27 Februari 2008

Nilai Diri Anda Sebagai Pengundi Menerusi Perspektif Syara'




Tidak lama lagi, pilihanraya umum Malaysia akan berlangsung. Dalam tempoh kehangatan pilihanraya kali ini, kita berhadapan dengan pelbagai perkara. Kita melihat, mendengar lalu mentafsir isu-isu yang dimainkan sepanjang pilihanraya ini begitu juga pilihanraya yang pernah berlangsung sebelumnya. Semua orang kini sedang berbicara mengenai pilihanraya. Bahangnya memang dirasai sehingga saya yang berada di perantauan ini pun turut merasai kehangatannya. Maklumlah dalam zaman globalisasi ini, semua cerita di serata dunia mampu kita tatapi. Tidak kira anda adalah pro atau kontra, anda pasti memiliki persepsi tersendiri mengenai pilihanraya. Dalam kesempatan pilihanraya kali ini, saya tertarik untuk menulis sesuatu tentang pilihanraya. Bukan sebagai seorang penganalisis politik, tetapi sebagai seorang mahasiswa yang ingin berkongsi sesuatu mengenai pilihanraya berdasarkan apa yang pernah saya pelajari di sini. Menarik bukan? Apa kena mengena saya sebagai seorang siswa jurusan Syariah Islamiyyah, tetapi ingin menulis tentang pilihanraya? Jawapannya sudah pasti saya ingin menulis mengenai pilihanraya berpandukan konsep syara' yang saya pelajari. Justeru, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak perkara berkaitan konsep pilihanraya dari kaca mata syara'. Cuma di sini saya ingin membawakan pengadaptasian fiqh mengenai pilihanraya dari sudut hubungan anda sebagai pengundi dengan calon yang bakal anda undi. Kemudian anda nilai sendiri kedudukan anda sebagai pengundi setelah membaca artikel ini.

Pengadaptasian fiqh (at-takyif al-fiqhi) mengenai hubungan antara pengundi & calon.

Realitinya, hubungan antara pengundi dengan calon adalah hubungan yang paling rapat dan penting berdasarkan pandangan undang-undang pilihanraya. Ini adalah kerana kedua-duanya saling memerlukan. Satu pihak mengundi dan satu pihak lagi diundi. Pengundi mempunyai ruang untuk menyatakan suara tentang calon pilihannya. Tanpa pengundi, siapalah calon. Begitu juga calon yang bakal dipilih adalah penting buat para pengundi kerana kemaslahatan mereka terletak di tangan calon yang bakal dipilih. Namun dalam menentukan hubungan di antara kedua-dua belah pihak ini, para ulama' berselisih pendapat. Secara umum, hubungan yang dinyatakan oleh para ulama' ada lima. Saya senaraikan di sini untuk makluman sidang pembaca dan setelah itu saya sebutkan adaptasi fiqh yang rajih (agak tepat) berdasarkan penelitian saya selama ini. Hubungan itu ialah:

1) Hubungan at-Tahkim.

Al-Tahkim dari sudut bahasa Arab bermaksud: Menyerahkan kepercayaan kepada seseorang untuk memutuskan hukuman.
Manakala dari sudut istilah ialah: Ungkapan yang digunapakai mengenai perlantikan seseorang sebagai pemutus hukuman di antara dua pihak yang bertelagah di mana hakim ini dilantik berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak yang bersengketa. Ini merupakan definisi yang dinyatakan di dalam majalah al Ahkam al 'Adliyyah perkara 1790.
Oleh itu, berdasarkan hubungan ini pengundi bertindak sebagai pemutus hukuman di antara calon-calon yang bertanding dalam menentukan siapa di kalangan mereka yang layak menjadi wakil rakyat. Penentuan diadakan melalui pilihanraya.
Namun begitu, kelihatan adaptasi ini tidak sesuai digunapakai dalam hubungan di antara pengundi dan calon kerana jika pengundi adalah hakim yang bertindak memutuskan hukuman di antara calon-calon yang bertanding, maka pengundi tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak. Sedangkan menerusi pilihanraya, pengundi berhak memilih calon yang pada pandangannya sesuai untuk memimpin dan boleh memenuhi kemaslahatannya sendiri. Dengan kata lain, pengundi berat sebelah.

2) Hubungan asy-Syahadah.

Asy-Syahadah dari sudut bahasa bererti: Penyaksian terhadap sesuatu.
Manakala di sisi fuqaha' pula ia adalah: Menyatakan kesaksian benar di hadapan hakim terhadap orang yang didakwa yang mana dengan kesaksian tersebut, hakim akan memutuskan hukumannya.
Berdasarkan hubungan ini, pengundi bertindak sebagai saksi yang menyatakan kesaksiannya terhadap calon untuk ditentukan kelayakannya oleh pihak suruhanjaya pilihanraya.
Akan tetapi, adaptasi ini turut dikritik mengenai kesesuaiannya dalam hubungan di antara pengundi dan calon. Ini kerana, pada asalnya kesaksian perlu dinyatakan secara terang-terangan tanpa ada sebarang kepentingan peribadi, sedangkan pengundi menyatakan undinya secara rahsia dalam keadaan menjaga kepentingan peribadi dan pihak lain. Selain itu, di sisi mazhab Syafi'i dan Hambali kesaksian itu dikira tidak sah melainkan dengan lafaz 'saya bersaksi', sedangkan pengundi menyatakan undinya secara bertulis di atas kertas undi. Akhir sekali, kesaksian digunakan untuk menyatakan kebenaran dan hakim tidak diwajibkan untuk memutuskan hukuman berdasarkan kesaksian tersebut sebagaimana pendapat mazhab Syafi'i dan Hambali. Manakala undi yang dibuang wajib digunapakai oleh pihak suruhanjaya pilihanraya ketika menyatakan keputusan calon yang bertanding.

3) Hubungan at-Tazkiah.

At-Tazkiah dari sudut bahasa: Menyandarkan kebaikan kepada seseorang.
Dari sudut fiqh pula: Menyatakan seseorang sebagai baik atau adil sama ada secara terang-terangan atau rahsia berdasarkan kesesuaian yang ditentukan oleh hakim.
Justeru, berdasarkan hubungan ini mungkin kita boleh katakan bahawa pengundi bertindak menyatakan kebaikan atau keadilan salah seorang calon untuk dinilai kelayakannya oleh suruhanjaya pilihanraya.
Sama seperti hubungan-hubungan sebelum ini, adaptasi ini tidak terlepas daripada kritikan. Ini kerana dalam konteks pilihanraya, calon bukan merupakan saksi sehingga dia memerlukan kepada penyataan akan kebaikan dan keadilannya sedangkan at-Tazkiyah digunapakai ketika proses pemilihan saksi dalam prosuder mahkamah. Begitu juga at-Tazkiyah perlu dinyatakan buat semua saksi tanpa pengecualian sedangkan dalam konteks ini, ia hanya dinyatakan buat sebahagian calon sahaja.

4) Hubungan al-Wala' atau al-Munasoroh.

Al-Wala' atau al-Munasoroh dari sudut bahasa: Kekerabatan; Pertolongan; Persaudaraan dan Kasih Sayang. Begitu juga al-Munasoroh, mempunyai pengertian yang agak serupa.
Dari sudut fiqh: Seseorang yang tidak diketahui keturunannya menyatakan persaudaraannya terhadap seseorang yang popular keturunannya dengan ungkapan, "Anda adalah saudara saya di mana jika saya mati, anda akan mewarisi harta saya dan jika saya melakukan jenayah anda juga turut serta bertanggungjawab." Lalu dijawab oleh pihak yang kedua, "Saya menerima pernyataan/permintaan anda itu." Dengan itu, terbentuklah hubungan al-Wala'.
Di sisi mazhab Hanafi, hubungan al-Wala' merupakan satu sebab daripada sebab-sebab perwarisan harta. Manakala mazhab Maliki, Syafi'i, Hambali, Imam Ibnu Syubrumah, Imam Sufyan al Thauri, Imam al Auza'i dan kebanyakan ulama' berpandangan bahawa ia bukan salah satu sebab perwarisan harta.
Berdasarkan hubungan ini, pengundi memilih calon atas dasar al-Wala' dan al-Munasoroh. Pengundi menyatakan taat setianya kepada seseorang calon dengan mengundinya.
Boleh jadi, hubungan ini adalah sesuai untuk diadaptasikan dalam konteks pilihanraya. Kita melihat calon-calon yang bertanding adalah datang dari parti-parti politik tertentu. Setiap parti pasti memiliki penyokongnya yang tersendiri. Sudah pasti pengundi juga adalah salah seorang penyokong parti tertentu dan mengundi calon daripada parti sokongannya. Ini jelas merupakan konsep al-Wala' dan al-Munasoroh. Namun kadangkala, hubungan ini mencemarkan suasana politik apabila ia dikaitkan dengan politik wang. Sedangkan konsep hubungan ini berlandaskan keadilan, taat setia dan keikhlasan tanpa dipengaruhi unsur-unsur kefanatikan dan materialistik. Seolah-olah bila anda memangkah undi buat calon pilihan anda, suara hati anda berkata, "Saya mengundi anda atas dasar taat setia dan keikhlasan. Saya percaya bila anda menang nanti, anda akan memimpin dengan baik demi agama, bangsa dan nama baik parti kita. Bukan kerana wang, harta, projek, pangkat, nama atau apa saja kepentingan peribadi berasaskan materialistik." Justeru, sila nilai diri anda sebagai pengundi.

5) Hubungan an-Nasihah.

An-Nasihah dari sudut bahasa: Perkataan yang mengajak ke arah kebaikan serta mencegah kemungkaran. Ia juga bermaksud: Keikhlasan.
Dari sudut istilah: Tidak jauh berbeza dengan pengertian bahasa. Dengan itu kita memahami bila disebut kalimah 'taubat nasuha', ia membawa erti taubat yang ikhlas atau taubat yang jujur lagi benar sebagaimana menurut pandangan Imam Qotadah.
Dalam konteks pilihanraya, nasihat dapat direalisasikan dalam dua bentuk:

1) Keikhlasan pengundi ketika memilih calon.
2) Keikhlasan calon ketika bertanding di mana ianya dimanifestasikan setelah menang pilihanraya sebagaimana yang telah dinyatakan menerusi manifesto yang dibentangkan ketika berkempen.

Nasihat mempunyai kaitan yang agak dekat dengan hubungan al-Wala'. Cuma nasihat adalah bebas daripada sebarang kepentingan peribadi berdasarkan hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mafhumnya: Tolonglah saudaramu yang dizalimi mahupun yang zalim. Para sahabat berkata: Orang yang dizalimi sememangnya perlu kami bantu, tetapi bagaimana caranya kami membantu orang yang zalim? Baginda menjawab: Cegah dia daripada melakukan kezaliman. (Riwayat al Bukhari, no. 2444, cetakan Darul Ma'rifah, Beirut)

Daripada hubungan-hubungan yang telah diperjelaskan di sini, ternyata saya lebih cenderung untuk berpendapat bahawa hubungan al-Wala' merupakan adaptasi yang sesuai berkaitan hubungan di antara pengundi dan calon. Pendapat ini turut dipilih oleh pensyarah kami, Prof. Dr. Sa'ad Mas'ad Hilali, ketua Panatia Fiqh Perbandingan, Jabatan Syariah Islamiyyah, Universiti al Azhar di dalam kertas kerja beliau berkaitan pilihanraya. Pada asalnya, ketika saya meneliti kertas kerja beliau secara sekali imbas, saya lebih cenderung untuk memilih hubungan yang kedua memandangkan ia agak relevan pada pandangan saya. Namun setelah saya baca dan teliti kembali kertas kerja tersebut ditambah pula dengan perbincangan sesama rakan 'study group', saya mula menyetujui pandangan beliau. Ternyata ia lebih relevan berbanding pandangan saya yang pertama tadi dengan melihat kepada realiti pilihanraya.
Konklusinya, pilihanraya memberi ruang kepada anda untuk memilih siapa sahaja yang anda inginkan berdasarkan persepsi anda terhadapnya dan berlandaskan taat setia kepada parti sokongan anda. Namun, mari kita bermuhasabah sejenak adakah anda benar-benar melaksanakan amanah sebagai pengundi dengan jujur dan ikhlas? Jawapan di tangan anda. Selamat mengundi!

Tiada ulasan: