Posted on Thursday, June 18, 2009
by Danial Farhan @ Humair
RISALAH SEMPENA HARI KELUARGA 09 (3)
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Bertemu lagi dalam risalah ketiga sempena Hari Keluarga 09 yang bakal menjelang hanya beberapa hari saja lagi. Semoga terus tabah dan bersungguh-sungguh dalam menggembleng usaha menjayakan program yang telah kita rancang bersama ini.
Seseorang (dirahsiakan namanya) menimbulkan persoalan yang berbunyi; Apa erti kawan?
Persoalan ini menarik minat saya untuk menjawabnya walaupun saya yakin jawapannya terlalu banyak untuk dipilih kerana ia adalah soalan yang memiliki jawapan yang pelbagai. Cuma saya melihat, dasar utama persahabatan/kawan itu adalah iman. Daripada dasar ini, bercabang pula keikhlasan dan kejujuran. Daripada dua sifat utama ini, lahir beberapa lagi sifat mulia yang mencantikkan lagi hubungan persahabatan.
Saya bukanlah orang yang terbaik untuk menjawab soalan ringkas ini walaupun saya telah kemukakan muqoddimah buat jawapan ini. Muqoddimah ini saya temui melalui penelitian terhadap sirah. Jika kita membaca sirah, kita akan temui kisah indah persaudaraan di antara golongan Muhajirin dan Ansor. Ada tiga aspek penting dalam hubungan persaudaraan dan persahabatan ini yang pada pandangan saya boleh menjawab soalan yang ditimbulkan ini.
PERTAMA: Mereka dihimpunkan oleh iman. Mereka bersaudara dan bersahabat atas dasar iman. Mereka datang dari pelbagai suku bangsa dan sebelum itu mereka pernah melalui siri-siri pergolakan yang menyaksikan tercetusnya peperangan demi peperangan yang berdarah. Namun bila Islam datang, lantas mereka terus berdamai dan berkasih sayang seolah-olah mereka tidak pernah bermusuh. Realiti ini dirakamkan oleh Allah Ta'ala menerusi firman-Nya yang berbunyi:
Berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai. Ingatlah nikmat Allah buat kamu ketika kamu dahulunya saling bermusuhan lalu Dia menjinakkan di antara hati-hati kamu lantas kamu menjadi saling bersaudara dengan nikmat-Nya. Kamu dahulu telah berada di tepi tebing neraka (dengan sebab kekufuran kamu) lalu Dia menyelamatkan kamu daripadanya (dengan memberi hidayah kepada kamu). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk. [Ali 'Imran: 103]
Kesimpulannya; Iman adalah dasar utama persahabatan dan persaudaraan.
Sesungguhnya orang-orang beriman sahaja yang saling bersaudara maka perbaikilah (hubungan) di antara dua saudara kamu (yang berselisih faham), bertaqwalah kepada Allah agar kamu memperoleh rahmat. [al Hujurat: 10]
KEDUA: Apabila iman menjadi dasar persaudaraan dan persahabatan, lalu tumbuh pula cabang keikhlasan yang mendorong seorang sahabat sanggup berkorban demi sahabatnya yang lain. Contoh pengorbanan itu boleh dilihat dengan jelas melalui hubungan persahabatan di antara Muhajirin dan Ansor sehingga dirakam oleh Allah Ta'ala menerusi firman-Nya yang berbunyi:
Dan orang-orang (Ansor) yang mendiami kota (Madinah) serta beriman sebelum mereka menyayangi orang-orang yang berhijrah ke (negeri) mereka dan tidak ada di dalam hati mereka perasaan iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan kepada golongan Muhajirin itu. Mereka juga mengutamakan (golongan Muhajirin) melebihi diri mereka sendiri walaupun mereka berada dalam keadaan terdesak (sangat memerlukan). (Ingatlah) sesiapa yang dipelihara daripada bersikap bakhil, maka merekalah golongan yang berjaya. [al Hasyr: 9]
KETIGA: Daripada keikhlasan, maka lahirlah kejujuran yang mengundang kesetiaan dalam hubungan persahabatan. Sepanjang pembacaan kita terhadap sejarah para sahabat, pernahkah kita melihat mereka mengkhianati persahabatan yang mereka bina selama ini?! Demi Allah! Tak pernah sama sekali! Oleh kerana itu, mereka adalah generasi terbaik dalam segenap aspek. Mereka telah menunjukkan kepada kita erti persahabatan yang sejati.
Jika tiga perkara ini dapat kita hayati, maka kita akan memahami erti persahabatan. Persoalannya, mengapa kita tidak mulakan dengan diri kita sendiri untuk mencapai hakikat persahabatan sejati? Kita hanya inginkan sahabat sejati, namun mengapa kita tidak berusaha untuk menjadi sahabat sejati? Mulakan dengan diri, kelak kita akan bertemu sahabat sejati, insya Allah.
Maha Suci (Allah) yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada waktu malam dari Masjid al Haram (Makkah) ke Masjid al Aqso (Bait al Maqdis) yang Kami berkati sekitarnya untuk Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kekuasaan & kebijaksanaan) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al Isra': 1]
سُبْحَان : Kalimah yang membawa maksud penyucian. Ertinya menyucikan Allah Ta'ala daripada sebarang kekurangan. Allah Ta'ala memulakan ayat ini dengan kalimah 'سبحان' sebagai isyarat bahawa peristiwa Isra' & Mi'raj adalah peristiwa ajaib. Peristiwa ajaib ini hanya mampu dilakukan oleh Dia yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan walaupun gagal ditafsir oleh akal pemikiran yang dibatasi kelemahan dan kekurangan. Ia juga mengajar kita bahawa kalimah 'سبحان الله' elok diungkapkan ketika melihat atau mendengar berita mengenai peristiwa yang ajaib sebagai lambang kekaguman.
أَسْرَى : Memperjalankan. Ini membawa erti bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bukan berjalan dengan kudrat Baginda pada malam bersejarah itu kerana perjalanan yang hanya memakan tempoh separuh malam itu tidak mungkin boleh dilakukan dengan kemampuan Baginda bahkan Baginda digerakkan oleh kuasa lain yang mampu menjadikan perjalanan berbulan-bulan hanya menjadi separuh malam. Kuasa itu adalah kuasa Allah Ta'ala!
بِعَبْدِهِ : Hamba-Nya; iaitu Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Ini adalah gelaran kehormat buat Baginda yang membuktikan bahawa Baginda telah mencapai tahap 'Ubudiyyah (perhambaan) yang sempurna dan tertinggi. Menjadi hamba Allah adalah suatu kebanggaan buat seluruh orang beriman. Inilah yang sering kita ulangi dalam sembahyang:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Hanya kepada Engkau kami memperhambakan diri dan hanya daripada Engkau kami memohon pertolongan. [al Fatihah: 5]
Bila aku termasuk dalam panggilan-Mu, "Wahai para hamba-Ku";
Dan Kau jadikan pula Ahmad sebagai Nabiku.
Kemudian, Allah Ta'ala menyandarkan kalimah 'hamba' kepada-Nya dengan menyebut "hamba-Nya" untuk menunjukkan bahawa Baginda berada di dalam kesempurnaan kawalan dan perhatian Allah Ta'ala.[1]
Kalimah ini juga dijadikan dalil oleh para ulama' bahawa peristiwa Isra' & Mi'raj berlaku dengan jasad dan roh Baginda bukannya di dalam mimpi.[2]
لَيْلاً : Pada waktu malam. Ini menunjukkan peristiwa ini berlaku pada waktu malam. Kemudian kalimah ini di'nakirah'kan bagi menunjukkan singkatnya tempoh malam tersebut.[3] Ertinya peristiwa Isra' Mi'raj berlaku pada waktu malam dalam tempoh yang sangat singkat. Jika timbul pertanyaan: Kenapa peristiwa ini berlaku pada waktu malam? Kenapa tidak berlaku pada waktu siang agar boleh dilihat oleh kaum musyrikin sehingga mereka tidak boleh mendustakan Baginda?
Jawapannya: Berlakunya peristiwa ini pada waktu malam lebih mendalam kesannya bagi menunjukkan keajaiban peristiwa ini di samping menguji keutuhan iman kaum Muslimin ketika itu bahkan sebenarnya sama saja jika peristiwa ini berlaku pada waktu siang sekalipun, kaum musyrikin tetap mendustakan Baginda dan menyatakan bahawa ia adalah sebahagian sihir sepertimana yang pernah mereka katakan ketika melihat mukjizat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .
بَارَكْنَا حَوْلَهُ: Kami berkati sekitarnya. Kawasan sekitar Bait al Maqdis itu diberkati oleh Allah Ta'ala dengan tumbuhnya pepohonan dan mengalirnya sungai sebagaimana yang disebutkan oleh golongan mufassirin.[4] Allah Ta'ala membahasakan Diri-Nya dengan kata ganti diri 'Kami' bagi menunjukkan betapa hebatnya keberkatan yang dilimpahkan ke atas Bait al Maqdis dan kawasan sekitarnya.
لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا : Untuk Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kekuasaan & kebijaksanaan) Kami. Inilah hikmah yang ingin dizahirkan oleh Allah Ta'ala apabila Dia memperjalankan Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pada malam tersebut supaya apabila Baginda melihat tanda-tanda itu, maka hati Baginda menjadi tenang dan bertambah yakin terhadap kekuasaan dan kehebatan Allah Ta'ala. Di saat ini, Baginda telah mencapai martabat 'Ainul Yaqin'.[5] Sama seperti Sayyiduna Ibrahim صلى الله عليه وآله وسلم yang telah mencapai martabat 'al Yaqin' setelah melihat tanda-tanda kekuasaan Allah Ta'ala. Firman Allah Ta'ala ketika menceritakan tentang Nabi Ibrahim عليه الصلاة والسلام :
Dan demikianlah Kami perlihatkan kerajaan langit dan bumi kepada Ibrahim supaya dia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang yakin (terhadap kekuasaan Kami). [al An'aam: 75]
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْر: Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Yang masyhurnya, kata ganti diri 'هو' (Dia) kembali kepada Allah Ta'ala sepertimana yang saya terjemahkan di sini. Ertinya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat segala tindak-tanduk Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pada malam itu. Ada yang mengatakan bahawa kata ganti diri ini kembali kepada Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Ertinya Baginda mendengar segala bunyi yang wujud dalam peristiwa itu tanpa terlindung dan melihat segala perkara tanpa terserong. Allah Ta'ala berfirman:
مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى
Penglihatan (Rasulullah) tidak berpaling (daripada melihat dengan tepat) dan tidak pula melampaui batas. [al Najm: 17]
والله أعلم بالصواب وإليه المرجع والمآب
Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.
Bibliografi:
[1] Al Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, cetakan tahun 2006, terbitan Yayasan Restu.
[2] Tafsir al Jalalain, Syeikh Jalaluddin al Mahalli & Syeikh Jalaluddin al Suyuti, cetakan kedua 1995 M (1415 H), terbitan Darul Jiil, Beirut.
[3] Hasyiah al Sowi 'ala Tafsir al Jalalain, al 'Allamah Syeikh Ahmad bin Muhammad al Sowi al Maliki, tahqiq Syeikh Toha Abdur Rauf Sa'ad, terbitan Maktabah al Thaqofah al Diniyyah, Kaherah.
[4] Rowai'ul Bayan Tafsir Ayatil Ahkam minal Quran, juzu' kedua, Syeikh Muhammad 'Ali al Sobuni, cetakan pertama 1999 M (1420 H), terbitan Dar al Sobuni.
[1]Rowai'ul Bayan Tafsir Ayat al Ahkam minal Quran, m/s: 431.
[5]Yaqin itu ada tiga peringkat: 'Ilmul Yaqin, Haqqul Yaqin & 'Ainul Yaqin. 'Ainul Yaqin lebih tinggi kerana ia adalah keyakinan yang dicapai setelah melihat sesuatu perkara itu dengan mata kepala.
Posted on Sunday, June 14, 2009
by Danial Farhan @ Humair
PENGENALAN.
Ini adalah salah sebuah risalah karangan al Hafiz Jalaluddin al Suyuti رضى الله عنه yang saya petik daripada kitab beliau yang berjudul al Hawi Lil Fatawi. Risalah ini membicarakan beberapa masalah yang bersangkut paut dengan keturunan Sayyidah Zainab عليها السلام , cucu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Saya sengaja menterjemahkan risalah ini kerana kebiasaannya kita hanya membicarakan secara khusus mengenai keturunan Imam al Hasan al Sibt & Imam al Husain al Syahid عليهما السلام . Jadi apa salahnya kita mengenali pula keturunan Sayyidah Zainab عليها السلام yang merupakan adik perempuan kepada Imam al Hasan & Imam al Husain عليهما السلام . Keturunan Sayyidah Zainab masih lagi wujud sebenarnya. Cuma kewujudan zuriat yang mulia ini tidaklah sepopular wujudnya zuriat Imam al Hasan & Imam al Husain. Sepanjang pengetahuan saya, zuriat ini masih wujud di Mesir dan juga di Morocco. Di antara ulama' yang berketurunan Sayyidah Zainab ialah Sayyid Muhammad al Bahi رضى الله عنه , yang pusaranya berada di Tanta, Mesir berhampiran dengan Masjid Sayyid Ahmad al Badawi رضى الله عنه . Begitu juga Sayyid Muhammad al Hasan al Hajwi رحمه الله , salah seorang ulama' Morocco. Oleh itu, risalah ini menjadi pilihan untuk ditransliterasikan apatah lagi saya dapati al Hafiz al Suyuti adalah satu-satunya ulama' yang membicarakan masalah ini secara khusus. Risalah ini beliau namakan اَلْعُجَاجَةُ الزَّرْنَبِيَّة فِى السُّلاَلَةِ الزَّيْنَبِيَّة .
'Ali bin Abi Tolib رضى الله عنه dikurniakan seramai 21 putera dan 18 puteri berdasarkan perselisihan pendapat mengenai bilangan ini. Putera-putera beliau yang memiliki zuriat hanyalah lima orang. Ibnu Sa'ad menerusi kitab al Tobaqat berkata:
Keturunan 'Ali wujud melalui lima putera beliau; al Hasan, al Husain, Muhammad bin al Hanafiah, al 'Abbas bin al Kilabiah dan 'Umar bin al Taghlabiah.[2]
Masalah:-
Fatimah al Zahra' رضى الله عنها dikurniakan lima cahaya mata:
[1] Al Hasan,
[2] Al Husain,
[3] Muhsin,
[4] Ummu Kalthum,
[5] Zainab.
Adapun Muhsin, beliau meninggal dunia ketika kecil.
Manakala al Hasan & al Husain memiliki zuriat yang ramai dan baik-baik belaka.
Ummu Kalthum pula dinikahi oleh 'Umar bin al Khottob رضى الله عنه lalu melahirkan Zaid & Ruqoyyah. Selepas kewafatan 'Umar, beliau dikahwini pula oleh sepupunya[3] 'Aun bin Ja'afar bin Abi Tolib. Selepas kematian 'Aun, beliau dikahwini pula oleh adik 'Aun yang bernama Muhammad. Apabila Muhammad meninggal dunia, beliau berkahwin pula dengan adik Muhammad yang bernama 'Abdullah bin Ja'afar. Dalam tempoh perkahwinan ini[4], Ummu Kalthum pun meninggal dunia. Beliau tidak memiliki sebarang cahaya mata hasil daripada perkahwinan dengan ketiga-tiga adik beradik tersebut ('Aun, Muhammad & 'Abdullah).
Zainab pula berkahwin dengan sepupunya 'Abdullah bin Ja'afar[5] lalu melahirkan 'Ali, 'Aun al Akbar, 'Abbas, Muhammad dan Ummu Kalthum.
Masalah:-
Keturunan Zainab hasil perkahwinan beliau dengan 'Abdullah bin Ja'afar masih wujud dengan banyaknya. Oleh itu, kami akan membicarakan mengenai mereka daripada 10 aspek:
Pertama:-
Mereka adalah keluarga Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan ahli bait Baginda berdasarkan ijma' kerana keluarga Baginda itu ialah golongan mukmin daripada Bani Hasyim dan Bani al Muttolib. Muslim dan al Nasaie meriwayatkan daripadaZaid bin Arqam bahawasanya beliau berkata:
"Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkhutbah dengan bersabda:
أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِى أَهْلِ بَيْتِي
Mafhumnya: Saya memperingatkan kamu dengan Allah pada (hak) ahli bait saya.
Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.
Lalu Zaid bin Arqam ditanya[6]: Siapakah ahli bait Baginda?
Beliau menjawab: Ahli bait Baginda adalah golongan yang haram menerima sedekah selepas kewafatan Baginda.
Beliau ditanya lagi: Siapakah mereka itu?
Beliau menjawab: Keluarga 'Ali, keluarga 'Aqil, keluarga Ja'afar dan keluarga 'Abbas."[7]
Kedua:-
Mereka adalah zuriat Baginda berdasarkan ijma'. Aspek ini lebih khusus berbanding aspek sebelumnya. Al Baghowi berkata di dalam kitab al Tahzib:
Cucu-cucu seorang lelaki yang merupakan anak-anak kepada anak perempuannya tidak dinasabkan kepadanya[8] walaupun mereka dikira sebagai zuriatnya yang mana jika dia mewasiatkan sesuatu untuk cucu-cucunya yang merupakan anak-anak kepada anak lelakinya, maka cucu-cucunya daripada anak perempuannya turut layak menerima wasiat tersebut.
Ketiga:-
Adakah mereka turut berkongsi bersama-sama keturunan al Hasan dan al Husain dalam nasab kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ?
Jawapannya: Tidak. Aspek ini lebih khusus daripada aspek sebelumnya. Para fuqaha' membezakan di antara golongan yang dipanggil zuriat kepada seseorang dengan golongan yang dinasabkan kepadanya. Oleh itu mereka menyatakan:
"Jika seseorang berkata, "Saya mewakafkan harta ini buat zuriat saya." Maka zuriatnya daripada anak perempuannya termasuk dalam wakaf ini.
Namun jika dia mengatakan, "Saya mewakafkan harta ini buat mereka yang dinasabkan kepada saya daripada anak-anak saya." Maka zuriatnya daripada anak perempuannya tidak termasuk dalam wakaf ini."
Para fuqaha' juga menyebut bahawa di antara khususiat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ialah anak-anak kepada puteri-puteri Baginda dinasabkan kepada Baginda. Tetapi mereka tidak pula mengatakan bahawa anak-anak kepada anak-anak perempuan daripada puteri-puteri Baginda dinasabkan kepada Baginda. Ertinya khususiat tersebut hanya untuk tingkatan pertama sahaja. Oleh itu, anak-anak Fatimah yang empat (al Hasan, al Husain, Ummu Kalthum & Zainab) dinasabkan kepada Baginda. Anak-anak al Hasan dan al Husain dinasabkan kepada mereka berdua, lalu mereka turut dinasabkan kepada Baginda. Manakala anak-anak Ummu Kalthum dinasabkan kepada ayah mereka 'Umar. Begitu juga anak-anak Zainab dinasabkan kepada ayah mereka 'Abdullah bukannya dinasabkan kepada ibu mereka lalu kepada ayahandanya صلى الله عليه وآله وسلم kerana mereka adalah anak-anak kepada Zainab yang merupakan puteri kepada puteri Baginda. Maka urusan mereka ini sememangnya mengikut kaedah syara' bahawa seorang anak itu mengikut nasab bapanya bukan nasab ibunya. Cuma anak-anak Fatimah sahaja yang terkeluar daripada kaedah ini berdasarkan khususiat yang tersebut dalam hadith dan ia hanya terbatas kepada zuriat al Hasan dan al Husain.
Al Hakim meriwayatkan dalam al Mustadrak daripada Jabir bahawasanya beliau berkata:
Mafhumnya: Setiap anak (bagi) seorang ibu, ada pertaliannya (masing-masing) kecuali kedua-dua anak Fatimah. Sayalah wali dan tali pertalian mereka.[10]
Cuba lihat kepada lafaz hadith tersebut! Bagaimana Baginda mengkhususkan nasab dan pertalian hanya kepada al Hasan dan al Husain tanpa melibatkan kedua adik perempuan mereka (Ummu Kalthum & Zainab) kerana anak-anak kepada adik perempuan mereka ini hanya dinasabkan kepada bapa masing-masing. Oleh kerana itu, golongan salaf dan khalaf telah menerima pakai adat bahawa anak seorang syarifah tidak akan dipanggil syarif.[11] Kalaulah khususiat tersebut berbentuk umum buat anak-anak kepada anak-anak perempuan Baginda sehingga kebawah, pastilah anak setiap syarifah akan menjadi syarif yang diharamkan sedekah ke atas mereka walaupun ayahnya bukan seorang syarif sebagaimana yang dimaklumi. Oleh kerana itu, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menetapkan hukum sedemikian hanya buat Fatimah berbanding anak-anak perempuan Baginda yang lain. Ini adalah kerana kakak beliau, Zainab binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak melahirkan seorang pun anak lelaki sehingga boleh mencapai kedudukan seperti al Hasan dan al Husain dalam khususiat tersebut. Beliau hanya melahirkan seorang anak perempuan iaitu Umamah binti Abil 'Aasi bin al Rabi'. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم tidak meletakkan hukum buat Umamah dengan hukum yang sama sedangkan beliau hidup bersama-sama Baginda. Ini menunjukkan bahawa anak-anak Umamah tidak dinasabkan kepada beliau kerana beliau adalah anak perempuan kepada anak perempuan Baginda. Adapun beliau sendiri (Umamah) dinasabkan kepada Baginda berdasarkan (khususiat) bahawa anak-anak kepada anak-anak perempuan Baginda dinasabkan kepada Baginda. Kalaulah Zainab binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mempunyai anak lelaki, pastilah hukumnya sama seperti hukum al Hasan dan al Husain iaitu anaknya dinasabkan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Inilah huraian terhadap masalah ini kerana terdapat segolongan ulama' zaman ini yang membicarakan perkara ini tanpa berlandaskan ilmu dan secara hentam kromo.
Jawapannya: Pada permulaannya, gelaran Asyraf digunapakai oleh setiap individu daripada Ahli Bait sama ada Hasani[13], Husaini[14] dan 'Alawi[15] yang merupakan zuriat Muhammad bin al Hanafiah dan selain beliau daripada anak-anak 'Ali bin Abi Tolib. Begitu juga Ja'afari[16], 'Aqili[17] dan 'Abbasi[18]. Oleh itu, anda akan dapati al Hafiz al Zahabi menyebut demikian dalam kitab Tarikh beliau berkenaan biografi individu-individu tertentu dengan berkata, "Syarif al 'Abbasi, Syarif al 'Aqili, Syarif al Ja'afari, Syarif al Zainabi."
Apabila para khalifah dinasti Fatimiyyah memerintah Mesir, mereka telah membataskan penggunaan gelaran Syarif hanya untuk zuriat al Hasan dan al Husain sahaja. Maka adat ini berterusan di Mesir sehingga sekarang.
Al Hafiz Ibnu Hajar menyebut dalam kitab al Alqob:
Di Baghdad, Syarif adalah gelaran bagi setiap 'Abbasi. Di Mesir pula, ia adalah gelaran bagi setiap 'Alawi.
Tidak syak lagi bahawa istilah lama lebih utama iaitu menggunapakai gelaran Syarif bagi setiap 'Alawi, Ja'afari, 'Aqili dan 'Abbasi sebagaimana yang dilakukan oleh al Zahabi dan sepertimana yang diisyaratkan oleh al Mawardi yang merupakan daripada kalangan ashab kami[19]. Juga al Qodhi Abu Ya'la bin al Farra' daripada Hanabilah. Kedua-duanya menyebutkan perkara ini dalam kitab al Ahkam al Sultoniyyah. Begitu juga sepertimana yang disebut oleh Ibnu Malik dalam al Alfiyyah:
Mafhumnya: ………. # dan juga ahli keluarganya yang sempurna dan mulia[20].
Maka tidak diragui lagi bahawa zuriat Zainab turut digelar Asyraf. Seringkali al Zahabi menggunapakai gelaran ini dalam kebanyakan biografi dengan menyebut, "Syarif al Zainabi."
Dikatakan: Mengikut istilah penduduk Mesir, gelaran Syarif ada beberapa jenis. Ada yang umum buat semua Ahli Bait dan ada yang khusus buat zuriat maka golongan Zainabiyyah termasuk dalam jenis ini. Kemudian ada yang lebih khusus lagi iaitu syarif nasab yang terbatas buat zuriat al Hasan dan al Husain.
Aspek kelima:-
Sedekah itu diharamkan ke atas mereka berdasarkan ijma' kerana Bani Ja'afar adalah daripada kalangan al Aal (الآل)[21].
Keenam:-
Mereka layak mendapat bahagian rampasan perang daripada kalangan kaum kerabat (ذوي القربى) berdasarkan ijma'.
Ketujuh:-
Mereka layak menggunakan harta wakaf Birkat al Habasy berdasarkan ijma' kerana Birkat al Habasy tidak diwakafkan buat zuriat al Hasan dan al Husain sahaja bahkan ianya dibahagi dua:
[1] Separuh pertama buat golongan al Asyraf iaitu zuriat al Hasan dan al Husain.
[2] Separuh kedua pula buat golongan al Tolibiyyun iaitu daripada zuriat 'Ali bin Abi Tolib melalui Muhammad bin al Hanafiah dan adik beradiknya yang lain, zuriat Ja'afar bin Abi Tolib dan zuriat 'Aqil bin Abi Tolib.
Berdasarkan ketetapan ini, wakaf tersebut sabit ke atas Qodhi al Qodho' Badruddin Yusuf al Sanjawi pada 12 Rabi'ul Akhir tahun 640. Kemudian ia sabit pula ke atas Syeikhul Islam 'Izzuddin bin 'Abdus Salam pada 19 Rabi'ul Akhir pada tahun yang sama. Setelah itu, sabit pula ke atas Qodhi al Qudhoh Badruddin bin Juma'ah. Perkara ini disebut oleh Ibnu al Mutawwaj dalam kitab beliau Iqozul Mutaammil.
Kelapan:-
Adakah mereka perlu memakai lambang hijau?
Jawapannya: Lambang ini tidak ada sumbernya daripada syara' dan sunnah begitu juga tidak wujud pada zaman permulaan. Perkara ini baru sahaja bermula pada tahun 773 dengan perintah al Malik al Asyraf Sya'ban bin Husain. Perkara ini dibicarakan oleh segolongan penyair sehingga terlalu panjang untuk disebutkan di sini. Antaranya kata-kata Abu 'Abdullah bin Jabir al Andalusi al 'Ama (الأعمى) pengarang huraian matan al Alfiyyah yang terkenal dengan judul al 'Ama wal Basir:
Sultan al Asyraf yang mengkhususkan mereka dengannya;
Sebagai kemuliaan agar mereka dikenali dari hujungnya.
Jika seorang faqih ditanya mengenainya, maka dia hanya perlu menjawab: Lambang ini bukanlah suatu bida'ah tetapi ianya harus sahaja. Tidak menjadi halangan bagi seorang Syarif atau sesiapa saja selainnya untuk memakainya dan tidak pula perlu diarahkan seorang Syarif atau selainnya memakainya. Larangan terhadap mana-mana orang sekalipun daripada memakainya bukanlah perkara syara' kerana manusia itu dikenali melalui susur galur keturunan mereka yang sabit. Memakai lambang itu bukanlah perkara yang ada dalam syara' sehingga boleh dituruti dari sudut harus atau haram. Paling kurang pun dalam masalah ini ialah lambang itu diwujudkan bagi membezakan mereka (golongan Asyraf) dengan orang lain. Maka harus sahaja untuk dikhususkan buat golongan yang memiliki nasab kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم iaitu zuriat al Hasan dan al Husain. Begitu juga harus untuk dikenakan secara umum buat semua zuriat Baginda walaupun tidak dinasabkan kepada Baginda seperti golongan al Zainabiyyah. Harus juga diumumkan lagi penggunaannya buat semua Ahli Bait seperti golongan 'Alawiyyah yang selebihnya, Ja'afariyyah dan 'Aqiliyyah. Semua itu harus belaka dari segi syara'. Ada yang menggunakan isti'nas[23] daripada firman Allah Ta'ala yang berbunyi:
Mafhumnya: Wahai Nabi! Perintahkan isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman supaya melabuhkan jilbab mereka (bagi menutup seluruh tubuh mereka). Cara yang demikian itu lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu.. [al Ahzab: 59]
Sebahagian ulama' menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk mengkhususkan para ulama' dengan pakaian tertentu seperti memanjangkan lengan jubah dan memakai serban secara bulatan tanpa ekor juga sebagainya agar mereka dikenali serta sebagai penghormatan buat ilmu. Ini adalah cara yang baik. والله أعلم
Kesembilan:-
Adakah mereka termasuk dalam wasiat buat golongan Asyraf?
Dan kesepuluh:-
Adakah mereka juga termasuk dalam wakaf buat golongan Asyraf?
Jawapannya: Sekiranya terdapat dalam kata-kata pewasiat dan pewakaf ungkapan yang menunjukkan bahawa mereka termasuk atau terkeluar daripadanya, maka ia perlu dituruti. Jika tiada, maka kaedah Fiqh menyatakan bahawa wasiat dan wakaf itu dilaksanakan mengikut 'uruf sesebuah negara. 'Uruf di Mesir sejak era dinasti khilafah Fatimiyyah sehingga sekarang ialah Syarif itu merupakan gelaran khusus buat Hasani dan Husaini, maka mereka (Zainabi) tidak termasuk dalam wasiat dan wakaf menurut 'uruf ini. Cuma saya pernah menyatakan sebelum ini bahawa mereka termasuk dalam wakaf Birkat al Habasy kerana pewakafnya telah menyebutkan bahawa ianya diwakafkan secara separuh buat golongan Asyraf dan separuh lagi buat golongan al Tolibiyyin.
Bibliografi:
[1] Al Quran Mushaf Malaysia Dan Terjemahan, cetakan kedua 2006, terbitan Yayasan Restu.
[2] Sohih Muslim, al Imam al Hafiz Muslim bin al Hajjaj al Naisaburi, tahqiq Syeikh Kholil Makmun Syiha, cetakan pertama 2005 M / 1426 H, terbitan Darul Ma'rifah, Beirut-Lebanon.
[3] Musnad Abi Ya'la, al Imam Abu Ya'la Ahmad bin 'Ali bin al Muthanna al Mausili, tahqiq Syeikh Kholil Makmun Syiha, cetakan pertama 2005 M / 1426 H, terbitan Darul Ma'rifah, Beirut-Lebanon.
[4] Al Mustadrak 'ala al Sohihain, juzu' ketiga, al Hafiz Abu 'Abdillah Muhammad bin 'Abdullah al Naisaburi al Hakim, tahqiq Dr. Mahmud Matrohi, cetakan tahun 2002 M / 1422 H, terbitan Darul Fikr.
[5] Al Tobaqot al Kubro, juzu' kedua, Muhammad bin Sa'ad, komentar Suhail Kayyali, cetakan pertama 1994 M / 1414 H, terbitan Darul Fikr.
[6] Syarh Ibni 'Aqil 'ala Alfiyyah Ibni Malik, Qodhi al Qudhoh Baha'uddin Abdullah bin 'Abdullah bin 'Abdur Rahman bin 'Abdullah bin 'Aqil al Hasyimi al 'Aqili, tahqiq Syeikh Muhammad Muhyiddin 'Abdul Hamid, cetakan kedua 1999 M / 1420 H, terbitan Maktabah Dar al Turath.
[1]Muqoddimah ini sering digunapakai oleh al Hafiz al Suyuti dalam kebanyakan risalah dan karya beliau. Ia dipetik daripada firman Allah Ta'ala dalam surah al Naml ayat 59.
[3]Ertinya sepupu Ummu Kalthum bukan sepupu 'Umar.
[4]Iaitu perkahwinan beliau dengan 'Abdullah bin Ja'afar.
[5]Yang juga merupakan suami kakak beliau Ummu Kalthum. Yang pasti, Zainab berkahwin dengan beliau selepas kewafatan kakaknya.
[6]Orang yang bertanya ini ialah Husoin bin Sabrah.
[7]Sohih Muslim, kitab Fadhoil al Sohabah, hadith no: 6175_2408/36.
[8]Bahkan dinasabkan kepada suami anak perempuannya dan nenek moyang suaminya.
[9]Al Mustadrak, kitab Ma'rifah al Sohabah, hadith no: 4831. Al Hafiz al Hakim berkata: "Hadith ini adalah sohih isnadnya tetapi tidak diriwayatkan oleh mereka berdua (al Bukhori & Muslim)." Al Hafiz al Zahabi memberi komentar: "Hadith ini tidak sohih kerana Yahya (iaitu Yahya bin al 'Ala, salah seorang perawi hadith ini) menurut ungkapan Ahmad (bin Hambal): "Dia mencipta hadith palsu." Manakala al Qosim (iaitu al Qosim bin Abi Syaibah, perawi hadith ini juga) pula adalah matruk (tidak diterima hadith yang diriwayatkan olehnya).
[10]Musnad Abi Ya'la, musnad Fatimah عليها السلام, hadith no: 6735/3.
[11]Atau kalau menurut ungkapan kita, seorang syarifah jika berkahwin dengan selain sayyid lalu mendapat anak, maka anak tersebut tidak dipanggil sayyid atau syarifah.
[12]Asyraf adalah plural (jama') kepada syarif. Kalau mengikut 'uruf kita, adakah mereka boleh dipanggil Sayyid sebagaimana zuriat Imam al Hasan & Imam al Husain عليهما السلام dipanggil Sayyid?
[20]Syarah Ibni 'Aqil 'ala Alfiyyah Ibni Malik, halaman 7.
[21]Ahli keluarga Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sebagaimana yang tersebut dalam hadith Sayyiduna Zaid bin al Arqom رضى الله عنه
[22]Mahkota yang dimaksudkan di sini ialah serban.
[23]Isti'nas bererti menyesuaikan ayat dengan perkara yang ada kaitan rapat dengan ayat atau dengan ungkapan lain mengambil faedah yang ada daripada ayat lalu menyesuaikannya dengan perkara lain yang ada kaitan untuk dikeluarkan hukum. Sebagai contoh, ayat ini adalah berkenaan perintah melabuhkan pakaian buat para isteri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , puteri-puteri Baginda dan wanita mukminah supaya mereka dikenali sebagai wanita yang baik. Maka para ulama' menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa para ulama' boleh mengenakan pakaian khusus supaya mereka dikenali sebagai ulama' jugasebagai penghormatan buat ilmu. Ayat ini dijadikan dalil kerana wujud kesesuaian dan kaitan rapat antaranya dengan topik pakaian ulama'. Maka ia dinamakan isti'nas. والله أعلم
Mafhumnya: Maha Suci (Allah) yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) di waktu malam dari Masjid al Haram (Makkah) ke Masjid al Aqso (Bait al Maqdis) yang Kami berkati sekitarnya untuk Kami perlihatkan sebahagian tanda-tanda (kekuasaan dan kebijaksanaan) Kami kepadanya. Sesungguhnya Dia[1] Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al Isra': 1]
Ketika Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم memberitahu bahawa Baginda telah melalui perjalanan dari Makkah ke Bait al Maqdis kemudian naik ke langit hanya dalam tempoh sebahagian malam, kaum musyrikin ketika itu mendustakan Baginda bahkan ada di kalangan umat Islam yang lemah imannya murtad. Para sahabat kesemuanya membenarkan Baginda terutamanya Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq رضى الله عنه . Mengapa terjadinya pendustaan? Kerana apa yang diceritakan oleh Baginda berada di luar batasan pemikiran yang logik. Logikkah bertolak dari Makkah dan sampai ke Bait al Maqdis hanya dalam tempoh separuh malam? Sedangkan pada zaman tersebut, perjalanan pergi balik sahaja telah memakan masa sebulan. Logikkah naik ke langit juga dalam tempoh tak sampai satu malam? Sedangkan pada masa itu, belum timbul sebarang dakwaan pun bahawa ada yang pernah mencecah langit dunia. Dengan pelbagai lagi peristiwa pelik yang diceritakan oleh Baginda sepanjang perjalanan ajaib itu.
Jika kita fikir-fikir kembali dengan logik akal yang terbatas ini, memang kita akan menafikan semua itu. Memang kita pun akan turut berfikir seperti apa yang kaum musyrikin fikirkan. Kerana mereka berfikir dengan akal dan hati yang kosong daripada iman. Sebab itu, mereka mudah mendustakan cerita Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bahkan mereka telah mendustakan Baginda sebelum itu lagi. Para sahabat pula menerima cerita Baginda dengan akal dan hati yang dipenuhi iman. Didokong pula fakta bahawa Baginda tidak pernah berbohong. Kerana itu kita melihat Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq رضى الله عنه dengan tegas berkata, "Kalaulah Baginda menceritakan lebih daripada itu pun, saya tetap akan mempercayai Baginda!"
Allah! Iman yang ajaib! Inilah titik pemisah antara kita dengan kaum yang kafir. Mereka ada akal dan hati dan kita pun turut dikurniakan akal dan hati. Cuma bezanya, akal dan hati kita dihiasi dengan iman sehingga membuatkan kita menerima segala apa yang datang dari Allah & Rasulullah صلى الله عليه وسلم walaupun pada zahirnya kelihatan bercanggah dengan pemikiran logik. Peristiwa Isra' Mi'raj mengajar kita bahawa bukan semua perkara boleh diukur dengan akal pemikiran yang terbatas. Ada perkara yang perlu diukur dan ditimbang serta dinilai dengan iman. Islam bukan agama yang menafikan peranan akal bahkan Islam sering menggalakkan penganutnya supaya menggunakan akal untuk memikirkan rahsia kejadian alam ini. Cuma penggunaan akal itu perlu diiringi dengan iman. Tiada yang mustahil di sisi Allah Ta'ala. Sedangkan kadangkala kita melihat pelbagai perkara yang pelik. Golongan yang hanya berpandukan akal semata-mata pasti tiada jawapan untuk mengungkapkan setiap kepelikan yang berlaku sedangkan kita yang punya iman sudah memiliki jawapan: Tiada yang mustahil di sisi Allah. Dia berkuasa mengubah apa telah Dia tetapkan kerana segala-galanya berada di bawah kekuasaan-Nya. Dia mampu menjadikan perjalanan sebulan menjadi separuh malam. Dia mampu menjadikan waktu malam semakin panjang dalam keadaan kita merasakan ianya pendek sedangkan dalam waktu tersebut, pelbagai peristiwa telah berlaku.
Peristiwa Isra' Mi'raj menyedarkan kita bahawa kita hanya makhluk yang lemah. Sebijak manapun kita, akal pemikiran kita masih terbatas. Kita tidak sempurna. Kesempurnaan hanya milik Allah Ta'ala. Semua tanda-tanda yang ditunjukkan Allah Ta'ala kepada kita adalah untuk mengajak kita supaya merenung dan berfikir sejenak tentang keterbatasan diri kita jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah yang meliputi segala sesuatu. Bila direnung sedalam-dalamnya, maka jawapannya tetap satu: Tiada yang mustahil di sisi Allah Ta'ala.
Oleh itu, sempena sambutan Isra' Mi'raj yang bakal menjelma, mari kita bermuhasabah kembali sejauh mana keimanan dan keyakinan terhadap Allah telah kita kukuhkan lebih-lebih lagi dalam era yang menyaksikan bahawa segala perkara hanya dinilai dengan pancaindera dan akal semata-semata. Kita dituntut untuk berjalan mengikut sunnah alam, namun jangan lupa bahawa di sebalik sunnah alam tersebut, ada yang mengatur dan mengubahnya mengikut kehendak-Nya. Akhir kalam, teguhkan iman dalam meniti hari-hari mendatang yang semakin sukar.
Humair غفر الله له ولوالديه
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.
Bibliografi:
- Hasyiah al Sowi 'ala Tafsir al Jalalain, juzu kedua, al 'Allamah Syeikh Ahmad bin Muhammad al Sowi al Maliki, tahqiq Syeikh Toha Abdur Rauf Sa'ad, terbitan Maktabah al Thaqofah al Diniyyah, Kaherah, MESIR.
[1]Para ulama' berselisih pendapat mengenai kata ganti diri (هو), adakah ia kembali kepada Allah atau kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ? Jika ia kembali kepada Allah Ta'ala, maka maksudnya jelas. Jika ia kembali kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , maka maksudnya ialah Baginda mendengar dengan jelas segala perbicaraan yang terjadi sepanjang perjalanan Isra' Mi'raj sebagaimana Baginda mendengar bunyi geseran Qolam ketika Baginda hampir sampai ke Sidratul Muntaha. Baginda juga melihat dengan terang segala peristiwa yang dipamerkan di hadapan Baginda sebagaimana Baginda melihat rupa sebenar malaikat Jibril عليه السلام . Namun yang masyhurnya, ia kembali kepada Allah Ta'ala. Sila rujuk Hasyiah al Sowi 'ala Tafsir al Jalalain, tafsir ayat pertama surah al Isra'.
Posted on Friday, June 12, 2009
by Danial Farhan @ Humair
RISALAH SEMPENA HARI KELUARGA 09
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Kita bertemu lagi di Hari Keluarga bagi sesi 2009. Cuma bezanya pada tahun ini ia diadakan agak lewat sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Namun begitu, kelewatan bukan satu penghalang. Masa bukan suatu perkara yang perlu dijadikan alasan bagi membantutkan program yang telah dirancang sebelum ini. Yang penting ialah kesungguhan dan usahasama yang ditunjukkan oleh kita dalam menjayakan program.
Saban tahun kita mengadakan Hari Keluarga. Bagi saya, kalimah 'Hari Keluarga' merupakan satu kalimah yang mengandungi maknanya yang tersendiri. Kenapa tidak dinamakan 'Hari Kawan-Kawan' atau 'Hari Persahabatan' atau apa saja nama yang tiada kalimah 'keluarga' kerana kita bukannya satu keluarga pun? Kebanyakan kita hanya berasal dari institusi pengajian yang sama dan muka yang sama juga kita tatap selama bertahun-tahun. Namun saya melihat, kalimah 'keluarga' yang kita gunapakai sekarang ini memberi suatu erti yang sangat mendalam. Kita semua adalah satu keluarga. Belajar di bumi yang sama walaupun tinggal di rumah yang berlainan dan menuntut di fakulti pengajian yang berbeza. Oleh itu, mari kita hayati hubungan kekeluargaan itu dengan lebih mendalam. Hari Keluarga hanya satu titik permulaan yang menghubungkan kita walaupun kita telah berhubung sebelum itu lagi. Cuma ia menjadi batu loncatan untuk kita melangkah lebih jauh lagi dalam menghayati erti kekeluargaan ini dengan lebih halus.
Apa itu keluarga? Tak perlu saya takrifkan ia kerana masing-masing ada tafsiran dan takrifan yang tersendiri mengenai kalimah 'keluarga'. Cuma saya sekadar menimbulkan pertanyaan ini untuk mengajak sahabat-sahabat berfikir sejenak adakah kita telah melaksanakan erti kekeluargaan itu sesama kita? Jika belum, kita muhasabah kembali. Jika sudah, kita perkemaskan lagi. Hari Keluarga perlu disambut dengan suasana harmoni. Tunjukkan kerjasama sebagai satu keluarga. Zahirkan keikhlasan sebagai ahli keluarga yang menyayangi antara satu sama lain. Ini adalah prinsip asas yang wujud dalam sebuah keluarga bahagia. Jika kita gagal menghayati prinsip ini, bagi saya ia bukan berpunca daripada kegagalan program Hari Keluarga tetapi berpunca daripada sikap kita sendiri yang selama ini tidak begitu mementingkan nilai kekeluargaan sesama kita. Saya melihat ad-hock telah mula bertungkus-lumus berkerja tanpa mengenal penat dan lelah. Korbankan masa dan tenaga. Ini semua adalah suatu pengorbanan yang mengharukan hanya dengan tujuan untuk memastikan kelancaran program dan untuk merealisasikan perhimpunan satu keluarga besar beberapa generasi (tiada datuk & nenek, hanya ibu ayah dan anak-anak). Semoga Allah membalas usaha mereka dengan sebaik-baik balasan.
Akhir kalam, sempena Hari Keluarga 09 yang bakal menjelang, sama-samalah kita hayati firman Allah Ta'ala dalam surah al Hujurat ayat 10 yang berbunyi:
Mafhumnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara[1], maka perbaikilah (hubungan) di antara dua orang saudara kamu (yang berselisih faham) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat. [al Hujurat: 10]
Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.
p/s: Buat pelajar furu' yang baca artikel ini, jangan lupa balik Kaherah ye. Pesanan dari penganjur hehehe….
[1]Ertinya persaudaraan yang hakiki itu hanyalah dengan ikatan iman walaupun berbeza keturunan, bangsa, warna kulit, bahasa dan kedudukan. Indahnya persaudaraan atas dasar iman!
[1] Bertaqwa kepada Allah Ta'ala ketika bersendirian mahupun terang-terangan.
[2] Mengikut sunnah dalam perkataan dan perbuatan.
[3] Berpaling daripada makhluk ketika menerima dan menolak bencana.
[4] Redha terhadap pemberian Allah Ta'ala baik sedikit atau banyak.
[5] Kembali kepada Allah Ta'ala ketika suka dan duka.
{1} Taqwa itu direalisasikan melalui sifat wara' dan istiqomah.
{2} Sunnah itu direalisasikan dengan sikap teliti dan berakhlak mulia.
{3} Berpaling daripada makhluk itu dibuktikan dengan sifat sabar dan tawakal.
{4} Redha terhadap pemberian Allah Ta'ala itu ditonjolkan dengan sifat qona'ah dan berserah diri.
{5} Kembali kepada Allah Ta'ala itu diperlihatkan melalui syukur ketika suka dan pasrah ketika duka.
Usul kepada semua perkara tersebut ada lima juga:-
[1] Berhemah tinggi.
[2] Memelihara kehormatan.
[3] Khidmat yang baik.
[4] Keazaman yang terlaksana.
[5] Mengagungkan nikmat.
{1} Siapa yang berhemah tinggi, maka tinggilah martabatnya.
{2} Siapa yang menjaga kehormatan Allah, maka Allah akan memelihara kehormatannya.
{3} Siapa yang baik khidmatnya, layaklah dia mendapat kemuliaan.
{4} Siapa yang melaksanakan azamnya, kekallah petunjuk buatnya.
{5} Siapa yang memandang nikmat Allah dengan pengagungan, dia akan mensyukurinya. Siapa yang mensyukurinya, bererti dia layak mendapat tambahan nikmat daripada Allah sebagaimana yang Dia janjikan.
Usul bermu'amalah itu ada lima perkara juga:-
[1] Menuntut ilmu dengan tujuan untuk melaksanakan perintah Allah Ta'ala.
[2] Bersahabat dengan para masyaikh dan para ikhwan dengan tujuan untuk meneliti akhlak mereka.
[3] Meninggalkan rukhsah dan sebarang takwilan bertujuan untuk memelihara agama.
[4] Mengatur waktu dengan wirid-wirid bertujuan untuk menghadirkan hati.
[5] Mentohmah diri dalam semua perkara dengan tujuan untuk keluar daripada hawa nafsu dan selamat daripada kebinasaan dan kesilapan.
{1} Penyakit yang menimpa ketika menuntut ilmu ialah bersahabat dengan golongan ahdath baik dari segi umur, pemikiran mahupun agama dari kalangan orang yang tidak merujuk sebarang dasar mahupun kaedah.
{2} Penyakit yang datang ketika bersahabat dengan para masyaikh dan ikhwan ialah mudah terpedaya dan berlebih-lebihan.
{3} Penyakit yang menyerang ketika berusaha meninggalkan rukhsah dan takwilan ialah mudah merasa kasihan terhadap diri sendiri.
{4} Penyakit yang menimpa ketika sedang mengatur waktu dengan wirid ialah terlalu banyak mencari kelebihan-kelebihan amalan yang ada.
{5} Penyakit yang menyerang ketika sibuk mentohmah diri ialah mudah merasa seronok dengan kebaikan dan istiqomahnya.
Mafhumnya: Saya tidak berani mengaku diri ini suci kerana nafsu itu sering menyuruh melakukan keburukan kecuali nafsu (orang) yang dirahmati Tuhan saya.[2] [Yusuf: 53]
Usul yang menjadi penawar penyakit jiwa itu ada lima:-
[1] Mengurangkan makan.
[2] Sentiasa pasrah kepada Allah Ta'ala ketika ditimpa apa jua perkara.
[3] Melarikan diri dari tempat-tempat yang ditakuti berlakunya maksiat.
[4] Sentiasa beristighfar dan berselawat ketika bersendirian mahupun ketika bersama orang ramai.
[5] Bersahabat dengan orang yang menunjukkan kita kepada Allah Ta'ala atau memimpin kita melakukan perintah Allah. Orang sebegini payah dicari.
Syeikh Abul Hasan al Syazuli رضى الله عنهpernah berkata:
Kekasih[3] saya berpesan kepada saya, "Jangan kamu melangkahkan kaki kecuali ke tempat yang kamu harapkan pahala Allah padanya. Jangan kamu duduk kecuali di tempat yang kebiasaannya aman daripada maksiat. Jangan berkawan kecuali dengan orang yang membantu kamu mentaati Allah. Jangan memilih teman buat diri sendiri kecuali orang yang menambahkan keyakinan kamu kepada Allah dan golongan sebegini sedikit sekali wujudnya." Atau yang semakna dengannya.[4]
Beliau berkata lagi:
Sesiapa yang menunjukkan anda kepada dunia, bererti dia telah menipu anda. Sesiapa yang menunjukkan anda kepada amal, bererti dia telah memayahkan anda. Sesiapa yang menunjukkan anda kepada Allah, bererti dia telah menasihati anda.
Beliau berkata lagi:
Jadikan taqwa itu sebagai negaramu. Selagi mana anda tidak redha dengan keaiban, tidak berterusan melakukan dosa dan tidak gugur perasaan takut kepada Allah Ta'ala dari hatimu, maka keseronokan jiwa tidak akan memudaratkanmu.
Saya (Imam Zarruq) menyatakan: Tiga perkara[5] inilah yang menjadi punca segala penyakit hati dan bala bencana.
Saya melihat golongan sufi di zaman ini telah ditimpa dengan lima perkara:-
[1] Mengutamakan kejahilan berbanding ilmu pengetahuan.
[2] Mudah terpedaya dengan setiap pujukan.
[3] Seringkali mengambil mudah semua urusan hidup.
[4] Selalu bermegah-megah dengan toriqat yang dilalui.
[5] Terlalu tergopoh-gapah menuntut futuh[6] tanpa mengikut syaratnya.
Lalu mereka ditimpa dengan lima bencana pula:-
[1] Mengutamakan perkara bida'ah berbanding sunnah.
[2] Mengikut golongan batil berbanding golongan yang benar.
[3] Beramal menurut hawa nafsu dalam setiap perkara atau sebahagian besarnya.
[4] Menuntut perkara-perkara karut berbanding perkara-perkara yang realiti.
[5] Suka menzahirkan dakwaan-dakwaan palsu berbanding perkara sebenar.
Lantas mereka muncul dengan membawa lima perkara:-
[1] Sering merasa waswas ketika beribadah.
[2] Sering berlebih-lebihan dengan kebiasaan yang ada dan sama'.[7]
[3] Selalu berkumpul pada waktu-waktu umum.
[4] Selalu menarik perhatian orang lain sedaya mungkin.
[5] Bergaul dengan pencinta dunia begitu juga wanita dan kanak-kanak.
Mereka tertipu dengan tingkah laku sebahagian sufi dalam hal ini lalu mereka pun menyebut-nyebut hal ehwal golongan tersebut. Sedangkan jika mereka meneliti dengan sebaik-baiknya, pasti mereka akan menyedari bahawa sebab musabab itu adalah rukhsah buat golongan yang lemah sahaja. Ia hanya digunakan mengikut kadar keperluan tanpa sebarang tambahan. Tidak ada orang yang berlebih-lebihan menggunakannya melainkan pasti semakin jauh daripada Allah Ta'ala. Sama' itu adalah rukhsah buat sang maghlub[8] atau kerehatan jiwa buat wali yang kamil. Ia menjadi persinggahan di atas hamparan Allah Ta'ala jika kena syaratnya daripada ahlinya pada tempatnya dan dengan adabnya. Waswas itu pula adalah suatu bida'ah yang berpunca daripada kejahilan terhadap sunnah atau kebingungan pada akal fikiran. Berusaha untuk menarik perhatian makhluk membawa erti berpaling daripada Allah Ta'ala lebih-lebih lagi si qari pengampu, si bongkak yang leka dan sufi yang jahil! Bersahabat dengan golongan ahdath pula adalah kegelapan dan keaiban pada dunia dan agama. Bergandingan dengan mereka adalah bencana yang sangat besar akibatnya.
Syeikh Abu Madyan رضى الله عنه berkata:
Al Hadath ialah orang yang tidak sesuai pada cara anda walaupun dia berusia 90 tahun.
Saya (Imam Zarruq) menyatakan: Al Hadath itu ialah orang yang tidak tetap keadaannya. Dia menerima apa saja yang dilemparkan kepadanya dan menelannya bulat-bulat. Anda akan temui kebanyakannya pada pengikut-pengikut toriqat[9] dan para peserta majlis-majlis zikir[10], maka awas dengan mereka sedaya upaya anda.
Setiap orang yang mendakwa bahawa dia bersama dengan Allah Ta'ala dalam suatu hal, kemudian zahir daripadanya salah satu daripada lima perkara berikut, maka dia adalah pendusta besar atau orang yang ditarik ilmunya:-
[1] Membiarkan anggota badan melakukan maksiat kepada Allah Ta'ala.
[2] Berpura-pura mentaati Allah Ta'ala.
[3] Bersikap tamak terhadap apa yang ada pada makhluk Allah.
[4] Mencaci para wali Allah.
[5] Tidak menghormati kaum Muslimin dengan cara yang diperintahkan oleh Allah.
Orang yang begini sifatnya, jarang sekali mati di dalam Islam.
Syarat-syarat seorang syeikh yang layak mentarbiah murid ada lima:-
[1] Zauq yang jelas.
[2] Ilmu yang benar.
[3] Berhemah tinggi.
[4] Memiliki sikap yang diredhai.
[5] Punyai mata hati yang tajam.
Sesiapa yang memiliki lima sifat ini, maka dia tidak layak menjadi syeikh:-
[1] Jahil tentang agama.
[2] Suka menjatuhkan maruah kaum Muslimin.
[3] Suka masuk campur urusan yang tiada kena mengena dengannya.
[4] Suka mengikut hawa nafsu dalam setiap perkara.
[5] Buruk akhlak tanpa memperdulikan nasihat orang lain.
Adab-adab seorang murid bersama syeikh & para ikhwan ada lima:-
{1} Menurut perintahnya walaupun zahirnya kelihatan bercanggah.
{2} Menjauhkan diri daripada larangannya walaupun boleh menyebabkan nyawa melayang.
{3} Menjaga kehormatannya baik ketika keberadaannya mahupun ketika ketiadaannya. Begitu juga ketika dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.
{4} Melaksanakan hak-haknya sekadar kemampuan tanpa berlakunya kecuaian.
{5} Mengenepikan pemikiran, ilmu dan pangkatnya kecuali yang bersesuaian dengan pandangan syeikh serta memadailah dengan sikap adil dan nasihat yang baik ketika berinteraksi bersama para ikhwan.
Jika syeikh itu bukan bertaraf mursyid atau kekurangan kriteria daripada 5 kriteria yang telah disebutkan sebelum ini, maka si murid perlu berpegang pada sifat yang ada padanya di samping berinteraksi bersamanya seperti interaksi para ikhwan.
Selesai sudah usul ini diiringi dengan pujian terhadap Allah di atas kurniaan taufiq-Nya.
Berkata Sayyid Ahmad Zarruq رحمه الله:
Anda hendaklah mengulangkaji usul ini sekali atau dua kali sehari. Paling tidak pun, setiap Juma'at sehingga makna-maknanya terpahat kukuh di jiwa anda lalu anda berusaha melaksanakan tuntutannya. Apa yang terkandung di dalam usul ini sudah mencukupi daripada segala kitab dan pesanan. Ada yang menyatakan, "Golongan sufi itu haram sampai kepada Allah jika mereka mengabaikan usul."
Sesiapa yang meneliti apa yang kami ungkapkan, dia akan menyedari hakikat tersebut. Setelah itu, hendaklah dia berterusan memberi perhatian terhadapnya dengan tujuan untuk mengambil peringatan. Semoga Allah mengurniakan taufiq kepada anda.
Bibliografi:
{1} Al Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, cetakan kedua 2006, cetakan Yayasan Restu.
{2} Mu'jam Kalimat al Quran al Karim, susunan Muhammad 'Adnan Salim & Muhammad Wahbi Sulaiman, cetakan kedua 1419 H (1998 M), terbitan Darul Fikr al Mu'asir, Beirut-Lebanon.
{3} Ithaful Akhyar bi Asohhil 'Aqoidi wal Azkar, al Imam Maulana Sayyid Muhammad Kholil al Khotib al Hasani, cetakan pertama Mac 2006, terbitan Jam'iyyah Sya'ir al Rasul, Tanta, MESIR.
{4} Syarh al Nazm al Asna Li Asmaillahil Husna, Sayyidi Muhammad Kholil al Khotib al Hasani, cetakan pertama 2006, terbitan Jam'iyyah Sya'ir al Rasul, Tanta, MESIR.
[1]Sayyid Ahmad bin Ahmad bin 'Isa al Burnusi al Fasi. Lahir pada 22 Muharram 846 H di Fez, Morocco dan wafat pada tahun 899 H di Tarablas Barat.
[2]Zahirnya ini bukanlah ucapan Nabi Yusuf عليه السلام tetapi ucapan isteri al Aziz. Ianya boleh diperhatikan menerusi susunan ayat yang terkandung di dalam surah Yusuf bermula daripada ayat 52.
[3]Yang dimaksudkan dengan kekasih di sini ialah guru beliau Sayyid Abdus Salam bin Masyisy.
[4]Yang semakna dengan kalam Sayyid Abul Hasan al Syazuli. Ini menunjukkan bahawa Imam Zarruq hanya menukilkan kalam Sayyid al Syazuli dari segi makna bukannya dengan lafaz.
[5]Iaitu redha dengan keaiban jiwa, berterusan melakukan dosa dan tidak takut dengan Allah Ta'ala.
Posted on Tuesday, June 2, 2009
by Danial Farhan @ Humair
Amirul Mukminin al Imam 'Ali bin Abi Tolib كرم الله وجهه[1] terkenal sebagai salah seorang sahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang berilmu tinggi. Beliau juga merupakan seorang pemidato dan penyair yang hebat. Menerusi entri kali ini, saya ingin menyajikan terjemahan salah sebuah syair beliau yang ditujukan buat golongan penuntut ilmu. Semoga mendapat manfaat bersama. Buat para penuntut ilmu khususnya ilmu agama, saya persembahkan syair Imam 'Ali كرم الله وجههbuat anda semua sebagai pemangkin semangat.
Maka bangkitlah dengan ilmu, jangan tuntut ganti selainnya;
Kerana manusia itu mati namun ulama' tetap hidup selamanya.[5]
Bibliografi:
(1) Diwan al Imam 'Ali, tahqiq Muhammad Sa'id Muhammad, terbitan al Maktabah al Taufiqiyyah, Kaherah.
[1]Ertinya: Semoga Allah memuliakan wajahnya. Doa ini hanya khusus buat beliau. Dikatakan beliau beroleh doa ini kerana beliau tidak pernah sujud kepada berhala sama sekali semenjak kecil. Ada yang mengatakan kerana beliau tidak pernah melihat auratnya sendiri dan juga aurat orang lain. والله أعلم
[4]Ini tidak boleh disangkal lagi kerana beliau sememangnya berketurunan Bani Hasyim yang mulia. Beliau adalah putera Bani Hasyim yang lahir daripada kedua ibu bapa yang berketurunan Bani Hasyim juga. Apatah lagi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلمjuga berketurunan Bani Hasyim. Kemuliaan mengatasi segala kemuliaan!
[5]Ertinya walaupun ulama' telah pergi meninggalkan kita, namun ilmu yang mereka wariskan melalui ucapan dan penulisan kekal bersama-sama kita seolah-olah mereka hidup di samping kita.
Posted on Monday, June 1, 2009
by Danial Farhan @ Humair
Menerusi entri kali ini, saya memaparkan terjemahan syair nasihat yang bertajuk حكمة وموعظة (Hikmah & Nasihat) berserta sedikit huraian ringkas. Cuma jika diperhatikan dari sudut susunan wazan[1] syair ini, ia kelihatan tidak seimbang bagi sesiapa yang pernah mempelajari ilmu 'Arudh[2]. Apapun yang penting ialah isi kandungannya. Semoga mendapat manfaat bersama.
Mafhumnya: Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti Allah akan menyediakan jalan keluar buatnya (dari sebarang masalah yang menimpa). Serta mengurniakan rezeki kepadanya dari sumber yang tidak disangka. [al Talaq: 2-3]
Mafhumnya: Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, pasti Dia akan memberi rezeki kepada kamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung. Burung itu keluar pada waktu pagi dengan perut yang kempis, namun pulang petang dengan perut yang berisi.[4]
[3] Jika rezeki itu diperolehi dengan kekuatan tenaga atau dengan erti kata lain siapa yang kuat sahaja boleh hidup sedangkan yang lemah tidak akan hidup sama sekali, maka sudah pasti burung pipit tidak mampu makan bersama-sama helang kerana dengan kekuatan yang ada, helang mampu membolot semua makanan yang ada jika dibandingkan dengan si pipit. Namun realitinya kita melihat burung pipit tetap mampu mencicipi makanan walaupun bersama kewujudan helang. Maha Suci Allah yang telah menetapkan rezeki buat makhluk-makhluk ciptaan-Nya tanpa berlakunya ketidak seimbangan.
[4] Kamu pasti akan meninggalkan dunia ini walaupun kamu tidak ingin meninggalkannya kerana kamu hanya dibenarkan menginap sebentar cuma di dunia ini. Mengapa kamu masih leka sedangkan kamu sendiri tidak pasti bahawa kamu masih hidup bila hari esok menjelma. Oleh itu, bersiap sedialah dengan bekalan amalan.
[5] Sememangnya menjadi realiti bahawa bukan semua yang sihat itu akan hidup lebih lama berbanding orang yang ditimpa sakit menderita. Berapa ramai yang melawat orang yang sakit, ternyata pelawat mati dahulu sebelum yang dilawat.
[6] Jangan menyangka usia muda hanya untuk bersuka ria. Bila sudah tua, baru hendak beramal. Berapa ramai pemuda yang sedang bersuka ria melakukan maksiat, sedangkan ketika itu kain kafannya sedang disediakan. Belum tentu lagi dia sempat hidup sebelum mencecah usia dewasa.
[7] Anda ingin hidup selama-lamanya pun tidak akan tercapai juga. Kerana setiap yang
bernyawa, pasti akan dijemput jua kembali kepada-Nya. Firman Allah Ta'ala:
Mafhumnya: Setiap nyawa pasti merasai mati. Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Kepada Kami jualah kamu akan kembali. [al Anbiya': 35]
Bibliografi huraian:
-Al Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, terbitan Yayasan Restu, cetakan kedua (2006).
-Kasyful Khofa' wa Muzilul Ilbas, juzu' 2, Syeikh Ismail bin Muhammad al 'Ajluni al Jarohi, tahqiq Dr. Abdul Hamid Handawi, cetakan pertama 142o H (2000 M), terbitan al Maktabah al 'Asriyyah, Soida-Beirut.
-Mizan al Zahab fi Sina'ah Syi'ir al 'Arab, al 'Allamah Sayyid Ahmad al Hasyimi, tahqiq Prof. Dr. Husni Abdul Jalil Yusuf, cetakan pertama 1418 H (1997 M), terbitan Maktabah al Adab, Kaherah.
-Qatrul Ghoithiyyah fi 'Ilmi al Sufiyyah 'ala al Syari'ah al Muhammadiyyah, al 'Allamah Husain Nasir bin Muhammad Toyyib al Mas'udi al Banjari, dikeluarkan semula oleh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki, cetakan pertama 1427 H (2006 M), terbitan Sofa Production.
[1]Wazan syair ialah timbangan yang diguna pakai untuk mengatur rentak syair Arab.
[2]Ilmu 'Arudh ialah suatu seni ilmu untuk mengenali kesahihan atau kecacatan sesebuah wazan syair Arab.
[3]Nama ini tertulis di dalam naskhah yang ada dalam simpanan saya. Saya tidak mengenali beliau. Yang pasti beliau ialah rakyat Mesir.
[4]Hadith no. 2091, Kasyful Khofa'. Imam al 'Ajluni berkata: Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad dan al Toyalisi di dalam musnad mereka. Begitu juga Ibnu Majah meriwayatkannya daripada 'Umar رضى الله عنه secara marfu'. Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al Hakim menghukumkan hadith ini sebagai sohih manakala al Tirmizi menghukumkannya sebagai hasan.
Danial Farhan bin Dolmat. Latar belakang pendidikan: Taski ABIM (1989-90), Sek. Keb. Senawang (1991), Sek. Keb. Seri Kelana (1992-96), Sek. Men. Agama Hj. Mohd. Yatim, Ulu Gadong (1997-99), Maahad Ahmadi Gemencheh (2000-03), Universiti al Azhar, Kaherah (2004-sekarang).
Berita dari Chechnya
-
18 Mujahiddin terkorban dalam jihad di sekitar Kaukasus khususnya di wilayah
Nokhchicho dan Ghalghaycho sepanjang dua bulan lalu. 4 helikopter Rusia
berj...
FENOMENA ISTIWA MATAHARI DI KAABAH
-
Menurut ilmu hisab, peristiwa istiwa matahari di atas Kaabah akan berlaku
dua kali setahun. Iaitu pada 28 Mei pukul 5.16 petang waktu Malaysia dan
sekali ...
Kuliah - Khalifah vs Riddah
-
KETERANGAN HADIS oleh Syeikh Fahmi Zamzam
Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya
hingga ke hari ini, kita akan mendapa...
Kuliah - Kejadian & Sejarah Iblis
-
Hadis 7 : GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG
Daripada Mughiirah bin Syubah, daripada Nabi saw bersabda:
"Sentiasa ada golongan dari umatku yang berjaya sehingg...
Bagaimana Nasib 5,238 Pengundi BN di Manik Urai
-
PAS menang dengan majoriti 65 undi di Manik Urai. Biarpun satu undi
demokrasi pilihanraya mengiktiraf kemenangan tersebut. Jika bantah pun ambik
masa yang ...
Manek Urai yang merosot : Pandanganku...
-
*Selayaknya bagi yang menang atau mendapat bahagia, saya ucapkan tahniah dan
bagi yang kalah atau celaka, diucapkan takziah. Maka, ucapan tahniah saya
t...
Indahnya Bila Bersahabat
-
Assalamualaikum..post kali ni saje nak bercerita tentang sahabat..Sume org mempunyai sahabat.kalo x ramai pun mesti ada punye....jadi kesempatan pulang ke Ma...
Mohon Penjelasan AJARAN LAYAR BAHTERA (bah.2)
-
KELIMA:
Tulisan tuan yang berbunyi:
“Iblis adalah manusia yang ingkar perintah agama (perintah agama adalah
perintah Allah).”
KOMEN:
“IBLIS ADALAH MAN...
Isu Dalam Tamadun Islam dan Pencerahannya
-
Oleh Mohd Zaidi Abdullah.
Penulis merupakan pengasas-Felo Pusat Ulum Pondok Dan Pencerahan Tamadun,
Shah Alam.
Pada tahun 1798 (1213H), umat Islam dikejut...
Istimaq Tabligh di Seri Petaling 7 JULAI
-
Istimaq Tabligh secara besar-besaran akan dilangsungkan di Malaysia iaitu di
Markas Tabligh Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 07hb Julai 2009,
dijang...
Blog Himpunan Kuliah & Ceramah ASWJ
-
Tingkatkan ilmu, iman dan amal melalui penyampaian-penyampaian audio & video
di
http://ribuanceramah.blogspot.com/
Calon Suami....Part 2
-
Adakah bahagia diukur dengan adanya pasangan di sisi??
Bukankah bahagia itu bila jiwa dihuni iman dan taqwa??Monolog itu bergema
beberapa kali di cuping te...
Hukum menghebahkan pertunangan
-
Petikan jawapan saya terhadap persoalan seorang sahabat di dalam laman yahoo
group dengan sedikit ubah suai buat tatapan pembaca.
Soalan:
Saya ada terdeng...
Muhasabah
-
Assalamualaikum w.b.t.,"Yah!", suara berang dilaungkan seiring dengan kibasan tangan mencabut rantaian sawang yang bermaharajalela.Sahabat sekalian, itulah a...
Akikah
-
HIKMAH AKIKAHAkikah mengandungi beberapa hikmah, antaranya:-Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.-Untuk mengisytiharkan ...