, muamalah yang mesra, pemerintahan yang saksama dan perundangan yang waja merupakan intipati kesempurnaan, keseimbangan dan keabadian yang ditekankan oleh Islam. Justeru itu, kita sebagai umat Islam dituntut untuk merealisasikan intipati tersebut dengan memanifestasikannya dalam kehidupan.


Namun, kadangkala di kalangan kita ada yang terpedaya dalam berpegang dengan Islam. Kita menyangka kononnya telah beramal dengan Islam yang sebenar, rupa-rupanya kita terpedaya dengan diri sendiri. Jika tersedar, itu yang terbaik. Tetapi yang menggusarkan ialah jika kita tidak menyedari bahawa kita telah terpedaya. Terpedaya lalu merasa bangga dengan diri sendiri kerana kononnya telah berpegang teguh dengan Islam adalah penyakit yang menimpa umat Islam mutakhir ini. Ada orang mendakwa dia telah beramal dengan Islam, tetapi hakikatnya pengamalan itu hanya berbentuk zahir semata-mata atau secara mendatar tanpa menyelam ke lubuk dasar intipati Islam sebenar.


Menerusi entri kali ini, saya ingin mengajak sidang pembaca untuk kita bersama-sama memahami hakikat terpedaya dalam beragama. Untuk lebih jelas, kita perlu memahami ciri-ciri mereka yang terpedaya dengan agama, faktor-faktor, kesan-kesan dan penyelesaiannya.


Hakikat.


Natijah daripada sikap ini adalah buruk jika tidak dicegah. Apabila sikap ini berterusan, maka ia melahirkan penyakit hati yang sangat berbahaya iaitu bermegah-megah dengan amalan sendiri. Kemudian setelah itu, akan muncul lagi penyakit-penyakit hati yang lebih berbahaya sebagaimana yang akan kita lihat bersama nanti.


Dalam konteks ini, kita perlu memahami dua hakikat penting yang berkait rapat dengan sikap terpedaya dalam beragama iaitu:


1) Jika kita berhadapan dengan individu yang pada pandangan kita adalah seorang yang kuat agama, namun kita melihat dia terpedaya dengan kekuatan agamanya itu maka ini adalah hakikat pertama yang tidak perlu menimbulkan sebarang kehairanan dalam diri kita. Ini adalah kerana, walau setinggi manapun kekuatan agama yang ditonjolkan oleh seseorang, dia tetap seorang manusia biasa. Dia bukan Nabi, Rasul atau Malaikat yang dipilih oleh Allah Ta'ala dengan sifat maksum. Kita berhadapan dengan hakikat ini bila kita mengimbau kembali sirah. Bukankah para sahabat radhiyallahu 'anhum merupakan generasi terbaik? Generasi yang dididik oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Namun, cuba kita renung kembali pada ayat-ayat al Quran yang menjelaskan tentang hukuman zina, mencuri, meminum arak dan sebagainya. Apakah sebab nuzul ayat-ayat ini? Pada zaman siapakah ayat-ayat ini diturunkan? Kita boleh menjawabnya sendiri. Kalau ini berlaku di kalangan sahabat, suatu generasi terbaik yang jikalau tanpa mereka, kita tidak mungkin menghirup udara segar ajaran Islam, bagaimana pula dengan kita yang bukan sahabat?? Bahkan para sahabat itu telah dijanjikan rahmat dan keampunan daripada Allah Ta'ala. Kita pula bagaimana?? Ini hakikat pertama yang perlu kita fahami.


2) Maksiat itu sama ada berbentuk zahir atau batin. Namun maksiat batin itu lebih berbahaya dan jarang-jarang di kalangan kita yang terlepas daripada bahaya ini. Kerana itu, kita perlukan tasawuf yang berperanan untuk mendidik hati agar berakhlak dengan akhlak-akhlak Rabbani. Tasawuf sejati adalah yang memainkan peranan untuk membersihkan hati dan memurnikan akhlak. Bukan tasawuf yang difahami oleh sesetengah pihak, tertumpu hanya pada zikir semata-mata. Inginkan kasyaf, ilham dan makrifat. Tetapi tasawuf yang menatijahkan akhlak yang murni. Berapa ramai yang bertarikat tasawuf kononnya, tetapi dia juga termasuk dalam topik perbincangan kita ini: Terpedaya dengan amalannya. Oleh itu, apabila kita meneliti al Quran kita temui perbezaan ketara antara dosa Sayyiduna Adam 'alaihissalam dan dosa Iblis la'natullah. Dosa Sayyiduna Adam 'alaihissalam berbentuk zahir. Kerana itu Allah Ta'ala mengampunkan Baginda. Adapun dosa Iblis, ia berpunca daripada sikap terpedaya dengan diri sendiri. Dia menyangka dirinya adalah yang terbaik kerana dicipta daripada api. Pada pandangannya, api lebih baik daripada tanah. Lalu sikap ini menatijahkan sifat yang lebih buruk lagi iaitu bermegah-megah dengan diri sendiri, takbur dan sombong lalu dia pun enggan sujud kepada Sayyiduna Adam 'alaihissalam. Inilah hakikat kedua.


Ciri-ciri Mereka Yang Terpedaya Dalam Beragama.


Melalui ciri-ciri ini, kita boleh mengenal pasti golongan yang telah ditimpa penyakit 'terpedaya dalam beragama'. Ciri-cirinya ialah:


1) Kepercayaan kepada prinsip: Hanya aku sahaja yang benar.


Orang yang memiliki ciri ini melihat hanya diri sendiri yang benar, orang lain salah. Hanya dia yang bagus amalannya, orang lain tak bagus. Bila berbicara, hanya bicaranya sahaja yang terbaik. Bila memberi pandangan, hanya ideanya saja yang bernas. Jika dia berhadapan dengan idea orang lain yang lebih baik bahkan disokong oleh dalil dan fakta, dia memandang kecil dan jijik idea tersebut kerana pada pandangannya, ideanya tidak mungkin mengalami sebarang kesalahan. Maksum!


2) Mudah bergembira dengan amalan ketaatan walaupun sedikit.


Bila dia melakukan ketaatan, dia tidak melakukannya dengan perasaan bimbang dan takut jika amalan ini tidak diterima Allah Ta'ala. Bahkan dia merasa gembira dengan amalannya walaupun sedikit. Tidak salah bergembira, tetapi yang salahnya ialah terlalu bergembira dengan amalan kecil sehingga merasa aman daripada perasaan bimbang dan takut kalau Allah Ta'ala tidak menerima amalan tersebut. Imam Ibnu 'Atoillah al Sakandari radhiyallahu 'anhu mengungkapkan menerusi hikamnya:


Di antara tanda pergantunganmu pada amalan; Kurangnya harapan ketika wujudnya kecacatan (pada amalanmu).[1]


Orang yang begini sifatnya, merasa yakin dengan amalan ketaatan yang dilakukan walaupun sedikit dan mudah merasa gembira. Dia tertipu dengan amalannya sendiri dan kerana itu apabila dia meninggalkan amalan yang biasa dilakukan sekali-sekala, dia masih merasa biasa. Seolah-olah amalan yang biasa dilakukan sebelum ini, kesemuanya diterima oleh Allah Ta'ala. Tiada bimbang, gusar dan takut kalau Allah Ta'ala tidak menerima amalannya sebelum ini.


3) Memandang remeh perkara maksiat.


Apabila dia melakukan maksiat walaupun kecil, dia hanya memandang remeh perkara tersebut seolah-olah ia adalah perkara biasa. Sekadar dosa kecil yang boleh dihapuskan dengan sembahyang dua rakaat. Si miskin ini terlupa bahawa boleh jadi sembahyangnya itu tidak diterima Allah Ta'ala. Berapa banyak pula dosa kecil yang mengundang dosa besar?! Firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Maka janganlah kamu terpedaya dengan (keindahan) kehidupan dunia dan janganlah kamu terpedaya dengan Allah. [Luqman: 33]


Ertinya jangan kamu terpedaya dengan maksiat sehingga kamu sering melakukannya dengan sangkaan bahawa keampunan Allah Ta'ala akan sentiasa mengiringi kamu. Adakah kamu yakin akan terus mendapat keampunan-Nya? Adakah kamu yakin segala amalanmu diterima sehingga mampu menebus dosa maksiat yang kamu lakukan? Yang lebih penting, adakah kamu yakin akan terus beriman dan mati dalam keimanan?? Jangan tertipu dengan amalanmu. Jangan tertipu dengan dosa kecil yang kamu lakukan. Jangan tertipu dengan keluasan rahmat Allah sehingga kamu memandang remeh dosamu itu..


4) Terpedaya dengan keadaan diri sendiri.


Memandang diri sendiri sebagai yang terbaik berbanding orang lain. Orang lain sudah rosak. Akhlak rosak, hidup tiada hala tuju dan bermacam lagi perkara yang tidak boleh diharapkan. Hanya diri sendiri yang tidak rosak. Masih boleh diharap. Sedangkan hakikatnya, apabila dia berpandangan demikian, dia adalah orang yang binasa dengan kebinasaan sebenar! Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda mafhumnya:


Apabila kamu mendengar seseorang berkata, "Orang ramai telah rosak!"

Sebenarnya, dia yang rosak!![2]


Hujjatul Islam al Ghazali radhiyyallahu 'anhu ketika mengulas hadith ini menyebut:


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyatakan begitu kerana perkataan yang diucapkan ini menunjukkan bahawa orang yang mengucapkannya adalah seorang yang memandang rendah orang lain dan tertipu dengan Allah Ta'ala. Dia merasa aman daripada rancangan Allah Ta'ala dan tidak merasa takut dengan kekuasaan-Nya. Bagaimana mungkin dia tidak merasa takut? Bila dia memandang rendah orang lain dan merasa kagum dengan keadaannya sendiri, ini sudah memadai untuk menunjukkan dia adalah seorang yang jahat![3]


5) Meninggi diri ke atas pelaku maksiat dan golongan yang tidak sependapat dengannya.


Dia melihat golongan yang melakukan maksiat dengan pandangan meninggi diri. Sepatutnya dia melihat mereka dengan perasaan kasihan dan berusaha membimbing golongan ini agar keluar dari kepompong maksiat. Namun apakan daya, disebabkan dia memandang dirinya sahaja yang terbaik, maka sikap ini menutup pintu hatinya daripada belas kasihan. Seolah-olah dia yakin akan terus terpelihara daripada melakukan maksiat. Begitu juga apabila berhadapan dengan golongan yang kurang ilmunya, dia memandang mereka dengan pandangan enteng. Jika golongan ini bersalahan pendapat dengannya walaupun ternyata pendapat tersebut disokong dengan dalil yang kuat, dia melenting kerana pada pandangannya orang yang kurang ilmu daripadanya tidak boleh bersalahan pendapat dengannya. Seolah-olah dia lebih tahu segala-galanya.


6) Sukar menerima nasihat.


Dia melihat dirinya tidak perlu kepada nasihat. Lebih-lebih lagi jika nasihat itu datang daripada orang yang lebih rendah ilmu atau amalan daripadanya. Dia tidak perlukan nasihat tetapi orang lain perlukan nasihatnya seolah-olah nasihatnya sudah memadai untuk membimbing orang lain ke jalan yang benar. Mana boleh orang yang lebih rendah martabatnya menasihati dirinya yang lebih baik ini!


7) Suka membanding-bandingkan dirinya dalam pegangan agama dengan orang lain.


Dia suka melakukan perbandingan terhadap dirinya dari sudut ilmu, amalan dan pegangan agama dengan orang yang lebih rendah martabat daripadanya. Lantas dia pun menyangka telah menjadi yang terbaik dan akan terus jadi yang terbaik. Natijahnya dia akan terus merasa senang dengan apa yang ada pada dirinya dari sudut ilmu dan amalan. Tanpa perlu merasa bimbang..


Faktor-faktor.


Secara umum, faktor-faktor yang menjadikan seseorang itu terpedaya dalam beragama ada tiga:


1) Faktor persekitaran.


Sudah menjadi kebiasaan, manusia itu mudah terkesan dengan persekitaran hidupnya. Suasana keluarga, masyarakat dan tempat dia membesar menyumbang kepada pembentukan perwatakannya. Boleh jadi mengapa seseorang itu terpedaya dalam beragama adalah kerana dia hidup dalam lingkungan masyarakat yang sukakan kemegahan dan ketinggian walaupun masyarakat tersebut berpegang teguh pada agama. Kemungkinan pegangan teguh mereka pada agama hanyalah berbentuk lahiriah dan secara mendatar. Jika mereka melakukan kebaikan, mereka akan mengungkit. Jika mereka menabur jasa, mereka ingin disebut. Apatah lagi, jika dia lahir dari kalangan keluarga yang terkenal dengan keilmuan, maka dia akan selalu menyebutnya dengan perasaan megah. Padahal dia tidak sealim mana pun. Hanya menumpang populariti nenek moyangnya yang alim! Dalam suasana yang sebegini, sedikit sebanyak menyumbang kepada kelahiran golongan yang mudah terpedaya dalam beragama.


2) Faktor ilmu.


Faktor kurangnya penguasaan terhadap ilmu syara' juga boleh menyumbang kepada sikap terpedaya dalam beragama. Hanya sekadar baru membaca sebuah dua buku-buku agama atau memiliki sedikit ilmu dalam keadaan dia tidak menghalusi ilmu tersebut telah menjadikannya terpedaya dengan pegangan agamanya. Sudah berani mengkritik para ulama' berwibawa yang jelas lebih berilmu daripadanya atau tidak segan silu ingin menandingi dan berdebat dengan mereka. Padahal buku-buku yang dibaca pun adalah terjemahan daripada bahasa Arab jika dia tidak pandai berbahasa Arab. Terjemahan belum tentu mampu menyampaikan maksud sebenar ilmu yang ingin diutarakan oleh buku-buku tersebut. Jika dia memahami bahasa Arab sekali pun, belum tentu dia mampu menangkap keseluruhan maksudnya sekaligus lebih-lebih lagi hanya menatap buku tanpa berguru! Jika dia belajar sekalipun, memadai dengan silibus-silibus yang ditetapkan tanpa ada keinginan untuk mendalami dan memperhalusi ilmu tersebut. Tapi keinginan untuk mendabik dada masih tinggi dan dia pun terpedaya dengan ilmu yang sedikit itu.


Justeru, para ulama' menyebut bahawa ilmu itu berukuran tiga jengkal. Siapa yang hanya baru sampai di jengkal pertama, maka dia akan memiliki sikap takbur dan bongkak. Siapa yang berjaya sampai ke jengkal yang kedua, maka dia akan merendah diri. Siapa yang berjaya sampai ke jengkal terakhir, ketika itu dia akan menyedari bahawa banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya.


Mutakhir ini, kita melihat sikap sebegini menimpa segolongan muda-mudi yang baru ingin berjinak-jinak dalam arena keilmuan dan dakwah. Hanya baru menatap sebuah dua buku (itu pun terjemahan) dan mendengar beberapa siri pengajian, telah berani mengkritik dan menghukum para ulama' yang lebih berautoriti seolah-olah dia adalah hakim mahkamah syariah pula! Kasihan.. Rupa-rupanya mereka terpedaya..


3) Faktor didikan.


Faktor ini biasa dilihat berlaku pada golongan ilmuwan tertentu. Dia rajin belajar, membaca dan mengkaji tetapi sekadar untuk menambah ilmu pengetahuan sahaja. Dia tidak berhasrat untuk melakukan tarbiah jiwa dengan ilmu-ilmu tersebut. Apabila dia menyertai badan-badan dakwah atau persatuan-persatuan tertentu, dia hanya menyertainya atas dasar keilmuan semata-mata. Hanya ingin tahu tentang politik, ideologi, fahaman dan akidah tertentu. Adapun atas dasar mendidik jiwa dan membersihkannya dengan ilmu-ilmu tersebut, jauh sekali. Sangkaannya, ilmu sudah memadai. Sudah cukup untuk memasukkannya ke dalam Syurga. Dia terlupa bahawa Islam itu adalah ilmu dan amalan. Akhlak dan penyucian jiwa.


Kita lihat bagaimana golongan salaf berinteraksi dengan ilmu mereka. Mereka menuntut ilmu kerana ingin beramal. Dengan ilmu, mereka menyucikan jiwa dan memurnikan akhlak. Bahkan di kalangan mereka ada yang tidak berani untuk meriwayatkan hadith atau menyampaikan pidato-pidato ilmiah dan nasihat melainkan setelah mereka yakin telah melalui proses tarbiah dan penyucian jiwa dengan jayanya. Kerana itu, ilmu-ilmu mereka diberkati Allah Ta'ala dan orang ramai mudah terkesan dengan ucapan-ucapan mereka. Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana ucapan yang mereka ungkapkan lahir dari hati yang bersih kesan tarbiah yang murni. Siapa yang mendakwa mengikut jejak langkah salaf, sepatutnya begini sifatnya! Jangan sekadar dakwa sahaja, tetapi tidak berbukti. Sesiapa sahaja boleh mendakwa itu dan ini, tetapi dakwaan yang diterima adalah yang disokong oleh bukti yang kukuh. Jika tidak, diam lebih baik!!


Kesan-kesan.


Jika orang yang terpedaya dalam beragama ini tidak diberi taufiq oleh Allah Ta'ala untuk membebaskan dirinya daripada sifat ini, maka kesannya adalah buruk di dunia mahu pun di akhirat, na'uzubillah min zalik (kami berlindung dengan Allah Ta'ala daripada perkara itu).


1) Kesan di dunia.


Orang yang bersikap begini akan hilang keberkatan dalam amalannya. Amalannya tidak diterima Allah Ta'ala dan syaitan pun mudah menguasainya.


Selain itu, orang ramai akan benci padanya. Merasa muak dengan sikapnya dan akhirnya dia kehilangan teman. Dakwah pun payah untuk dilaksanakan.


2) Kesan di akhirat.


Mendapat kebinasaan dan azab daripada Allah Ta'ala. Cukuplah sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mafhumnya:


Tiga perkara yang membinasakan:

- Sikap bakhil yang dituruti

- Hawa nafsu yang diikuti

- Dan kekaguman seseorang pada dirinya sendiri.[4]


Penyelesaian.


1) Selalu mengingati kebesaran Allah Ta'ala.


Kita beriman kepada Allah Ta'ala. Kita semua meyakini bahawa Dia adalah Esa. Maka segala kemuliaan, kemegahan, keagungan dan kebesaran adalah milik-Nya jua. Tidak ada sesiapa pun yang boleh berkongsi atau merampas sifat-sifat ini daripada-Nya. Jika anda merasa dihinggapi penyakit 'terpedaya dalam beragama', maka ingatilah perkara ini agar anda akan selalu merendah diri.


2) Mengambil berat urusan tarbiah jiwa.


Atas dasar inilah, bertasawuf itu penting. Jiwa perlu dididik dan disucikan selalu agar menjadi jernih. Bila hati jernih, maka terbitlah akhlak mulia. Kita perlu memandang diri ini serba kekurangan. Jangan mudah berpuas hati dengan apa yang ada. Bila kita berdepan dengan para ulama' yang berwibawa, sepatutnya kita beradab dengan mereka. Sedar bahawa diri kita jauh ketinggalan berbanding diri mereka. Baik dari segi ilmu, amalan mahu pun akhlak. Sudah menjadi lumrah, diri itu memang selalu inginkan pujian. Walaupun tiada sumbangan, tetap ingin dipuji (tak tahu malu). Oleh itu, jiwa perlu sering disucikan. Perlu selalu rasa serba kekurangan.


3) Selalu membaca kisah-kisah golongan yang terpedaya dalam beragama.


Sejarah seringkali dijadikan iktibar. Sikap sebegini telah lama muncul sejak terciptanya ayahanda kita Adam 'alaihissalam. Baca kisah mereka dan ambil pengajaran tentang kesudahan mereka. Kemudian buat perbandingan dengan kisah-kisah golongan yang bersikap tawadhu'. Lihat betapa bersihnya jiwa mereka dan murninya akhlak mereka. Mudah-mudahan kita mampu untuk mengikut jejak langkah mereka.


Penutup.


Kita sama-sama berdoa agar Allah Ta'ala memelihara kita daripada sifat tercela ini. Kita sangat mengharapkan bimbingan taufiq, hidayah dan 'inayah daripada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Tuhan kami! Janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami dan kurniakan rahmat dari sisi-Mu buat kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia. [Aali 'Imran: 8]


Bibliografi:


- Majalah al Wa'yu al Islami, bilangan 514, bulan Jamadil Akhir 1429 (Jun 2008).

- Musnad Imam Ahmad bin Hambal, jilid ketiga, cetakan kedua 1414 (1994), terbitan Darul Fikr, Beirut dengan kerjasama al Maktabah al Tijariyyah.

- Majma' al Zawaid wal Manba' al Fawaid, al Hafiz Nuruddin Ali bin Abu Bakar al Haithami, jilid pertama, cetakan tahun 1425/26 (2005), terbitan Darul Fikr, Beirut-Lebanon.

- Ihya' 'Ulumiddin, Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al Ghazali, jilid ketiga, cetakan tahun 1421 (2001), terbitan Darul Kutub al 'Ilmiyyah, Beirut-Lebanon.

- Ghaithul Mawahib al 'Aliyyah fi Syarhil Hikam al 'Atoiyyah, Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin 'Ubbad al Nafari al Rindi, bahagian pertama, cetakan tanpa tahun, terbitan Darul Ma'arif, Kaherah.



[1] Ghaithul Mawahib al 'Aliyyah fi Syarh al Hikam al 'Atoiyyah, hikmah pertama, halaman 48, bahagian pertama, Darul Ma'arif, Kaherah.

[2] Musnad Imam Ahmad bin Hambal, 7689/3, Darul Fikr-al Maktabah al Tijariyyah.

[3] Ihya' Ulumuddin 308/3, Darul Kutub al 'Ilmiyyah, Beirut-Lebanon.

[4] Majma' al Zawaid, 1/313, Darul Fikr, Beirut.