20 Mac 2008

Muhasabah Rabi'ul Awwal


Sekali lagi kita bersua dengan bulan Rabi'ul Awwal. Bulan yang menyaksikan kemunculan cahaya yang menerangi pelusuk alam. Di bulan inilah, lahirnya penghulu sekelian alam iaitu nabi kita, Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Saban tahun, kita menyambut ulangtahun keputeraan Baginda sebagai tanda kegembiraan kita terhadap kelahiran Baginda ke alam maya ini. Ya, sememangnya kita wajar bergembira dengan keputeraan Baginda. Kegembiraan kita terhadap nikmat kemunculan Baginda ke alam ini tidak sama nilainya dengan kegembiraan kita terhadap nikmat-nikmat yang lain kerana Baginda adalah punca segala nikmat yang kita kecapi selama ini. Kita tidak mungkin mengenali Islam, Iman, Ihsan, ibadah dan nikmat-nikmat duniawi dan ukhrawi yang lain jika tidak kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Ini bukan suatu yang keterlaluan atau tidak berasas, bahkan ini adalah suatu kenyataan. Jangan terkejut jika saya mengatakan bahawa terdapat sebahagian ulama' yang berpendapat bahawa malam keputeraan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam lebih mulia daripada malam Lailatul Qadar! Jangan terkejut dan jangan merasa pelik dengan pendapat ini kerana jika diteliti dengan saksama pendapat ini, ternyata ada kebenarannya. Cuma sempena ketibaan Rabi'ul Awwal kali ini, saya ingin mengajak sidang pembaca untuk kita bermuhasabah seketika. Sejauh mana kita telah mensyukuri nikmat kelahiran Baginda ke alam ini. Syukur kita tidak cukup dengan hanya mengadakan sambutan maulid setiap tahun menerusi perarakan membawa sepanduk diiringi alunan selawat, madih dan berzanji. Namun yang paling utama ialah syukur kita dimanifestasikan melalui ikutan kita terhadap sunnah Baginda yang semakin dilupakan. Sejauh mana kita telah mengenali Baginda sehingga kita benar-benar mencintai Baginda dan banyak persoalan yang perlu kita jawab sebagai muhasabah sempena Rabi'ul Awwal kali ini.


Sebenarnya menyambut Maulid bukan ditunjukkan melalui perarakan. Yang penting ialah sejauh mana penghayatan kita terhadap intipati ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Apa gunanya kita berhimpun dan berarak saban tahun setiap kali tibanya Rabi'ul Awwal, namun dalam masa yang sama kita tidak ingin menghayati ajaran Baginda. Saya bersetuju jika dikatakan sambutan Maulid hanyalah sekadar tradisi tahunan di negara kita. Inilah yang bid'ah sebenarnya. Bid'ah itu bukan pada sambutannya kerana jika kita mengimbau kembali sejarah, kita akan mendapati bahawa sambutan ini diadakan bertujuan untuk mengajak kembali umat Islam supaya kembali menghayati Islam. Namun bid'ahnya sambutan Maulid kali ini ialah kerana tiada penghayatan pada matlamat asal upacara ini. Hanya sekadar tradisi. Berarak, membawa sepanduk, bernasyid, mendengar ceramah namun kesannya tiada. Justeru saya menyeru agar sambutan Maulid ini kembali dihayati. Kita perlu sedar bahawa kegembiraan kita dengan keputeraan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bukan terbatas di bulan Rabi'ul Awwal sahaja, bahkan kita bergembira dengan kewujudan Baginda setiap hari. Kegembiraan itu kita zahirkan menerusi ikutan kita terhadap sunnah Baginda lebih-lebih lagi sunnah 'aqidah dan akhlak yang diperjuangkan oleh Baginda. Apa guna kita menyambut Maulid sedangkan dalam masa yang sama masyarakat kita hari ini mengalami krisis 'aqidah dan akhlak yang membimbangkan. Apa sumbangan kita dalam menyelesaikan kemelut masyarakat hari ini? Adakah cukup sekadar ceramah dan perarakan menyambut Maulid? Yang penting ialah tindakan yang dimanifestasikan menerusi perjuangan menghidupkan sunnah Baginda khususnya sunnah 'aqidah dan akhlak. Justeru, sebagai akhir kalam, kesimpulan yang ingin saya nyatakan ialah:


1) Sambutan Maulid perlu lebih dihayati menerusi tindakan, bukan sekadar ucapan.

2) Kukuhkan penghayatan 'aqidah dan akhlak di kalangan masyarakat kerana dua aspek inilah yang paling penting untuk diselesaikan. Tinggalkan perbalahan mengenai perkara-perkara furu'iyyah yang tidak pernah selesai.

3) Sambutan Maulid perlu diadakan dengan cara yang lebih fleksibel dengan situasi hari ini. Tidak terlalu rigid. Tidak terbatas sekadar perarakan dan ceramah bahkan sambutannya dipelbagaikan yang mana kesemuanya lebih menjurus ke arah pengukuhan 'aqidah dan akhlak ummah.


Selamat menyambut Maulidur Rasul 1429 Hijrah.

Hidupkan Kembali Peranan Masjid


Masjid sebagaimana yang kita sedia maklum didefinisikan sebagai tempat ibadah umat Islam. Ini merupakan definisi secara umum. Kalimah 'masjid' dari sudut bahasa Arab membawa maksud 'tempat sujud'. Mengapa disebut tempat sujud? Sedangkan masjid merupakan tempat sembahyang dan ibadah. Kalimah ini merupakan majazi (metafora) dari sudut ilmu Balaghah di mana ia hanya menyebut satu bahagian tertentu daripada suatu perkara namun maksud sebenar adalah perkara tersebut. Seperti sujud yang merupakan satu rukun daripada rukun-rukun sembahyang digunakan di sini namun ia membawa maksud sembahyang. Ertinya masjid adalah tempat sembahyang.

Saya tidak bermaksud memanjangkan perbahasan mengenai definisi masjid dari sudut bahasa Arab dan Balaghah, namun daripada definisi yang telah saya utarakan ia mempunyai kaitan dengan isu yang ingin saya nyatakan di sini.

Peranan masjid tika ini dilihat masih hambar. Walaupun ada usaha untuk memakmurkan masjid yang timbul daripada kesedaran yang tinggi, namun usaha ini masih perlu digiatkan lagi. Kesedaran perlu ditingkatkan bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk beribadah semata-mata, bahkan masjid merupakan pusat kegiatan pelbagai aktiviti umat Islam sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Apa yang nyata, persepsi umat Islam terhadap masjid masih samar-samar kerana minda mereka telah digasak sekian lama bahawa masjid hanya tempat untuk beribadah sahaja. Sebarang aktiviti yang bukan berbentuk keagamaan tidak boleh dilakukan di masjid kerana ia dilihat boleh mencemarkan martabat masjid! Ini adalah persepsi yang salah. Ianya timbul daripada kekeliruan hasil daripada gerakan sekularisme yang ingin memisahkan agama daripada urusan hidup duniawi dalam diri umat Islam. Umat Islam hanya sesuai untuk beribadah sahaja, manakala aktiviti keduniaan tidak perlu diserahkan pada umat Islam. Atau dengan maksud yang lain, masjid hanya untuk kegiatan agama sahaja, manakala aktiviti lain perlu dilakukan di luar masjid. Hadith palsu yang berbunyi: Barangsiapa yang berkata-kata di dalam masjid dengan perkataan duniawi, maka amalannya terbatal selama 40 tahun! dilaungkan bahkan ditampal di dalam masjid! Ini adalah hadith yang palsu, mungkar lagi batil. Dicipta oleh golongan zindiq sekularis yang ingin memisahkan agama daripada urusan hidup berbentuk keduniaan. Kesannya umat Islam mundur, jumud, pasif dan hanya tahu tentang agama. Itu pun dengan pemahaman yang jumud juga!! Maka umat Islam menjadi seperti penganut agama lain yang berpandangan bahawa 'Tuhan' hanya ada di masjid, kuil, tokong, gereja dan saumaah. Bila keluar masjid, maka wataknya berubah. Bebas kerana tiada 'tuhan'. Yang ada hanya diri sendiri. Lalu dia pun berbuat sewenang-wenangnya sehingga melanggar batas agama!

Peranan masjid perlu dihidupkan semula. Sirah telah membuktikan bahawa masjid merupakan jentera penggerak kepada perkembangan Islam ke seantero dunia. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mentadbir negara bermula dari masjid. Baginda mengajar, berpidato, bersidang, menerima kunjung hormat para tetamu, merangka strategi peperangan dan lain-lain lagi urusan keduniaan di masjid. Masjid ketika itu bukan sekadar tempat ibadah, bahkan ia adalah sebuah universiti yang telah melahirkan para graduan yang hebat iaitu para sahabat r.ahm. Masjid adalah parlimen, dewan sambutan, dewan acara dan apa saja yang ingin kita namakan. Bukan bentuk masjid yang menjadi keutamaan kerana Masjid Nabawi pada zaman itu hanya sebuah masjid yang cukup sederhana. Tidak seperti masjid-masjid zaman ini. Namun yang penting adalah pengisiannya. Bagaimana masjid perlu digerakkan agar menjadi sebuah pusat janakuasa kekuatan umat Islam kini. Apa guna masjid yang tersergam indah, tetapi kosong seperti jasad yang tidak bernyawa ditambah pula dengan jumlah jemaah yang tidak sampai pun satu saf! Justeru, kita perlu bermuhasabah semula. Kita perlu fikirkan bersama cara untuk mem'popular'kan masjid sebagai sebuah pusat kegiatan segala aktiviti. Sebagaimana masjid merupakan tempat sembahyang yang merupakan asas pembangunan umat Islam, maka sembahyang itu juga mendidik kita bahawa masjid adalah tempat yang sangat sesuai untuk menjana pembangunan tersebut dalam pelbagai sudut lebih-lebih dengan laungan pembangunan modal insan yang diwar-warkan sekarang ini. Oleh itu, mari kita fikirkan bersama mengenai perkara ini. Berhati-hati dengan tindakan halus golongan sekularis. Adakah Tuhan hanya berada di masjid sahaja?! Setelah keluar masjid, tiada Tuhan lagi?! Sedangkan Allah Ta'ala sering memerhatikan kita di mana sahaja kita berada. Masjid perlu dihidupkan semula peranannya. Dihidupkan seperti zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan masjid perlu dihidupkan di dalam hati kita semua. Wallahu 'alam.

12 Mac 2008

Sempena Rabi'ul Awwal


Sempena ketibaan bulan Rabi'ul Awwal yang mulia ini, saya ingin mengajak sidang pembaca untuk mengimbau sejenak nostalgia bersama Nabi kita, Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Bulan ini adalah bulan yang dimuliakan dengan keputeraan Baginda ke dunia ini. Membawa rahmat, keberkatan, hidayah dan kebahagiaan buat kita semua. Maka sudah menjadi suatu kewajipan untuk kita mensyukuri nikmat perutusan Baginda. Tanpa Baginda, maka sudah pasti kita tidak akan dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Oleh kerana itu, Baginda wajib dicintai. Cinta kepada Baginda adalah suatu kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala kerana mencintai Baginda membawa erti cintakan Allah Ta'ala. Namun kita tidak akan mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam jika kita tidak mengenali Baginda. Justeru, dalam ruangan kali ini saya ingin mengajak sidang pembaca berkenalan dengan Nabi kita. Mungkin ada yang telah mengetahui sedikit sebanyak maklumat mengenai Baginda. Itu tidak mengapa, mudah-mudahan maklumat yang saya paparkan di sini boleh menjadi tanda ingatan. Jika anda belum memiliki maklumat yang saya paparkan di sini, saya berharap ia akan menambahkan lagi maklumat anda mengenai Nabi kita, Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sekarang mari kita berkenalan dengan Nabi kita!


Nama & Keturunan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Muhammad bin Abdullah bin 'Abdul Muttolib bin Hasyim bin 'Abdu Manaf bin Qusoi bin Kilab bin Murroh bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhor bin Nizar bin Ma'ad bin 'Adnan.

Berketurunan Quraisy dari suku Bani Hasyim. Susur galur keturunan Baginda sampai kepada Sayyiduna Ismail bin Sayyiduna Ibrahim al Khalil 'alaihimassalam.


Ayahanda Baginda.

Abdullah bin 'Abdul Muttolib.


Bonda Baginda.

Aminah binti Wahab bin 'Abdu Manaf bin Zuhroh bin Kilab.


Tarikh lahir Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Hari Isnin, 9 Rabi'ul Awwal tahun Gajah (20 April 571). Baginda dilahirkan ketika terbit fajar.


Tempat lahir Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Rumah Abu Tolib, Syi'ib Bani Hasyim, Mekah al Mukarramah.


Tarikh wafat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Hari Isnin, 13 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijrah (8 Jun 633) dalam usia 63 tahun 3 hari (menurut kalendar Qomariyyah) atau 61 tahun 80 hari (menurut kalendar Syamsiyyah).


Tempat wafat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Madinah al Munawwarah. Baginda disemadikan di kamar Sayyidah 'Aisyah al Humaira' radhiyyallahu 'anha.


Perwatakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Berkulit putih kemerah-merahan, sederhana tinggi, wajahnya bercahaya bak bulan purnama, tidak terlalu bulat dan tidak terlalu bujur, berambut ikal mayang, berdahi luas, beralis tajam dan melengkung bagaikan dua bulan sabit yang terpisah, berhidung mancung, hitam matanya, lentik bulu matanya, giginya jarang dan tersusun rapi, mulus pipinya, lebar mulutnya, lebat janggutnya, berleher jinjang dan putih mulus bagaikan adunan perak, berbahu bidang, sederhana bentuk tubuhnya dan berisi, bidang dadanya, tebal telapak tangan dan kakinya, panjang jari-jemarinya, lembut tapak tangannya bak sutera, tegap dan pantas jalannya, pandangannya penuh makna, pertuturannya jelas, merdu dan nyaring suaranya, harum bau badannya, tampan dan segak sehingga sesiapa yang melihatnya pasti berkata, "Saya belum pernah melihat orang seperti Baginda, baik sebelum mahupun sesudahnya!"

Kesimpulannya: Baginda adalah manusia yang paling sempurna perwatakannya sehingga Sayyiduna Hassan bin Thabit radhiyyallahu 'anhu yang merupakan penyair Baginda mengungkapkan kata-katanya:

Engkau tercipta bebas dari segala kecacatan;

Seolah-olah engkau dicipta menurut apa yang engkau mahukan!


Akhlak Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Sangat baik, sangat sopan, pemalu, pemurah, lemah lembut namun tegas, ikhlas, tawadhu', berjiwa halus, sering tersenyum, tidak bengis, tidak kasar, penyayang, sangat sabar, menghormati semua orang, berwibawa, berhikmah, lembut pertuturannya, tersusun indah bahasanya bak untaian mutiara, tidak pernah memukul khadamnya dan kaum wanita, pemaaf, amanah, jujur, tidak pernah berdusta, prihatin, peka, teliti, sering berzikir dalam setiap keadaan, tidak menolak hadiah, sering memenuhi undangan walaupun daripada orang yang rendah martabatnya, mencuci bajunya sendiri, menjahit capalnya sendiri, memerah susu kambingnya sendiri, menguruskan diri sendiri tanpa menyusahkan orang lain, sangat takutkan Allah Ta'ala namun berani bila berhadapan dengan musuh, gagah perkasa, tangkas, sederhana hidupnya dan pelbagai lagi akhlak mulia yang ada, kesemuanya terjelma pada diri Baginda. Cukuplah pujian Allah Ta'ala menggambarkan tentang akhlak Baginda. Firman Allah Ta'ala mafhumnya: Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar memiliki akhlak yang agung. (Surah al Qalam: 4)


Mukjizat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Al Quran, bulan terbelah, terpancar air dari jari jemarinya yang mulia, pohon kurma menangis teresak-esak kerana rindu padanya, unta mengadu padanya, air yang pahit menjadi tawar dan enak dengan ludahnya, mustajab doanya, sentuhannya berkat, ramalannya tepat, pandangannya tembus ke belakang, suaranya boleh didengari dari jarak yang jauh, tidak mempunyai bayang, boleh melihat di dalam gelap seperti penglihatannya ketika terang, lalat tidak hinggap di baju dan tubuhnya, Isra' dan Mi'raj, batu dan pepohonan memberi salam padanya, makanan dan batu bertasbih di tangannya dan banyak lagi. Mukjizat Baginda tidak terkira.


Bapa saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam.

1) Al Harth

2) Abu Tolib (Abdu Manaf)

3) Abul Harith al Zubair

4) Abu Lahab ('Abdul 'Uzza)

5) Al Ghaidaq

6) Al Muqawwim

7) Dhirar

8) Quthum

9) 'Abdul Ka'abah

10) Al Hajal (al Mughirah)

11) Hamzah

12) Al 'Abbas


Ibu saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sofiyyah

2) Arwa

3) 'Atikah

4) Ummu Hakim

5) Barrah

6) Umaimah


Isteri Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyidah Khadijah al Kubro binti Khuwailid

2) Sayyidah Saudah binti Zam'ah

3) Sayyidah 'Aisyah al Humaira' binti Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq

4) Sayyidah Hafsah binti Sayyiduna 'Umar al Faruq

5) Sayyidah Zainab al Hilaliyyah

6) Sayyidah Ummu Salamah Hindun binti Abu Umayyah

7) Sayyidah Zainab binti Jahsyi

8) Sayyidah Juwairiyyah binti al Harth

9) Sayyidah Raihanah binti Yazid

10) Sayyidah Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan

11) Sayyidah Sofiyyah binti Huyai (keturunan Nabi Harun 'alaihissalam)

12) Sayyidah Maimunah binti al Harth al Hilaliyyah

Tiga daripada mereka wafat ketika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam masih hidup iaitu Sayyidah Khadijah, Sayyidah Zainab al Hilaliyyah dan Sayyidah Raihanah.


Jariah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Mariah al Qibtiyyah (hadiah daripada Raja Mesir, al Muqauqis)

2) Raihanah (khilaf)

3) Jariah yang dihadiahkan oleh Zainab binti Jahsyi

4) Jariah dari suku al Qurozi.


Putera & puteri Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Al Qosim

2) Zainab

3) Ruqayyah

4) Fatimah

5) Ummu Kulthum

6) Abdullah al Toyyib

Mereka merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Baginda dengan Sayyidah Khadijah al Kubro radhiyyallahu 'anha.

7) Ibrahim al Khalil

Cahaya mata daripada Mariah al Qibtiyyah.


Cucu-cucu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) 'Ali bin Abul 'As

2) Umamah binti Abul 'As

Kedua-duanya cahaya mata Sayyidah Zainab dengan Abul 'As bin al Rabi'.

3) Abdullah bin Sayyiduna Uthman al 'Affan.

Beliau adalah cahaya mata Sayyidah Ruqoyyah dengan Sayyiduna 'Uthman.

4) Al Hasan bin Imam Ali karramallahu wajhah

5) Al Husain bin Imam Ali karramallahu wajhah

6) Muhsin bin Imam Ali karramallahu wajhah

7) Ummu Kulthum binti Imam Ali karramallahu wajhah

8) Zainab binti Imam Ali karramallahu wajhah

9) Ruqoyyah binti Imam Ali karramallahu wajhah

Mereka semua adalah cahaya mata Sayyidah Fatimah al Zahra' dengan Imam Ali bin Abi Tolib karramallahu wajhah.


Khadam Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Anas bin Malik al Ansori

2) 'Abdullah bin Mas'ud (bertugas menjaga siwak & capal Baginda)

3) Mu'aiqib al Dausi (bertugas menjaga cop rasmi Baginda)

4) 'Uqbah bin 'Amir al Juhani (penjaga baghal Baginda)

5) Asla' bin Syariik (menguruskan kenderaan Baginda)

6) Bilal bin Rabah (bertugas menjaga sedekah kaum muslimin)


Hamba-hamba yang dibebaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Zaid bin Harithah

2) Abu Rafi'

3) Syuqran (Soleh)

4) Thauban

5) Rabah

6) Yasar

7) Safinah

8) Salman al Farisi

9) Ma'bur (beragama Kristian dan tidak memeluk Islam)

10) Sindar

11) Ummu Aiman

12) Umaimah

13) Sirin

14) Qoisar


Nuqoba' Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Amirul Mukminin Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq

2) Amirul Mukminin Sayyiduna Umar al Faruq

3) Amirul Mukminin Sayyiduna Uthman Zunnurain (pemilik dua cahaya)

4) Amirul Mukminin Sayyiduna Imam Ali bin Abi Tolib

5) Sayyiduna Zubair bin al 'Awwam

6) Sayyiduna Ja'afar al Toyyar bin Abi Tolib

7) Sayyiduna Mus'ab bin 'Umair

8) Sayyiduna Bilal bin Rabah

9) Sayyiduna Miqdad bin al Aswad

10) Sayyiduna Uthman bin al Maz'un

11) Sayyiduna Abdullah bin Mas'ud

12) Sayyiduna 'Ammar bin Yasir


Nujaba' Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Sa'ad bin Khoithamah

2) Sayyiduna Sa'ad bin al Rabi'

3) Sayyiduna Sa'ad bin Ubadah

4) Sayyiduna Abdullah bin Rowahah

5) Sayyiduna Abul Haitham bin al Tihan

6) Sayyiduna al Barra' bin Ma'rur

7) Sayyiduna Rafi' bin Malik al Azroqi

8) Sayyiduna Abdullah bin 'Amru bin Haram

9) Sayyiduna 'Ubadah bin Somit

10) Sayyiduna al Munzir bin 'Amru

Kesemua mereka adalah daripada golongan Ansar.


Hawariy Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Khalifah al Rasyidin yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman & Ali)

2) Sayyiduna Tolhah

3) Sayyiduna Zubair bin al 'Awwam

4) Sayyiduna Sa'ad bin Abi Waqqos

5) Sayyiduna Abdul Rahman bin 'Auf

6) Sayyiduna Hamzah bin Abdul Muttolib, penghulu para syuhada'

7) Sayyiduna Ja'afar al Toyyar bin Abi Tolib

8) Sayyiduna Abu 'Ubaidah bin al Jarrah

9) Sayyiduna Uthman bin al Maz'un

Kesemua mereka daripada keturunan Quraisy.


Pengganti Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan pentadbiran negara ketika Baginda keluar berperang.

1) Sayyiduna Abu Lubabah

2) Sayyiduna Basyir bin al Munzir

3) Sayyiduna Uthman bin 'Affan, khalifah ketiga

4) Sayyiduna Abdullah bin Ummu Maktum

5) Sayyiduna Abu Zar al Ghifari

6) Sayyiduna Abdullah bin Abdullah bin Ubai bin Salul

7) Sayyiduna Sabbagh bin 'Arfatoh

8) Sayyiduna Ghailah bin Abdullah al Laithi

9) Sayyiduna 'Auf bin Adhbat al Dailami

10) Sayyiduna Abu Rahm Kulthum

11) Sayyiduna Muhammad bin Maslamah

12) Sayyiduna Zaid bin Harithah

13) Sayyiduna Saib bin Uthman bin Maz'un

14) Sayyiduna Abu Salamah bin Abdul Asad

15) Sayyiduna Sa'ad bin 'Ubadah

16) Sayyiduna Abu Dujanah al Sa'idi


Gabenor Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Bazan bin Saman, gabenor Yaman

2) Sayyiduna Khalid bin Sa'id, gabenor San'aa

3) Sayyiduna Ziyad bin Labid al Ansori al Bayadhi, gabenor Hadramaut

4) Sayyiduna Abu Musa al Asy'ari, gabenor Zabid dan 'Adn

5) Sayyiduna Mu'az bin Jabal, gabenor al Jand

6) Sayyiduna Abu Sufyan bin al Harb, gabenor Najran

7) Sayyiduna Yazid bin Abi Sufyan, gabenor Taima

8) Sayyiduna 'Attab bin Asid, gabenor Mekah al Mukarramah


Panel penulis wahyu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Uthman bin 'Affan

2) Sayyiduna Ali bin Abi Tolib

3) Sayyiduna Ubai bin Ka'ab

4) Sayyiduna Zaid bin Thabit

5) Sayyiduna Mu'awiyah

6) Sayyiduna Khalid bin Sa'id bin al 'As

7) Sayyiduna Abban bin Sa'id

8) Sayyiduna al 'Ala' bin al Hadhromi

9) Sayyiduna Hanzalah bin al Rabi'

10) Sayyiduna Abdullah bin Sa'ad bin Abi Sarrah


Pengawal Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Sa'ad bin Abi Waqqos

2) Sayyiduna Sa'ad bin Mu'az

3) Sayyiduna 'Ubbad bin Basyir

4) Sayyiduna Abu Ayyub al Ansori

5) Sayyiduna Muhammad bin Maslamah


Panel fatwa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Khalifah yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman & Ali)

2) Sayyiduna Abdul Rahman bin 'Auf

3) Sayyiduna Ubai bin Ka'ab

4) Sayyiduna Abdullah bin Mas'ud

5) Sayyiduna Mu'az bin Jabal

6) Sayyiduna 'Ammar bin Yasir

7) Sayyiduna Huzaifah al Yamani

8) Sayyiduna Zaid bin Thabit

9) Sayyiduna Salman al Farisi

10) Sayyiduna Abu Darda'

11) Sayyiduna Abu Musa al Asy'ari

Mereka semua telah mengeluarkan fatwa ketika Baginda masih hidup lagi dan fatwa-fatwa mereka diakui oleh Baginda yang menunjukkan ketinggian ilmu mereka.


Juru azan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Bilal bin Rabah

2) Sayyiduna Abdullah bin Ummu Maktum

3) Sayyiduna Sa'ad bin 'Aiz al Qurozi, juru azan Masjid Quba'

4) Sayyiduna Abu Mahzurah al Jumahi al Makki, juru azan di Mekah al Mukarramah


Qadhi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Amirul Mukminin Imam Ali bin Abi Tolib

2) Sayyiduna Mu'az bin Jabal

3) Sayyiduna Abu Musa al Asy'ari

Kesemua mereka menjadi qadhi di Yaman.


Utusan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna 'Amru bin Umayyah al Dhomari

2) Sayyiduna Dihyah bin Khalifah al Kalbi

3) Sayyiduna Abdullah bin Huzafah al Suhami

4) Sayyiduna Hatib bin Abi Balta'ah al Lukhomi

5) Sayyiduna Syuja' bin Wahab al Asadi

6) Sayyiduna Salit bin 'Amru al 'Amiri

7) Sayyiduna 'Amru bin al 'As

8) Sayyiduna al 'Ala' bin al Hadhrami


Penyair Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Ka'ab bin Malik

2) Sayyiduna Abdullah bin Rowahah al Khazraji al Ansori

3) Sayyiduna Hassan bin Thabit


Ibu susuan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Bonda Baginda, Sayyidah Aminah

2) Thuwaibah al Aslamiyyah, jariah Abu Lahab

3) Khaulah binti al Munzir

4) Ummu Aiman

5) Halimah al Sa'diyyah

6) Seorang wanita suku al Sa'di selain Halimah


Saudara susuan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Hamzah.

2) Masruh

3) Abdullah

4) Anisah

5) Al Syaima'


Binatang tunggangan & peliharaan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) 7 ekor kuda. Salah seekornya bernama al Sukab

2) 6 ekor baghal. Salah seekornya bernama al Syahba'

3) 2 ekor keldai yang bernama Ya'fur dan 'Ufair

4) 3 ekor unta yang bernama al Quswa, al Jad'a' dan al 'Adhba'

5) 107 ekor unta kambing yang dijaga oleh Ummu Aiman

6) Seekor ayam jantan putih


Pedang Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Al Ghosob

2) Al Rusub

3) Al Battar

4) Al Hatf

5) Zul Fiqar

Dikatakan pada salah satu pedang Baginda terukir bait syair ini:

Pengecut itu memalukan dan berani itu suatu kemuliaan;

Orang yang pengecut tetap tidak terlepas dari takdir yang ditetapkan.


Baju besi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Al Sa'diyyah

2) Fiddhoh

3) Zatul Fudhul

4) Zatul Wisyah

5) Zatul Hawasyi

6) Al Batra'

7) Al Khornaq


Nama-nama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Muhammad

2) Ahmad

3) Al Mahi (penghapus kekufuran)

4) Al Hasyir (penghimpun manusia di atas sunnahnya)

5) Al 'Aqib (penyudah rantaian para Nabi)

6) Nabiyyur Rahmah (Nabi pembawa rahmat)

7) Nabiyyut Taubah (Nabi pengajar taubat)

8) Al Muqaffi (pengikut jejak langkah para Nabi sebelumnya)

9) Nabiyyul Malahim (Nabi yang menyertai peperangan)

Serta beberapa nama yang lain lagi. Guru kami Imam Muhammad Khalil al Khatib menyenaraikan sebanyak 202 nama Baginda menerusi qasidah beliau yang bertajuk an Nazmul Maqbul li Asmair Rasul.

Setakat ini dahulu maklumat mengenai nabi kita Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sekadar sebagai tanda ingatan buat Baginda sempena kedatangan Rabi'ul Awwal kali ini. Mari bersama-sama kita mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.


Bibliografi:

- Nurul Absor fi Manaqib Ali Baitin Nabiyyil Mukhtar, Syeikh Mukmin bin Hasan Mukmin al Syablanji, terbitan al Maktabah al Taufiqiyyah, Mesir.

- Nurul Yaqin fi Sirah Sayyidil Mursalin, Syeikh Muhammad al Khudhori, cetakan pertama 1987 (1408), terbitan Darul Jil, Beirut dengan kerjasama Dar 'Ammar, 'Amman, Jordan.

- Mukhtasor Syamail Muhammadiyyah, Syeikh Abdul Majid al Syarnubi, diterjemahkan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki, cetakan pertama Januari 2007 (Zulhijjah 1427), terbitan Sofa Production.

- Syarh an Nazmul Asna li Asmail Husna wan Nazmul Maqbul li Asmair Rasul, al Imam al Muhaddith Sayyid Muhammad bin Khalil bin Muhammad al Khatib al Hasani, cetakan pertama 2006, terbitan Jam'iyyah Syair ar Rasul, Tanta, Mesir.

Kerajaan Baru

Pilihanraya telah pun berlalu. Keputusannya telah diketahui dan kerajaan baru telah pun dibentuk. Rata-rata mengatakan bahawa keputusan pilihanraya kali ini adalah suatu yang di luar jangkaan sehingga tercetusnya perkataan 'tsunami politik' atau 'tsunami pembangkang'. Namun secara jujurnya saya menyatakan bahawa ia memang di luar jangkaan. Barisan Nasional hilang majoriti undi 2/3, 5 negeri jatuh ke tangan pembangkang dan beberapa negeri yang merupakan kubu kuat BN berjaya ditembusi pembangkang. Apa hikmah di sebalik keputusan pilihanraya kali ini, pasti semuanya memiliki jawapan masing-masing.

Saya melihat BN kali ini tidak boleh duduk selesa. Apa jua keputusan yang akan dicapai selepas ini di parlimen, sudah pasti tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya. Sememangnya kewujudan pembangkang yang ramai di parlimen boleh menjadi 'check and balance' kepada kerajaan yang memerintah sekarang ini agar lebih telus dalam melaksanakan agenda pembangunan negara. Saya teringat pada ucapan MB Negeri Sembilan yang diucapkan beberapa hari sebelum pilihanraya bahawa BN tidak perlukan pembangkang untuk 'check and balance', ternyata ucapan angkuh ini memakan diri sendiri. Saya melihat antara faktor kekalahan BN kali ini adalah kerana mereka terlalu yakin bahawa kemenangan akan selalu memihak kepada mereka sedangkan mereka lupa bahawa kekuasaan dan pemerintahan itu milik Allah Ta'ala. Dia berhak mengurniakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia mampu menariknya kembali. Di samping desas-desus bahawa PM kita diminta bertanggungjawab di atas kekalahan ini dengan meletakkan jawatan.

Sudah tiba masanya BN membuat 'post mortem' untuk mengkaji punca kekalahan mereka. Ternyata mereka perlu lebih berhati-hati selepas ini dalam rancangan dan tindakan yang akan dilaksanakan. Mereka perlu sedar bahawa mereka telah hilang majoriti 2/3, maka mereka perlu berlapang dada menerima sebarang kritikan daripada pembangkang selepas ini. Keputusan pilihanraya kali ini sebenarnya adalah jawapan rakyat buat BN bahkan jawapan Allah Ta'ala buat keangkuhan mereka. Nasihat saya buat BN: Jangan angkuh sangat!

Saya tidak pasti adakah mereka akan sedar diri atau tidak selepas ini. Cuma kita berharap kerajaan baru ini akan lebih telus dan teliti dalam melaksanakan agenda pembangunan yang menjurus kepada kebajikan dan kepentingan rakyat. Itu yang rakyat inginkan sebenarnya. Moga keseimbangan yang wujud dalam parlimen kelak akan membuahkan natijah yang baik. Apapun kita tunggu dan lihat untuk tempoh 4 tahun akan datang. Ke arah kerajaan baru yang benar-benar gemilang, cemerlang dan terbilang!

06 Mac 2008

Analisa Diri Anda

Selama ini, adakah sembahyang yang saya dirikan, dilakukan dengan sempurna rukunnya, khusyuknya, adabnya dan ikhlas? Atau sekadar melaksanakan kewajipan lalu dikerjakan seperti melepas batuk di tangga?

Selama ini, adakah puasa yang saya tunaikan, dilakukan dengan sempurna rukunnya, penghayatannya, adabnya dan ikhlas? Atau sekadar melaksanakan kewajipan kerana takut dituduh tidak berpuasa? Atau sebagai sekadar syarat untuk menyambut hari raya?

Selama ini, adakah zakat yang saya tunaikan, dihulur dengan penuh keikhlasan dan prihatin terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik? Atau saya tunaikan zakat kerana ianya menjadi potongan wajib daripada pendapatan? Atau terpaksa? Atau kerana ingin memperlihatkan kepada orang lain bahawa saya tunaikan zakat? Atau saya tak tunaikan zakat langsung??!

Selama ini, saya berkerja, belajar atau apa sahaja tindakan saya, adakah ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan serta mengikut adab dan piawaian yang ditetapkan syara'? Atau selama ini saya bertindak kerana terpaksa? Atau kerana tujuan tertentu? Atau kerana ingin memberitahu orang lain bahawa saya berkebolehan? Atau kerana ingin memancing undi? Atau kerana ingin menjaga status? Atau.. Atau.. Atau..??!

Selama ini, adakah saya melayan ibu dan ayah dengan baik? Atau saya sering melawan cakap mereka? Atau saya hanya pandai menyusahkan mereka? Atau saya hanya tahu minta wang daripada mereka? Atau saya hanya tahu merungut bila diminta buatkan sesuatu yang mereka suruh? Atau? Atau??!

Selama saya berkawan dengan seseorang, adakah saya ikhlas dan sentiasa bersamanya ketika susah dan senang? Atau saya hanya bersamanya ketika senang? Atau saya bersamanya kerana minat yang sama? Atau kerana saya ingin mengeksploitasi dia? Atau? Atau??!

Akhirnya, selama saya hidup di dunia ini, sebanyak mana bekal yang telah saya siapkan? Atau saya merasakan usia masih muda lagi? Hidup masih panjang lagi? Banyak perkara yang belum dinikmati lagi? Atau??!!

Di mana saya ye? Adakah ini adalah saya selama ini?

03 Mac 2008

Benarkah Kenyataan Ini?

Pembangkang tidak diperlu
Oleh Ahmad Naim Tahir

Rakyat diminta ketepi rayuan parti lawan wujud pemeriksaan berimbang

SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan pembangkang untuk pemeriksaan berimbang (check and balance) kerana segala projek pembangunan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat, bukan disebabkan ada pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, kerajaan negeri juga mempunyai pelbagai dasar lengkap sebagai panduan pembangunan yang turut dipamerkan kepada rakyat untuk pandangan dan maklum balas sebelum ia dilaksanakan dengan pemantauan dilakukan wakil rakyat BN sendiri.

"Apa yang nak diperiksa dan diseimbangkan, kerajaan bentangkan pelan struktur kepada orang ramai untuk bagi pandangan sebelum membuat dasar. Pelaksanaan dasar itu kerja kerajaan dan wakil rakyat BN akan periksa pelaksanaannya... jadi, apa yang nak `check and balance' lagi.

"Kita bukan bangunkan negeri sebab ada pembangkang dalam dewan (DUN)... kita dah ada pelan induk sehingga 2020, dasar pelaburan, pelancongan, pelajaran dan sosial. Jadi, tak payah ada pembangkang kerana mereka hanya akan cakap pasal longkang atau apa-apa isu yang amat remeh-temeh," katanya.

Mohamad berkata demikian selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Sungai Salak, Taman Seremban Jaya dan menyampaikan bantuan kepada setinggan Kampung Bahagia, di Senawang, dekat sini, semalam.
Beliau meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan rayuan pembangkang supaya memilih calon mereka kononnya untuk mewujudkan pemeriksaan berimbang, sedangkan kerajaan tidak pernah gagal melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.

"Berapa banyak pembangunan sudah dibuat kerajaan dalam tempoh empat tahun ini... buat jalan sekitar Seremban saja sudah membabitkan belanja RM1 bilion. Macam-macam lagi kita buat... Jalan Kuala Pilah dan jalan baru dari Kajang ke Seremban," katanya.

Mengenai keyakinan DAP untuk mempertahankan DUN Lobak dan Bahau, selain merampas beberapa DUN lagi di kawasan pengundi majoriti Cina di negeri ini seperti Bukit Kepayang dan Mambau, Mohamad berkata, biarlah pembangkang dengan keyakinan mereka.

"DAP yakin dapat tiga (kerusi), Pas dapat empat dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat lima... apa kita ni bodoh sangat sehingga dia (pembangkang) boleh menang begitu banyak kerusi, tapi tak apalah kerana kita juga yakin dan saya sudah nasihatkan jentera BN supaya jangan terlebih yakin.
"Bagi saya, rakyat dah tahu prestasi BN... di Seremban, tak ada lagi isu. Pada 2004, DAP menang Lobak kerana ada isu kerajaan nak pindahkan pasar besar dan perkuburan Cina, tetapi kita putuskan kedua-duanya tidak dipindahkan, sebaliknya membelanjakan pula RM7 juta untuk naikkan taraf pasar besar," katanya.

Beliau juga membidas DAP kerana hanya pandai berjanji, tetapi tidak ditunaikan termasuk pada 2004 apabila penyandang kerusi DUN Lobak daripada parti pembangkang itu, Loke Siew Fook berjanji membeli bas untuk mewujudkan pusat khidmat bergerak, tetapi masih belum dilaksanakan sehingga kini.

"Saya ada keratan akhbar mengenai janji Loke itu... mana basnya, mana pusat khidmat bergerak yang dijanjikannya, sedangkan BN dah buat macam-macam," katanya.

*Sumber: Berita Harian, 3 Mac 2008.

Komentar saya

Mana ada perkara yang sempurna di dunia ini kecuali al Quran dan Sunnah. Justeru, disebabkan tiada kesempurnaan pada setiap perkara menyebabkan ia perlu kepada "check and balance" supaya perkara tersebut sentiasa berada dalam piawaian yang terbaik. Dakwaan MB Negeri Sembilan ini bagi saya memalukan. Seolah-olah ucapan ini lahir daripada pemikiran yang tergopoh-gapah sehingga terlupa bahawa apa jua perkara perlukan "check and balance". Tiada yang sempurna kecuali Allah dan Rasul. Sebab itu, hanya al Quran dan Sunnah saja yang boleh menjadi kayu pengukur terhadap semua perkara bagi memastikan ianya mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Semua orang walaupun berada dalam kedudukan terbaik, perlukan pembangkang kerana bukan semua orang sempurna. Kita sememangnya perlukan teguran dan kritikan supaya kita tidak terlalu mudah berpuas hati dengan usaha kita selama ini. Jika tiada kritikan juga "check and balance", maka kita tidak sedar kesalahan kita dan akhirnya kita merasa bahawa apa yang kita usahakan selama ini adalah yang terbaik. Islam mengajar kita supaya sentiasa berlapang dada dan menerima setiap teguran dan kritikan dengan ikhlas kerana ianya tidak lain adalah untuk kebaikan kita juga. Bahkan ada kata-kata hikmah yang mengungkapkan bahawa kritikan musuh itu lebih ikhlas berbanding teguran seorang teman setia kerana boleh jadi teguran seorang teman adalah berdasarkan kepada kepentingan peribadi namun teguran musuh adalah teguran yang benar pada kebiasaannya. Oleh kerana itu, tidak logik jika kita tidak perlukan pembangkang. Ditakdirkan suatu hari nanti, PAS atau sesiapa saja selain BN dapat memerintah, bukankah BN juga akan bertukar menjadi parti pembangkang yang akan membangkang parti yang memerintah? Apa tujuan bangkangan? Tidak lain antaranya untuk mewujudkan "check and balance". MB perlu sedar, tidak ada makhluk yang sempurna di dunia ini. Kerana itu tiada siapa pun yang boleh terlepas daripada teguran dan kritikan. Mana-mana dakwaan yang tidak menurut piawaian ini, dakwaan itu adalah omongan kosong!

Sila Nilai Ucapan Ini.

Islam BN bukan sekadar slogan: Najib

Oleh Ismail Mat, Khairul Anuar Abd Samad, Wan Faizal Ismayatim dan Haspaizi Mohd Zain

BACHOK: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangunan Islam yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) mencakupi semua aspek kehidupan umatnya dan bukan sekadar slogan kosong seperti dilaungkan Pas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun BN dan Pas sama-sama mengamalkan Islam, pendekatan BN lebih realistik serta mampu memajukan ummah sehingga dihormati masyarakat antarabangsa.

"Memang BN dan Pas sama-sama mengamalkan Islam tetapi BN tidak mahu Islam itu semata-mata dilihat dari segi luaran dan akidah saja.

"Puak hijau yang di dalamnya kosong itu pun nak Islam, banyak bunyi Islam, sekadar slogan membangun bersama Islam tetapi segalanya kosong," katanya ketika merasmikan Bangunan Baru Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kawasan Tiga Daerah Pasir Puteh di sini, semalam.

Najib berkata, Islam bukan hanya membabitkan soal akidah dan akhlak, sebaliknya turut mencakupi perjuangan membina tamadun yang cemerlang dan hebat.

"Itu bezanya antara Umno dan Pas. Kita perjuangkan bukan saja Islam, tetapi martabat dan maruah umat Islam," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 2 pula, Najib berkata, Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi, memuji Malaysia yang disifatkan sebagai contoh negara Islam terbaik di dunia.

Beliau berkata, Sheikhul Al-Azhar juga mengiktiraf apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah mengikut al-Quran serta sunnah Rasulullah.

"Islam tidak suka umatnya mundur dan menolak kemajuan. Sebarang usaha kebajikan adalah kehendak Islam, menghapuskan kemiskinan juga Islam, malah menyediakan peluang pekerjaan, itu juga Islam. Jangan kita sempit pengertian Islam.

"Kalau Islam agama pembangunan dan kemajuan, tidak suka tengok umatnya mundur, hidup dalam kemiskinan, terhina serta dijajah orang lain, bukankah itu menjadi asas perjuangan Kerajaan BN selama ini," katanya.

Sehubungan itu, Najib yang mempunyai program padat sempena lawatannya ke negeri ini, berkata rakyat Kelantan tidak seharusnya menolak kemajuan dan perubahan yang mahu dibawa BN.

"Kenapa kita tidak mahu perubahan, sedangkan Islam adalah agama kemajuan, kejayaan, pembangunan dan kemakmuran dunia serta akhirat. Islam bukan agama yang membawa kemunduran kepada umatnya dan kerosakan kepada bumi ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri percaya selepas 18 tahun di bawah Pas, rakyat Kelantan kini semakin bersedia membuka minda dan menerima penerangan yang diberikan BN mengenai usaha membangunkan negeri ini.

Sambil mengarahkan seluruh jentera BN bekerja habis-habisan, Najib berkata: "Kini adalah masa terbaik untuk BN ambil alih Kelantan. Seluruh jentera BN perlu ketepikan soal remeh temeh. Mereka wajib sokong semua calon yang diputuskan parti."

Pada majlis peletakan batu asas Masjid Kubang Sawa dekat Pengkalan Kubor yang bernilai RM1.4 juta, lewat petang semalam, Najib juga mengingatkan rakyat Kelantan supaya tidak membiarkan Pas terus menyempitkan pengertian dan tafsiran Islam.

Katanya, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sudah menyatakan komitmen bagi memastikan semua janji dalam manifesto BN Kelantan akan dilaksanakan sebaik diberi mandat kali ini.

Beliau meminta seluruh pengundi Kelantan, termasuk di luar negeri ini, supaya mengundi BN bagi membolehkan perubahan dibuat ke arah Kelantan Baru, Kelantan Maju.

*Sumber: Berita Harian, 4 Mac 2008.

Komentar saya

Biasalah, ucapan ini akan muncul dalam suasana pilihanraya yang hangat. Kenyataan-kenyataan begini akan keluar dari mulut mana-mana pemimpin UMNO yang juga merupakan teknik memancing undi sebenarnya. Ya, secara umum kita akui bahawa Islam bukan sekadar omongan kosong, bahkan Islam adalah perkataan dan tindakan. Islam sememangnya syumul merangkumi segenap aspek. Namun suka saya bertanya: Jika benar kenyataan Datuk Seri mengenai pembangunan Islam yang diamalkan oleh BN, mengapa masalah akidah dan akhlak umat Islam di negara kita masih berada di tahap yang membimbangkan. Datuk Seri menyatakan bahawa Islam bukan sekadar tertumpu pada soal akidah dan akhlak, bahkan mencakupi usaha membina sebuah tamadun yang hebat. Hebat ucapan ini! Namun adakah Datuk Seri sedar bahawa akidah dan akhlak merupakan asas utama ke arah pembinaan tamadun yang gemilang, cemerlang dan terbilang. Kita akui bahawa tiada siapa yang menolak ketamadunan. PAS sendiri pun tidak menolak kemajuan dan pembangunan kerana itu sememangnya ajaran Islam. Namun yang penting ialah pembangunan akidah dan akhlak. Apa guna ketamadunan, kemajuan dan kemodenan sesebuah negara, tetapi akidah dan akhlak rakyatnya rapuh. Sedangkan jika kita menyingkap sirah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, kita akan dapati Baginda berjuang selama 13 tahun di Mekah al Mukarramah hanya untuk menanamkan akidah dan akhlak yang kukuh sebelum membina sebuah negara yang berjaya. Kita sering mendengar pemimpin-pemimpin BN menggunakan hujah tentang tamadun Islam yang silam, namun adakah mereka membaca dengan teliti bahawa akidah dan akhlak tamadun Islam yang lalu sangat kukuh mengiringi ketamadunan yang mereka capai di bawah naungan khilafah Islam atau adakah mereka membaca kisah-kisah sejarah hanya untuk mencari fakta yang menyokong hujah mereka dengan mengabaikan fakta yang lain. Setelah 50 tahun kita merdeka, memang negara kita semakin pesat membangun. Namun kita bermuhasabah, selama 50 tahun juga adakah akidah dan akhlak rakyat negara kita mengalami peningkatan atau semakin lama semakin terhakis? Jawapan ada pada anda. Anda melihat, mendengar dan merasai sendiri suasana negara kita sekarang. Kalau benar BN ingin memperjuangkan Islam dengan lebih lengkap, sila selesaikan masalah akidah dan akhlak dulu kerana kita takut negara yang maju tetapi diiringi dengan kemunduran akidah dan akhlak rakyatnya, kemajuan itu tidak kekal lama.