19 Oktober 2010

Mukjizat Resam al-Quran

Buku I'jaz Rasm al-Quran
Nama buku: I'jaz Rasm al-Quran wa I'jaz at-Tilawah. [Mukjizat Tulisan al-Quran dan Bacaannya]

Penulis: Muhammad Syamlul.

Jumlah mukasurat: 237.

Penerbit: Darus Salam Mesir.

Tahun cetakan: 1427 H (2006 M).

Al-Qur'an adalah mukjizat Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam yang berkekalan sehingga ke hari ini. Kepelbagaian aspek yang menyerlahkan mukjizat al-Qur'an telah lama dibincangkan oleh para ulama' malah perbincangan tersebut masih berlanjutan ke hari ini. Ini menunjukkan bahawa al-Qur'an adalah perbendaharaan keajaiban yang tidak pernah habis. Semakin banyak kita membaca dan menghayati al-Qur'an, semakin banyak keajaibannya yang muncul di hadapan kita membuatkan kita semakin yakin bahawa ia adalah kitab yang diturunkan oleh Allah Ta'ala. Bukannya rekaan manusia.

Menerusi entri kali ini, saya ingin berkongsi bersama sidang pembaca tentang sebuah buku yang juga turut membincangkan tentang mukjizat al-Qur'an. Cuma aspeknya berbeza kerana penulis buku ini cuba memperlihatkan kepada kita mukjizat al-Qur'an dari sudut penulisannya dan bacaannya secara bertajwid. Ini adalah perkara yang belum pernah kita dengar. Menerusi buku ini, penulis menyatakan betapa pentingnya kita berusaha untuk menghayati dan meneliti ayat-ayat al-Qur'an kerana hasil penelitian beliau menunjukkan bahawa kaedah penulisan al-Qur'an yang berbeza dengan kaedah penulisan biasa mengandungi rahsianya yang tersendiri. Beliau juga menyatakan bahawa kaedah penulisan al-Qur'an adalah unik dan ia merupakan perkara tauqifi (wahyu dari Allah Ta'ala) bukannya kaedah yang dicipta berdasarkan ijtihad para sahabat. Beliau turut mengemukakan beberapa bukti dan dalil yang menunjukkan bahawa kaedah penulisan al-Qur'an adalah perkara yang tauqifi.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa bacaan al-Qur'an secara bertajwid itu bukan sahaja menyerlahkan keindahan al-Qur'an malah ia juga turut mengandungi rahsia halus yang boleh dikesan jika kita membaca al-Qur'an dengan penuh penghayatan. Hukum Izhar, Ikhfa', Idghom, GhunnahMad dan Iqlab rupa-rupanya memainkan peranan dalam menzahirkan makna yang tersirat di sebalik ayat-ayat yang dibaca.

Konklusinya, buku ini sememangnya menarik untuk dibaca kerana ia adalah hasil kajian yang terbentuk daripada penghayatan dan penelitian penulis terhadap ayat-ayat suci al-Qur'anul Karim. Ia membuatkan kita tersedar betapa peri pentingnya penghayatan terhadap al-Qur'an perlu untuk ditingkatkan lalu diterjemahkan ke dalam bentuk pengamalan. Wallahu a'lam.

Tambahan dari saya (Humair):

Sohibus Samahah Prof. Dr. Ali Jumu'ah, Mufti Kerajaan Mesir pernah menyatakan bahawa kita perlu membaca al-Qur'an dengan penuh penghayatan dan penelitian. Bukan membaca al-Qur'an seperti membaca surat khabar atau majalah yang biasanya dibaca secara seimbas lalu. Bila kita membaca al-Qur'an, kita perlu menghayati setiap patah kalimah yang dibaca sambil bertanya kepada diri sendiri apa yang kita faham daripada kalimah-kalimah tersebut.

Al-Quran adalah kitab yang ajaib. Setiap huruf dan perkataan yang dipilih diletakkan di tempatnya yang sesuai sehingga tidak boleh diubah, ditambah atau dikurangkan kerana perkara-perkara tersebut hanya akan membawa kepada kepincangan al-Quran. Justeru itu, sebarang penyelewengan terhadap al-Quran akan dapat dikesan dengan mudah. Maha Suci Allah yang memperlihatkan keajaiban kebijaksanaan-Nya menerusi kitab-Nya.

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.

Tiada ulasan: