04 Julai 2008

Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari


Nama dan keturunan


Beliau ialah al Imam al 'Allamah al Hafiz al Muhaddith al Usuli al Muhaqqiq al Mudaqqiq Abul Fadhl Sayyid Abdullah bin Muhammad bin Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin al Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Mukmin bin Ali bin al Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa'id bin Mas'ud bin al Fudhoil bin Ali bin Umar bin al 'Arabi bin 'Allal (Ali menurut bahasa Maghribi) bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Maulana Idris al Asghor bin Maulana Idris al Akbar bin Abdullah al Kamil bin al Hasan al Muthanna bin Imam al Hasan al Mujtaba bin Amirul Mukminin Imam Ali karamallahu wajhah dan Sayyidah Fatimah al Zahra' 'alaihassalam binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.


Berkata Sayyid Abdullah al Ghumari di dalam kitab beliau yang berjudul Sabilut Taufiq dan Bida'ut Tafasir :


Inilah susur galur keturunan kami yang popular di kalangan keluarga kami yang menetap di wilayah Ghumarah dan selainnya.


Kelahiran


Beliau dilahirkan di bandar Tonjah (Tangier), Morocco pada hujung bulan Jamadil Akhir atau awal bulan Rejab tahun 1328 Hijrah (1910 Masihi)


Latar belakang keluarga


Sayyid Abdullah al Ghumari dilahirkan di kalangan keluarga yang terkenal dengan ketaqwaan, keilmuan, kesolehan dan kemuliaan ditambah dengan kesucian keturunan.


Ayahanda beliau, Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari merupakan syeikh para ulama' Morocco. Beliau telah mengasaskan Zawiyah Siddiqiyyah yang berjaya melahirkan ramai ulama' yang berwibawa.


Datuk beliau sebelah ibu, Sayyid Ibnu 'Ajibah al Hasani merupakan seorang ulama' yang tidak asing lagi. Beliau merupakan pengarang kitab tafsir yang berjudul Bahrul Madid fi Tafsir al Quran al Majid dan kitab Iqozul Himam yang merupakan huraian kepada kitab Hikam Ibnu 'Atoillah al Sakandari.


Abang beliau, Sayyid Ahmad al Ghumari merupakan seorang tokoh hadith yang terkemuka sehingga mencapai martabat al Hafiz. Beliau juga telah menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi sehingga mencecah ratusan buah. Sebahagiannya masih lagi tersimpan dalam bentuk tulisan tangan di Darul Kutub al Misriyyah.


Adik-adik beliau, Sayyid Muhammad al Zamzami, Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy, Sayyid Ibrahim dan Sayyid Hasan pula merupakan tokoh-tokoh muhaddithin dan muhaqqiqin. Di kalangan mereka ada yang muncul sebagai pakar tafsir, usul fiqh, hadith dan ilmu-ilmu yang lain. Namun keluarga al Ghumari lebih terkenal dengan ketokohan dan kepakaran mereka dalam bidang hadith di wilayah Tangier sebagaimana keluarga al Kittani yang juga terkenal dalam bidang hadith di wilayah Fas (Fez).


Latar belakang pendidikan


Sayyid Abdullah al Ghumari memulakan pendidikan seawal usia lima tahun. Ayahandanya memasukkan beliau ke pondok dengan tujuan untuk menghafal al Quran. Lalu beliau mula menghafal al Quran dengan bacaan riwayat Warasy. Setelah itu, beliau menghafal pula al Quran dengan bacaan riwayat Hafs.


Di samping itu, beliau turut menghafal sebahagian besar matan-matan ilmu seperti matan Maurid al Zomaan, matan al Arba'in al Nawawiyyah, matan al Ajurumiyyah, Alfiyyah Ibnu Malik, Bulughul Maram dan Mukhtasor Khalil bin Ishaq dalam fiqh mazhab Malikiyyah.


Setelah itu, dengan perintah ayahandanya beliau bermusafir ke wilayah Fez untuk menyambung pengajian di Masjid al Qurowiyyin yang merupakan pusat pengajian terkemuka di Morocco. Beliau menetap di situ selama lebih kurang 6 bulan. Kemudian beliau pulang semula ke Tangier dan setelah itu beliau kembali menyambung pengajiannya di Fez. Antara subjek yang beliau pelajari di al Qurowiyyin:


1) Nahu: Alfiyyah Ibnu Malik dengan Syarh Ibnu 'Aqil dan Hasyiah al Suja'i. Juga Syarh al Makudi dengan Hasyiah Ibnu al Haaj.


2) Fiqh: Mukhtasor Khalil bin Ishaq dengan Syarh al Khurosyi. Juga sebahagian besar Syarh al Zurqoni dan Syarh al Dirdir daripada bab al-Ijarah sehingga habis.


3) Hadith: Sohih al Bukhari dengan Syarh al Qostollani dan Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah dengan Hasyiah al Syinwani.


4) Tafsir: Tafsir al Jalalain dengan Hasyiah al Sowi.


5) Tauhid: Kitab al Tauhid susunan Imam Ibnu ‘Asyur.


6) Usul Fiqh: Jam'ul Jawami' dengan Syarh Jalaluddin al Mahalli.


7) Mantiq: Al Sullam dengan Syarh al Quwaisani.


Beliau juga turut mendalami bidang-bidang ilmu yang lain daripada guru yang pelbagai.


Setelah menamatkan pengajian di al Qurowiyyin, beliau pulang ke Tangier untuk meneruskan pengajian di Zawiyah Siddiqiyyah di bawah seliaan ayahandanya sambil mengajar para pelajar di zawiyah tersebut. Dalam tempoh ini juga, ayahandanya memberikan galakan supaya beliau mula menulis. Lalu beliau mula meringkaskan kitab Irsyadul Fuhul Ila Tahqiq al Haq fi 'Ilmi al Usul karangan Imam al Syaukani di samping menulis huraian matan Al Ajurumiyyah dalam ilmu Nahu. Setelah selesai mengarang huraian ini, beliau membentangkannya kepada ayahandanya untuk disemak dan diedit. Kemudian, abangnya Sayyid Ahmad al Ghumari menamakan huraian ini dengan judul Tashyidul Mabani Litaudhih Ma Hawathul Muqoddimah al Ajurumiyyah Minal Haqoiq wal Ma'ani. Semua ini beliau lakukan ketika masih lagi berusia belasan tahun.


Ketika berusia 21 tahun, dengan izin ayahandanya beliau bermusafir ke Mesir bersama abangnya Sayyid Ahmad dan adiknya Sayyid Muhammad al Zamzami bagi melanjutkan pengajian di al Azhar al Syarif. Di Mesir, bintang beliau sebagai seorang ilmuwan lebih-lebih lagi sebagai seorang muhaddith mula menyinar. Dengan galakan daripada rakan-rakan yang mengenali kewibawaannya, beliau menduduki peperiksaan Syahadah 'Alimiyyah Khassah dalam 12 subjek iaitu Usul Fiqh, Ma'ani, Bayan, Badi', Nahu, Sorf, Tauhid, Mantiq, Hadith, Mustolah Hadith, Fiqh dan Tafsir. Dalam peperiksaan ini, beliau memperolehi kejayaan yang cemerlang. Setelah itu, beliau sekali lagi menduduki peperiksaan Syahadah 'Alimiyyah al Azhariyyah dalam subjek yang sama seperti peperiksaan yang lalu. Cuma ditambah 3 subjek lagi iaitu ilmu al-Wadh'u, 'Arudh Qafiah dan Tasawwuf. Dalam peperiksaan ini juga, beliau beroleh kejayaan yang cemerlang dan berita kejayaan beliau disiarkan menerusi akhbar al Ahram sehinggakan Syeikh Mahmud Syaltut yang ketika itu merupakan wakil Fakulti Syariah al Azhar al Syarif berkata:


Kita mengucapkan tahniah kepada peperiksaan Syahadah 'Alimiyyah al Azhariyyah kerana ianya telah diambil oleh Syeikh Abdullah yang sememangnya datang dari negaranya dalam keadaan alim.


Berkata Sayyid Abdullah al Ghumari:


Pada asalnya, saya bermazhab Maliki. Kemudian saya berpindah ke mazhab Syafi'i. Apabila saya telah memiliki kelengkapan ijtihad, maka saya mula berijtihad tanpa terikat pada mana-mana mazhab. Namun begitu, apabila saya diminta untuk memberikan fatwa, kebiasaannya saya akan berfatwa berdasarkan mazhab Maliki atau Syafi'i kerana saya tidak ingin orang ramai terikat dengan pandangan saya kecuali dalam perkara-perkara yang benar-benar jelas dalilnya.


Kerjaya


Setelah menamatkan pengajian, beliau mula mengajar di Masjid al Azhar al Syarif dalam ilmu Nahu, Mantiq, Usul Fiqh dan Balaghah.


Di samping itu, beliau turut menyumbangkan karya-karya ilmiah kepada majalah-majalah yang pelbagai antaranya:


1) Majalah Hadyu al Islam.

2) Majalah al Irsyad.

3) Majalah al Robitoh al Islamiyyah.

4) Majalah al Syarq al 'Arabi.

5) Majalah Nasyr al Fadhoil wal Adab al Islamiyyah.

6) Majalah al Wasilah.

7) Majalah al Muslim yang diterbitkan oleh 'Asyirah Muhammadiyyah.


Selain itu, beliau juga aktif mengarang pelbagai kitab ilmiah yang bernilai terutama di dalam bidang hadith di samping mentahqiq beberapa kitab turath.


Hubungan beliau dengan pertubuhan & gerakan Islam di Mesir


Sayyid Abdullah al Ghumari sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa pertubuhan dan gerakan Islam di Mesir antaranya:


1) Pertubuhan al Hidayah al Islamiyyah yang dipimpin oleh Syeikh Muhammad al Khidr al Husain al Tunisi, salah seorang Syeikh al Azhar.

2) Al 'Asyirah al Muhammadiyyah di mana beliau merupakan salah seorang panel fatwa dan ahli jawatankuasa pertubuhan ini yang diasaskan oleh al Muhaddith Sayyid Muhammad Zakiyyuddin Ibrahim.

3) Pertubuhan Nasyr al Fadhoil wal Adab al Islamiyyah.

4) Pertubuhan al Robitoh al Islamiyyah.

5) Gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam al Syahid Hasan al Banna. Sayyid Abdullah al Ghumari berkata: Saya mempunyai hubungan yang erat dengan al Ustaz Hasan al Banna, pemimpin gerakan al Ikhwanul Muslimun dan ayahandanya al Ustaz Ahmad Abdul Rahman, pemilik sanad-sanad yang banyak di mana kami seringkali berhubung dan saling ziarah menziarahi.

6) Pertubuhan wanita yang diasaskan oleh Sayyidah Zainab al Ghazali. Sayyid Abdullah al Ghumari sering menyampaikan pengajian mingguan beliau di pusat pertubuhan ini.


Guru-guru beliau


Sayyid Abdullah al Ghumari memiliki seramai 62 orang guru sebagaimana yang disebut oleh beliau sendiri. Antaranya:


1) Ayahanda beliau sendiri, Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari al Idrisi al Hasani.

2) Abang beliau, al Hafiz Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Siddiq al Ghumari.

3) Sayyid Ahmad Rafi’ al Tohtowi, musnid negara Mesir.

4) Al ‘Allamah al Muhaddith Muhammad Zahid al Kauthari.

5) Al ‘Allamah Syeikh Muhammad Duwaidar al Kafrawi al Talawi al Syafi’i.

6) Al ‘Allamah al Faqih al Usuli Syeikh Muhammad al Tohir bin ‘Asyur al Tunisi.

7) Al ‘Allamah Syeikh Abdul Baqi al Ansori al Laknawi al Madani.

8) Muhaddith al Haramain Syeikh Umar Hamdan al Mahrasi al Tunisi.

9) Al ‘Allamah Syeikh Abdul Wasi’ bin Yahya al Wasi’i al Yamani.

10) Al ‘Allamah al Faqih Muhsin bin Nasir Bahrobah al Hadhrami.

11) Al ‘Allamah al Faqih al Musnid Abdul Qadir bin Taufiq al Syalabi al Tarablasi al Hanafi.

12) Al ‘Allamah al Faqih Muhammad bin Muhammad al Halabi al Misri al Syafi’i.

13) Al ‘Allamah Muhammad Imam bin Ibrahim al Saqa.

14) Syeikh Darul Hadith Damsyiq al Muhaddith Badruddin Muhammad bin Yusuf al Hasani.

15) Sayyidah al Musnidah Ummul Banin Aminah binti Abdul Jalil bin Salim al Dimasyqiyyah.

16) Al Muhaddith al ‘Allamah Sayyid Muhammad Ja’afar al Kittani al Fasi.

17) Al 'Allamah Sayyid al Habib al Muhaji.

18) Al 'Allamah Muhammad al Haj al Sulami al Mirdasi.

19) Al 'Allamah Ahmad bin al Jilani al Amghori.

20) Al Qadhi Sayyid al Husain al 'Iraqi.

21) Al Qadhi al 'Abbasi bin Abu Bakar al Bunani.

22) Al 'Allamah Sayyid al Radhi al Hinsyi.

23) Al 'Allamah Sayyid Ahmad al Qadiri.

24) Al 'Allamah Syeikh Muhammad Bakhit al Muti'i al Hanafi, mufti kerajaan Mesir.

25) Al 'Allamah Syeikh Syu'aib bin Abdul Rahman al Dukkali.

26) Ayatullah Hibatullah al Husaini al Imami.


Dan lain-lain lagi di beberapa negara Islam seperti Mekah al Mukarramah, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Sudan dan Qatar.


Murid-murid beliau


Antaranya:


1) Adik-adik beliau sendiri Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy, Sayyid Hasan, Sayyid Ibrahim dan Sayyid Muhammad al Zamzami.

2) Al ‘Allamah Syeikh Muhammad al Hamid al Hamawi.

3) Al ‘Allamah Syeikh Abdul Aziz ‘Uyun al Sud al Himsi.

4) Al ‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah al Halabi.

5) Al ‘Allamah Syeikh Muhammad ‘Awwamah al Halabi.

6) Al ‘Allamah Syeikh Muhammad Ali al Murad al Hamawi.

7) Dr. Abdul Wahhab Abdul Latif.

8) Dr. Ali Juma’ah al Misri, Mufti Republik Arab Mesir sekarang.

9) Sayyid Soleh al Ja’afari, Imam Besar Masjid al Azhar suatu ketika dahulu.

10) Syeikh Hamdi Aslan al Albani.

11) Dr. Mahmud Sa’id Mamduh al Misri.

12) Syeikh Mahmud Hasan al Syeikh.

13) Dr. Hanafi Hasanain.

14) Syeikh Husain al Batanuti.

15) Dr. Faruq Hammadah.

16) Dr. Muhammad Fuad al Barazi dan ramai lagi dari seluruh pelusuk dunia.


Karya-karya beliau


Sayyid Abdullah al Ghumari telah menghasilkan pelbagai karangan yang bermutu tinggi hingga mencecah sebanyak 81 buah dalam pelbagai bidang ilmu terutama ilmu Hadith sehinggakan seorang ulama’ dari Madinah al Munawwarah pernah menulis dalam sepucuk surat yang dikirimkan kepada Sayyid Abdullah al Ghumari:


Kami menyangka tiada lagi ulama’ Hadith di Mesir dan Timur selain Syeikh Muhammad Rasyid Ridho dan Syeikh Ahmad Syakir. Namun setelah kami membaca hasil kajian dan semakan-semakan tuan di dalam bidang Hadith, maka kami mengatakan tuan adalah orang yang ketiga!


Antara karya-karya beliau mengikut susunan bidang ilmu:


a) Usuluddin:


1) Itqanus Sun'ah fi Tahqiq Ma'na al Bid'ah.

2) Irsyadul Jahil al Ghobiy Ila Anna Adam Nabiy.

3) Irgham al Mubtadi' al Ghobiy bi Jawaz al Tawassul Bin Nabiy.

4) Al Tahqiq al Bahir fi Ma'nal Iman Billah wal Yaum al Akhir.

5) Ithaful Azkiya' bi Jawaz al Tawassul Bil Anbiya' wal Auliya'.

6) Iqomatul Burhan fi Nuzul 'Isa Akhiraz Zaman dan lain-lain lagi.


b) Ulum al-Quran:


1) Al Ihsan Fi Ta'aqqub al Itqan.

2) Bida'ut Tafasir.

3) Bayan Sohih al Aqowil fi Tafsir Ayat Bani Israil.

4) Taudhihul Bayan Liwusul Thawab Al Quran.

5) Zauqul Halawah Bi Bayan Imtina' Naskh al Tilawah.

6) Al Ru'ya fil Quran was Sunnah dan lain-lain lagi.


c) Ulum Hadith:


1) Al Ahadith al Muntaqah fi Fadhoil Sayyidina Rasulillah .

2) Al Arba'un al Siddiqiyyah.

3) Al Arba'un al Ghumariyyah.

4) Asanid al Kutub al Sab'ah fil Hadith.

5) Nihayatul Amal fi Sihhah wa Syarh Hadith 'Ardh al 'Amal dan lain-lain lagi.


d) Fiqh dan Usul Fiqh:


1) Husnut Tafahum wad Dark fi Masalah al Tark.

2) Al Adillah al Rojihah 'ala Fardhiyyah Qiraatil Fatihah.

3) Al Istiqso' Li Adillah Tahrim al Istimna'.

4) 'Ilam al Roki' was Sajid bi Ma'na Ittikhozil Qubur Masajid dan lain-lain lagi.


Juga beberapa karangan lain lagi yang agak banyak untuk disenaraikan di sini dalam pelbagai bidang ilmu. Sesiapa yang membaca setiap karangan beliau, pasti merasa kagum dengan ketinggian ilmu beliau yang menunjukkan keluasan kajian beliau ditambah dengan kekuatan dalil yang dikemukakan dalam setiap masalah yang beliau bentangkan apatah lagi beliau merupakan seorang pakar hadith yang telah mencapai martabat al Hafiz. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa Sayyid Abdullah al Ghumari sememangnya seorang tokoh ilmuwan yang hebat bagi sesiapa yang meneliti karangan beliau dengan pandangan yang saksama tanpa sebarang perasaan taksub.


Ujian hidup yang ditempuhi


Sayyid Abdullah al Ghumari pernah dipenjarakan pada zaman pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasir atas tuduhan mengintip bagi pihak Perancis sedangkan ini merupakan suatu tuduhan palsu melalui perancangan beberapa pihak tertentu yang merasa tergugat dengan kelantangan dan keberanian beliau. Pada asalnya, beliau dijatuhkan hukuman mati, namun setelah mahkamah mendapati beliau tidak bersalah, beliau dikenakan hukuman penjara selama 11 tahun bermula daripada 15 Oktober 1959 hingga 26 Disember 1969. Walaupun berada dalam penjara, ia tidak menghalang beliau untuk mengarang beberapa karya yang tidak kurang hebatnya.


Kepulangan ke Morocco dan kewafatannya.


Setelah keluar dari penjara, beliau pulang ke Morocco bagi meneruskan perjuangan dalam bidang ilmu. Sayyid Abdullah al Ghumari telah berada di Mesir selama 40 tahun dan beliau pulang ke tanah airnya untuk menabur bakti buat anak bangsanya di samping meneruskan kelangsungan Madrasah Siddiqiyyah yang telah diasaskan oleh ayahandanya. Setelah menabur bakti di Morocco selama lebih kurang 23 tahun, akhirnya beliau menyahut panggilan Ilahi pada hari Khamis 19 Sya'aban 1413 Hijrah (11 Februari 1993) dalam usia 85 tahun. Jenazah beliau disemadikan bersebelahan pusara ayahanda dan bondanya yang terletak di Madrasah Siddiqiyyah. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh beliau serta membalas amalan beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.

Pujian para ulama' terhadap beliau.


1) Ayahanda beliau sendiri memuji beliau dengan menyifatkan beliau sebagai seorang yang memiliki kefahaman yang baik. Dalam sepucuk surat yang diutus oleh ayahandanya kepada beliau, menyebut:


Engkau adalah seorang yang faqih, sufi dan muhaddith.


2) Abang beliau, Sayyid Ahmad al Ghumari ketika menulis muqaddimah untuk kitab beliau yang bertajuk Nihayatul Amal menyebut:


Gaya bahasa dan pena anda dalam kitab ini seperti gaya bahasa dan pena al Hafiz al Zahabi.


3) Ketika sahabat baik beliau Syeikh Abdul Majid al Lubban yang merupakan Dekan Fakulti Usuluddin al Azhar menziarahi beliau bersama beberapa orang pensyarah yang lain, Syeikh Abdul Majid berkata kepada para pensyarah yang hadir bersamanya:


Kamu tahu siapa pemuda ini? Ini adalah pemuda yang tiada tandingannya dalam ilmu Hadith!


4) Prof. Dr. al Bahi al Khuli berbicara tentang Sayyid Abdullah:


Yang mengkagumkan saya ialah ilmu beliau sentiasa hadir. Apabila ditanya tentang sesuatu perkara, beliau akan terus menjawabnya. Berbeza dengan ulama' al Azhar yang lain. Apabila ditanya, mereka tidak akan menjawab kecuali selepas merujuk kitab.


5) Wartawan Abul Khair Najib berkata:


Sayyid Abdullah adalah perbendaharaan ilmu.


Silsilah saya yang sampai kepada beliau.


Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala saya dikurniakan nikmat untuk menjalinkan hubungan dengan Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari melalui rantaian sanad berupa ijazah umum dan hadith-hadith musalsal. Secara umum, saya meriwayatkan silsilah-silsilah ini daripada dua orang guru yang saya kasihi iaitu al Muhaddith Sayyid Muhammad Ibrahim al Kittani al Husaini yang merupakan salah seorang murid kanan al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari dan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki. Semoga Allah Ta'ala menghimpunkan kita semua bersama-sama para kekasih-Nya. Amin.


Bibliografi:


- As Sayyid Abdullah al Ghumari: al Hafiz al Naqid, Prof. Dr. Faruq Hammadah, cetakan tahun 2006, terbitan Darul Qalam, Damsyik.

- Bida'ut Tafasir, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari, terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari, bahagian kedua, cetakan pertama 1419 (1998), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

Tiada ulasan: