29 Februari 2008

Tabiat Membaca



Membaca. Sesetengah orang menjadikannya sebagai hobi. Ada yang menjadikannya sebagai perkara sampingan dan ada juga yang tidak gemar membaca. Setiap orang memiliki persepsi tersendiri terhadap tabiat membaca. Begitu juga saya, memiliki persepsi tersendiri mengenai tabiat ini apatah lagi ia merupakan hobi saya.

Pelbagai perkara yang boleh kita baca sebenarnya. Selagi dunia ini bernyawa, selagi itulah ia tidak akan pernah putus daripada sebarang masalah, isu, peristiwa dan tajuk yang boleh dibaca. Membaca bukan sekadar menatap buku, akhbar atau majalah dengan memilih tajuk-tajuk tertentu bahkan tanpa menatap bahan bacaan pun kita masih boleh membaca. Membaca tabiat manusia di hadapan kita. Membaca alam sekeliling kita dan membaca diri kita sendiri. Setiap orang mempunyai pendapat tersendiri apabila selesai membaca sesuatu buku. Bagi saya, yang terbaik ialah apabila kita selesaimembaca sesuatu buku atau tajuk maka kita bukan sekadar mampu mengutarakan pendapat terhadap apa yang kita baca bahkan kita mampu untuk mengaplikasi kembali isi kandungan bahan bacaan tersebut sebagai satu manifestasi dalam kehidupan untuk manfaat diri dan masyarakat. Jika sekadar membaca sebagai hiburan atau hanya untuk kegunaan sendiri tanpa boleh diaplikasikan dalam kehidupan bermasyarakat, bagi saya ia belum boleh dikatakan sebagai pembaca sebenar.

Tabiat membaca di kalangan masyarakat kita masih lagi kurang. Saya teringat satu kajian yang menyebut bahawa pelajar universiti tempatan sendiri secara purata hanya membaca 3 buah buku sepanjang semester pengajian. Itu pun buku teks yang menjadi sukatan pengajian. Belum lagi buku-buku tambahan. Kalau fakta ini benar tanpa sebarang prejudis, ia menunjukkan tahap pembacaan yang lemah dan menyedihkan lebih-lebih lagi ianya menimpa para pelajar universiti yang bakal menjadi pimpinan negara. Kadangkala saya pelik mengapa kita tidak gemar membaca. Saya hanya boleh membuat kesimpulan mudah bahawa ianya berpunca daripada sikap malas selain daripada faktor-faktor lain yang membantutkan tabiat membaca. Boleh jadi masyarakat sekarang lebih suka perkara-perkara yang pantas sedangkan membaca memerlukan masa dan tumpuan. Kadangkala untuk menghabiskan sebuah buku pun memakan masa berminggu-minggu ditambah pula dengan jumlah muka surat yang banyak. Mungkin itu yang bermain di minda mereka yang tidak gemar membaca. Itu anggapan saya sahaja..

Apapun bagi saya tabiat membaca sememangnya suatu yang baik dan perlu dipupuk. Saya seringkali membaca biografi tokoh-tokoh ulama' Islam dan para pemikir Islam dan Barat di mana saya dapati mereka mempunyai satu ciri yang sama: Membaca. Di kalangan mereka mempunyai tabiat luar biasa berkaitan pembacaan sehingga mereka mampu menghabiskan ribuan buah buku bahkan lebih daripada itu. Ini semua menjadi inspirasi saya ketika membaca. Namun yang hendak saya tekankan di sini ialah membaca merupakan satu tabiat yang perlu ada jika anda ingin menjadi seorang tokoh yang hebat.

Kesimpulannya, jika anda tidak membaca maka anda tidak akan mampu memiliki maklumat. Jika tiada maklumat, bagaimana anda boleh mengulas sesuatu isu dengan baik dan memberi idea untuk mengatasi sesuatu masalah. Oleh itu, anda tidak mampu berbuat apa-apa. Ayat yang pertama turun ke atas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pun merupakan ayat motivasi ke arah pembacaan seolah-olah ia mengandungi isyarat bahawa dengan membaca anda boleh mengubah dunia dan itulah
yang terjadi kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah membuktikannya melalui dorongan ayat Iqra'. Mari bercinta dengan buku!

Tiada ulasan: