10 Oktober 2010

Kesungguhan Para Ulama' Dalam Menuntut Ilmu

Di sini saya senaraikan kisah kesungguhan beberapa orang ulama' dalam menuntut ilmu. Mesej yang ingin saya sampaikan menerusi kisah-kisah ini mudah: Bandingkan diri anda dengan mereka. Adakah anda layak duduk sebaris dengan mereka? Jika tidak layak, maka sila beradab dengan mereka..


[1] Syeikh Abu Ishaq asy-Syirazi (393H-476H) menyatakan bahawa beliau mengulangkaji setiap matapelajaran yang dipelajari sebanyak seratus kali. Kadangkala sebanyak seribu kali! Ketika beliau meringkaskan kitab at-Tanbih daripada ta'liq guru beliau Syeikh Abu Hamid al-Isfaroyini (344H-406H) yang berjumlah sebanyak 18 jilid, maka beliau akan bersembahyang dua rakaat sebelum menulis setiap fasal daripada kitab berkenaan dengan niat supaya Allah Ta'ala memberikan manfaat kepada orang-orang yang membaca kitab tersebut.

[2] Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami (909H-974H) ketika menuntut di al-Azhar asy-Syarif tidak pernah menjamah daging selama empat tahun. Beliau juga sering ditimpa kelaparan dan kesusahan yang jarang-jarang mampu ditanggung oleh orang-orang yang biasa. Namun cuba lihat hasil ilmu beliau. Subhanallah, menakjubkan!

[3] Sayyid Ahmad Zaini Dahlan (1232H-1304H) mengulangkaji setiap matapelajaran yang beliau pelajari sebanyak enam belas kali serta menghafalnya sebanyak empat kali.

[4] Syeikh Abdullah bin Abdur Rahman Bal Haj (850H-918H) mengulangkaji pelajaran sebanyak 20 kali kemudian menghafalnya sebanyak lima kali.

[5] Syeikh Ahmad bin Musa bin 'Ujail al-Yamani (wafat tahun 690H) membaca kitab ar-Risalah karangan Imam asy-Syafi'i sebanyak 500 kali. Kita berapa kali baca buku kuliah? Membaca pun malas..

[6] Syeikh Fadhol bin Abdullah Ba Fadhol membaca Sohih al-Bukhori sebanyak 1000 kali. Kita yang hanya membaca Sohih al-Bukhori sekali, boleh ke nak berlagak? Itupun baca semata tapi tak faham tiba-tiba mendakwa kononnya sebagai pakar hadith?? Sanad pun tiada. Huh.. Sengal je..

[7] Sayyid al-Mujtahid al-Imam Muhammad bin 'Alawi bin Ahmad bin al-Faqih al-Muqaddam (wafat tahun 767H) membaca kitab-kitab pengajian beliau sepanjang malam. Apabila beliau merasa mengantuk, maka beliau akan keluar ke tepi pantai untuk mengulang-ulang hafalannya.

Sumber: Dipetik daripada kitab al-Manhaj as-Sawiyy Syarh Usul Toriqoh as-Sadah Ali Ba 'Alawi karangan al-'Allamah al-Habib Sayyid Zain bin Ibrahim bin Sumait al-Husaini berserta sedikit olahan ringkas.

p/s: Terasa sangat rendah diri di hadapan barisan para ulama' yang hebat-hebat ini... Ya Allah! Aku mencintai mereka, maka himpunkanlah daku bersama mereka dan ajarkanlah daku supaya beradab dengan mereka...

Humair,
Hayyu Sabi', Nasr City,
KAHERAH.

Tiada ulasan: