12 Jun 2009

Sempena Hari Keluarga 2009



RISALAH SEMPENA HARI KELUARGA 09
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Kita bertemu lagi di Hari Keluarga bagi sesi 2009. Cuma bezanya pada tahun ini ia diadakan agak lewat sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Namun begitu, kelewatan bukan satu penghalang. Masa bukan suatu perkara yang perlu dijadikan alasan bagi membantutkan program yang telah dirancang sebelum ini. Yang penting ialah kesungguhan dan usahasama yang ditunjukkan oleh kita dalam menjayakan program.


Saban tahun kita mengadakan Hari Keluarga. Bagi saya, kalimah 'Hari Keluarga' merupakan satu kalimah yang mengandungi maknanya yang tersendiri. Kenapa tidak dinamakan 'Hari Kawan-Kawan' atau 'Hari Persahabatan' atau apa saja nama yang tiada kalimah 'keluarga' kerana kita bukannya satu keluarga pun? Kebanyakan kita hanya berasal dari institusi pengajian yang sama dan muka yang sama juga kita tatap selama bertahun-tahun. Namun saya melihat, kalimah 'keluarga' yang kita gunapakai sekarang ini memberi suatu erti yang sangat mendalam. Kita semua adalah satu keluarga. Belajar di bumi yang sama walaupun tinggal di rumah yang berlainan dan menuntut di fakulti pengajian yang berbeza. Oleh itu, mari kita hayati hubungan kekeluargaan itu dengan lebih mendalam. Hari Keluarga hanya satu titik permulaan yang menghubungkan kita walaupun kita telah berhubung sebelum itu lagi. Cuma ia menjadi batu loncatan untuk kita melangkah lebih jauh lagi dalam menghayati erti kekeluargaan ini dengan lebih halus.

Apa itu keluarga? Tak perlu saya takrifkan ia kerana masing-masing ada tafsiran dan takrifan yang tersendiri mengenai kalimah 'keluarga'. Cuma saya sekadar menimbulkan pertanyaan ini untuk mengajak sahabat-sahabat berfikir sejenak adakah kita telah melaksanakan erti kekeluargaan itu sesama kita? Jika belum, kita muhasabah kembali. Jika sudah, kita perkemaskan lagi. Hari Keluarga perlu disambut dengan suasana harmoni. Tunjukkan kerjasama sebagai satu keluarga. Zahirkan keikhlasan sebagai ahli keluarga yang menyayangi antara satu sama lain. Ini adalah prinsip asas yang wujud dalam sebuah keluarga bahagia. Jika kita gagal menghayati prinsip ini, bagi saya ia bukan berpunca daripada kegagalan program Hari Keluarga tetapi berpunca daripada sikap kita sendiri yang selama ini tidak begitu mementingkan nilai kekeluargaan sesama kita. Saya melihat ad-hock telah mula bertungkus-lumus berkerja tanpa mengenal penat dan lelah. Korbankan masa dan tenaga. Ini semua adalah suatu pengorbanan yang mengharukan hanya dengan tujuan untuk memastikan kelancaran program dan untuk merealisasikan perhimpunan satu keluarga besar beberapa generasi (tiada datuk & nenek, hanya ibu ayah dan anak-anak). Semoga Allah membalas usaha mereka dengan sebaik-baik balasan.

Akhir kalam, sempena Hari Keluarga 09 yang bakal menjelang, sama-samalah kita hayati firman Allah Ta'ala dalam surah al Hujurat ayat 10 yang berbunyi:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Mafhumnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara[1], maka perbaikilah (hubungan) di antara dua orang saudara kamu (yang berselisih faham) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat. [al Hujurat: 10]

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.

p/s: Buat pelajar furu' yang baca artikel ini, jangan lupa balik Kaherah ye. Pesanan dari penganjur hehehe….


[1] Ertinya persaudaraan yang hakiki itu hanyalah dengan ikatan iman walaupun berbeza keturunan, bangsa, warna kulit, bahasa dan kedudukan. Indahnya persaudaraan atas dasar iman!

Tiada ulasan: