21 Oktober 2010

Antara Dua Ajaran (Bhgn 1)

Dalam entri kali ini, saya tertarik untuk berkongsi bersama sidang pembaca mengenai beberapa persamaan di antara ajaran Islam dan ajaran Kristian. Saya akan menyenaraikan beberapa contoh persamaan di antara dua ajaran ini bagi menunjukkan bahawa di dalam ajaran Kristian, terdapat beberapa amalan yang sepatutnya diamalkan oleh penganut agama Kristian, namun ia diabaikan malah diubah. Lalu Islam datang menghidupkan kembali ajaran tersebut bagi menunjukkan bahawa syariat para nabi 'alaihimussalam sebenarnya agak sama. Islam datang untuk mempamerkan kembali ajaran-ajaran tersebut dalam bentuk yang lebih kemas dan sempurna. Justeru, Islam sememangnya layak untuk dipanggil sebagai penutup segala agama samawi sebagaimana Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam pula adalah penutup para nabi dan rasul.

Contoh-contoh yang akan saya senaraikan menerusi entri ini dipetik daripada buku yang berjudul The True Message Of Jesus Christ [Risalah Nabi Isa 'alaihissalam Yang Sebenar] tulisan Dr. Abu Ameenah Bilal Philips. Penulis dilahirkan di Jamaica dan dibesarkan di Kanada. Beliau memeluk Islam pada tahun 1972. Beliau telah menubuhkan Pusat Maklumat Islam di Dubai pada tahun 1994 dan terus memimpinnya sehingga tahun 2001. Oleh itu, apa yang akan saya sebutkan nanti diambil daripada buku tersebut berserta sedikit olahan ringkas.

Prakata.

Pertama sekali, kita perlu sedar bahawa Nabi Isa 'alaihissalam ialah rasul yang terakhir dari bangsa Yahudi. Ajaran baginda pula adalah berteraskan kepada syariat Nabi Musa 'alaihissalam. Oleh itu, perutusan baginda kepada golongan Bani Israil adalah untuk membawa syariat Nabi Musa di samping menyempurnakannya. Menurut Injil Matthew, Nabi Isa dilaporkan pernah bersabda:

Jangan kamu menyangka bahawa saya datang untuk membatalkan syariat dan ajaran para nabi. (Hakikatnya) saya datang bukan untuk membatalkan ajaran tersebut malah melengkapkannya. Oleh itu, saya ingin menyatakan kepada kamu bahawa walaupun langit dan bumi akan lenyap, namun setitik huruf pun daripada syariat tidak akan lenyap sehinggalah ianya disempurnakan. [Matthew 5: 17-18]

Paul of Tarsus
Malangnya, kira-kira lima tahun selepas Nabi Isa 'alaihissalam diangkat ke langit, seorang rabbi muda bernama Saul (Paul) dari Tarsus yang mendakwa telah melihat Nabi Isa mula mengubah ajaran baginda. Saul (atau lebih dikenali sebagai Paul) sangat meminati falsafah Rom dan seringkali berbangga sebagai warganegara Rom. Beliau meyakini bahawa orang bukan Yahudi yang memeluk agama Kristian tidak perlu dibebankan dengan ajaran Taurat (Torah). Melalui usaha yang dilakukan oleh Paul, gereja mula mengambil bentuk ajaran bukan Yahudi. Paul menulis surat-surat yang kebanyakannya terdapat di dalam Perjanjian Baru yang mana surat-surat tersebut dijadikan doktrin rasmi Kristian dan dianggap wahyu oleh pihak gereja. Surat-surat tersebut sedikit pun tidak mengambil kira ajaran Nabi Isa apatah lagi mempamerkannya malah sebaliknya Paul telah mengubahsuai ajaran baginda menjadi falsafah Hellenic (Greco-Roman).

Contoh-contoh berikut adalah sebahagian ajaran Nabi Isa 'alaihissalam yang baginda amalkan dan ajarkan kepada pengikut-pengikut baginda. Namun ajaran tersebut kemudiannya diabaikan oleh pihak gereja. Bagaimanapun, ajaran tersebut dihidupkan kembali oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam menerusi syariat Islam yang dibawa oleh baginda dan diteruskan pengamalannya oleh umat Islam sehingga ke hari ini.

Berkhatan.

Antara ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa 'alaihissalam ialah syariat berkhatan. Ini adalah kerana, baginda juga turut dikhatankan ketika kecil sebagaimana yang disebutkan di dalam Injil Luke:

Apabila tiba penghujung hari kelapan (kelahiran Nabi Isa), baginda pun dikhatankan dan dipanggil sebagai Isa; nama yang telah diberikan oleh malaikat sebelum baginda dikandung oleh bondanya. [Luke 2:21]

Bagaimanapun, kebanyakan penganut Kristian pada hari ini tidak berkhatan disebabkan terpengaruh dengan ajaran Paul. Ini adalah kerana Paul mendakwa bahawa khatan yang dimaksudkan ialah khatan hati, bukannya khatan yang kita fahami. Dalam surat beliau kepada penduduk Rom, Paul menulis:

Dan khatan yang hakiki itu ialah perbuatan hati dan roh, bukan secara lahiriah.. [Romans 2:29]

Hakikatnya, Paul salah mentafsir. Apatah lagi Nabi Isa tidak pernah pun menyatakan bahawa khatan itu adalah perbuatan hati. Salah tafsiran yang membawa kepada salah tindakan.

Dalam Islam, khatan disebut sebagai salah satu perkara fitrah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam bersabda, mafhumnya:

Lima perkara yang merupakan sebahagian daripada fitrah (iaitu): berkhatan, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, mengetip kuku dan menipiskan kumis. [Riwayat al-Bukhori dan Muslim]

bersambung......


Tiada ulasan: