02 Mac 2008

Al Quran dan Sains



Al Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah Ta'ala sebagai panduan kehidupan manusia di dunia ini. Kandungannya yang lengkap dan menepati setiap aspek kehidupan membuatkan ia dijadikan bahan kajian oleh para ilmuwan sama ada muslim mahupun bukan muslim lebih-lebih lagi para saintis mendapati bahawa al Quran mengandungi prinsipnya yang tersendiri terhadap fakta-fakta sains yang hanya ditemui di abad ini sedangkan al Quran telah membicarakan mengenai fakta-fakta tersebut 14 abad yang lalu. Namun demikian, kebanyakan saintis muslim khususnya tersilap apabila cuba mengaitkan setiap teori sains yang ditemui dengan isi kandungan al Quran. Setiap kali mereka menemui teori yang baru, maka mereka cuba mencarinya di dalam al Quran dan cuba mencipta satu kaitan dengan ayat-ayat tertentu sehingga kadangkala tersasar daripada maksud ayat yang sebenar. Ini adalah suatu kesilapan yang perlu dielakkan. Ini adalah kerana setiap teori sains berkemungkinan tepat dan berkemungkinan tidak. Sukar untuk kita nyatakan sejauh mana kebarangkalian keabsahan sesuatu teori sains sedangkan al Quran terpelihara daripada sebarang kekurangan. Isi kandungan al Quran adalah tepat dan tidak menerima sebarang kecacatan kerana ia diturunkan oleh Allah Ta'ala, Tuhan Yang Maha Mengetahui semua perkara. Adakah apabila kita mendapati bahawa teori sains yang ditemui memiliki kontradiksi dengan isi kandungan al Quran, lantas kita menyatakan bahawa al Quran mempunyai kesilapan? Sudah tentu tidak! Kita sebagai muslim akan menyatakan, "Bahkan teori itu yang silap!"

Justeru itu, sebelum kita membuat sebarang kenyataan mengenai al Quran dan sains, kita perlu mengetahui piawaian-piawaian khusus berkaitan al Quran. Antaranya ialah:

1) Al Quran adalah kitab aqidah dan hidayah yang diturunkan oleh Allah Ta'ala sebagai petunjuk buat manusia berserta penjelasan hukum-hakam kehidupan yang memandu mereka dalam usaha memakmurkan bumi ini. Kerana itu kita mendapati ayat-ayat berkaitan penciptaan dan perjalanan alam semesta disebut di dalam al Quran berlandaskan tujuan ini.
2) Kontradiksi di antara isi kandungan al Quran dengan hakikat ilmu adalah mustahil kerana kedua-duanya datang dari sumber yang satu iaitu Allah Ta'ala. Perkara ini sememangnya perlu diakui oleh pemikiran kita. Apa saja masalah atau sebarang kaedah ilmiah adalah diakui oleh al Quran menerusi galakannya terhadap manusia supaya berfikir.

Inilah dua piawaian yang perlu difahami oleh kita. Sebelum kami menjelaskan pendirian yang perlu dipegang oleh seseorang muslim ketika menemui kontradiksi antara teori sains dan ayat al Quran, kita perlu maklumi terlebih dahulu bahawa asas bagi ilmu-ilmu berbentuk syara' adalah naqli yang mana sumbernya adalah al Quran dan Sunnah Nabawiyyah. Adapun asas bagi ilmu sains adalah 'aqli yang berpandukan kepada penelitian dan eksperimen.

Kita juga perlu maklumi bahawa ilmu-ilmu syara' itu terbahagi kepada dua:

1) Ilmu yang qot'ie (tidak menerima sebarang andaian) dari sudut thabit dan dalilnya seperti nas-nas al Quran dan sunnah mutawatir di mana ia tidak menerima sebarang andaian. Contohnya; Rukun iman, dasar-dasar ibadah, wanita-wanita yang haram dikahwini dan sebagainya. Juga tidak boleh dijadikan ruang ijtihad.
2) Ilmu yang zonni (menerima sebarang andaian) dari sudut thabit dan dalilnya di mana ia boleh dijadikan ruang ijtihad untuk memahami ilmu tersebut. Ini merupakan ayat-ayat al Quran dan nas-nas sunnah yang berbentuk umum seperti hukum-hakam yang berkaitan dengan fiqh.

Begitu juga dengan ilmu sains. Ada yang thabit melalui eksperimen dan penyaksian kita terhadap teori yang berlaku seperti kebanyakan teknologi yang ada kini. Ada juga yang masih berbentuk teori di mana ia masih belum selesai dibahaskan oleh para saintis. Setelah perbahasan demi perbahasan serta beberapa siri eksperimen dilakukan, ternyata sebahagian saintis mempunyai pandangan yang berbeza antara satu sama lain mengenai teori tersebut. Jika mereka menetapkan keabsahan teori tersebut, ia masih dalam keadaan zonni.

Jika berlaku kontradiksi?!

Apabila berlaku kontradiksi, apakah pendirian sebenar individu muslim? Di sini kami menyatakan pendirian yang perlu dipegang oleh seorang muslim dalam konteks ini:

- Kontradiksi antara dalil syara' yang qot'ie dengan teori sains yang zonni.

Kita akan berpegang dengan dalil syara' yang qot'ie kerana ianya adalah thabit dan meyakinkan. Kita beriman dengan dalil tersebut walaupun teori sains mengatakan bahawa ianya tidak wujud kerana ilmu sains tidak mampu untuk mengungkap semua perkara. Seperti contoh, para saintis silam percaya bahawa matahari tidak bergerak sebaliknya bumi sahaja yang bergerak mengelilinginya. Namun al Quran menyatakan bahawa matahari juga turut bergerak. Firman Allah Ta'ala mafhumnya: Dan matahari itu bergerak menuju tempat yang ditetapkan buatnya. Itu adalah ketetapan Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. (Yaasin: 38)
Dalil tersebut menyatakan bahawa matahari itu bergerak dan ternyata ianya telah dibuktikan berdasarkan penemuan baru di zaman kini.

- Kontradiksi antara dalil syara' yang zonni dengan teori sains yang zonni.

Kita masih berpegang dengan dalil syara' yang zonni sambil menyerahkan teori sains tersebut kepada saintis tanpa mendustakan atau menafikan teori tersebut. Boleh jadi teori tersebut akan ternyata kebenarannya kelak dan boleh jadi juga ianya hanya tinggal teori. Suatu kesilapan yang cukup nyata ialah apabila kita cuba mentakwil beberapa ayat-ayat al Quran untuk disesuaikan dengan setiap penemuan baru. Ini hanya akan menyebabkan tekanan jiwa dan pembaziran waktu sedangkan al Quran tetap utuh dengan kemurnian dan kesempurnaannya. Tindakan ini juga akan membawa kepada pentakwilan yang berterusan terhadap ayat-ayat suci al Quran sehingga akhirnya kita terjerumus ke dalam perkara yang tiada asasnya sedangkan kita menyedari bahawa setiap teori yang dikemukakan sentiasa terdedah kepada sebarang perubahan seiring dengan perjalanan waktu. Begitu juga menjadi suatu kesilapan apabila kita menafikan terus teori sains yang zonni sedangkan boleh jadi ianya akan menjadi suatu fakta yang benar dan bersesuaian dengan nas-nas al Quran dan Sunnah. Maka ketika itu, penafian yang kita lakukan hanya memalukan diri sendiri. Justeru, langkah yang terbaik ialah kita tetap berpegang dengan dalil syara' yang zonni dalam keadaan kita menyerahkan teori tersebut kepada saintis tanpa sebarang penafian atau pendustaan.

- Kontradiksi antara dalil syara' yang zonni dengan fakta sains sebenar.

Dalam konteks ini, kita menerima fakta sains tersebut dan cuba mentakwil dalil syara' yang zonni supaya selaras maksudnya dengan fakta sains sebenar. Seperti contoh firman Allah Ta'ala mafhumnya: Dan Allah telah menjadikan bumi itu seperti hamparan buat kamu. (Nuh: 19)
Daripada ayat ini, kita memahami bahawa bumi itu seperti hamparan yang luas dan rata sedangkan fakta sains telah membuktikan bahawa bumi itu berbentuk sfera. Namun kita menyatakan sebenarnya tiada kontradiksi antara ayat dan fakta kerana bumi itu pada pandangan kita sememangnya seperti hamparan. Allah Ta'ala menyatakan keadaan bumi menurut kesesuaian pandangan mata kita.

Konklusinya, al Quran sememangnya kitab yang mengandungi pelbagai maklumat kerana ia merupakan sumber ilmu. Namun begitu, kita perlu peka dan prihatin agar tidak mengeksploitasi al Quran untuk disesuaikan dengan setiap teori sains yang ditemui sehingga kita tergamak untuk mentakwil ayat-ayat al Quran yang hakikatnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan teori tersebut. Ini bererti kita telah meminda ayat-ayat al Quran daripada maksud yang diinginkan oleh Allah Ta'ala hanya kerana keghairahan kita mencari kesesuaiannya dengan teori yang masih belum pasti akan keabsahannya. Justeru, cuba anda fahami betul-betul pendirian-pendirian yang telah dinyatakan di sini supaya kita lebih berhati-hati dan bertindak dengan bijak dalam konteks interaksi kita dengan al Quran, Sunnah dan Sains.

• Bibliografi

- Al Quran al Karim.
- 'Azomatul Quran : karangan Dr. Sulaiman bin Muhammad al Soghir, cetakan pertama (2002), terbitan Dar Ibnul Athir, Riyadh, Arab Saudi.

Tiada ulasan: