31 Oktober 2010

Antara Dua Ajaran (Bhgn 5)

Sambungan daripada entri yang lepas...

Ucapan Salam.

Nabi Isa 'alaihissalam memberi ucapan salam kepada para pengikut baginda dengan ungkapan Assalamu'alaikum (Salam sejahtera ke atas kamu). Menurut Perjanjian Baru, Nabi Isa telah mengucapkan salam kepada mereka sebelum baginda disalib. Injil John mencatatkan:

Isa berkata kepada mereka sekali lagi, "Salam sejahtera buat kamu. Sebagaimana Bapa telah mengutuskan saya, begitu juga saya mengutuskan kamu." [John 20:19]

Amalan memberi ucapan salam telah diwarisi sejak zaman berzaman. Ia telah diamalkan oleh para nabi sebelum Nabi Isa lagi. Perjanjian Lama menyebut mengenai Nabi Daud 'alaihissalam ketika baginda mengutus wakil untuk bertemu dengan Nabal:

Kamu mesti menghormatinya (dengan ucapan), "Salam sejahtera buat kamu. Salam sejahtera ke atas rumah dan apa jua yang kamu miliki." [1 Samuel 25:6]

Al-Qur'an mengajar kita supaya memberi salam sebelum masuk ke rumah. Firman Allah Ta'ala, mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan kepunyaan kamu melainkan setelah kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. (Perbuatan) itu lebih baik buat kamu agar kamu sentiasa mengambil peringatan. [Surah an-Nur: 27]

Al-Qur'an juga menyatakan bahawa para malaikat akan sentiasa mengucapkan salam kepada para penghuni syurga. Firman Allah Ta'ala, mafhumnya:

Orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka pasti akan dibawa ke syurga dalam satu rombongan. Apabila mereka sampai kepadanya (syurga itu) dan dibuka pintu-pintunya, lantas para penjaganya (para malaikat) pun berkata kepada mereka, "Salam sejahtera ke atas kamu. Kamu telah memperolehi kebahagiaan. Oleh itu, masuklah ke dalamnya (syurga itu) selama-lamanya." [Surah az-Zumar: 73]

Allah Ta'ala juga menitahkan orang-orang yang beriman agar saling mengucapkan salam sesama mereka. Firman Allah Ta'ala, mafhumnya:

Apabila orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami datang kepadamu (wahai Muhammad), maka ucapkanlah, "Salam sejahtera ke atas kamu.".. [Surah al-An'am: 54]

Zakat.

Nabi Isa 'alaihissalam telah menegaskan mengenai kewajipan membayar zakat hasil tanaman sebanyak sepersepuluh (1/10) yang dikutip ketika musim menuai. Perjanjian Lama menyebut:

Kamu perlu membayar sepersepuluh daripada hasil tanaman kamu yang tumbuh daripada ladang setiap tahun. [Deuteronomy 14:22]

Di dalam al-Qur'an, Allah Ta'ala turut mengingatkan golongan beriman agar mengeluarkan zakat hasil tanaman. Allah Ta'ala berfirman:

Dia (Allah) jualah yang menjadikan kebun-kebun yang menjalar (di permukaan bumi) dan tidak menjalar (berdiri tegak), pohon-pohon kurma, tanam-tanaman yang berlainan rasanya, buah zaitun dan buah delima yang agak sama (bentuk dan warnanya) tetapi berlainan (rasanya). Makanlah buah-buah itu apabila ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada musim menuai. Janganlah kamu berlebih-lebihan (memakannya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang berlebih-lebihan (melampaui batas). [Surah al-An'am: 141]

Islam juga telah mensyariatkan pembayaran zakat dalam pelbagai bentuk. Ada zakat pendapatan, zakat harta, zakat hasil galian, zakat tanam-tanaman, zakat binatang ternakan dan zakat fitrah. Islam juga telah menentukan golongan-golongan yang berhak untuk menerima zakat. Zakat disyariatkan bertujuan untuk membantu golongan fakir miskin yang memerlukan. Ia juga sebagai sumber yang melancarkan lagi perjalanan ekonomi. Zakat adalah untuk diagih-agihkan. Bukan untuk disimpan bagi memenuhi tembolok pihak-pihak tertentu. Al-Qur'an telah mendedahkan sikap para paderi Kristian dan pendeta Yahudi yang bertindak mengutip harta daripada para penganut agama mereka, namun bukan untuk diagihkan kepada golongan fakir miskin, sebaliknya untuk mengisi tembolok dan poket mereka. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! (Ketahuilah) bahawa kebanyakan pendeta (Yahudi) dan paderi (Kristian) seringkali memakan harta orang ramai dengan cara yang batil serta menghalang (orang lain) daripada (mengikut) jalan (agama) Allah.. [Surah at-Taubah: 34]

Puasa.

Menurut Injil, Nabi Isa 'alaihissalam pernah berpuasa selama 40 hari. Perjanjian Baru menyebut:

Dan baginda telah berpuasa selama empat puluh hari empat puluh malam. Setelah itu, baginda merasa lapar. [Matthew 4:2]

Perjanjian Lama turut mencatatkan bahawa Nabi Musa 'alaihissalam pernah berpuasa:

Dan baginda berada di sana (Tursina) bersama Tuhan selama empat puluh hari empat puluh malam dalam keadaan baginda tidak memakan roti mahupun meminum air. (Di sanalah) baginda menulis perjanjian di atas papan loh (iaitu Taurat) yang berupa sepuluh titah perintah (dari Tuhan). [Exodus 34:28]

Puasa juga turut disyariatkan buat umat Islam. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Puasa itu difardhukan ke atas kamu sebagaimana ia pernah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu agar (dengan puasa itu) kamu bertaqwa. [Surah al-Baqarah: 183]

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam pernah bersabda, mafhumnya:

Puasa (sunat) yang terbaik ialah puasa (yang pernah diamalkan oleh) saudara saya (Nabi) Daud 'alaihissalam. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari. [Riwayat al-Bukhori dan Muslim]

Bersambung....



1 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.