21 November 2010

Ungkapan Al-Qur'an

Bila kita berbicara tentang kesusasteraan Islam dan Arab, kita tidak boleh lari daripada turut berbicara mengenai kesusasteraan al-Qur'an. Ini adalah kerana sastera Islam dan Arab mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kitab suci ini. Dalam membicarakan mengenai kesusasteraan al-Qur'an, para sasterawan sangat berminat untuk meneliti gaya bahasa dan bentuk ungkapan yang digunakan oleh al-Qur'an. Mereka telah menyenaraikan beberapa ciri istimewa yang terdapat pada bentuk ungkapan al-Qur'an.
Secara umum, ada tujuh ciri istimewa yang membezakan ungkapan al-Qur'an dengan ungkapan-ungkapan selain al-Qur'an. Ciri-ciri berkenaan adalah seperti berikut:

[1] Al-Qur'an menggunakan ungkapan yang tidak pernah terlintas dalam benak pemikiran manusia. Bentuk ungkapan al-Qur'an adalah bentuk khusus yang hanya dimiliki oleh al-Qur'an. Ia tidak boleh ditiru kerana ia diadun dan dibentuk menggunakan acuan Ketuhanan. Sedia maklum bahawa Bahasa Ketuhanan berbeza sama sekali dengan Bahasa Kemanusiaan. Walaupun al-Qur'an datang dengan menggunakan bahasa manusia iaitu Bahasa Arab, namun bentuk penggunaan dan ungkapannya berbeza dengan apa yang biasa digunakan oleh bangsa Arab. Justeru itu, al-Qur'an telah berkali-kali mencabar para penyair dan pemidato Arab agar mencipta dan mengarang satu surah atau beberapa ayat yang boleh menandingi al-Qur'an, namun ternyata cabaran tersebut tidak disahut dalam keadaan sejarah telah menceritakan bahawa mereka adalah tokoh-tokoh penyair dan pemidato. Ungkapan al-Qur'an bukan seperti syair walaupun ianya seakan-akan syair. Ia juga bukan datang dalam bentuk prosa walaupun ia seakan-akan prosa. Bukan juga berbentuk sajak mahupun qafiyah. Ia sangat berbeza dari sudut cara pengungkapannya. 

[2] Ungkapan al-Qur'an ditujukan kepada jiwa manusia. Jiwa manusia memiliki kepelbagaian perasaan dan emosi. Manusia mengungkapkan emosi dan perasaannya melalui percakapan yang diiringi dengan nada suara yang melambangkan makna yang tersirat di sebalik jiwa. Bila sedih, ada nadanya. Bila gembira, ada nadanya. Bila marah, lain nadanya. Bila takut, juga ada nadanya. Dalam menimbulkan tindak balas terhadap jiwa, al-Qur'an memanfaatkan sepenuhnya peranan nada suara dalam ungkapannya. Kerana itu, kita dapati ada kalimah yang mesti dibaca dengan mad (panjang), ada yang dibaca dengan tasydid (bersabdu), ada yang disebut lin (lembut) dan pelbagai bentuk lagi. Di sinilah timbulnya peranan ilmu Tajwid dan juga makhraj huruf. Justeru, saya yakin bahawa bacaan al-Qur'an secara bertajwid memainkan peranan yang sangat besar dalam menimbulkan reaksi jiwa dan perasaan. Al-Qur'an mempunyai teknik tersendiri untuk mengungkapkan ayat-ayat yang boleh menimbulkan kegembiraan, kesedihan, ketakutan, kerisauan dan sebagainya. Al-Qur'an mampu memperlihatkan keredhaan dan kemarahan melalui ungkapan ayatnya juga. Ini memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya membaca al-Quran secara bertajwid, bertartil serta diiringi dengan lagu yang betul. Ini membuatkan al-Qur'an menjadi hidup lalu menghidupkan jiwa yang mati.

[3] Susunan ungkapan al-Qur'an memiliki keserasian dari sudut seni. Ini adalah kerana, ungkapan al-Qur'an menghimpunkan tiga perkara dalam masa yang sama iaitu:

- Keindahan lafaz dan kalimah yang diguna pakai,
- Kehalusan makna,
- Keserasian lafaz dengan maknanya.

Dengan tiga perkara ini, al-Qur'an menggunakan imaginasi manusia untuk menghasilkan gambaran yang tepat dan benar tentang perkara yang ingin ia sampaikan. Bila kita membaca atau mendengar ayat-ayat suci al-Qur'an dibacakan, kita dapat merasai bahawa ia menghasilkan kesan yang sangat hebat. Di sebalik ayat-ayat yang diungkapkan, terdapat satu kekuatan luar biasa. Kekuatan yang mampu menyingkap apa yang tersirat di sebalik hati dan perasaan. Mengapa ya?... Kerana ia adalah firman Allah Yang Maha Mengetahui apa yang tersirat di sebalik hati dan perasaan...

[4] Ungkapan al-Qur'an juga mampu untuk menghimpunkan di antara dua perkara yang berlawanan menjadi satu. Bila ia berbicara tentang keburukan, dengan serta merta ia boleh bercerita tentang kebaikan. Bila ia berbicara tentang ketakutan, serta merta ia lampirkan dengan ketenangan. Ajaib! Dua perasaan yang saling berlawanan, namun boleh digandingkan dalam satu surah. Al-Qur'an memanfaatkan psikologi manusia dengan sebaiknya. Ia memperhalusi perasaan dengan cara yang menakjubkan. Perasaan takut dengan segera boleh bertukar menjadi tenang. Subhanallah! Wujudkah kitab lain seperti kitab ini?! Demi Allah! Tidak sama sekali. Hanya al-Qur'an..

[5] Al-Qur'an menggunakan ungkapan yang boleh difahami oleh semua orang yang memiliki latar belakang yang pelbagai. Ungkapan al-Qur'an tidak terlalu rumit sehingga sukar untuk difahami oleh golongan yang mempunyai latar belakang sederhana atau rendah. Tidak juga terlalu mudah sehingga membosankan golongan cerdik pandai. Tetapi semua orang boleh memahami al-Qur'an kerana ia berbicara dengan mereka mengikut tingkatan pemikiran masing-masing. Cerdik pandai, orang biasa, kanak-kanak, orang dewasa, semua boleh menerima apa yang diungkapkan oleh al-Qur'an. Benarlah firman Allah Ta'ala, mafhumnya:

Sesungguhnya Kami (Allah) telah menjadikan al-Quran itu mudah untuk disebut/diingat/diambil peringatan, maka siapa yang ingin mengambil peringatan?! [Surah al-Qomar: 12]

Ungkapan yang digunakan oleh al-Qur'an membuatkan ianya mudah dihafal walaupun orang yang menghafalnya tidak boleh bertutur dalam Bahasa Arab apatah lagi memahaminya.

[6] Apabila al-Qur'an berbicara tentang suatu topik, ia mampu berpindah ke topik yang lain dengan menggunakan ungkapan yang kemas tanpa wujud sebarang kepincangan. Walaupun secara zahir memperlihatkan seolah-olah tiada kaitan antara topik yang sedang dibincangkan dengan topik yang telah dibincangkan, namun jika diperhalusi akan terlihat suatu kaitan kemas dan rapi. Bila al-Qur'an berbicara tentang langit, ia mampu berpindah kepada topik bumi. Bila al-Qur'an menyebut tentang dunia, ia mampu terus berpindah kepada topik akhirat pula. Bila al-Qur'an berbicara menggunakan kata ganti diri 'dia', tiba-tiba ia boleh beralih menggunakan kata ganti diri 'kamu' dalam surah yang sama malah ayat yang sama! Kadangkala tanpa kita sedari kerana terlalu asyik dengan susunan kemas ungkapannya bak untaian mutiara yang sangat berharga..

[7] Ketika mengemukakan dalil-dalil, bukti-bukti dan fakta-fakta tentang sesuatu perkara, al-Qur'an menggunakan ungkapan yang mampu membuat pemikiran menjadi puas dalam masa yang sama hati menjadi seronok dengan dalil yang dikemukakan. Sebagai contoh, bila al-Qur'an mengajak kita berfikir tentang alam ini, kita bukan sekadar berfikir semata-mata, malah dalam masa yang sama hati turut merasa takjub dan kagum dengan kebesaran Tuhan yang mencipta alam ini. Al-Qur'an mampu berbicara dengan akal dan hati sekaligus. Ia mampu memperlihatkan kebenaran yang dihiasi dengan kecantikan. Semua ini membuktikan bahawa ungkapan al-Qur'an adalah Ungkapan Ketuhanan. Subhanallah..

Bibliografi:

- Sofahat min al-Adab al-Islami, karangan Prof. Dr. Muhammad Abdur Rahim an-Najjar dan Dr. Mahmud Razaq Hamid.

p/s: Terus mencari dan mencari rahsia al-Quran walaupun seumur hidup mencari, rahsianya tetap takkan habis...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH. 

Tiada ulasan: