Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:
Sesungguhnya Allah hanya ingin menghilangkan kekotoran (dosa) daripada kamu Ahli Bait serta mensucikan kamu sesuci-sucinya. [Surah al-Ahzab: 33]
Ya Allah! Limpahkanlah kesejahteraan ke atas Sayyiduna Muhammad dan ahli keluarga Sayyiduna Muhammad.
1) Hafal lima perkara ini daripada saya kerana jika kamu menunggang unta (untuk mencari lima perkara ini), sudah pasti unta itu akan menjadi kurus (kerana terlalu lama berjalan) dan kamu tidak akan sempat menemui perkara-perkara ini. (Lima perkara itu ialah):
- Seorang hamba itu tidak perlu mengharapkan selain Tuhannya,
- Jangan dia takut melainkan terhadap dosanya,
- Orang yang jahil jangan malu untuk bertanya,
- Orang yang alim jangan malu untuk berkata, "Wallahu a'lam (Allah lebih mengetahui)." jika ditanya tentang perkara yang tidak diketahuinya,
- Sabar itu sebahagian daripada iman sebagaimana kedudukan kepala dengan jasad kerana tidak sempurna iman orang yang tidak bersabar.
2) Taqwa itu ialah tidak berterusan melakukan maksiat dan tidak tertipu dengan ketaatan. Sesungguhnya Allah Ta'ala mempunyai wadah di bumi ini iaitu hati-hati manusia. Hati yang paling baik ialah yang paling suci, paling teguh dan paling lembut. Suci dengan keyakinan, teguh dengan agama dan lembut terhadap kaum mukminin. Orang mulia yang sejati ialah orang yang dimuliakan oleh ilmunya. Kewibawaan sebenar ialah untuk orang yang bertaqwa kepada Tuhannya. Orang yang pemurah ialah orang yang menyelamatkan wajahnya (dirinya) daripada api neraka.
Sayyiduna al-Hasan bin Sayyiduna Ali 'alaihimassalam berkata:
1) Hiduplah di dunia ini dengan badanmu dan tumpukan hatimu terhadap akhirat.
2) Tuntutlah ilmu! Jika kamu tidak mampu untuk menghafalnya, catatkan ia dan letakkan di rumah kamu (untuk dihafal).
Makam Imam al-Husain a.s. |
Rezeki itu telah dibahagi-bahagikan (secara adil). Orang yang berusaha keras (untuk mendapatkan lebih daripada bahagiannya) akan ditimpa kesedihan. Orang yang kedekut (untuk menginfakkannya) akan ditimpa celaan. Orang yang dengki (dengan lebihan rezeki orang lain) akan ditimpa kekecewaan.
Imam Ali Zainul Abidin bin Sayyiduna al-Husain 'alaihimassalam berkata:
Allah Ta'ala menyembunyikan tiga perkara dalam tiga perkara:-
- Dia menyembunyikan keredhaan-Nya dalam ketaatan kepada-Nya. Oleh itu, jangan sesekali kamu meremehkan sebarang ketaatan kerana boleh jadi keredhaan-Nya tersembunyi di sebalik ketaatan itu.
- Dia menyembunyikan kemurkaan-Nya dalam kemaksiatan terhadap-Nya. Justeru, jangan sesekali kamu meremehkan sebarang maksiat kerana boleh jadi kemurkaan-Nya tersembunyi di sebalik maksiat tersebut.
- Dia menyembunyikan wali-Nya dalam kalangan makhluk-Nya. Oleh itu, jangan sesekali kamu menghina seorang pun daripada kalangan para hamba-Nya kerana boleh jadi dia adalah wali Allah.
Imam Muhammad al-Baqir bin Imam Ali Zainul Abidin 'alaihimassalam berpesan kepada salah seorang anaknya:
Wahai anak! Jangan malas dan jemu kerana dua sifat ini adalah kunci setiap keburukan. Jika engkau malas, maka engkau tidak akan menunaikan hak dan jika engkau jemu, maka engkau tidak akan bersabar di atas kebenaran.
Wallahu a'lam.
Dipetik daripada kitab al-Manhaj as-Sawiyy Syarh Usul Toriqoh as-Sadah Ali Ba 'Alawi, karangan al-Habib Sayyid Zain bin Ibrahim bin Sumait berserta sedikit olahan.
p/s: Hikmah Kenabian yang melimpah ruah ke atas Ahli Bait 'alaihimussalam...
Pencinta Ahli Bait,
Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan