18 Januari 2011

Kalimah-kalimah Yang Anda Tahu

Ada beberapa kalimah yang biasa kita dengar dan tahu. Dalam entri kali ini, saya berminat untuk menyenaraikan beberapa kalimah beserta definisinya dari sudut bahasa dan istilah penggunaannya. Semoga mendapat manfaat bersama.

[1] Al-Fiqh. (الفقه)

Kita biasa menyebutnya dengan sebutan Fekah. Dari sudut bahasa Arab ia membawa maksud kefahaman. Dari sudut istilah penggunaannya pula ia diguna pakai untuk dua maksud:

Pertama: Mengenali hukum-hakam syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dan perkataannya yang mana hukum-hakam berkenaan diambil daripada dalil-dalil yang khusus iaitu al-Qur'an dan Sunnah.

Kedua: Hukum-hakam syarak itu sendiri turut disebut sebagai fiqh.

Hubungkait antara definisi Fiqh berbentuk bahasa dan istilah penggunaan:

Dari sudut bahasa ia bermaksud kefahaman. Untuk mengenali hukum-hakam syarak ia memerlukan kefahaman yang jelas terhadap dalil-dalil khusus daripada al-Qur'an dan Sunnah. Oleh itu, seorang mujtahid juga dipanggil sebagai seorang yang faqih kerana dia berusaha keras untuk memahami dalil-dalil bagi mengeluarkan hukum-hakam syarak.

[2] Al-Wudhuk. (الوضوء)

Kita biasa menyebutnya sebagai air sembahyang. Dari sudut bahasa Arab ia bermaksud cantik, bersih dan berseri-seri. Manakala dari sudut istilah penggunaannya pula ia bermaksud perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota yang tertentu.

Hubungkait antara dua definisi ini:

Apabila seseorang mengambil wudhuk bererti dia membersihkan anggota-anggota yang dikenakan wudhuk. Apabila anggota-anggota tersebut menjadi bersih, maka ia kelihatan cantik dan berseri-seri. Wudhuk bukan sekadar menjadikan anggota zahir berseri-seri dan bersih malah anggota batin juga turut menjadi bersih dan suci.

[3] At-Tayammum. (التيمم)

Dari sudut bahasa Arab ia membawa maksud tujuan. Dari sudut istilah penggunaannya pula ia bermaksud menggunakan / menyapu debu tanah yang suci pada muka dan tangan beserta niat dalam bentuk yang tertentu.

Hubungkait antara dua definisi ini:

Tayammum dibenarkan apabila ketiadaan air atau air tidak boleh digunakan atas sebab-sebab tertentu. Apabila air tiada atau tidak boleh digunakan, maka tanah menjadi tumpuan sebagai alat untuk mengangkat hadath dan mengharuskan perbuatan sembahyang dan perbuatan yang boleh dilakukan dengan wudhuk.

[4] As-Solah. (الصلاة)

Kita biasa menyebutnya sebagai sembahyang. Menurut bahasa Arab ia bermaksud doa. Manakala dari sudut istilah penggunaannya ia bermaksud perkataan dan perbuatan yang tertentu di mana ia dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.

Hubungkait antara dua definisi ini:

Di dalam sembahyang ada ucapan doa. Oleh itu, doa adalah sebahagian daripada sembahyang. Dalam ilmu Balaghah, penamaan solat adalah penamaan bahagian kecil bagi menunjukkan bahagian yang lebih besar dan menyeluruh.

[5] Az-Zakah. (الزكاة)

Zakat dari sudut bahasa Arab bermaksud berkembang, bertambah dan suci. Manakala dari sudut istilah penggunaannya pula ia bermaksud kadar tertentu yang wajib dikeluarkan untuk disalurkan kepada asnaf-asnaf yang telah ditetapkan berdasarkan syarat-syarat yang tertentu.

Hubungkait antara dua definisi ini:

Tujuan zakat diwajibkan adalah untuk mensucikan harta daripada kekotoran syubhat. Apabila harta dikeluarkan untuk tujuan zakat, maka ia juga membawa kepada keberkatan harta yang bertambah dan berkembang.

[6] As-Siyam. (الصيام)

Kita menyebutnya sebagai puasa. Dari sudut bahasa Arab ia bermaksud menahan diri daripada sesuatu. Manakala dari sudut istilah penggunaan ia didefinisikan sebagai perbuatan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.

Hubungkait di antara dua definisi ini:

Puasa bukan sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa berbentuk zahir malah perlu juga menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa tersebut dari segi batinnya.

[7] Al-Hajj. (الحج)

Haji dari sudut bahasa Arab bermaksud menuju ke arah sesuatu yang agung. Dari sudut istilah penggunaannya pula ia didefinisikan sebagai perbuatan menuju ke Baitul Haram (Mekah) untuk menunaikan ibadah khusus dengan syarat-syarat yang khusus juga.

Hubungkait antara dua definisi ini:

Baitul Haram adalah rumah Allah Ta'ala yang agung. Maka definisi Haji dari sudut bahasa dan istilahnya sangat rapat hubungannya.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: