23 Februari 2008

Keberkatan

Apa itu BERKAT?
Kita sering mendengar mengenai berkat, keberkatan, mengambil berkat atau yang seumpamanya. Namun adakah kita mengetahui definisi berkat? Sebenarnya bila kita berbicara mengenai berkat, apa sebenarnya yang bermain di minda kita mengenai perkataan ini? Mungkin pelbagai persepsi yang muncul bila kita berbicara mengenai perkataan ini. Namun apa yang ingin saya nyatakan, kesemua persepsi boleh jadi benar, boleh jadi tidak kerana sebenarnya tiada definisi yang tepat mengenai perkataan berkat. Secara umum kita hanya boleh katakan berkat itu adalah pertambahan dan peningkatan sesuatu dalam kebaikan sama ada ianya secara zahir mahu pun batin. Apapun yang pasti, para ulama' mendefinisikan berkat itu sebagai 'limpahan ketuhanan' yang tercurah ke atas apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala bagi memperlihatkan kebaikan perkara tersebut. Ada orang tidak percaya dengan berkat. Anggapannya berkat itu tidak wujud. Mungkin orang sebegini pemikirannya masih terpenjara dalam penjara materialistik dan logik semata kerana berkat itu sebenarnya wujud namun hanya dapat dirasai oleh jiwa sanubari yang halus kerana ianya terlalu abstrak untuk diungkapkan oleh lisan bahkan kadangkala tak terlintas di pemikiran.

Dalil-dalil kewujudan BERKAT.
Di sini saya senaraikan beberapa dalil daripada al Quran dan Sunnah mengenai kewujudan dalil. Berkat itu sebenarnya ada di mana-mana, tempat dan boleh menimpa sesiapa sahaja bahkan benda yang jamid pun tidak terkecuali!

Dalil daripada al Quran:

1) Allah Maha Berkat.
Firman Allah Ta'ala mafhumnya: Kemudian Kami ciptakannya menjadi suatu bentuk yang lain. Maka Maha BERKAT Allah sebaik-baik pencipta. (Surah al Mukminun: 14)

2) Al Quran yang Berkat.
Firman Allah Ta'ala mafhumnya: Dan (al Quran) ini adalah kitab yang telah Kami turunkan, diBERKATI serta menjadi pembenar kepada kitab-kitab sebelumnya. (Surah al An'aam: 92)

3) Kaabah yang Berkat.
Firman Allah Ta'ala mafhumnya: Sesungguhnya rumah ibadat yang pertama sekali diletakkan asasnya di muka bumi ini buat manusia adalah (Kaabah) yang terletak di Makkah dalam keadaan ia diBERKATI serta menjadi petunjuk buat semesta alam. (Surah Ali 'Imran: 96)

4) Tempat yang Berkat.
Firman Allah Ta'ala mafhumnya: Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqso yang Kami BERKATI kawasan sekelilingnya.. (Surah al Isra': 1)

5) Individu yang Berkat.
Firman Allah Ta'ala mafhumnya: Dan Kami BERKATI dia (Ibrahim) dan juga Ishaq (puteranya).. (Surah al Soffat: 113)

Dalil daripada Sunnah.

Daripada Sayyiduna Ka'ab bin 'Ujrah radhiyallahu 'anhu bahawasanya beliau berkata: Kami bertanya kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam: Wahai Rasulullah! Bagaimana caranya berselawat ke atas kamu sekelian ahli bait? Kerana Allah Ta'ala telah mengajar kami cara untuk mengucapkan salam.
Baginda menjawab: Ucapkan begini: Ya Allah! Limpahkan kesejahteraan ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau melimpahkan kesejahteraan ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Limpahkan keBERKATan ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.
(Riwayat al Bukhari, no hadith 3370, cetakan Darul Ma'rifah)

Sekian setakat ini dulu. Semoga kita diberkati Allah Ta'ala. Wallahu 'alam.

1 ulasan:

asipo berkata...

TQ. baru tahu maksud berkat yang sebenar.