02 Jun 2009

Syair Buat Penuntut Ilmu

Amirul Mukminin al Imam 'Ali bin Abi Tolib كرم الله وجهه [1] terkenal sebagai salah seorang sahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang berilmu tinggi. Beliau juga merupakan seorang pemidato dan penyair yang hebat. Menerusi entri kali ini, saya ingin menyajikan terjemahan salah sebuah syair beliau yang ditujukan buat golongan penuntut ilmu. Semoga mendapat manfaat bersama. Buat para penuntut ilmu khususnya ilmu agama, saya persembahkan syair Imam 'Ali كرم الله وجهه buat anda semua sebagai pemangkin semangat.


Berkata Amirul Mukminin:


النَّاسُ مِنْ جِهَةِ التَّمْثِيْلِ أَكْفَاءُ # أَبُوهُمُ آدَمُ وَالأُمُّ حَوَّاءُ


Manusia itu dari segi bentuk, serupa sahaja;

Bapa mereka Adam dan ibu pula adalah Hawa.


نَفْسٌ كَنَفْسٍ وَأَرْوَاحٌ مُشَاكَلَةٌ # وَأَعْظُمُ خُلِقَتْ فِيْهَا وَأَعْضَاءُ


Jiwa yang sama dan roh yang agak serupa;

Tulang dicipta padanya begitu juga anggota.


وَإِنَّمَا أُمَّهَاتُ النَّاسِ أَوْعِيَةٌ # مُسْتَوْدَعَاتٌ وَلِلأَحْسَابِ آبَاءُ


Ibu-ibu hanyalah menjadi wadah sahaja;

Tempat simpanan keturunan buat para bapa.


فَإِنْ يَكُنْ لَهُمْ مِنْ أَصْلِهِمْ شَرَفٌ # يُفَاخِرُونَ بِهِ فَالطِّيْنُ وَالْمَاءُ


Jika mereka memiliki asal kejadian yang mulia;

Yang boleh dibanggakan, hanya tanah[2] dan air[3] cuma.


مَا الْفَضْلُ إِلاَّ لِأَهْلِ الْعِلْمِ إِنَّهُمُ # عَلَى الْهُدَى لِمَنِ اسْتَهْدَى أَدِلاَّءُ


Kemuliaan itu hanya milik ulama' kerana mereka;

Mendapat petunjuk dan menjadi petunjuk buat yang meminta.


وَضِدُّ كُلِّ امْرِئٍ مَا كَانَ يَجْهَلُهُ # وَالْجَاهِلُونَ لِأَهْلِ الْعِلْمِ أَعْدَاءُ


Lawan setiap orang adalah perkara yang dijahilinya;

Kerana itu, orang jahil adalah musuh para ulama.


وَإِنْ أَتَيْتَ بِجُودٍ مِنْ ذَوِىْ نَسَبٍ # فَإِنَّ نِسْبَتَنَا جُودٌ وَعَلْيَاءُ


Jika anda datangkan seorang dermawan dari keturunan mulia;

Maka keturunan kami pun miliki kedermawanan dan ketinggiannya.[4]


فَقُمْ بِعِلْمٍ لاَ تَطْلُبْ بِهِ بَدَلاً # فَالنَّاسُ مَوْتَى وَأَهْلُ الْعِلْمِ أَحْيَاءُ


Maka bangkitlah dengan ilmu, jangan tuntut ganti selainnya;

Kerana manusia itu mati namun ulama' tetap hidup selamanya.[5]


Bibliografi:


(1) Diwan al Imam 'Ali, tahqiq Muhammad Sa'id Muhammad, terbitan al Maktabah al Taufiqiyyah, Kaherah.



[1] Ertinya: Semoga Allah memuliakan wajahnya. Doa ini hanya khusus buat beliau. Dikatakan beliau beroleh doa ini kerana beliau tidak pernah sujud kepada berhala sama sekali semenjak kecil. Ada yang mengatakan kerana beliau tidak pernah melihat auratnya sendiri dan juga aurat orang lain. والله أعلم

[2] Iaitu asal kejadian manusia yang berupa tanah.

[3] Iaitu air mani.

[4] Ini tidak boleh disangkal lagi kerana beliau sememangnya berketurunan Bani Hasyim yang mulia. Beliau adalah putera Bani Hasyim yang lahir daripada kedua ibu bapa yang berketurunan Bani Hasyim juga. Apatah lagi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga berketurunan Bani Hasyim. Kemuliaan mengatasi segala kemuliaan!

[5] Ertinya walaupun ulama' telah pergi meninggalkan kita, namun ilmu yang mereka wariskan melalui ucapan dan penulisan kekal bersama-sama kita seolah-olah mereka hidup di samping kita.

Tiada ulasan: