25 Oktober 2010

AS Tertekan

AS tertekan ekoran maklumat perang Iraq


LONDON - Amerika Syarikat (AS) semalam semakin tertekan ekoran desakan supaya menyiasat dakwaan mengenai dokumen Perang Iraq yang dibocorkan oleh laman WikiLeaks.

Dokumen itu mendedahkan perbuatan tentera AS selepas Iraq diceroboh atas arahan Presiden AS ketika itu, George W. Bush dan disertai oleh Britain pada 2003.
Alasan serangan itu adalah untuk menggulingkan Saddam Hussein yang menjadi pemimpin Iraq pada masa itu yang dikatakan menyimpan sejumlah senjata pemusnah besar-besaran.
Fail yang dibocorkan pada Jumaat lalu itu mendedahkan maklumat penderaan, pembunuhan orang awam dan pengawal-pengawal Iraq memukul tahanan.
Dalam maklumat itu, terdapat sejumlah wanita yang dibunuh di pusat pemeriksaan tentera AS di Iraq.
Berhubung peranan Iran di Iraq, fail itu mendedahkan Teheran didakwa menggunakan militia untuk membunuh dan menculik askar-askar AS.
Sebuah pertubuhan pemantau kemanusiaan, Human Right Watch menyatakan pemerintah Iraq sepatutnya menyiasat laporan penderaan terhadap tahanan itu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Britain, Nick Clegg menganggap dakwaan itu terlalu serius dan menyatakan orang ramai mahu mendapatkan jawapan terhadap apa yang mereka telah dengar mengenai maklumat tersebut.
"Saya menganggap pentadbiran AS akan menyediakan jawapannya sendiri. Adalah bukan bagi kami untuk memberitahu anda (pemerintah AS) cara untuk melakukannya (memberi jawapan)," kata Clegg.
Jurucakap Human Right Watch, Malcolm Smart berkata, kebocoran maklumat itu mencetuskan kebimbangan bahawa pihak berkuasa AS melakukan satu perlanggaran serius undang-undang antarabangsa apabila ia menyerahkan ribuan tahanan kepada pihak berkuasa keselamatan Iraq yang mendera dan menyeksa tahanan dalam skala mengejutkan. - AFP


Sumber: Di sini
Ulasan Humair:

Pepatah Arab ada berkata:

Walaupun kamu cuba menyembunyikan kejahatan kamu, suatu hari nanti ia akan terbongkar jua. 

Semakin hari, Allah Ta'ala bongkarkan satu persatu kejahatan Amerika Syarikat. Saat kejatuhan mereka semakin hampir sebenarnya. Kita sebagai umat Islam pula, bila lagi hendak sedar?!

p/s: Kerajaan ibarat putaran roda. Suatu hari di atas, hari lain di bawah pula...

Tiada ulasan: