25 Februari 2008

Boikot: Satu Kewajipan dan Tuntutan



Boikot menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4 membawa maksud "pulau, pemulauan". Dalam ruangan ini, saya lebih menumpukan kepada isu boikot ekonomi atau dengan perkataan lain sekatan ekonomi terhadap musuh-musuh Islam khususnya Amerika Syarikat, Israel dan Britain. Boikot dilakukan adalah bertujuan untuk melemahkan ekonomi pihak musuh di mana ia merupakan antara senjata paling ampuh yang mampu melemahkan pihak musuh. Boikot juga merupakan salah satu medium untuk menghadapi musuh. Kita melihat bahawa boikot ekonomi mampu untuk melemahkan mereka memandangkan bahawa ekonomi merupakan sudut terpenting bagi mana-mana pihak. Tanpa sumber ekonomi yang kukuh, sudah pasti berlakunya kepincangan dalam mana-mana pihak. Cuma dalam ruangan ini, kita akan membincangkan tentang kewajipan memboikot ekonomi Amerika Syarikat, Israel dan Britain. Kita perlu maklumi bahawa umat Islam wajib melakukan boikot bermula daripada pihak kerajaan yang dipimpin oleh umat Islam sehinggalah kepada individu Islam itu sendiri. Jika kerajaan tidak bertindak untuk melakukan boikot lebih-lebih lagi dalam situasi hari ini yang melihat bahawa pemimpin-pemimpin negara umat Islam kebanyakannya tunduk mengikut telunjuk kuasa-kuasa besar Barat, maka ianya boleh dilakukan oleh kelompok tertentu di kalangan umat Islam.

DALIL-DALIL YANG MEWAJIBKAN BOIKOT.

1) Firman Allah Ta'ala mafhumnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa, janganlah kamu saling tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. (al-Maidah: 2)

Wajhud Dilalah: Ayat ini menuntut kita supaya saling tolong-menolong di dalam perkara-perkara yang berunsur kebaikan dan ketaqwaan. Apa sahaja perkara yang bersangkut paut dengan kebaikan dan kemaslahatan umat Islam, maka kita dituntut untuk menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk mengikut kemampuan masing-masing. Apatah lagi dalam situasi hari ini kita melihat saudara seakidah kita yang berada di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya ditindas oleh musuh-musuh Islam, maka sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk menghulurkan pertolongan dari sudut sokongan moral, kewangan dan tenaga. Boikot adalah caranya! Dengan boikot, kita telah memberi sokongan moral, kewangan dan tenaga kepada saudara-saudara kita. Maka boikot adalah WAJIB.

2) Firman Allah Ta'ala mafhumnya: Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak dizalimi. (al-Anfal: 60)

Wajhud Dilalah: Ayat ini berkaitan dengan jihad dan persediaan untuk menghadapinya. Jihad merupakan suatu aspek yang luas skopnya. Antaranya jihad menghadapi musuh-musuh Islam daripada pelbagai sudut. Boikot adalah antara teknik dan strategi perang yang menggerunkan musuh lebih-lebih lagi jika ianya berkaitan dengan ekonomi. Boikot mampu melumpuhkan kekuatan mana-mana pihak. Ini juga memberi peluang kepada kita untuk menginfakkan harta pada jalan Allah untuk membantu saudara-saudara kita berbanding jika kita kita melaburkan harta untuk mengenyangkan pihak musuh yang menggunakannya untuk menghancurkan umat Islam kembali. Ini adalah sesuatu yang sudah jelas!

3) Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mafhumnya: Berjihadlah menentang golongan musyrikin dengan harta, kekuatan dan lisan kamu. (Hadith sohih riwayat Ahmad, Abu Daud, al Nisaie).

Wajhud Dilalah: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyeru umat Islam agar berjihad menentang golongan musyrikin dengan segala cara baik dengan harta, kekuatan ketenteraan atau dengan ucapan-ucapan yang boleh melemahkan kekuatan dan semangat mereka. Jihad dengan harta bukan hanya sekadar membeli senjata dan melakukan persiapan dari sudut ketenteraan, bahkan dengan melaburkan harta untuk tujuan mengalahkan pihak musuh melalui ekonomi serta menghalang mereka daripada mendapat peluang ekonomi di negara-negara Islam.

4) Pada tahun keempat Hijrah, golongan Yahudi Bani Nadhir telah mencabuli perjanjian yang termeterai di antara mereka dengan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, lantas Baginda mengambil tindakan memerangi mereka. Dalam peperangan tersebut, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengarahkan agar ladang-ladang mereka dimusnahkan. Begitu juga pohon-pohon kurma yang merupakan sumber ekonomi mereka ditebang dan dibakar. Ini menyebabkan mereka merasa gerun, lemah lalu mengalami kekalahan. Bahkan mereka sendiri telah memusnahkan rumah-rumah mereka! Lihat bagaimana kesannya terhadap ekonomi musuh jika boikot dilaksanakan!

5) Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam juga pernah memboikot tiga orang sahabat Baginda yang tidak menyertai peperangan Tabuk. Baginda turut mengarahkan para sahabat yang lain agar memboikot mereka. Kisah ini merupakan kisah masyhur yang diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadith antaranya kitab Riyadhus Solihin. Al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah juga turut menulis risalah yang bertajuk al Hajr liz Zajr di mana beliau menyenaraikan beberapa contoh celaan dan boikot yang dilakukan terhadap golongan yang sering melakukan maksiat dengan tujuan supaya mereka bertaubat. Jika boikot sesama muslim disyariatkan oleh syara', maka tuntutan boikot terhadap musuh-musuh Islam lebih-lebih lagi! Musuh-musuh yang terang-terangan melakukan serangan terhadap kita dari pelbagai sudut!

Kaedah fiqhiyyah juga turut menunjukkan bahawa boikot adalah WAJIB. Antara kaedah tersebut ialah:

1) Memelihara kemaslahatan dan mengharamkan kemudharatan.

Jika kita meneliti ayat-ayat al Quran dan hadith-hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, kita akan dapati bahawa Allah Ta'ala menurunkan agama Islam dengan tujuan memelihara kemaslahatan makhluk serta menghalang sebarang kemudharatan daripada mereka. Justeru, para ulama' menyebut: Segala perkara yang membawa kemaslahatan kepada makhluk dan dapat mencegah sebarang kemudharatan daripada mereka, maka ianya diizinkan oleh Allah Ta'ala. Manakala segala perkara yang membawa kemudharatan dan menghalang berlakunya sebarang kemaslahatan, maka ianya dilarang oleh Allah Ta'ala. Allah Ta'ala berfirman mafhumnya: Sesungguhnya Allah menitahkan agar berlaku adil, berbuat kebaikan dan membantu kaum kerabat serta Dia melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu agar kamu mengambil peringatan. (al Nahl: 90).
Tidak ada perkara keadilan, kebaikan dan kemaslahatan melainkan pasti ianya diperintahkan oleh Allah Ta'ala dan tidak ada perkara keji, mungkar dan kezaliman melainkan pasti ianya dilarang oleh Allah Ta'ala. Maka jelas kepada kita bahawa boikot boleh mendatangkan kemaslahatan kepada umat Islam serta menghalang kemudharatan daripada mereka. Maka boikot adalah WAJIB.

2) Hukum berdasarkan kesan jangka masa panjang.

Kaedah ini menyokong kaedah di atas. Kaedah ini bermaksud sebarang hukum yang ditetapkan ke atas sesuatu perkara sama ada berbentuk wajib atau haram adalah berdasarkan andaian kesan jangka masa panjang yang timbul daripada perkara tersebut. Jika kesannya adalah maslahat, maka perkara tersebut adalah wajib dan jika sebaliknya maka hukumnya adalah haram. Seperti contoh jihad dalam peperangan menentang musuh-musuh Islam. Ia merupakan perkara yang menyusahkan dan melibatkan pertumpahan darah, kemusnahan harta benda dan boleh menyebabkan umat Islam menjadi tawanan. Namun kesannya ialah Islam menjadi gah, umat Islam dapat dipelihara dan empayar Islam dapat diperluaskan lagi. Ini merupakan suatu kemaslahatan yang besar! Tetapi jika umat Islam tidak ingin berjihad, maka Allah akan menghukum mereka dengan menjadikan darah dan harta mereka tidak selamat kerana pihak musuh tidak lagi takut kepada mereka bahkan pihak musuh semakin berselera untuk menjarah umat Islam. Suatu kemudharatan yang juga besar akibatnya! Begitu juga boikot, walaupun permulaannya dan ketika perlaksanaannya membawa kesukaran bagi sesetengah pihak, namun kesan jangka masa panjangnya ialah: Ekonomi musuh Islam boleh lumpuh! Maka sekali lagi boikot adalah WAJIB!

3) Kemaslahatan jemaah lebih utama daripada kemaslahatan individu.

Kaedah ini bermaksud jika sesuatu perkara itu dilakukan maka ianya mendatangkan maslahat buat individu dan jika ditinggalkan membawa kemaslahatan buat jemaah, maka perkara tersebut dituntut untuk ditinggalkan bagi memelihara kemaslahatan jemaah tanpa mengambil kira maslahat individu atau kita sebut sebagai 'maslahat peribadi'. Dalam masalah ini kita melihat bahawa boikot boleh mendatangkan maslahat buat umat Islam sedangkan jika kita membeli barangan boikot hanya sekadar untuk keperluan individu. Tidak mungkin individu boleh hidup tanpa adanya masyarakat maka kita dapat membuat kesimpulan bahawa kepentingan umum lebih utama dan sememangnya patut diutamakan berbanding dengan kepentingan individu.

Berdasarkan dalil-dalil yang telah dinyatakan di atas daripada al-Quran, Sunnah dan kaedah fiqhiyyah maka jelas kepada kita bahawa memboikot musuh-musuh Islam khususnya dalam bidang ekonomi adalah fardhu 'ain ke atas setiap muslim kerana ianya mengandungi unsur-unsur tolong-menolong sesama umat Islam, pemeliharaan terhadap kemaslahatan mereka serta pencegahan terhadap sebarang kemudharatan yang menimpa mereka.

SEDIKIT PERBANDINGAN

Kita telah mengetahui bahawa boikot adalah wajib. Cuma di sini kita ingin membuat sedikit perbandingan hukum wajib ini mengikut keutamaan. Saya hanya mendatangkan dua contoh perbandingan iaitu:

1) Antara kewajipan jihad berbentuk ketenteraan dengan boikot.
2) Antara kewajipan mengukuhkan ekonomi dengan boikot.

1) Antara jihad perang & jihad boikot.

Kedua-duanya adalah wajib. Cuma jika kita membuat perbandingan dari sudut keutamaan, kita dapati bahawa jihad boikot lebih diutamakan. Kita perlu sedia maklum bahawa kewajipan jihad adalah mengikut kemampuan. Dalam situasi hari ini, kita melihat negara-negara umat Islam masih lagi lemah dari sudut ketenteraan. Walaupun ada Negara yang memiliki kelengkapan senjata, namun ianya berada di tangan pemimpin-pemimpin yang kebanyakannya mengikut telunjuk kuasa-kuasa Barat. Ini menyukarkan rakyat untuk bangkit mengangkat senjata menentang musuh-musuh Islam kerana tindakan ini sudah pasti tidak mendapat restu daripada pihak pemerintah. Apa yang mampu kita lakukan adalah boikot. Bahkan boikot merupakan antara senjata paling ampuh yang mampu melumpuhkan pihak musuh sebagaimana yang telah kita nyatakan. Sejarah juga telah membuktikan bahawa boikot adalah senjata ampuh yang memberi kesan mendalam. Ini pernah dilakukan oleh golongan Yahudi yang ditindas oleh kerajaan Nazi Jerman di bawah pemerintahan Adolf Hitler pada tahun 1933. Apabila berlakunya peristiwa 'Holoucaust', maka kesatuan Yahudi sedunia telah mengisytiharkan boikot terhadap barangan Jerman. Beberapa demonstrasi tercetus di Amerika menuntut supaya barangan Jerman diboikot. Ini merupakan antara punca kekalahan Nazi Jerman! Bayangkan jika umat Islam bersatu lalu boikot dicetuskan. Bagaimana kesannya?! Jawapannya ada pada anda..

2) Antara mengukuhkan ekonomi & boikot.

Kedua-duanya juga wajib. Mengukuhkan ekonomi sememangnya dituntut kerana ia merupakan aspek yang tidak boleh diabaikan. Jika diperhatikan secara sekali imbas, boikot nampaknya seperti memberi kesan negatif terhadap ekonomi umat Islam. Namun sebenarnya boikot memberi peluang kepada umat Islam untuk memajukan ekonomi mereka. Boikot sebenarnya bukan menjatuhkan atau merugikan bahkan ianya boleh menguntungkan sebagaimana yang dinyatakan oleh pakar ekonomi. Boikot menjadikan umat Islam kreatif untuk mengeluarkan barangan alternatif serta produk keperluan khusus buat umat Islam tanpa bergantung kepada orang-orang bukan Islam khususnya barat.

PRODUK YANG PERLU & TIDAK PERLU DIBOIKOT.


Bukan semua produk perlu diboikot buat masa kini. Ada yang sememangnya perlu diboikot dan ada yang tidak. Produk yang perlu diboikot adalah produk yang mempunyai alternatif seperti bahan makanan, barangan dapur, peralatan kosmetik, pakaian dan sebagainya. Adapun produk yang tidak perlu diboikot buat masa kini adalah produk yang tiada alternatif. Bahkan ia merupakan satu keperluan pula seperti senjata dan peralatan teknologi terkini. Perkara-perkara begini adalah di luar kemampuan kita untuk memboikotnya memandangkan ianya merupakan satu keperluan dan kita masih belum mempunyai kemampuan untuk menghasilkan teknologi-teknologi sebagaimana yang mereka hasilkan. Lagi pun kita dituntut melakukan suatu kewajipan itu berdasarkan kemampuan.

PENUTUP.

Jelas kepada kita bahawa boikot ekonomi Amerika, Israel dan Britain merupakan suatu kewajipan dan keperluan. Mereka secara terang-terangan telah menunjukkan sikap permusuhan terhadap kita. Oleh itu, sebagai seorang individu muslim yang sensitif terhadap isu-isu yang menimpa saudara seagama di negara-negara Islam yang ditindas haruslah mengambil tindakan segera bagi menunjukkan keprihatinan terhadap saudara kita. Ingatlah sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mafhumnya: Barangsiapa yang tidak mengambil berat akan urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka.
Jadi, jika kita bukan dari kalangan muslimin, kita dari kalangan mana?!

Tiada ulasan: