25 Februari 2008

Allah Maha Esa




Allah Ta'ala berfirman mafhumnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Dia Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa. Allah, Tuhan yang menjadi tempat pergantungan makhluk. Dia tidak memiliki anak dan tidak pula dilahirkan (oleh sesiapa). Dan tiada siapa pun yang mampu menandingi-Nya (apatah lagi menyerupai-Nya). (al Ikhlas: 1-4)

1) Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Keesaan-Nya dapat anda rasai dari lubuk hati yang terdalam. Ketika anda berdiri menunaikan sembahyang lalu mengungkapkan: Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. (al Fatihah: 2), ketika itu anda rasai keesaan-Nya menguasai segenap jiwa dan sanubari anda. Apatah lagi perasaan itu lebih anda rasai ketika anda meluahkan: Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau tempat kami memohon bantuan. (al Fatihah: 5) Dia adalah Tuhan, Pencipta, Pentadbir, Pengatur, Pengurus dan Pemilik alam. Dia Esa dalam mencipta dan mentadbir urusan makhluk-Nya. Kerana itu anda melihat alam ini berjalan lancar mengikut sistemnya tanpa berlaku sebarang kacau-bilau dan huru-hara. Jika ia ditadbir oleh 'tuhan' yang ramai, maka anda akan melihat kerosakan dan kebinasaan alam ini seperti dua orang pemandu yang memandu sebuah kereta yang sama. Ke mana kereta itu akan bergerak?! Naluri anda tidak dapat menafikan keesaan-Nya kerana mata anda melihat, telinga anda mendengar, tangan anda merasa, kaki anda berjalan lalu hati anda terdetik sambil merenung diri dan alam sekeliling: Maha Suci Engkau! Engkau sememangnya Esa!!

2) Lalu anda merasai Dia diperlukan dalam hidup anda kerana sememangnya Dia menjadi tumpuan segala makhluk. Mereka mengharap pada-Nya, pasrah kepada-Nya, memerlukan-Nya sama ada mereka sedar atau tidak. Dia pula tidak putus-putus menunaikan keperluan mereka tanpa merasa susah sedikit pun. Setiap detik, setiap kerlipan mata, helaan nafas, gerak dan diam, di setiap tempat dan dalam setiap keadaan, anda perlukan-Nya! Jangan menipu diri dengan mengatakan anda tidak perlukan-Nya kerana jika anda tidak perlukan Dia, anda tidak wujud di alam ini. Anda sekarang wujud. Bagaimana dan kenapa? Kerana Dia..

3) Semua makhluk perlukan-Nya. Namun Dia tidak perlukan sesiapa pun. Dia tidak perlukan pewaris yang akan mewarisi kerajaan-Nya ini kerana Dia Maha Berkuasa mengurus dan mentadbirnya. Justeru Dia tidak perlukan anak. Bagaimana? Sedangkan Dia tidak beristeri! Dia tidak menyerupai makhluk yang berhajat kepada anak dan isteri kerana Dia berdiri sendiri tanpa perlukan sesiapa pun. Dia wujud tanpa didahului oleh ketiadaan kerana Dia tidak dilahirkan oleh sesiapa pun. Dia tidak perlukan ibu dan bapa bahkan Dia yang mencipta ibu dan bapa untuk kita. Dia tidak perlukan anak bahkan Dia mengurniakan anak kepada kita. Dia wujud, azali, abadi, bersendiri, tidak perlukan sesiapa bahkan semua memerlukan-Nya dan akan kembali kepada-Nya..

4) Justeru, tiada siapa boleh menandinginya apatah lagi menyerupai-Nya. Dia Esa pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan perbuatan-Nya. Dia mendengar, melihat, berfirman, berkehendak, berkuasa dan bertindak tanpa perlukan alat dan medium. Tanpa dipaksa dan terpaksa. Bahkan segala makhluk berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, tunduk kepada-Nya secara suka rela atau tidak. Dia, Allah.. Tuhanku yang Esa. Ya Allah! Aku merasai keesaan-Mu dalam wujudku, diamku, gerakku dan dalam setiap tindakanku. Biarkan aku terus mengecapi keesaan-Mu sehingga akhirnya aku hanya merasai wujud-Mu semata-mata sedang diriku dan alam sekeliling sudah tiada..

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.

Tiada ulasan: