10 Oktober 2010

Sempena Konvokesyen 2010

Alhamdulillah, pagi tadi upacara konvokesyen graduan Malaysia al-Azhar 2010 berjalan dengan lancar di Pusat Persidangan al-Azhar (ACC). Diserikan lagi dengan kehadiran ayahanda Syeikhul Azhar al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Muhammad Toyyib. Saya melihat agak ramai juga peserta konvo kali ini. Kemas, segak dan seragam dengan jubah dan serban al-Azhar. Nampak cantik.
Membuatkan Syeikhul Azhar mengungkapkan rasa kegembiraan beliau melihat suasana ini (memetik daripada ucaptama beliau). Yang membuatkan saya terharu dan rasa seronok ialah bila Syeikhul Azhar sanggup menunggu sehingga tamat upacara konvokesyen. Beliau dengan senang hatinya berdiri untuk menyampaikan skrol kepada para graduan yang saya kira berjumlah lebih kurang 400 orang. Ketika saya bersalaman dengan beliau dan mencium tangan beliau, terasa bergetar di hati ini melihat kewibawaan beliau. Hanya mampu mengucapkan kepada beliau, "Terima kasih Maulana." sambil tersenyum.

Dalam ucaptama beliau, banyak nasihat yang beliau sampaikan. Antara yang menarik minat saya ialah apabila beliau memberi galakan supaya para graduan meneruskan perjuangan menuntut ilmu kerana proses pembelajaran itu ialah suatu proses yang berterusan. Beliau menyatakan supaya terus menjadi orang yang sentiasa belajar. Jangan berhenti kerana orang yang berhenti daripada proses pembelajaran kemudian mendakwa dia telah alim, maka sebenarnya dia ialah seorang yang jahil. Beliau turut menyatakan bahawa jika kita memberi seluruh diri kita untuk menuntut ilmu, maka kita hanya mampu mendapat separuh sahaja ilmu. Jika kita hanya memberi separuh diri kita untuk menuntut ilmu, maka kita tidak akan mendapat apa-apa. Subhanallah! Sungguh mendalam ungkapan ini. Menunjukkan betapa luasnya ilmu Allah Ta'ala itu. Perlu ditimba secara berterusan. Perlu berkorban apa yang ada untuk mendapatkan ilmu.

Buat sahabat-sahabat yang menyertai konvokesyen kali ini, tahniah diucapkan kerana kalian telah berjaya menggenggam segulung ijazah hasil daripada susah payah menuntut ilmu di sini. Majlis konvokesyen ini hanya suatu simbolik sahaja lambang penghargaan buat kalian. Ada misi yang lebih penting lagi menanti untuk dilaksanakan. Ada amanah yang lebih berat lagi menunggu untuk dipikul. Persoalannya, adakah anda benar-benar telah bersedia??

p/s: Merenung diri untuk berhadapan dengan amanah yang bakal menanti...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.

1 ulasan:

insan... berkata...

salam...selamat berdakwah...moge diberkati-Nya