26 September 2010

Warna

Segala puji bagi Allah Ta'ala yang menciptakan mata serta mengurniakannya kemampuan untuk melihat. Dengan mata, kita dapat menikmati keindahan alam ini yang penuh dengan warna. Kita sering melihat warna. Ada orang suka warna itu dan warna ini. Ada orang sangat berhati-hati menentukan warna yang dipilihnya. Kesimpulannya, hidup kita dipenuhi dengan warna. Alhamdulillah, kita dapat menikmati dan menghayatinya dengan nikmat anggota yang bernama mata.

Tetapi mungkin tidak ramai yang tahu bahawa warna mengandungi rahsia dan isyarat yang tersendiri. Biasanya, isyarat warna hanya boleh difahami oleh orang yang berjiwa halus serta mempunyai citarasa yang mendalam. Saya hanya sempat menyebutkan sebahagian warna sahaja yang mengandungi isyarat tersendiri. Ia adalah berdasarkan isyarat warna menurut perspektif kesenian Islam.

Warna emas membawa maksud petunjuk dan kehidupan kerana ia adalah warna cahaya matahari yang menjadi sumber petunjuk dan kehidupan. Pada zaman dahulu, ayat-ayat al-Quran ditulis menggunakan tinta emas sebagai isyarat bahawa al-Quran adalah sumber petunjuk dan kehidupan.

Warna biru pula menunjukkan kebaikan dan rezeki kerana langit berwarna biru. Begitu juga laut. Kedua-duanya adalah sumber rezeki. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Dia jualah yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda (kekuasaan) Nya serta menurunkan rezeki untuk kamu dari langit.. [Surah Ghofir: 13]

Allah Ta'ala berfirman lagi, mafhumnya:

Dan Dia jualah yang memudahkan laut (untuk dilalui) agar kamu dapat memakan daging segar (ikan) daripadanya serta mengeluarkan perhiasan (berupa mutiara) yang kamu pakai. Engkau juga dapat melihat kapal-kapal berlayar di atasnya.. [Surah an-Nahl: 14]

Warna putih menunjukkan kesucian dan kebersihan. Justeru, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam sentiasa menggalakkan pemakaian berwarna putih di samping memerintahkan supaya kain kafan juga berwarna putih kerana ia adalah lambang kesucian dan kebersihan. Seolah-olah memberi isyarat mayat yang dikafankan itu kembali menuju Allah Ta'ala dalam keadaan fitrah asalnya yang suci bersih.

Warna hijau melambangkan kemuliaan. Kerana itu, golongan Asyraf yang berketurunan Sayyiduna Husain 'alaihissalam memakai serban berwarna hijau sebagai lambang kemuliaan keturunan mereka.

Warna hitam membawa maksud kewibawaan dan kepimpinan. Dalam Bahasa Arab, hitam disebut sebagai aswad (ejaannya alif, sin, wau & dal). Daripada kalimah ini, dipecahkan menjadi kalimah su'dud (ejaannya sin, wau, hamzah, dal & dal) yang bermaksud kepimpinan.

Warna merah pula menjadi lambang kegembiraan. Sohibus Samahah Prof. Dr. Ali Juma'ah, mufti Kerajaan Mesir pernah ditanya mengenai sebab para ulama' al-Azhar memakai kopiah berwarna merah yang dililit dengan serban putih, maka beliau menjawab, "Warna merah melambangkan kegembiraan dan warna putih menunjukkan kesucian. Kerana itu para ulama' al-Azhar memakai kopiah merah berlilitkan serban putih bagi menzahirkan kegembiraan dengan ilmu mereka dan kesucian keperibadian mereka."

Setakat ini, itu sahaja yang dapat saya sebutkan di sini tentang isyarat sebahagian warna. Sekadar perkongsian bersama. Wallahu a'lam.

p/s: Warna-warna kehidupan...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.

1 ulasan:

sea_lavender berkata...

itu juga dikatakan warna2 kehidupan~~ dalam mse kte mensyukuri nikmat mata yg dikurniakan-Nya pda kte, dalam mse sme kte tempuhi hdup dgn penuh dgn warna2 yg penuh keindahan