16 November 2010

Pengajaran Dari Ibadah Haji

Guru kami al-Marhum al-Imam Sayyid Muhammad Kholil al-Khotib al-Hasani telah menulis qasidah yang mengungkapkan beberapa pengajaran yang dipetik daripada ibadah haji. Menerusi entri ini, saya akan menyatakan intipati qasidah tersebut bersempena Hari Raya Aidiladha pada kali ini.

Persiapan Sebelum Menunaikan Haji.

Sebelum menunaikan haji, kita mestilah bertaubat serta meminta maaf daripada orang-orang yang pernah kita zalimi. Ikhlaskan niat di samping memenuhkan hati dengan kebesaran Allah Ta'ala lantas memutuskan hubungan hati daripada terikat dengan dunia. Siapkan bekalan haji daripada hasil yang benar-benar halal dan sebaik-baik bekalan itu adalah yang memberi kekuatan kepada kita dalam menunaikan ibadah haji diiringi dengan bekalan taqwa.

Ihram Dan Pengajaran Daripadanya.

Ketika memakai kain ihram, renungkanlah bahawa ia adalah kain kafan yang akan kita pakai ketika mati kelak. Kain ihram menyedarkan kita tentang kehidupan orang-orang yang susah. Oleh itu, kita hendaklah biasa untuk merasai kesusahan dan kepayahan.

Tawaf.

Apabila kita telah menjejakkan kaki di Baitul Haram, maka panjatkan kesyukuran kepada Allah Ta'ala yang telah mengizinkan kita untuk sampai ke Rumah-Nya. Panjatkan kesyukuran kepada-Nya dengan penuh kekhusyukan. Lantas, bertawaflah mengelilingi Ka'abah sebagai tanda ucapan dan hendaklah kita menyedari bahawa tujuan bertawaf itu adalah tawaf hati mengelilingi Tuan Empunya Ka'abah.

Hajarul Aswad.

Ia adalah tangan kanan Allah Ta'ala di bumi ini. Apabila kita menciumnya atau melambai ke arahnya, bererti kita telah berbai'ah kepada-Nya, maka tunaikan bai'ah kita kepada-Nya. Muliakan Hajarul Aswad itu kerana ia adalah salah satu syiar Allah Ta'ala malah kita dituntut untuk memuliakan semua syiar-Nya. Perbanyakkan doa kerana ia adalah kawasan yang dimustajabkan doa.

Sa'i Antara Marwah dan Sofa Serta Meminum Air Zamzam.

Ketika bersa'i, kenangkanlah peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim, Sayyidah Hajar dan Nabi Ismail 'alaihimussalam. Ucapkan kesyukuran kepada Allah Ta'ala yang telah mengurniakan nikmat kepada kita dengan sebab mereka. Ketika berlari-lari, rasakan bahawa kita umpama sang hamba yang berlari kepada-Nya dengan penuh rasa rindu dan cinta atau seumpama orang bersalah yang merasa takut dengan kesalahannya lantas bersegera menuju pengampunan-Nya. Ketika meminum air Zamzam, niatkan agar Allah Ta'ala mengurniakan kebaikan dunia dan akhirat kepada kita.

Wukuf Di Padang Arafah.

Ketika wukuf di Arafah, pohonlah daripada-Nya agar dikurniakan makrifah. Bayangkan tentang suasana di Hari Kiamat kelak ketika Dia menghimpunkan semua makhluk-Nya. Mintalah daripada-Nya agar kita dihimpunkan bersama-sama golongan yang Dia cintai. Perhimpunan di Arafah ibarat suatu muktamar agung. Di sinilah kita berkenalan dan berbincang tentang masalah umat Islam lantas berazam untuk sama-sama saling bantu membantu. Di sinilah perjanjian diikat bahawa kita mesti mempertahankan sesama kita saudara seislam kerana hakikatnya kita adalah satu walaupun berlainan bangsa dan negara.

Muzdalifah dan Mina.

Di Muzdalifah, berdoalah memohon rahmat-Nya buat diri kita dan kaum muslimin seluruhnya hatta terhadap musuh ketat kita sekalipun. Pohonlah keredhaan-Nya. Apabila tiba di Mina untuk melempar jamrah, maka lemparkan sekali hawa nafsu kita. Lemparilah syaitan sambil memohon perlindungan-Nya agar mereka tidak menggoda kita lagi.

Sembelihan, Menggunting Atau Mencukur Rambut Dan Tawaf Perpisahan.

Bila kita menyembelih binatang korban, maka sembelih sekali bahagian nafsu kita sambil berharap agar Dia menerima korban yang kita hulurkan. Lalu bertahalul dengan menggunting atau mencukur rambut. Setelah itu bertawaf sebagai lambang perpisahan sambil bersyukur tanda terima kasih kepada-Nya yang sudi menjemput kita untuk menziarahi Rumah-Nya.

Wallahu a'lam.

Dipetik daripada kitab Wahyul Hadith, karangan guru kami al-Marhum al-'Arif Billah al-Imam Sayyid Muhammad Kholil al-Khotib al-Hasani.

p/s: Semoga Allah merahmati al-Marhum guru kami. Qasidah beliau adalah limpahan hikmah daripada lautan al-Quran dan Sunnah.

Tiada ulasan: