20 Oktober 2008

Persoalan Tentang Kesempurnaan Rasulullah

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang sempurna. Itu adalah suatu hakikat yang diterima oleh umat Islam yang beriman dengan Baginda. Kesempurnaan risalah Islam itu memerlukan kepada kesempurnaan penyampainya. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sebagai utusan Allah yang bertanggungjawab untuk menyampaikan risalah tersebut telah dilengkapkan oleh Allah Ta'ala dengan kesempurnaan yang mengukuhkan kesempurnaan risalah Islam.

Jika kita merujuk kembali sirah Baginda, kita dapati Baginda adalah manusia yang sempurna dalam semua aspek. Baik lahiriah mahupun batiniah. Kesempurnaan rupa Baginda dan bentuk kejadiannya menimbulkan kekaguman setiap orang yang melihat Baginda sehingga mendorong Sayyiduna Hassan bin Thabit radhiyallahu 'anhu meluahkan ungkapan hatinya yang berbunyi:

Engkau dicipta suci daripada kecacatan;
Seolah-olah engkau dicipta mengikut kehendakmu sendiri!

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam juga sempurna pada akhlaknya. Ini adalah perkara yang diakui oleh kawan dan lawan. Allah Ta'ala menghimpunkan dua kesempurnaan pada diri Baginda iaitu kesempurnaan lahiriah yang berupa kecantikan rupa bentuk dan batiniah yang berupa kemurnian akhlak dan budi. Ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi kesempurnaan risalah Islam.

Cuma di sini boleh timbul beberapa persoalan. Saya cuma fokuskan dua sahaja. Ia timbul daripada andaian saya bahawa persoalan ini berkemungkinan timbul. Maka saya sediakan jawapannya sekali.

Soalan pertama:

Boleh jadi timbul persoalan; jika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam seorang yang sempurna, maka mengapa Baginda seorang ummi (tidak tahu menulis dan membaca) atau dengan erti kata lain buta huruf? Sedangkan sifat ini adalah suatu kecacatan serta boleh menghalang pertumbuhan tamadun yang cemerlang. Maka Baginda tidak sempurna jika dipandang dari aspek ini..

Kami menjawab:

Tidak tahu menulis dan membaca tidak bererti seseorang itu akan jahil selama-lamanya. Ilmu itu bukan diperolehi melalui penulisan dan pembacaan semata-mata bahkan melalui pengalaman. Apatah lagi kita dapati praktikal itu lebih berkesan berbanding teori semata-mata. Umminya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bukanlah suatu kekurangan apalagi kecacatan bahkan umminya Baginda adalah suatu kesempurnaan buat diri Baginda. Hikmahnya adalah untuk memelihara al Quran daripada tuduhan bahawa ia adalah daripada hasil karya Baginda. Apabila kita mengetahui bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam seorang yang ummi dan ianya disokong oleh fakta sejarah, maka yakinlah kita bahawa al Quran itu bukan hasil karya Baginda bahkan ia adalah wahyu daripada Allah Ta'ala. Namun kita melihat umminya Baginda tidak menghalang Baginda daripada membina generasi Islam yang gemilang bahkan generasi yang diakui kewibawaannya sepanjang sejarah. Baginda adalah seorang yang ummi, tidak pernah belajar daripada mana-mana guru dan bukannya graduan dari mana-mana universiti namun sejarah mengakui Baginda adalah tokoh yang paling hebat sepanjang sejarah kemanusiaan. Baginda adalah pemimpin yang berwibawa, pengatur strategi yang pintar, pentadbir yang dikagumi dan mahaguru cemerlang yang lahir daripada didikannya generasi yang cerdik pandai serta mampu mengubah dunia. Bukankah ini adalah bukti bahawa umminya Baginda adalah suatu kesempurnaan bukannya suatu kecacatan dan kekurangan. Bahkan generasi demi generasi sehingga hari ini mengambil ilmu bersumberkan petunjuk Baginda yang hanyalah seorang ummi! Maka dimana kurangnya jika Baginda seorang ummi sedangkan umat Islam yang pandai menulis dan membaca sekalipun mengambil ilmu bersumberkan petunjuk Baginda. Bahkan jika ilmu itu tidak bersumberkan petunjuk Baginda yang ummi, pasti ilmu tersebut pincang dan menyesatkan! Justeru, umminya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah suatu kesempurnaan yang sangat mengkagumkan..

Persoalan kedua:

Jika Baginda sempurna, mengapa Baginda boleh lupa? Lupa adalah sifat kekurangan..

Kami menjawab:

Kerana Baginda adalah manusia. Antara sifat manusia adalah lupa sehingga terdapat ungkapan yang berbunyi:

Tidaklah dinamakan insan itu insan melainkan kerana sifat lupanya!

Walaupun Baginda terlupa, namun ianya bukan suatu kecacatan bahkan suatu kesempurnaan. Baginda bukannya selalu terlupa sehingga boleh disifatkan sebagai pelupa. Lupanya Baginda adalah berdasarkan kehendak Allah Ta'ala jua. Bukan disebabkan kecacatan atau kekurangan pada pemikiran Baginda. Hikmahnya ialah untuk menunjukkan bahawa Baginda adalah manusia seperti kita jua. Namun di sebalik lupanya Baginda, adanya syariat. Kita sedia maklum bahawa setiap perkataan dan perbuatan Baginda adalah syariat yang diwahyukan oleh Allah Ta'ala. Maka lupanya Baginda dalam sesuatu perkara adalah berdasarkan kehendak Allah Ta'ala kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak berbicara mahupun bertindak melainkan dengan gerakan Allah Ta'ala. Ini adalah suatu kesempurnaan yang luar biasa. Baginda adalah kekasih Allah. Makhluk yang paling rapat dengan-Nya. Allah Ta'ala mencintai Baginda dengan cinta yang mendalam. Maka segala tingkah laku Baginda dikawal oleh Allah Ta'ala sehingga ianya menjadi pedoman dan tauladan buat umat manusia sehinggakan sifat lupa itu sendiri adalah mengikut kehendak Allah Ta'ala. Ianya mengandungi hikmah yang tersendiri. Subhanallah! Sememangnya Baginda adalah manusia yang sempurna walaupun ianya kelihatan cacat pada pandangan zahir kita yang lemah ini.

Akhir kalam, kesempurnaan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah suatu perkara yang tidak boleh dipertikaikan. Semakin anda kuat mengikut sunnah Baginda, maka semakin jelas kesempurnaan Baginda di mata anda. Sehingga akhirnya anda sampai ke penghujungnya, lalu anda berteriak, "Ya Rasulullah! Alangkah sempurnanya tuan!"

Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam yang sempurna ke atas junjungan-Nya, penghulu kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam, penghimpun segala kesempurnaan...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Kaherah,
MESIR.


19 Oktober 2008

Naruto: Pada Pandangan Saya...


Saya bukanlah peminat kartun secara total. Cuma ada beberapa kartun yang menarik perhatian saya. Kalau dulu saya pernah menulis komentar tentang kartun The Law Of Ueki, kali ini saya ingin mengulas tentang kartun Naruto pula. Pada asalnya, saya tidak berminat pun tentang kartun ini. Saya pelik melihat gelagat sebahagian kawan-kawan yang memberi perhatian serius terhadap kartun ini sama ada dengan membaca komik atau menonton siri-siri kartun ini. Namun setelah saya pun terlibat sama dalam memberi tumpuan terhadap kartun ini, saya sedar ada beberapa aspek yang membuatkan rakan-rakan saya menjadi peminatnya. Saya tidak pasti adakah sesiapa pernah menulis ulasan tentang Naruto. Jika ada, saya mungkin sekadar menambah ulasan tersebut daripada perspektif saya sendiri. Saya juga tidak pasti adakah faktor minat saya terhadap Naruto sama seperti faktor minat rakan-rakan lain yang membuatkan mereka menjadi peminat kartun ini. Yang pasti, faktor minat setiap orang adalah berbeza. Bagi saya, kartun Naruto memiliki beberapa aspek yang menarik minat saya. Cuma saya menulis tentang Naruto di sini sekadar untuk meluahkan beberapa perkara menarik tentang kartun ini berdasarkan penelitian saya sepanjang menonton kartun ini.

Saya tidak berminat untuk mengulas tentang watak utamanya, Naruto. Begitu juga tentang watak-watak lain yang tidak kurang menariknya. Tidak juga berminat untuk membicarakan tentang apa itu genjutsu, ninjutsu dan taijutsu serta beberapa teknik dan aksi-aksi yang dipertontonkan menerusi siri-sirinya. Saya hanya mengulas tentang positif dan negatifnya kartun ini. Juga cuba membaca pemikiran pencipta kartun ini menerusi plot yang dipaparkan.

Positifnya kartun ini adalah nilai-nilai murni yang ditonjolkan. Ini dapat kita lihat menerusi watak utamanya sendiri, Naruto yang tidak mengenal erti putus asa. Sanggup melakukan apa saja termasuk mengorbankan diri sendiri untuk melindungi kawan-kawannya yang pada prinsipnya adalah perkara yang sangat penting dalam hidupnya setelah sekian lama dipinggirkan dan hidup dalam kesunyian. Menerusi watak Naruto, Kishimoto Masashi (penciptanya) cuba memberitahu kita bahawa usaha yang gigih itu lebih berkesan berbanding bakat yang ada tapi tidak diasah. Ada beberapa watak yang genius (atau memiliki bakat istimewa) seperti Sakura, Sasuke, Shikamaru dan Neji. Namun usaha gigih yang ditunjukkan oleh Naruto kelihatannya berjaya mengatasi kesemua watak ini. Sikap ini juga ada pada Rock Lee yang tidak berbakat dalam menggunakan genjutsu dan ninjutsu namun usahanya yang gigih membuatkan beliau berjaya memanipulasi taijutsunya dengan baik dan berkesan. Naruto, dilihat sebagai seorang yang memiliki sikap luar biasa baik dalam latihan mahu pun sifat setiakawan. Saya berpandangan Kishimoto ingin menonjolkan kepada penonton bahawa inilah sikap yang wujud dalam diri rakyat Jepun sendiri. Apa yang ditonjolkan dalam kartun ini, semuanya untuk memberitahu kita tentang watak orang Jepun dan kebudayaan mereka. Saya juga berpandangan bahawa jika Kishimoto ingin menonjolkan usaha gigih itu mampu mengatasi bakat yang terpendam, maka yang sewajarnya bagi kita di alam realiti adalah bakat dan usaha perlu dikombinasi bersama untuk menghasilkan natijah yang luar biasa. Setiap orang dilahirkan dengan bakat terpendam sama ada dia sedar atau tidak. Bakat ini baik berbentuk mental mahu pun fizikal perlu diasah dan dikembangkan lagi serta diletak pada tempatnya. Maka usaha gigih diperlukan bagi merealisasikan bakat tersebut. Jika tiada usaha gigih, maka bakat tersebut akan terus terpendam dan akan lenyap begitu saja.

Saya melihat Kishimoto membahagikan sifat-sifat positif pada setiap watak secara saksama. Naruto dengan sikap gigih dan setiakawan. Begitu juga Lee. Shikamaru dengan ketajaman akalnya. Sasuke dengan sikap tenangnya. Begitu juga beberapa sikap yang jika digabungkan pasti akan menghasilkan satu watak lain yang luar biasa. Namun, Kishimoto seolah-olah ingin memberitahu kita bahawa manusia itu tidak sempurna. Ini adalah suatu hakikat. Kerana itu perlu wujudnya kerjasama bagi menampung kekurangan yang wujud dalam diri setiap insan di samping menyokong sesebuah kumpulan dengan bakat yang wujud. Sebagai contoh dalam kumpulan 7 (kumpulan Kakashi) yang terdiri daripada Naruto, Sasuke dan Sakura. Jika kita analisis setiap watak yang ada dalam kumpulan ini, kita akan dapati setiap kelebihan yang ada pada setiap watak membuatkan kumpulan ini menyerlah. Naruto yang gigih, tidak mengenal putus asa dan sanggup berkorban tetapi memiliki otak yang lembap telah disokong oleh Sasuke dan Sakura yang memiliki otak yang genius. Namun sikap gigih yang ada pada Naruto kurang dilihat ada pada dua watak ini tetapi ia menjadi pencetus semangat buat Sasuke dan Sakura bahkan buat watak-watak yang lain. Begitu juga watak-watak yang wujud dalam kumpulan-kumpulan yang lain. Menyedari bahawa setiap orang memiliki bakat yang berbeza dan kekurangan yang tersendiri, maka gerak kerja perlu dilakukan secara kolektif. Itulah peri pentingnya sesebuah misi itu dilaksanakan secara 'teamwork' sebagaimana yang sering diwarwarkan oleh kartun ini.

Saya juga sebenarnya menganalisis pembawaan kartun ini. Adakah ianya benar-benar sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak ataupun bagaimana. Saya dapati ianya mengandungi plot yang berat dan tidak sesuai untuk kanak-kanak. Saya kurang pasti apa tujuan sebenar Kishimoto mencipta kartun ini untuk tontonan kanak-kanak sedangkan ada beberapa plot yang agak berat serta sesuai ditonton oleh golongan dewasa. Seperti masalah politik yang berlaku di antara negara-negara yang diwujudkan dalam kartun ini. Ia dibicarakan bukan dengan bahasa yang mudah tapi ada unsur-unsur berat juga. Ada juga aksi ganas yang berakhir dengan pertumpahan darah. Apa yang saya fikirkan ialah Kishimoto bukan sekadar ingin menjadikan kartun ini ditonton oleh golongan kanak-kanak sahaja, bahkan boleh diterima oleh golongan dewasa juga. Mungkin ini adalah faktor yang mendorong beliau mencipta plot yang sebegini. Cuma saya melihat kartun ini lebih sesuai ditonton oleh golongan dewasa berbanding kanak-kanak walaupun ia adalah kartun!

Dari segi negatifnya kartun ini khususnya buat penonton yang beragama Islam adalah kedapatan unsur-unsur agama Buddha yang diterapkan dalam kartun ini. Ada juga unsur syirik dan tahyul seperti hikmat-hikmat yang boleh mengubah lanskap alam semulajadi menjadi sebuah lanskap yang lain. Ada satu siri yang terdapat dalam Naruto Shiipuuden yang mana Kapten Yamato telah mencipta air terjun dan menumbuhkan pokok dengan menggunakan gabungan elemen air dan tanah. Ertinya manusia ada kemampuan untuk mencipta alam. Ini sudah pasti bercanggah dengan pegangan umat Islam yang mempercayai kewujudan satu pencipta sahaja. Ada juga teknik-teknik lain ditonjolkan yang kesemuanya mengundang kepada kepercayaan karut. Namun kita sedia maklum kartun ini dicipta oleh individu yang bukan beragama Islam. Bahkan saya melihat kartun ini lebih banyak menonjolkan watak yang tidak percayakan tuhan. Jadi nampaknya kita perlu mengawal pemikiran kanak-kanak kita apabila mereka menonton kartun ini. Inilah akibat jika kartun yang ada nilai murni tetapi dicipta oleh golongan yang bukan beragama Islam atau tidak pasti status agamanya (beragama atau atheis).

Konklusinya, kartun boleh menjadi medium yang baik untuk memperkenalkan kebudayaan dan sikap sesebuah kaum. Disamping percubaan untuk menerapkan nilai-nilai murni. Ini memang dapat kita lihat dengan jelas menerusi kartun Naruto. Cuma nasihat saya buat peminat-peminat Naruto; ambil yang jernih dan buang yang keruh daripada kartun ini khususnya buat peminat-peminat yang beragama Islam. Akhir kalam saya tutup dengan kata-kata Naruto yang cukup terkenal, "Saya tidak bagus dalam berputus asa. Itu adalah cara saya sebagai ninja!"