13 Januari 2011

Kalam Hikam Yang Dipetik Daripada Kitab Hikam

Dalam entri ini, saya berminat untuk berkongsi bersama sidang pembaca beberapa kalam hikmah al-'Arif billah al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as-Sakandari (wafat 709 Hijrah) radhiyallahu 'anhu yang dipetik daripada kitab beliau iaitu al-Hikam al-'Atoiyyah. Saya memilih kalam-kalam hikmah ini untuk dikongsikan di sini kerana maknanya menarik. Semoga Allah Ta'ala meredhai beliau serta memberi manfaat kepada kita melalui ilmu beliau. Amin.

[1] Kesungguhan anda dalam (mencari) perkara yang telah dijamin buat anda (iaitu rezeki) dalam keadaan anda mengabaikan perkara yang dituntut daripada anda (untuk dilakukan iaitu ibadah) adalah bukti bahawa mata hati anda telah buta. (lihat huraiannya di sini)

[2] Apabila Dia (Allah) membuka ruang kepada anda untuk berkenalan dengan-Nya, maka teruskan langkah walaupun amalan anda sedikit kerana Dia tidak membuka ruang tersebut melainkan kerana Dia sendiri ingin berkenalan dengan anda.

[3] Amalan-amalan itu adalah (seumpama) tubuh yang berdiri kaku (tanpa roh). Rohnya ialah kewujudan rahsia keikhlasan di dalamnya (amalan itu).

[4] Di antara tanda (yang menunjukkan) kebodohan diri anda ialah apabila anda menangguhkan amalan soleh (dengan alasan) untuk menanti waktu lapang (daripada kesibukan).

[5] Merasa redha dengan diri sendiri adalah punca setiap syahwat, kelalaian dan kemaksiatan manakala tidak merasa redha dengannya pula adalah punca setiap ketaatan, kesedaran dan kehormatan.

[6] Harapan itu (secara hakiki) ialah apabila diiringi dengan amalan. Jika tidak (diiringi dengan amalan), maka ia hanyalah angan-angan.

[7] Kelewatan doa anda untuk diperkenankan sedangkan anda bersungguh-sungguh dalam berdoa tidak boleh menjadi sebab untuk anda kecewa (daripada terus berdoa) kerana Dia menjamin untuk memperkenankan perkara yang Dia pilih buat anda bukan apa yang anda pilih untuk diri anda sendiri. Juga dalam waktu yang Dia kehendaki bukan (dalam waktu) yang anda ingini.

[8] Jangan tinggalkan zikir (dengan alasan) hati anda tidak hadir (khusyuk) ketika menyebut ALLAH kerana kelalaian anda daripada mengingati-Nya lebih dahsyat (kesan dan akibatnya) berbanding kelalaian bersama kewujudan zikir kepada-Nya. Mudah-mudahan Dia akan mengangkat keadaan anda daripada zikir bersama kelalaian kepada (keadaan) zikir bersama kesedaran. (Kemudian) daripada zikir bersama kesedaran kepada zikir bersama kehadiran (hati yang khusyuk). (Kemudian) daripada zikir bersama kehadiran (hati yang khusyuk) kepada zikir dalam keadaan ghaib daripada selain-Nya. Itu semua tidak sukar bagi ALLAH (untuk melakukannya).

[9] Sembahyang itu adalah medium penyucian hati dan doa permohonan untuk membuka pintu ghaib. Sembahyang itu adalah tempat munajat dan intipati cinta yang tulus murni. Lapangan rahsia menjadi luas di dalamnya dan sinaran cahaya terbit padanya. Dia (Allah) mengetahui kelemahanmu lalu Dia mengurangkan bilangannya. Dia mengetahui keperluanmu terhadap kurniaan-Nya lalu Dia memperbanyakkan anugerahnya. (lihat huraiannya di sini)

[10] Dia (Allah) telah menjadikan engkau sebagai alam pertengahan di antara Mulk-Nya dan Malakut-Nya sebagai pemberitahuan kepada engkau tentang kehebatan kedudukan engkau dalam kalangan makhluk-makhluk-Nya. Engkau adalah mutiara yang diselaputi cengkerang alam semesta-Nya. (lihat huraiannya di sini)

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: