Al-'Arif billah al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as-Sakandari radhiyallahu 'anhu berkata di dalam hikam beliau, maksudnya:
Dia (Allah) telah menjadikan engkau sebagai alam pertengahan di antara Mulk-Nya dan Malakut-Nya sebagai pemberitahuan kepada engkau tentang kehebatan kedudukan engkau dalam kalangan makhluk-makhluk-Nya. Engkau adalah mutiara yang diselaputi cengkerang alam semesta-Nya.
Huraian:
(Perhatian: Ayat yang berwarna adalah kalam al-Imam Ibnu 'Atoillah as-Sakandari manakala yang tidak berwarna pula adalah huraian kepada kalam beliau.)
Kami (Allah) telah menciptakan manusia itu dalam bentuk yang terbaik. [Surah at-Tin: 4]
Dia menciptakan manusia dalam bentuk paling baik yang mengandungi rahsia-rahsia segala makhluk yang wujud di alam ini sama ada makhluk yang berada di alam tinggi ('ulwiyyah), alam rendah (sufliyyah), alam halus (latifah) dan alam nyata (kathifah). Manusia itu memiliki unsur roh, jasmani, langit dan bumi.
Manusia itu memiliki sifat kemalaikatan seperti akal dan makrifat. Dia juga memiliki sifat kesyaitanan seperti suka memperdaya dan melampaui batas. Manusia itu juga memiliki sifat kebinatangan. Apabila dia marah, maka dia seperti singa. Apabila dia bernafsu, maka dia seperti khinzir yang tidak peduli di mana ia ingin melampiaskan nafsunya. Apabila dia bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu serta bersikap rakus, maka dia seperti anjing. Manusia juga memiliki unsur-unsur tumbuhan kerana tumbuh-tumbuhan itu bermula daripada segar dan akhirnya berubah menjadi layu. Begitulah manusia yang bermula dengan kemudaan segar lalu sedikit demi sedikit bertambah usia sehingga menjadi tua kelayuan.
Manusia itu memiliki unsur langit kerana dia menjadi tempat perkumpulan rahsia, cahaya dan malaikat. Dia memiliki sifat bumi kerana dia menjadi tempat tumbuhnya akhlak dan sifat sama ada lembut mahupun keras. Hati manusia itu bersifat 'Arasy kerana ia adalah tempat tajalli Ketuhanan. Dia juga bersifat Lauh Mahfuz kerana akalnya menyimpan ilmu pengetahuan. Bersifat Qalam kerana sikapnya yang suka mencatat dan menghafal ilmu. Dia adalah syurga kerana akhlaknya yang baik membuatkan orang-orang yang mengenalinya terasa seperti berada di syurga. Namun dia juga adalah neraka jika akhlaknya buruk kerana keburukan akhlaknya membakar hati dan perasaan orang lain. Allah Ta'ala menjadikan engkau wahai manusia sebegitu rupa sebagai pemberitahuan kepada engkau tentang kehebatan kedudukan engkau dalam kalangan makhluk-makhluk-Nya. Segala makhluk yang dicipta di langit dan di bumi adalah untuk kegunaan engkau. Apabila engkau telah mengerti bahawa dirimu adalah unik dan kehebatanmu terserlah dalam kalangan makhluk-makhluk-Nya kerana mereka semua dijadikan untuk berkhidmat kepadamu, maka engkau pula sepatutnya tunduk patuh kepada-Nya. Dia menciptakan makhluk sebagai manfaat buatmu agar engkau mudah untuk memperhambakan diri kepada-Nya. Imam Abul 'Abbas al-Mursi radhiyallahu 'anhu berkata, "Alam ini seluruhnya ditundukkan untuk kegunaanmu dan engkau pula hanyalah hamba Allah Ta'ala (bukan hamba makhluk-Nya)."
Engkau adalah umpama mutiara yang diselaputi cengkerang alam semesta-Nya kerana engkau memiliki sifat-sifat alam sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini. Hanya manusia sahaja yang memiliki sifat ini. Oleh itu, dia dilantik menjadi khalifah untuk melaksanakan perintah dan larangan Allah Ta'ala. Manusia itu dicipta memiliki dua wajah, satu mengadap Allah Ta'ala iaitu roh dan akal manakala wajah yang lain pula mengadap makhluk dalam bentuk tubuh badan. Sedangkan para malaikat dan golongan Ruhaniyyun hanya dicipta memiliki satu wajah sahaja iaitu yang mengadap Allah Ta'ala. Cuma untuk menzahirkan lagi wajah yang mengadap Allah Ta'ala itu memerlukan kepada mujahadah yang berterusan. Apabila dua wajah manusia itu telah terserlah, maka ketika itu dia telah menjadi manusia yang sempurna.
Wallahu a'lam.
p/s: Maha Suci Allah yang menciptakan manusia...
Bibliografi:
Kasyful Ghito' Syarh wa Tartib Hikam Ibni 'Ato', Sayyid Muhammad Kholil al-Khotib al-Hasani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan