10 Januari 2011

Nikmat al-Ijad Dan Nikmat al-Imdad

Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Bukankah manusia itu pernah melalui suatu tempoh yang mana dia tidak disebut-sebut (kerana dia belum wujud)? Kami (Allah) telah mencipta manusia itu daripada air mani yang bercampur (daripada benih lelaki dan wanita) untuk Kami mengujinya (dengan perintah dan larangan) lalu Kami jadikannya boleh mendengar dan melihat. (Kemudian) Kami memberinya petunjuk ke arah jalan yang lurus, (namun) ada yang bersyukur (beriman) dan ada yang kufur (ingkar). [Surah al-Insan: 1-3]

Secara umum, Allah Ta'ala telah mengurniakan dua nikmat kepada kita. Nikmat pertama dipanggil nikmat al-Ijad dan nikmat kedua pula dipanggil nikmat al-Imdad.

Nikmat al-Ijad ialah nikmat kewujudan kita selepas ketiadaan. Pada asalnya kita tidak wujud. Kita tidak disebut-sebut kerana kita tidak wujud. Kita pernah melalui suatu tempoh ketidakwujudan. Lalu Allah Ta'ala mengeluarkan kita daripada ketidakwujudan kepada kewujudan. Ia merupakan suatu nikmat kerana Dia ingin memuliakan kita dengan kewujudan lantas dengan kewujudan tersebut kita menjadi hamba-Nya. Menjadi hamba Allah Ta'ala adalah suatu kemuliaan. Ini yang boleh difahami menerusi firman Allah Ta'ala, mafhumnya:

Bukankah manusia itu pernah melalui suatu tempoh yang mana dia tidak disebut-sebut (kerana dia belum wujud)? Kami (Allah) telah mencipta manusia itu daripada air mani yang bercampur... [Surah al-Insan: 1-2]

Ayat pertama tersebut menyatakan bahawa kita pernah berada di dalam tempoh ketidakwujudan. Dalam ayat kedua pula menyatakan bahawa Allah Ta'ala mengeluarkan kita daripada tempoh ketidakwujudan lalu memasukkan kita ke dalam tempoh kewujudan melalui penciptaan kita daripada air mani untuk menjadi wujud yang berbentuk manusia.

Apabila Dia telah mengurniakan nikmat al-Ijad, Dia tidak membiarkan kita begitu sahaja lantas Dia terus mengurniakan kita nikmat kedua yang dipanggil nikmat al-Imdad. Nikmat al-Imdad inilah yang menyokong kewujudan kita. Dia mengurniakan kita pendengaran, penglihatan, anggota badan, akal dan roh. Dia menyediakan segala kemudahan untuk kita gunakan dalam melayari kehidupan. Dia mengurniakan makanan, minuman, harta benda, keturunan, pekerjaan dan segala-galanya. Tanpa nikmat al-Imdad, sudah pasti nikmat al-Ijad tidak bernilai. Kita wujud namun kita seakan-akan tidak wujud. Sama sahaja antara wujud dengan tidak wujud. Justeru itu, Allah Ta'ala menjelaskan dalam ayat kedua dan ketiga Surah al-Insan bahawa Dia mengurniakan pendengaran dan penglihatan serta memberi petunjuk ke arah kebenaran. Dia mengurniakan akal kepada kita untuk menilai. Jika kita betul dalam penilaian, maka kita akan beriman. Namun jika salah, maka kita akan kufur.

Imam Ibnu 'Atoillah as-Sakandari (wafat 709 Hijrah) radhiyallahu 'anhu menyebut di dalam hikam beliau:

Pertamanya Dia mengurniakan kewujudan (al-Ijad) kepadamu. Keduanya Dia menganugerahkan kelengkapan (al-Imdad) buatmu.

Guru kami al-'Arif Billah Sayyid Muhammad Kholil al-Khotib radhiyallahu 'anhu menghuraikan hikam ini dengan berkata, "Dia mengurniakan kewujudan lalu dengan kewujudan itu lenyaplah ketidakwujudan yang lalu. Kemudian Dia mengurniakan al-Imdad lalu dengannya hilanglah ketidakwujudan yang akan datang kerana jika Dia tidak mengurniakan al-Imdad kepada benda yang wujud berupa perkara-perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepadanya serta menolak kemudaratan daripadanya, maka sudah pasti ianya lenyap seakan-akan tidak pernah wujud."

Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kewujudan lalu menyokong kewujudan itu dengan kelengkapan al-Imdad. Alhamdulillah.

p/s: Bersyukurlah selalu kepada-Nya..

Humair,
Pusat Dakwah Islamiyyah Paroi,
SEREMBAN.

3 ulasan:

insan... berkata...

Jazakallahu khairan...:)

Ruhul Jadid berkata...

Semoga kita semua sentiasa menjadi hamba2-Nya yg bersyukur dan mengambil hikmah dari semua yang tersurat dan tersirat dalam kehidupan ini. Insyallah..

Jazakallah ahsan jaza' tuk artikel ni..

kamalhisham berkata...

masya Allah..الحمد الله akan nikmat Iman ini.terimakasih²Terbaik tn