20 November 2010

Dakwah Dan Hidayah

Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Berdakwahlah (wahai Muhammad) ke arah jalan (agama) Tuhanmu dengan (cara) berhikmah, nasihat yang baik serta berdebatlah dengan mereka melalui cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui tentang orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dia juga lebih mengetahui tentang golongan yang mendapat petunjuk. [Surah an-Nahl: 125]

Ayat ini menunjukkan beberapa perkara:

[1] Allah Ta'ala memerintahkan Nabi-Nya Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam supaya sentiasa berdakwah mengajak manusia masuk ke dalam agama Islam. Walaupun perintah ini ditujukan kepada baginda, namun hakikatnya perintah ini turut ditujukan kepada kita selaku umat baginda. Perintah ini ditujukan kepada baginda kerana baginda adalah contoh tauladan serta simbol dakwah ke arah kebaikan. Maka umat baginda yang meneruskan kelangsungan perjuangan dakwah baginda mesti mengikut jejak langkah baginda dalam menyampaikan dakwah Islam.

[2] Dalam berdakwah, Allah Ta'ala mengajar Nabi-Nya teknik dakwah yang sepatutnya digunapakai dalam proses menyampaikan dakwah. Tiga teknik telah dikemukakan iaitu menggunakan cara yang berhikmah, memberi nasihat yang baik dan berdebat/berdialog melalui medium yang terbaik. Bukan semua teknik sesuai digunakan pada semua sasaran dakwah. Ada orang sesuai diajak memahami Islam dengan cara yang berhikmah. Hikmah itu pula luas. Ia memerlukan kreativiti pendakwah dalam memahami watak orang yang didakwah serta cara yang sesuai untuk dipakai. Ada orang yang telah pun memahami Islam, namun kadangkala dia tersasar lalu melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam. Orang sebegini perlu dibimbing dengan khidmat nasihat yang baik. Psikologinya perlu diperhalusi supaya nasihat yang disampaikan berkesan. Ada golongan yang degil dan tidak mahu menerima Islam. Dia hanya bergantung kepada fakta. Orang sebegini perlu diajak berdialog/berdebat. Namun dengan cara yang paling baik dan tujuan yang murni iaitu untuk menegakkan kebenaran bukan untuk menegakkan benang yang basah atau untuk menunjukkan siapa yang hebat. Selain itu teknik-teknik ini juga boleh digunakan secara berperingkat.

[3] Jika kita perhatikan ketiga-tiga teknik yang dikemukakan di dalam ayat berkenaan, kita dapati semuanya berpaksikan kebaikan. Dengan erti kata lain, dakwah itu mesti disampaikan dalam bentuk yang terbaik. Secara berhikmah, nasihat yang baik dan dialog. Bukan secara hentam kromo, teguran yang tidak membina, serangan peribadi, berdialog dengan tujuan untuk menjatuhkan lawan dan sebagainya. Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa hikmah itu luas. Ia boleh dipelbagaikan bergantung kepada kreativiti pendakwah. Nasihat yang baik juga mempunyai skop yang luas. Boleh didatangkan dalam berbagai-bagai bentuk. Dialog pula boleh diadakan dalam apa saja cara asalkan ia memberi faedah yang terbaik melalui medium yang terbaik juga.

[4] Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa tugas kita hanyalah berdakwah. Manakala urusan untuk memberi hidayah, maka ia adalah tugas Allah Ta'ala. Kerana itu Dia menyebut di akhir ayat bahawa Dia lebih mengetahui siapa yang layak untuk disesatkan dan siapa yang berhak mendapat hidayah. Dia memberi hidayah kepada seseorang kerana Dia lebih tahu bahawa orang tersebut berhak mendapat hidayah berdasarkan hikmah yang Dia juga tahu. Dia menyesatkan seseorang kerana Dia Maha Tahu bahawa orang berkenaan layak untuk disesatkan berdasarkan hikmah yang Dia juga tahu. Justeru itu, Dia tidak melantik kita untuk menjalankan tugas memberi hidayah dan menyesatkan orang lain kerana jika kita berkuasa untuk memberi hidayah atau menyesatkan seseorang, pasti kita akan memberi hidayah kepada semua orang yang kita sayangi dan bertindak menyesatkan semua orang yang kita benci. Namun Allah Ta'ala tidak begitu kerana Dia tidak terikat dengan emosi dan perasaan. Dia memberi hidayah berdasarkan hikmah walaupun orang yang diberi hidayah itu adalah orang yang paling kita benci. Dia menyesatkan seseorang juga berasaskan hikmah walaupun orang yang disesatkan itu adalah orang yang paling kita sayangi. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak boleh memberi hidayah kepada orang yang engkau sayang, namun Allah jualah yang boleh memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia lebih mengetahui golongan (yang berhak) mendapat petunjuk. [Surah al-Qosos: 56]

Persoalan: Kita telah pun jelas mengetahui bahawa hanya Allah Ta'ala yang berkuasa untuk memberi hidayah. Namun begitu, terdapat ayat yang berbunyi, mafhumnya:

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar memberi petunjuk ke jalan yang lurus. [Surah asy-Syuro: 52]

Mengapa hidayah itu disandarkan kepada Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam?

Kami menjawab: Dalam ayat ini, perbuatan memberi hidayah disandarkan kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam kerana baginda adalah sebab kepada hidayah. Dengan maksud lain, Allah Ta'ala menjadikan baginda sebagai pintu hidayah menuju ke jalan yang lurus. Jika anda inginkan petunjuk, anda mesti mengikut sunnah dan ajaran baginda. Ini menunjukkan kemuliaan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam sehingga Allah Ta'ala menjadikan orang yang mengikut baginda pasti akan mendapat petunjuk seakan-akan bagindalah yang memberi petunjuk. Baginda memberi petunjuk dengan sunnah. Namun hakikatnya, Allah Ta'ala jualah yang memberikan hidayah. Dalam ayat yang sama Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Demikianlah Kami (Allah) telah mewahyukan suatu roh (al-Quran) daripada perintah Kami kepadamu (wahai Muhammad). Engkau tidak pernah mengetahui apa itu al-Kitab (al-Quran) dan Iman, namun Kami menjadikannya (al-Quran/Iman) sebagai cahaya yang dengannya Kami memberi petunjuk kepada sesiapa yang Kami inginkan dari kalangan hamba-hamba Kami. Sesungguhnya engkau benar-benar memberi petunjuk ke jalan yang lurus. [Surah asy-Syuro: 52]

Allah Ta'ala yang memberi petunjuk secara hakiki. Namun dengan syarat mengikut ajaran Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam kerana melalui baginda dan dengan sebab baginda, kita mendapat petunjuk.

Konklusinya, kita dituntut untuk berdakwah secara terus-menerus tanpa mengenal erti putus asa. Jangan fikirkan soal orang yang kita dakwah akan mendapat hidayah atau tidak. Itu bukan kerja kita. Namun tidak salah untuk berdoa agar orang yang didakwah mendapat petunjuk. Dalam berdakwah, perlu ada teknik. Ia memerlukan ilmu. Jika tidak ada ilmu, bagaimana kita boleh mengajak orang lain supaya memahami Islam kerana hikmah, nasihat yang baik dan dialog menuntut kepada ilmu pengetahuan yang lengkap. Golongan yang didakwah pula mempunyai latar belakang yang pelbagai. Oleh itu, perlengkapkan diri dengan ilmu dan dalam masa yang sama hidupkan dakwah. Semoga Allah Ta'ala membimbing kita semua.

Wallahu a'lam.

p/s: Artikel ini untuk muhasabah diri sendiri. Entah berapa banyak dakwah yang telah digerakkan? Ya Allah! Ampunkan aku...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.

3 ulasan:

Unknown berkata...

keep On dakwah ya ustaz!esp.when you're coming back to Msia..

Danial Farhan @ Humair berkata...

Insya-Allah. Tolong doakan saya ye supaya dapat terus gerakkan dakwah. Kalau berpeluang tunaikan umrah nanti, jangan lupa doakan saya.

insan... berkata...

insyaAllah...