10 September 2008

Bulan Ramadhan Bulan Al Quran

Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:

Bulan Ramadhan itu adalah (bulan) yang diturunkan padanya al Quran sebagai petunjuk kepada manusia serta mengandungi penjelasan terhadap petunjuk tersebut dan sebagai pembeza (antara kebenaran dan kebatilan). [al Baqarah: 185]

Ada beberapa kesimpulan yang boleh diambil daripada ayat ini:

  • Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia. Kemuliaan ini jelas terlihat apabila namanya disebut secara terang-terangan di dalam ayat ini berbanding bulan-bulan yang lain. Di dalam ayat 36 surah al Taubah, Allah Ta'ala menjelaskan bahawa bilangan bulan-bulan dalam setahun itu adalah 12 bulan sebagaimana firman-Nya:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan (dalam setahun) di sisi (agama) Allah adalah dua belas bulan menurut ketetapan Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi. Daripada bulan-bulan itu, terdapat empat bulan yang terhormat (haram ditumpahkan darah).. [al Taubah: 36]

Allah Ta'ala hanya menjelaskan bahawa Dia telah menetapkan 12 bulan dalam setahun tanpa menyebut nama bulan-bulan tersebut secara jelas. Ini berbeza dengan bulan Ramadhan yang dizahirkan oleh Allah Ta'ala namanya secara khusus. Maka ini adalah bukti kemuliaan bulan Ramadhan. Kita sedia maklum bahawa nama-nama individu yang disebut secara khusus di dalam al Quran pasti mengandungi makna yang tersendiri. Sama ada individu tersebut mulia atau pun hina. Nama-nama para Nabi 'alaihimussalam, Luqman, Zulqornain, Maryam dan Uzair adalah insan-insan mulia yang diabadikan oleh Allah Ta'ala di dalam kitab-Nya kerana kemuliaan mereka dan kerana ia mengandungi mesej berupa teladan dan pedoman sepanjang zaman. Manakala nama Iblis, Fir'aun, Haman dan Qarun pula adalah insan-insan yang hina dan terlaknat. Nama mereka turut diabadikan sebagai peringatan dan pengajaran buat insan sejagat. Kerana itu guru kami al Imam Sayyid Muhammad al Khatib radhiyallahu 'anhu berpandangan bahawa di antara Sayyidah Maryam dan Sayyidah Fatimah al Zahra' 'alaihimassalam, Sayyidah Maryam adalah wanita yang mulia dengan alasan yang mudah iaitu kerana nama beliau disebut secara khusus di dalam al Quran.[1]

  • Bulan Ramadhan itu memiliki kemuliaannya kerana al Quran diturunkan padanya. Jika al Quran itu diturunkan pada bulan Ramadhan bererti ianya diturunkan pada malam al Qadar kerana malam al Qadar itu hanya terjadi di bulan Ramadhan. Ini disokong pula oleh firman Allah Ta'ala mafhumnya:

Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (al Quran) pada malam al Qadar. [al Qadr: 1]

Ayat ini merupakan penjelasan kepada ayat 185 surah al Baqarah yang kita bicarakan ini.

  • Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa al Quran itu diturunkan sekaligus di bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kepada kata kerja 'unzila' (diturunkan) yang membawa maksud diturunkan sekaligus. Iaitu dari Luh Mahfuz ke langit pertama sebagaimana pendapat para ulama'. Cuma mereka berbeza pendapat mengenai cara penurunannya dari Luh Mahfuz kepada 3 pendapat sebagaimana yang dinukilkan oleh al Hafiz Jalaluddin al Suyuti radhiyallahu 'anhu. Sila rujuk kitab al Itqan fi 'Ulum al Quran.[2] Setelah itu barulah ianya diturunkan secara beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun sebagaimana firman Allah Ta'ala mafhumnya:

Dan al Quran itu Kami (Allah) pecah-pecahkannya (mengikut tempoh-tempoh tertentu) agar engkau (wahai Muhammad) membacakannya kepada manusia secara tetap dan Kami turunkannya sebanyak beberapa kali (secara ansuran). [al Isra': 106]

Di dalam ayat ini pula, Allah Ta'ala menggunakan kata kerja 'nazzala' (menurunkan sesuatu secara berkali-kali) yang menunjukkan pengulangan, pemeringkatan dan ansuran.

  • Al Quran itu diturunkan sebagai petunjuk bahkan Allah Ta'ala menjadikannya sebagai penjelasan terhadap petunjuk tersebut. Ini melambangkan rahmat dan kasih sayang-Nya terhadap hamba-hamba-Nya. Dia tidak meninggalkan hamba-hamba-Nya dalam kebingungan, lalu diberinya petunjuk berserta penjelasannya sekali secara terperinci. Maka tidak ada petunjuk yang lebih sempurna selain daripada petunjuk al Quran. Sesiapa yang menjadikan ideologi atau fahaman lain sebagai petunjuk selain daripada al Quran, maka dia hanya menghampiri kesesatan bahkan terjerumus ke dalamnya.
  • Al Quran itu adalah petunjuk buat seluruh manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit, taraf pendidikan, kedudukan dan jantina. Sesiapa saja boleh menjadikan al Quran sebagai petunjuk jika dia benar-benar inginkan petunjuk. Al Quran bukan seperti Taurat, Zabur dan Injil yang hanya dikhususkan buat Bani Israel semata-mata. Ia juga bukan seperti Veda-veda Hindu yang hanya boleh dinikmati oleh kasta-kasta tertentu sahaja. Bahkan ia adalah petunjuk buat alam semesta kerana ia diturunkan oleh Allah Tuhan semesta alam dan kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang diturunkan ke atas Baginda al Quran itu adalah utusan Allah ke sekelian alam. Firman Allah Ta'ala mafhumnya:

Kami (Allah) tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke sekelian alam. [al Anbiya': 107]

  • Al Quran juga diturunkan sebagai piawaian yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Sesiapa yang ingin menilai sesuatu perkara dari sudut kebenaran dan kebatilannya, maka hendaklah dia merujuk kepada al Quran. Tiada suatu idea, fahaman mahupun teori yang mampu membezakan kebenaran atau kebatilan sesuatu secara halus berbanding al Quran. Ini adalah kerana al Quran diturunkan oleh Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui segala sesuatu.

Sebagai konklusi akhir, saya menyeru diri ini dan sidang pembaca sekelian agar kembali menghayati al Quran di bulan yang mulia ini. Bukan sekadar terbatas pada tadarus semata-mata bahkan diterjemahkan dalam kehidupan harian. Bulan Ramadhan adalah madrasah tarbiah yang objektifnya adalah mencapai taqwa. Taqwa hanya dapat dicapai dan dihayati jika kita kembali kepada ajaran al Quran dalam semua aspek kehidupan. Buangkan daripada persepsi kita bahawa al Quran itu hanya dibaca ketika berlakunya kematian atau dalam majlis-majlis, upacara-upacara dan hari-hari tertentu. Tidak cukup sekadar mencium al Quran dan menjadikannya sebagai hiasan yang digantung di dinding rumah. Itu kurang penting berbanding dengan mempraktikkan isi kandungannya di dalam segenap aspek kehidupan. Kelemahan umat Islam kini adalah kerana mereka tidak lagi menjadikan al Quran sebagai panduan hidup. Hanya ambil sebahagian dan campak sebahagian yang lain. Kita bermohon kepada Allah agar Dia menunjukkan kita jalan yang lurus ke arah kebenaran. Amin..

Humair,
Nasr City, Kaherah, MESIR.

Bibliografi:

- Al Junnah fi 'Aqidah Ahlil Jannah, al Imam Sayyid Muhammad Khalil al Khatib al Hasani, cetakan 2006, Darul Basyir, Tanta, Mesir.

- Al Itqan fi 'Ulum al Quran, al Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar al Suyuti al Syafi'i, cetakan 1427 H (2006 M), Darul Hadith, Mesir.


_______________________
[1] Al Junnah.
[2] Al Itqan, m/s 142.

Berselawat Selepas Terawih Bida'ah??

Seorang rakan telah mengirim email kepada saya bertanyakan tentang hukum berselawat selepas selesai menunaikan sembahyang terawih. Saya telah pun menulis jawapan balas kepada beliau menerusi email juga. Kemudian saya terdetik untuk menulis jawapan di blog ini berserta sedikit tambahan buat perkongsian bersama sidang pembaca. Saya hanya menulis jawapan ini secara ringkas. Mana-mana pembaca dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar sekiranya terdapat kekurangan pada jawapan ini.

Sebagai muqaddimah kepada jawapan, saya mulakan dengan firman Allah Ta'ala mafhumnya:

Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah ke atas Baginda dan ucapkan salam penghormatan. [al Ahzab: 56]

Firman Allah Ta'ala lagi:

Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. [al Ahzab: 41]

Dua ayat yang saya nyatakan di atas sudah memadai untuk menerangkan kepada kita bahawa berselawat ke atas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah HARUS bahkan SUNAT.

Keterangannya pula seperti berikut:

1) Ayat 56 daripada surah al Ahzab menjelaskan kepada kita bahawa Allah Ta'ala dan para malaikat-Nya sering berselawat ke atas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Buktinya adalah kata kerja 'yusollun' yang menunjukkan perbuatan yang sedang berlaku dan berterusan berlaku. Penggunaan kata kerja ini lebih tepat dan mendalam maknanya berbanding kata kerja lepas (past tense). Ini menunjukkan bahawa Allah Ta'ala dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas Baginda tanpa terikat kepada masa, tempat dan keadaan. Selawat Allah yang berupa limpahan keberkatan dan rahmat-Nya ke atas Baginda sentiasa mengalir tanpa putus sehinggalah ke masa yang ditentukan oleh Allah Ta'ala kelak. Begitu juga selawat para malaikat yang berbentuk doa dan istighfar buat Baginda akan terus berlaku tanpa disekat oleh batasan masa, suasana dan tempat. Kerana itu Allah Ta'ala menuntut golongan beriman yang benar-benar beriman kepada risalah yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam supaya berselawat ke atas Baginda tanpa membataskan mereka dengan masa, suasana dan tempat. Bahkan Allah Ta'ala menuntutnya secara umum. Sesiapa yang mendakwa bahawa berselawat itu hanya terbatas pada tempat-tempat yang tertentu atau masa-masa yang tertentu, bererti dia telah mengkhususkan ayat ini tanpa dalil yang mengkhususkannya. Ini juga menunjukkan kejahilannya terhadap ilmu Usul Fiqh. Maka berselawat selepas sembahyang terawih itu adalah harus bahkan sunat lebih-lebih lagi ianya dilakukan selepas sembahyang.

Jika timbul persoalan: Ada dalil yang menunjukkan pengkhususan tempat dalam berselawat seperti selepas azan atau ketika masuk ke masjid, tapi tiada dalil pun yang menunjukkan bahawa boleh berselawat selepas sembahyang fardhu atau sunat.

Kami mengatakan: Itu menunjukkan bahawa berselawat pada waktu-waktu dan tempat-tempat tersebut adalah sangat dituntut namun tidak bererti ianya tidak boleh dilakukan pada waktu dan tempat yang lain. Apatah lagi tidak terdapatnya larangan daripada Baginda agar jangan berselawat selain daripada waktu dan tempat tersebut. Maka kita kembali kepada umum ayat yang menuntut agar kita sentiasa berselawat ke atas Baginda tanpa terikat kepada suasana, tempat dan waktu. Adapun berselawat selepas sembahyang baik fardhu mahupun sunat, maka ia termasuk juga dalam doa. Bukankah berdoa selepas sembahyang itu dituntut dan dilakukan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat? Bahkan selawat itu adalah sebahagian daripada doa. Maka mengapa kita membezakan antara doa dan selawat sedangkan ia adalah benda yang sama walaupun berbeza wajah??

Jika anda tidak ingin berselawat, jangan halang orang lain daripada berselawat lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini. Bulan yang dipenuhi ganjaran pahala yang melimpah ruah bagi sesiapa yang melakukan amalan kebaikan. Berselawat adalah amalan kebaikan. Jika anda menghalang orang lain daripada berselawat, bererti anda menghalang orang lain daripada melakukan kebaikan. Habis anda ingin mereka melakukan maksiat?? Lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini.

Seringkali ada yang berhujah ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Kami ingin menyatakan bahawa sekadar ianya tidak dilakukan oleh Baginda, tidak membawa erti ianya haram atau makruh dilakukan sehingga datang dalil yang jelas bahawa Baginda melarangnya. Ini adalah suatu yang maklum bagi mereka yang menguasai ilmu Usul Fiqh.

Walaupun Baginda tidak melakukannya sekalipun, namun Baginda memberikan galakan agar berselawat ke atas Baginda tanpa terbatas dengan disokong pula oleh ayat yang kita bicarakan ini.

2) Hanya orang beriman sahaja yang benar-benar akan berselawat ke atas Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Selawat adalah lambang cinta kepada Baginda. Orang yang bercinta akan selalu menyebut-nyebut kekasih hatinya. Adapun orang yang enggan berselawat, bahkan menghalang orang lain daripada berselawat serta menjatuhkan hukum bida'ah pula, maka orang ini diragui imannya walaupun dia mendakwa menghidupkan sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam kononnya!

3) Ayat 41 pula menuntut kita agar selalu mengingati Allah Ta'ala dengan sebanyak-banyaknya. Ayat ini juga umum. Kita dituntut dan digesa agar mengingati Allah Ta'ala tanpa batasan. Selawat pun begitu juga kerana selawat adalah zikir. Tiada beza antara keduanya. Patutkah anda membezakan antara zikir dengan selawat? Sedangkan hakikatnya adalah sama walaupun berbeza rupa wajahnya. Kita dituntut untuk berzikir dan juga berselawat tanpa terikat kepada masa dan tempat. Jika anda menghalang orang lain daripada berselawat, bererti anda menghalangnya daripada berzikir. Maka anda adalah syaitan atau pun munafiq. Boleh jadi juga kafir kerana hanya tiga golongan ini saja yang menghalang orang mukmin daripada berzikir kepada Allah Ta'ala. Persoalannya adakah orang yang mengaku mengikut jejak langkah salaf berani menghalang orang lain daripada berzikir mengingati Allah? Ini sudah pasti tak lojik. Hanya orang-orang munafik dan berselindung di sebalik topeng Salaf sahaja yang berbuat begini.

Konklusinya, berselawat, berzikir dan berdoa selepas sembahyang itu adalah sunat hukumnya. Zahir ayat dan umumnya menunjukkan begitu tidak yang lain. Apatah lagi waktu selepas sembahyang itu adalah waktu yang dimustajabkan doa. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Akhir kalam, nasihat saya buat sidang pembaca agar melakukan amalan kebaikan sebanyak-banyaknya di bulan yang mulia ini. Pedulikan kata-kata puak yang tidak memahami. Saya tidak menujukan tulisan ini buat mereka yang Salafi kerana saya tidak mengharapkan apa-apa perubahan daripada mereka. Saya menujukan tulisan ini sebagai perkongsian buat sidang pembaca yang mempunyai secebis keinsafan di hati dalam mencari kebenaran. Wallahu 'alam.

Humair,
Nasr City, Kaherah, Mesir.

08 September 2008

Perbanyakkan Doa Di Bulan Yang Mulia Ini

Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:

Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku, maka (katakan lah) bahawa sesungguhnya Aku sangat dekat (dengan mereka). Aku memperkenankan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka sentiasa menyahut seruan-Ku serta beriman dengan-Ku agar mereka sentiasa mendapat bimbingan (daripada-Ku). [al Baqarah: 186]

Ayat ini terletak di antara ayat-ayat yang menceritakan tentang puasa. Apakah hikmahnya ayat ini diselitkan di tengah-tengah ayat-ayat puasa sedangkan ia menceritakan tentang doa? Ini menunjukkan kepada kita bahawa berdoa di bulan Ramadhan itu sangat-sangat dituntut. Walaupun ayat ini mempunyai sebab nuzulnya yang tersendiri, saya tidak bercadang untuk memperkatakan mengenainya. Yang saya ingin sebutkan ialah hikmah ayat ini disisipkan bersama-sama ayat-ayat puasa.

Kita sedia maklum bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang membawa segala kebaikan. Pahala ibadah digandakan, dosa diampunkan dan doa diterima. Justeru kita dituntut agar memperbanyakkan doa di bulan yang mulia ini. Pohonlah kepadanya segala kebaikan dunia dan akhirat. Berdoalah dengan hati yang khusyuk, pasrah dan penuh keyakinan bahawa Dia akan memperkenankan doa kita kerana Dia telah berjanji akan menerima permintaan hamba-hamba-Nya. Dalam berdoa, rasai betapa hampirnya Dia sehingga anda benar-benar merasai kewujudan-Nya. Kerana itu Dia berfirman, "Aku sangat dekat!"

Namun jangan dilupakan adab-adab dan tatacara berdoa. Antara adab-adabnya ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Ta'ala sendiri menerusi ayat ini, "Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku.." ertinya: Mematuhi segala titah perintah-Ku dan menjauhi segala larangan-Ku. Bagaimana anda tidak malu meminta kepada-Nya dalam keadaan enggan menyahut seruan-Nya? Bahkan berani pula melakukan larangan-Nya?? Tak tahu malu!! Anda inginkan Allah menyahut permintaan anda, tetapi anda tidak menyahut seruan dan perintah-Nya. Adakah ini adil? Adakah ini balasan anda terhadap segala kebaikan-Nya?? Anda hamba yang tak kenang budi!! Kerana itu Dia tegaskan, "Jika hamba-hamba-Ku inginkan doa permintaan mereka diperkenankan, maka syaratnya ialah mereka mesti menyahut panggilan-Ku."

Kemudian adab kedua yang ditegaskan oleh Allah di dalam ayat ini lagi ialah, "serta beriman dengan-Ku.." Iman yang dimaksudkan adalah iman yang benar-benar yakin lagi ikhlas. Bukan beriman cara sambal belacan. Beriman ketika susah. Ingat Tuhan ketika susah. Iman yang diinginkan oleh Allah ialah iman yang semakin bertambah. Susah senang tetap beriman. Inilah sebab kepada cepatnya terkabul doa.

Natijah daripada dua adab ini ialah, "agar mereka sentiasa mendapat bimbingan (daripada-Ku)." Bimbingan Allah jua yang kita harapkan dalam meniti hidup yang mencabar di dunia ini. Tanpa bimbingan-Nya, hidup tidak bermakna. Justeru, jaga adab dengan-Nya dalam memohon kepada-Nya, pasti bimbingan-Nya sentiasa mengiringi kita.

Perbanyakkan doa di bulan yang mulia ini dengan menjaga adab-adab berdoa kepada-Nya. Pohonlah kebaikan daripada-Nya. Yakinlah bahawa Dia pasti akan memperkenankan doa kita. Ya Allah! Terima lah doa permohonan kami...

07 September 2008

Risalah Tentang Puasa (5)

Oleh: Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.

Terjemahan: Humair.


Pintu-pintu Syurga Dibuka Di Bulan Ramadhan


Syeikhan (Bukhari dan Muslim) dan selain mereka meriwayatkan daripada Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:


Apabila bulan Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.[1]


Adapun lafaz riwayat Imam Muslim pula:


Pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dirantai.[2]


Qadhi ‘Iyadh berkata:


Hadith ini boleh diandaikan membawa maksud yang sebenar. Pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup menjadi alamat buat para malaikat bahawa bulan yang mulia ini telah tiba lalu mereka bersegera memuliakannya dan bertugas untuk menghalang syaitan-syaitan daripada mengganggu kaum mukminin daripada beribadah. Boleh jadi juga yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga itu adalah sebagai ungkapan terhadap perkara-perkara ketaatan yang dibukakan Allah Ta’ala terhadap hamba-hamba-Nya lalu ia menjadi sebab kemasukan ke syurga. Manakala tertutupnya pintu neraka pula adalah suatu ungkapan tentang berpalingnya keinginan daripada perkara-perkara maksiat yang mengundang pelakunya ke dalam neraka. Terbelenggunya syaitan-syaitan adalah ungkapan tentang kelemahan mereka daripada menyesatkan kaum mukminin dan menghiaskan nafsu syahwat agar melakukan maksiat.[3]


Imam al Turbasyti menerusi Syarh al Masobih pula berkata:


Terbukanya pintu-pintu langit adalah suatu kiasan tentang turunnya rahmat serta terhapusnya penghadang yang menghalang naiknya amalan sekelian hamba Allah. Kadangkala dengan terhasilnya taufiq dan kadangkala melalui terkabulnya amalan. Manakala tertutupnya pintu-pintu Jahannam adalah kiasan tentang penyucian jiwa orang-orang yang berpuasa daripada najis kekejian serta pembebasannya daripada keinginan-keinginan untuk melakukan maksiat dengan tertunduknya nafsu syahwat.


Imam al Qurtubi, Imam Ibnu al Munir dan selain mereka pula mentarjihkan bahawa terbukanya pintu syurga, tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan adalah secara zahir dan hakikat (bukannya kiasan) kerana tiadanya keperluan yang membolehkan ianya ditakwil. Imam Ibnu al Munir berkata:


Adapun riwayat yang menyebut, “pintu-pintu rahmat dan pintu-pintu langit”, ia adalah daripada tafsiran para perawi. Asalnya adalah “pintu-pintu syurga”. Dalilnya ialah kalimah yang bertentangan dengannya iaitu “ditutup pintu-pintu Jahannam.”


Imam al Qurtubi pula berkata:


Jika ditanya: Kita melihat di bulan Ramadhan, maksiat dan kejahatan tetap juga berlaku dengan banyaknya. Jika benar syaitan-syaitan dibelenggu, mengapa ianya masih berlaku?


Jawapannya: Maksiat itu kurang terjadi daripada sebahagian mereka yang berpuasa iaitu golongan yang berpuasa dengan menjaga syarat-syarat dan adab-adabnya. Boleh jadi juga syaitan yang dibelenggu itu hanyalah sebahagiannya sahaja iaitu syaitan-syaitan yang degil sebagaimana yang terdapat di dalam riwayat Imam al Nasaie, “dan dibelenggu di bulan itu syaitan-syaitan yang degil.”[4] Boleh jadi juga kejahatan di bulan Ramadhan berkurangan dan ini adalah perkara yang kita saksikan sendiri. Kejahatan di bulan Ramadhan sememangnya kurang berlaku berbanding di bulan-bulan yang lain. Boleh jadi juga dengan terbelenggunya semua syaitan, ia masih tidak menghalang kemungkinan berlakunya maksiat kerana ianya boleh saja terjadi dengan sebab-sebab yang lain seperti dorongan jiwa yang kotor, kebiasaan-kebiasaan yang jelik dan pengaruh syaitan-syaitan bertopengkan manusia yang kadangkala lebih kuat pengaruhnya daripada syaitan-syaitan berbangsa jin.


Sedikit perhatian:


Sebahagian ulama’ ‘Arifin berkata:


Terbelenggunya syaitan-syaitan di bulan Ramadhan adalah isyarat bahawa telah terangkatnya keuzuran daripada mukallaf seolah-olah ia membisikkan kalimah ini, “Syaitan telah dibelenggu daripada mengganggu anda, maka jangan mencari alasan untuk tidak melakukan ketaatan atau melakukan maksiat.”


Bibliografi utama:


- Ghayatul Ihsan fi Fadhl Syahr Ramadhan, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.


Bibliografi sampingan:


- Sohih al Bukhari, al Hafiz al Imam Muhammad bin Ismail al Bukhari, jilid kedua, cetakan keempat 1420 H (2000 M), al Maktabah al ‘Asriyyah, Beirut.

- Sohih Muslim, al Hafiz al Imam Muslim bin al Hajjaj al Qusyairi al Naisaburi berserta syarahnya oleh Imam Yahya bin Syaraf al Nawawi al Dimasyqi al Syafi’i, tahqiq Muhammad Fuad Abdul Baqi, jilid keempat, cetakan pertama 1421 H (2000 M), Darul Kutub al ‘Ilmiyyah, Beirut-Lebanon.

- Al Musnad, Imam Ahmad bin Hambal, jilid ketiga, cetakan kedua 1414 H (1994 M), Darul Fikr- al Maktabah al Tijariyyah.

- Al Ihsan bi Tartib Sohih Ibnu Hibban, al Amir ‘Alauddin Ali bin Balban al Farisi, jilid kelima, cetakan pertama 1417 H (1996 M), Darul Fikr, Beirut.

- Sunan Ibnu Majah, al Hafiz Abu Abdullah Muhammad bin Yazid al Qozuwaini berserta tahqiq al Hafiz Syihabuddin Ahmad bin Abu Bakar al Busiri, jilid pertama, cetakan 1415 H (1995 M), Darul Fikr, Beirut.

- Sunan al Nasaie, al Hafiz al Nasaie berserta syarah al Hafiz Jalaluddin al Suyuti dan hasyiah al Sindi, jilid kedua, cetakan 1415 H (1995 M), Darul Fikr, Beirut.

- Al Mustadrak ‘ala al Sohihain, al Hafiz Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al Naisaburi al Hakim, jilid pertama, cetakan pertama 1422 H (2002 M), Darul Fikr, Beirut.

- Al Sunan al Kubra, al Hafiz Abu Bakar Ahmad bin al Husain bin Ali al Baihaqi, jilid keenam, cetakan pertama 1425/26 H (2005 M), Darul Fikr, Beirut.

- Al Sunan al Sughra, al Hafiz al Baihaqi, tahqiq Syeikh Khalil Makmun Syiha, jilid pertama, cetakan pertama 1420 H (1999 M), Darul Ma’rifah, Beirut- Lebanon.

- Sunan al Darimi, Imam Abu Muhammad Abdullah bin Bahram al Darimi, jilid pertama, cetakan 1414 H (1994 M), Darul Fikr, Beirut.



[1] Sohih Bukhari, hadith no: 1899, Sohih Muslim, hadith no: 1- (1089), Musnad Imam Ahmad, hadith no: 7151, Sohih Ibnu Hibban, hadith no: 3433, Sunan Ibnu Majah, hadith no: 1642, Sunan al Nasaie, hadith no: 2093 & 2094, Sunan al Darimi, hadith no: 1776, al Mustadrak, hadith no: 1564, al Sunan al Sughra, hadith no: 1428/1, al Sunan al Kubra, hadith no: 8585. Kesemuanya dengan lafaz-lafaz yang sedikit berbeza.

[2] Sohih Muslim, hadith no: 2- (….).

[3] Kalam Qadhi ‘Iyadh ini dinukilkan oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim berserta sedikit olahan.

[4] Sunan al Nasaie, hadith no: 2102.

06 September 2008

Risalah Tentang Puasa (4)

Oleh: Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.

Terjemahan: Humair.


Lapan Komponen Islam


Imam al Bazzar meriwayatkan daripada Sayyiduna Huzaifah radhiyallahu ‘anhu dan Imam Abu Ya’la pula meriwayatkan daripada Amirul Mukminin Imam Ali ‘alaihissalam bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:


Islam itu mempunyai lapan komponen (utama):


1) Mengucap dua kalimah syahadah

2) Sembahyang

3) Zakat

4) Puasa

5) Menunaikan haji di Baitul Haram

6) Amar ma’ruf

7) Nahi mungkar

8) Berjihad di jalan Allah Ta’ala.


Maka kecewalah sesiapa yang tidak memiliki walau satu pun daripada komponen-komponen ini.[1]


Terdapat juga riwayat seperti ini yang mauquf pada Sayyiduna Huzaifah radhiyallahu ‘anhu. Imam al Daraqutni dan para muhaddith yang lain berkata: Ianya lebih sohih.[2]


Saya (Sayyid Abdullah) menyatakan: Komponen utama Islam itu ada lapan sebagaimana bilangan pintu syurga. Komponen-komponen ini disebut secara khusus kerana lima komponen yang pertama[3] adalah rukun Islam dan dasarnya. Manakala Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar pula membawa kepada kesejahteraan dan kestabilan masyarakat. Tidak ada kebaikan dalam sesebuah masyarakat yang sunyi daripada golongan yang melaksanakan Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar. Lihat bagaimana Allah Ta’ala melaknat Bani Israel disebabkan kealpaan mereka dalam melaksanakan kewajipan Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar. Firman Allah Ta’ala mafhumnya:


Golongan kafir dari Bani Israel telah dilaknat melalui lisan Daud dan Isa putera Maryam. Itu adalah kerana mereka sering menderhaka dan melampaui batas. Mereka juga tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan. Sungguh buruk sekali perbuatan mereka itu! [al Maidah: 78-79]


Jihad pula adalah asas agama dan benteng keyakinan. Dengan jihad, kejahatan golongan pelampau dapat ditumbangkan dan kemuliaan yang telah dijanjikan oleh Allah Ta’ala buat kaum mukminin dapat dicapai. Hari ini, kaum muslimin menjadi hina, kehormatan mereka dicerobohi dan kemerdekaan mereka dirampas adalah disebabkan mereka meninggalkan jihad. Mereka hanya ingin bersenang lenang dan memenuhi kepentingan peribadi semata-mata. Maka tidak ada kebaikan yang boleh diharapkan pada mereka melainkan dengan kembali kepada agama, berkerja untuk mengembalikan kegemilangannya, menentang negara-negara penjajah dan menghapuskan sebarang faktor kejahatan dan kerosakan. Kita memohon kepada Allah Ta’ala agar Dia mengilhamkan kepada kita petunjuk dan kebenaran.


Bibliografi utama:


- Ghayatul Ihsan fi Fadhl Syahr Ramadhan, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.


Bibliografi sampingan:


- Musnad Abi Ya’la, Imam Abu Ya’la Ahmad bin Ali bin al Muthanna al Mausili, tahqiq dan takhrij Syeikh Khalil Makmun Syiha, cetakan pertama 1426 H (2005 M), Darul Ma’rifah, Beirut-Lebanon.



[1] Musnad Abi Ya’la, hadith no: 523/263, m/s 136 riwayat daripada Imam Ali ‘alaihissalam.

[2] Ertinya riwayat yang mauquf itu lebih sohih berbanding riwayat yang marfu’.

[3] Mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, zakat, puasa dan haji.

05 September 2008

Risalah Tentang Puasa (3)

Oleh: Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.

Terjemahan: Humair.


Adakah Puasa Ramadhan Difardhukan Ke Atas Umat Sebelum Kita?


Para ulama’ berselisih pendapat: Adakah puasa Ramadhan pernah difardhukan ke atas Ahli Kitab sebelum kita atau tidak?


Imam al Hasan al Basri dan Imam al Suddi radhiyallahu ‘anhuma berpandangan bahawa puasa Ramadhan pernah difardhukan ke atas umat-umat terdahulu. Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim daripada Sayyiduna Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:


Puasa Ramadhan itu pernah difardhukan oleh Allah Ta’ala ke atas umat-umat sebelum kamu.[1]


Hadith ini adalah dho’if.


Imam al Tobarani di dalam al Mu’jam al Ausat meriwayatkan daripada Daghfal bin Hanzolah al Nassabah bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:


Puasa Ramadhan itu dahulunya pernah difardhukan ke atas penganut Kristian. Mereka diperintah oleh seorang raja. Suatu ketika, raja itu ditimpa sakit lalu dia bernazar, “Sekiranya Allah Ta’ala menyembuhkannya, maka dia akan menambah bilangan hari puasa sebanyak sepuluh hari.” Kemudian, mereka diperintah pula oleh raja yang lain. Raja tersebut ditimpa sakit akibat memakan daging. Lantas dia pun bernazar, “Jika Allah Ta’ala menyembuhkannya, maka dia akan menambahkan lapan hari lagi bilangan puasa.” Apabila mereka diperintah oleh raja yang lain pula, raja tersebut berkata, “Kita mesti sempurnakan hari-hari puasa ini tapi kita lakukannya pada musim bunga.” Lalu bilangan hari puasa itu lengkap menjadi 50 hari.[2]


Sanadnya adalah sohih. Cuma ketika Imam al Tobarani meriwayatkan hadith yang sama di dalam al Mu’jam al Kabir dengan sanad yang sohih, beliau meriwayatkannya secara mauquf pada Daghfal dan tidak menjadikannya sebagai marfu’ kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Daghfal pula adalah seorang tidak sabit statusnya sebagai sahabat.[3]


Manakala jumhur ulama’ pula berpendapat bahawa puasa yang difardhukan ke atas umat-umat terdahulu adalah mutlaq dan tidak terikat pada bulan Ramadhan sahaja. Imam Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Imam ‘Ato’ mengenai tafsir firman Allah Ta’ala yang berbunyi mafhumnya:


Wahai orang-orang yang beriman! Difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya telah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Puasa itu adalah) selama beberapa hari yang boleh dibilang.. [al Baqarah: 183-184]


Imam ‘Ato’ berkata:


Difardhukan ke atas kamu berpuasa selama tiga hari pada setiap bulan kerana ia adalah puasa umat sebelum itu. Kemudian Allah Ta’ala memfardhukan puasa Ramadhan.


Ini juga merupakan tafsiran Sayyiduna Mu’az, Sayyiduna Abdullah bin Mas’ud, Sayyiduna Abdullah bin ‘Abbas, Qatadah dan al Dhohhak bin Muzahim. Al Dhohhak turut menambah:


Puasa ini sememangnya telah difardhukan sejak zaman Nabi Nuh ‘alaihissalam sehinggalah Allah Ta’ala menasakhkannya dengan kefardhuan puasa Ramadhan.[4]


Oleh itu, puasa Ramadhan adalah di antara khususiat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sila lihat kitab al Khosois al Kubra[5] karangan al Hafiz al Suyuti rahimahullah.




Bibliografi utama:



- Ghayatul Ihsan fi Fadhl Syahr Ramadhan, al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari.



Bibliografi sampingan:



- Tafsir al Quran al 'Azim, al Hafiz Ibnu Abi Hatim, tahqiq As'ad Muhammad al Toyyib, jilid pertama, cetakan kedua 1424 H (2003 M), al Maktabah al 'Asriyyah, Beirut.

- Jami' al Bayan fi Tafsir Ayi al Quran, al Imam Ibnu Jarir al Tobari, jilid kedua, cetakan tahun 1415 H (1995 M), Darul Fikr, Beirut.

- Majma' al Zawaid wa Manba' al Fawaid, al Hafiz Nuruddin Ali al Haithami, tahqiq Abdullah Muhammad al Darwish, jilid ketiga, cetakan tahun 1425/26 H (2005 M), Darul Fikr, Beirut.

- Al Khosois al Nabawiyyah al Kubra, al Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al Suyuti, tahqiq Dr. Hamzah al Nasyrati, Syeikh Abdul Hafiz al Faraghli dan Dr. Abdul Hamid Mustafa, jilid kedua, cetakan tanpa tahun, al Maktabah al Qayyimah, Mesir.



[1] Tafsir Ibnu Abi Hatim, hadith no: 1625, m/s 304 pada tafsir surah al Baqarah.

[2] Majma’ al Zawaid, hadith no: 7471, m/s 339. Al Haithami berkata, “Diriwayatkan oleh al Tobarani di dalam al Mu’jam al Ausat secara marfu’ sebagaimana yang anda lihat. Al Tobarani turut meriwayatkannya di dalam al Mu’jam al Kabir secara mauquf pada Daghfal. Perawi sanad hadith ini adalah mengikut syarat sohih.

[3] Ini adalah kerana, para muhaddith berselisih pandangan mengenai beliau: Adakah beliau seorang sahabat atau bukan..

[4] Jami’ al Bayan, hadith no: 2239, m/s 176 riwayat daripada Qatadah. Hadith no: 2241, m/s 178 riwayat daripada ‘Ato’. Hadith no: 2242, m/s 178 riwayat daripada Ibnu ‘Abbas. Hadith no: 2243, m/s 178 riwayat daripada Mu’az bin Jabal.

[5] Al Khosois al Kubra, m/s 435, jilid kedua.

04 September 2008

Risalah Tentang Puasa (2)

Oleh: Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.

Terjemahan: Humair.


Cara Kewajipan Puasa Mengalami Pemeringkatan.


Imam Ahmad radhiyallahu ‘anhu menerusi kitab beliau al Musnad meriwayatkan daripada Sayyiduna Mu’az bin Jabal radhiyallahu ‘anhu bahawasanya beliau berkata:


Sembahyang itu pernah melalui tiga peringkat. Begitu juga puasa telah melalui tiga keadaan. Adapun peringkat-peringkat yang pernah dilalui oleh sembahyang ialah:


1) Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah al Munawwarah, Baginda sembahyang dengan menghadap ke arah Baitul Maqdis selama 17 bulan. Kemudiannya, Allah Ta’ala menurunkan ayat yang berbunyi mafhumnya:


Seringkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) menengadahkan wajahmu ke langit. Kerana itu Kami (berkenan) untuk memalingkan engkau ke arah kiblat yang engkau sukai. [al Baqarah: 144]


Lalu Allah Ta’ala memalingkan Baginda ke arah Mekah al Mukarramah. Ini adalah peringkat pertama.


Sayyiduna Mu’az berkata lagi:


2) Para sahabat dahulunya ketika ingin berhimpun menunaikan sembahyang secara berjemaah, mereka akan saling memberitahu sesama mereka sehingga akhirnya memaksa mereka menggunakan loceng atau hampir-hampir menggunakannya (bertujuan untuk memaklumkan masuknya waktu sembahyang). Kemudian seorang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Abdullah bin Ziyad bin Abdul Rabbuh menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Rasulullah! Saya telah bermimpi. Tapi jika saya mengatakan saya tidak bermimpi, boleh jadi juga. Ketika saya berada dalam keadaan antara tidur dan jaga, saya melihat seseorang yang memakai dua helai baju berwarna hijau sedang menghadap kiblat lalu melaungkan:


Allahu Akbar Allahu Akbar


Asyhadu Alla Ilaha Illallah, sebanyak dua kali sehingga selesai azan. Kemudian dia berhenti seketika. Setelah itu, dia melaungkan sekali lagi kalimah yang sama cuma ditambah dengan kalimah ‘Qad qamatissolah’ sebanyak dua kali.” Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda, “Ajarkan kalimah-kalimah itu kepada Bilal supaya dia melaungkan azan dengannya.” Maka dengan itu, Bilal adalah orang pertama yang melaungkan azan. Setelah itu, Umar bin al Khattab radhiyallahu ‘anhu datang bertemu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Rasulullah! Saya juga mengalami perkara yang sama seperti dia (Abdullah bin Ziyad). Cuma dia telah mendahului saya (menceritakan mimpinya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam).” Ini adalah peringkat yang kedua.


3) Para sahabat dahulunya ketika datang untuk menunaikan sembahyang, mereka mendapati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah mendahului mereka. Lalu salah seorang bertanya secara isyarat, “Berapa rakaat telah berlalu” Maka akan dijawab, “Satu atau dua.” Maka mereka akan sembahyang terlebih dahulu, kemudian baru masuk ke dalam jemaah. Apabila Mu’az datang, beliau berkata, “Saya akan sembahyang secara berjemaah terlebih dahulu, kemudian saya akan mengqadha’ yang berbaki.” Lalu, suatu ketika beliau datang ke masjid dan mendapati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah sembahyang terlebih dahulu. Lantas beliau terus sembahyang bersama jemaah. Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam selesai sembahyang, Mu’az pun bangun untuk menyempurnakan baki sembahyangnya. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda, “Mu’az telah mengasaskan sunnah (yang bagus) buat kamu. Oleh itu, lakukan seperti yang beliau buat.” Ini adalah peringkat ketiga.


Adapun keadaan-keadaan yang dialami oleh puasa pula:


1) Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah al Munawwarah, Baginda berpuasa tiga hari setiap bulan ditambah dengan puasa pada hari ‘Asyura.


2) Kemudiannya, Allah Ta’ala mewajibkan puasa dengan menurunkan ayat yang berbunyi mafhumnya:


Wahai orang-orang yang beriman! Difardhukan ke atas kamu puasa sebagaimana ianya difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu…. Sehinggalah firman Allah Ta’ala: Dan bagi mereka yang mampu berpuasa (tetapi tidak ingin berpuasa) maka mereka wajib mengeluarkan fidyah berupa hidangan makanan buat golongan miskin. [al Baqarah: 183-184]


Jadi, siapa yang ingin berpuasa, dia perlu berpuasa. Bagi sesiapa yang tidak ingin berpuasa, maka dia wajib memberi makanan kepada fakir miskin (sebagai fidyah). Setelah itu, Allah Ta’ala menurunkan pula ayat lain yang berbunyi mafhumnya:


Bulan Ramadhan itu adalah (bulan) yang diturunkan al Quran padanya sebagai petunjuk buat sekelian manusia dan penjelasan buat petunjuk tersebut serta sebagai pembeza (antara kebenaran dan kebatilan). Maka sesiapa di kalangan kamu yang menyaksikan (kemunculan) bulan itu (atau mengetahuinya) hendaklah berpuasa.. [al Baqarah: 185]


Allah Ta’ala mewajibkan puasa ke atas orang yang sihat dan bermukim. Dia meringankannya daripada orang yang sakit dan musafir serta mewajibkan ke atas orang tua yang tidak mampu berpuasa agar memberikan makanan kepada fakir miskin (sebagai fidyah). Ini adalah dua keadaan.


Sayyiduna Mu’az berkata lagi:


3) Pada malam puasa pula, dahulunya para sahabat boleh makan, minum dan menggauli isteri selagi mana mereka tidak tidur (sebelum masuk waktu berbuka). Jika mereka tidur (atau tertidur), maka mereka tidak boleh makan, minum dan menggauli isteri. Ada seorang lelaki Ansar yang dikenali sebagai Sirmah telah berkerja dalam keadaan berpuasa sehingga ke petang. Kemudian beliau pulang ke rumah untuk berbuka, namun sayangnya tiada juadah yang boleh dihidangkan untuk berbuka. Setelah menunaikan sembahyang Isyak, beliau terus tidur tanpa sempat menjamah makanan mahupun minuman sehingga pagi esoknya. Keesokan harinya, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melihat beliau dalam keadaan lemah longlai tidak bermaya lalu Baginda bertanya, “Mengapa saya lihat kamu dalam keadaan lemah tidak bermaya?” Lalu Sirmah menjawab, “Semalam saya berkerja. Bila saya pulang ke rumah, saya terus berbaring dan terlelap (kerana terlalu letih). Saya bangun pagi dalam keadaan berpuasa (tanpa sempat menjamu sebarang juadah).”


Umar pula telah menggauli isterinya selepas bangun dari tidur (pada malam puasa). Lalu beliau menceritakannya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lantas Allah Ta’ala menurunkan ayat yang berbunyi mafhumnya:


Dihalalkan bagi kamu untuk menggauli isteri pada malam puasa. Mereka adalah pakaian kamu dan kamu juga adalah pakaian mereka. Allah mengetahui bahawa kamu pernah mengkhianati diri kamu (dengan menggauli isteri) lalu Dia menerima taubat kamu dan sudi memaafkan kamu. Sekarang, gaulilah mereka dan carilah apa yang telah ditakdirkan Allah buat kamu (berupa zuriat) serta makan dan minumlah sehingga jelas kepada kamu benang putih daripada benang hitam di waktu fajar. Setelah itu, sempurnakan puasa kamu sehingga ke malam.. [al Baqarah: 187][1]


Riwayat ini turut dikeluarkan oleh Abu Daud dan al Hakim.[2]


Daripada hadith ini, jelas kepada kita bahawa puasa itu mengalami pemeringkatan dalam tiga keadaan:


1) Puasa ‘Asyura dan puasa tiga hari setiap bulan. Kemudian difardhukan puasa secara pilihan iaitu siapa yang ingin, boleh berpuasa dan siapa yang ingin, boleh tidak berpuasa serta memberi fidyah berupa makanan.


2) Pilihan dinasakhkan dan puasa itu diwajibkan ke atas setiap orang yang bermukim dan sihat. Manakala bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa, wajib memberi makan sebagai fidyah. Imam al Bukhari menerusi Sohihnya menyatakan bahawa orang tua yang tidak mampu berpuasa, hendaklah mengeluarkan fidyah. Ini adalah kerana Sayyiduna Anas telah memberikan makanan setiap hari kepada seorang miskin berupa roti dan daging selama setahun atau dua tahun apabila beliau telah tua (dan tidak mampu berpuasa lagi).[3] Demikian juga yang dilakukan oleh Imam Ato’ apabila beliau telah tua dan tidak berdaya untuk berpuasa lagi.


3) Keharusan makan dan minum sepanjang malam puasa baik sebelum tidur mahupun selepasnya. Sebelum berlakunya keharusan ini, sesiapa yang tertidur sebelum menjamah sebarang makanan, maka dia wajib menyambung puasanya hingga ke hari seterusnya. Sebab berlakunya keharusan ini adalah peristiwa yang berlaku terhadap lelaki Ansar dan Sayyiduna Umar sebagaimana yang tercatat di dalam hadith yang kita bicarakan ini. Kisah ini juga terdapat di dalam Sohih al Bukhari.[4]


Para periwayat hadith berselisih mengenai nama sebenar Sirmah al Ansari. Namun yang betulnya ialah sepertimana yang ditahqiqkan oleh al Hafiz Ibnu Abdul Barr iaitu:


Abu Qais Sirmah bin Abi Anas Qais bin Malik bin ‘Adiy bin ‘Amir bin Ghanm bin ‘Adiy bin al Najjar.


Ibnu Ishaq berkata:


Sirmah dahulunya adalah seorang rahib pada zaman jahiliah. Sering memakai pakaian berjalur, tidak menyembah berhala dan sering mandi janabah. Pada asalnya beliau ingin menganut agama Kristian, namun beliau membatalkan hasratnya. Beliau menjadikan rumahnya sebagai tempat ibadah yang tidak boleh dimasuki oleh perempuan yang haidh atau orang yang sedang berjunub. Beliau pernah menyatakan, “Saya menyembah Tuhan Nabi Ibrahim.” Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah al Munawwarah, beliau lantas memeluk Islam dan menjadi Muslim yang baik. Seorang yang telah tua, sering berkata benar dan sangat mengagungkan Allah Ta’ala ketika beliau di zaman jahiliah dulu..


Bibliografi utama:


- Ghayatul Ihsan fi Fadhl Syahr Ramadhan, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari, cetakan kedua 1427 H (2006 M), Maktabah al Qohirah, Mesir.


Bibliografi sampingan:


- Al Musnad, Imam Ahmad bin Hambal, jilid kelapan, cetakan kedua 1414 H (1994 M), al Maktabah al Tijariyyah- Darul Fikr, Beirut.

- Sohih al Bukhari, al Hafiz Imam Muhammad bin Ismail al Bukhari, jilid kedua & ketiga, cetakan keempat 1420 H (2000 M), al Maktabah al ‘Asriyyah, Beirut.

- Sunan Abi Daud, al Hafiz Imam Abu Daud Sulaiman bin al Asy’ath al Sijistani, jilid kedua, tanpa tarikh, Dar Ihya’ al Turath al ‘Arabi, Beirut- Lebanon.

- Al Mustadrak ‘ala al Sohihain, al Hafiz Imam Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al Naisaburi al Hakim, tahqiq Dr. Mahmud Matraji, jilid pertama, cetakan pertama 1422 H (2002 M), Darul Fikr, Beirut.



[1] Musnad Imam Ahmad bin Hambal, hadith no: 22185, m/s 263-265, jilid lapan.

[2] Riwayat yang dikeluarkan oleh kedua-dua Imam ini bukanlah cerita panjang sebagaimana yang terdapat dalam riwayat ini. Mereka hanya mengeluarkan sebahagian riwayat sahaja. Adapun Imam Abu Daud, riwayat daripada Al Barra’ bin ‘Azib, Salamah bin al Akwa’ dan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhum. Hadith no: 2313, 2314, 2315 & 2316, m/s 295-296. Manakala Imam al Hakim pula di dalam al Mustadrak daripada riwayat Salamah bin al Akwa’, hadith no: 1570, m/s 530.

[3] Sohih al Bukhari, bab firman Allah Ta’ala mafhumnya, “Selama beberapa hari yang boleh dikira…” [al Baqarah: 184], m/s 1362.

[4] Sohih al Bukhari, hadith no: 1915, m/s 569.

01 September 2008

Risalah Tentang Puasa (1)

Oleh: Al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari al Hasani.

Terjemahan: Humair.


Bagaimana Bermulanya Kefardhuan Puasa?


Sabit di dalam Sohih al Bukhari dan Muslim, daripada Sayyidah Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawasanya beliau berkata:


Orang Quraisy pada zaman jahiliah berpuasa pada hari ‘Asyura. Begitu juga Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari itu. Apabila Baginda menjejakkan kaki di Madinah al Munawwarah, Baginda masih lagi berpuasa pada hari tersebut serta memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari itu. Apabila turunnya perintah puasa di bulan Ramadhan, maka Baginda meninggalkan puasa hari ‘Asyura. Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari tersebut, dia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dia juga boleh meninggalkannya.[1]


Di dalam Sohih al Bukhari dan Muslim, daripada Sayyiduna Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma bahawasanya beliau berkata:


Golongan jahiliah dahulunya berpuasa pada hari ‘Asyura. Kemudian apabila turunnya kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari itu, dipersilakan. Jika dia tidak ingin berpuasa pun tidak mengapa.”[2]


Di dalam Sohih al Bukhari dan Muslim juga, daripada Sayyiduna ‘Alqomah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya beliau berkata:


Suatu hari di hari ‘Asyura, al Asy’ath bin Qais melawat Abdullah bin Mas’ud. Ketika itu beliau (Ibnu Mas’ud) didapati sedang menikmati makanan. Lantas al Asy’ath berkata (dalam kehairanan), “Abu Abdul Rahman! Bukankah hari ini hari ‘Asyura?” Lalu Ibnu Mas’ud menjawab, “Hari ini diwajibkan berpuasa sebelum turunnya kewajipan puasa Ramadhan. Bila puasa Ramadhan diwajibkan, maka puasa pada hari ini ditinggalkan. Mari sini kita makan.”[3]


Di dalam Sohih al Bukhari dan Muslim lagi, daripada Sayyiduna Abdullah bin ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawasanya beliau berkata:


Ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sampai di Madinah al Munawwarah, Baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda bertanya, “Hari ini hari apa?” Lantas mereka menjawab, “Hari ini hari bertuah. Pada hari ini, Allah Ta’ala membebaskan Bani Israil daripada musuh mereka (Fir’aun). Lalu Nabi Musa ‘alaihissalam berpuasa (sebagai tanda syukur).” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda, “Saya lebih berhak meraikan Nabi Musa berbanding kamu!” Lalu Baginda berpuasa pada hari itu serta memerintahkan para sahabat supaya turut berpuasa.[4]


Saya (Sayyid Abdullah) menyatakan:


Pada zaman dahulu, orang Quraisy berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka memuliakan hari tersebut dengan mengadakan upacara menyalin kain kelambu Ka’abah. Di dalam majlis ketiga daripada himpunan majlis al Baghandi al Kabir diriwayatkan bahawasanya ‘Ikrimah ditanya mengenai perkara ini. Lalu beliau menjawab:


Pada zaman jahiliah, orang Quraisy telah melakukan suatu dosa yang menyebabkan mereka merasa susah hati. Kemudian mereka mendapat khabar bahawa puasa di hari ‘Asyura boleh menebus dosa kesalahan (lantas mereka berpuasa di hari tersebut).


Adapun puasa orang Yahudi pada hari ‘Asyura, ia merupakan tanda kesyukuran kepada Allah Ta’ala yang telah membebaskan Nabi Musa ‘alaihissalam dan Bani Israil serta menenggelamkan Fir’aun. Daripada hadith-hadith yang telah kami sebutkan di sini, secara zahirnya memperlihatkan kepada kita bahawa pada asalnya puasa hari ‘Asyura itu adalah wajib kemudian ianya dinasakhkan dengan kefardhuan puasa Ramadhan. Ini adalah pendapat mazhab Hanafiyyah. Pendapat ini juga adalah satu wajah di sisi mazhab Syafi’iyyah. Manakala jumhur ulama’ pula berpendapat bahawa tiada sebarang puasa yang diwajibkan sebelum kefardhuan Ramadhan baik pada hari ‘Asyura mahupun selainnya. Pendapat yang pertama (pendapat mazhab Hanafiyyah & Syafi’iyyah) adalah lebih sohih. Kefardhuan puasa ‘Asyura itu berlaku ketika kedatangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ke Madinah al Munawwarah. Pada tahun kedua Hijrah pula, turunlah kewajipan puasa Ramadhan.


Bibliografi utama:


- Ghayatul Ihsan fi Fadhl Syahr Ramadhan, al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari al Hasani, cetakan kedua 1427 H (2006 M), Maktabah al Qohirah, Mesir.


Bibliografi sampingan:


- Sohih al Bukhari, al Imam al Hafiz Muhammad bin Ismail al Bukhari, jilid kedua, cetakan keempat 1420 H (2000 M), al Maktabah al ‘Asriyyah, Beirut.

- Sohih al Bukhari, al Imam al Hafiz Muhammad bin Ismail al Bukhari, jilid ketiga, cetakan keempat 1420 H (2000 M), al Maktabah al ‘Asriyyah, Beirut.

- Sohih Muslim, al Imam al Hafiz Muslim bin al Hajjaj al Qusyairi al Naisaburi, berserta syarah Nawawi, Imam Yahya bin Syaraf al Nawawi al Dimasyqi al Syafi’i, jilid keempat, cetakan pertama 1421 H (2000 M), Darul Kutub al ‘Ilmiyyah, Beirut-Lebanon.

- Nailul Autor min Asrar Muntaqo al Akhbar, al Qadhi Muhammad bin Ali al Syaukani al Yamani, tahqiq Muhammad Subhi bin Muhammad Hallaq, jilid kelapan, cetakan pertama (Syawal 1427 H), Dar Ibnu al Jauzi, Arab Saudi.



[1] Sohih al Bukhari, hadith no: 2002, m/s 592. Sohih Muslim syarah Nawawi, hadith no: 113 (1125), m/s 4. Nailul Autor, hadith no: 10/1714, m/s 399.

[2] Sohih al Bukhari, hadith no: 4501, m/s 1361. Sohih Muslim syarah Nawawi, hadith no: 117 (1126), m/s 6. Nailul Autor, hadith no: 13/1717, m/s 399.

[3] Sohih al Bukhari, hadith no: 4503, m/s 1362. Sohih Muslim syarah Nawawi, hadith no: 124 (…), m/s 7. Nailul Autor, hadith no: 12/1716, m/s 399.

[4] Sohih al Bukhari, hadith no: 2004, m/s 593. Sohih Muslim syarah Nawawi, hadith no: 127 (1130), m/s 8. Nailul Autor, hadith no: 15/1719, m/s 399-400.

31 Ogos 2008

Salam Ramadhan

Ramadhan menjelang lagi. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan salam Ramadhan buat semua sidang pembaca dan pengunjung blog saya. Semoga Ramadhan kali ini lebih bererti dalam menambahkan ganjaran pahala amalan kita. Penuhi Ramadhan dengan sebaik-baiknya agar kita tidak menyesal apabila berlalunya Ramadhan kerana tahun hadapan belum tentu kita akan bertemu dengannya lagi. Perbanyakkan doa dan istighfar. Jangan lupa doakan saya sekali yang lemah ini.

Insya Allah, sempena Ramadhan ini saya akan memaparkan artikel-artikel yang berkaitan dengan Ramadhan khususnya artikel-artikel karangan ulama' yang saya terjemahkan buat perkongsian bersama. Mudah-mudahan kita akan mendapat faedah bersama. Ramadhan Karim!