20 Mac 2008

Muhasabah Rabi'ul Awwal


Sekali lagi kita bersua dengan bulan Rabi'ul Awwal. Bulan yang menyaksikan kemunculan cahaya yang menerangi pelusuk alam. Di bulan inilah, lahirnya penghulu sekelian alam iaitu nabi kita, Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Saban tahun, kita menyambut ulangtahun keputeraan Baginda sebagai tanda kegembiraan kita terhadap kelahiran Baginda ke alam maya ini. Ya, sememangnya kita wajar bergembira dengan keputeraan Baginda. Kegembiraan kita terhadap nikmat kemunculan Baginda ke alam ini tidak sama nilainya dengan kegembiraan kita terhadap nikmat-nikmat yang lain kerana Baginda adalah punca segala nikmat yang kita kecapi selama ini. Kita tidak mungkin mengenali Islam, Iman, Ihsan, ibadah dan nikmat-nikmat duniawi dan ukhrawi yang lain jika tidak kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Ini bukan suatu yang keterlaluan atau tidak berasas, bahkan ini adalah suatu kenyataan. Jangan terkejut jika saya mengatakan bahawa terdapat sebahagian ulama' yang berpendapat bahawa malam keputeraan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam lebih mulia daripada malam Lailatul Qadar! Jangan terkejut dan jangan merasa pelik dengan pendapat ini kerana jika diteliti dengan saksama pendapat ini, ternyata ada kebenarannya. Cuma sempena ketibaan Rabi'ul Awwal kali ini, saya ingin mengajak sidang pembaca untuk kita bermuhasabah seketika. Sejauh mana kita telah mensyukuri nikmat kelahiran Baginda ke alam ini. Syukur kita tidak cukup dengan hanya mengadakan sambutan maulid setiap tahun menerusi perarakan membawa sepanduk diiringi alunan selawat, madih dan berzanji. Namun yang paling utama ialah syukur kita dimanifestasikan melalui ikutan kita terhadap sunnah Baginda yang semakin dilupakan. Sejauh mana kita telah mengenali Baginda sehingga kita benar-benar mencintai Baginda dan banyak persoalan yang perlu kita jawab sebagai muhasabah sempena Rabi'ul Awwal kali ini.


Sebenarnya menyambut Maulid bukan ditunjukkan melalui perarakan. Yang penting ialah sejauh mana penghayatan kita terhadap intipati ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Apa gunanya kita berhimpun dan berarak saban tahun setiap kali tibanya Rabi'ul Awwal, namun dalam masa yang sama kita tidak ingin menghayati ajaran Baginda. Saya bersetuju jika dikatakan sambutan Maulid hanyalah sekadar tradisi tahunan di negara kita. Inilah yang bid'ah sebenarnya. Bid'ah itu bukan pada sambutannya kerana jika kita mengimbau kembali sejarah, kita akan mendapati bahawa sambutan ini diadakan bertujuan untuk mengajak kembali umat Islam supaya kembali menghayati Islam. Namun bid'ahnya sambutan Maulid kali ini ialah kerana tiada penghayatan pada matlamat asal upacara ini. Hanya sekadar tradisi. Berarak, membawa sepanduk, bernasyid, mendengar ceramah namun kesannya tiada. Justeru saya menyeru agar sambutan Maulid ini kembali dihayati. Kita perlu sedar bahawa kegembiraan kita dengan keputeraan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bukan terbatas di bulan Rabi'ul Awwal sahaja, bahkan kita bergembira dengan kewujudan Baginda setiap hari. Kegembiraan itu kita zahirkan menerusi ikutan kita terhadap sunnah Baginda lebih-lebih lagi sunnah 'aqidah dan akhlak yang diperjuangkan oleh Baginda. Apa guna kita menyambut Maulid sedangkan dalam masa yang sama masyarakat kita hari ini mengalami krisis 'aqidah dan akhlak yang membimbangkan. Apa sumbangan kita dalam menyelesaikan kemelut masyarakat hari ini? Adakah cukup sekadar ceramah dan perarakan menyambut Maulid? Yang penting ialah tindakan yang dimanifestasikan menerusi perjuangan menghidupkan sunnah Baginda khususnya sunnah 'aqidah dan akhlak. Justeru, sebagai akhir kalam, kesimpulan yang ingin saya nyatakan ialah:


1) Sambutan Maulid perlu lebih dihayati menerusi tindakan, bukan sekadar ucapan.

2) Kukuhkan penghayatan 'aqidah dan akhlak di kalangan masyarakat kerana dua aspek inilah yang paling penting untuk diselesaikan. Tinggalkan perbalahan mengenai perkara-perkara furu'iyyah yang tidak pernah selesai.

3) Sambutan Maulid perlu diadakan dengan cara yang lebih fleksibel dengan situasi hari ini. Tidak terlalu rigid. Tidak terbatas sekadar perarakan dan ceramah bahkan sambutannya dipelbagaikan yang mana kesemuanya lebih menjurus ke arah pengukuhan 'aqidah dan akhlak ummah.


Selamat menyambut Maulidur Rasul 1429 Hijrah.

Tiada ulasan: