29 Februari 2008

Kartun: Menggugat Akidah

Saya masih lagi bercuti selepas selesai peperiksaan sesi pertama baru-baru ini. Dalam cuti ini, di samping mengisi masa lapang dengan membaca buku-buku yang belum sempat saya habiskan, saya juga menonton filem. Saya suka berkongsi dengan sidang pembaca mengenai kartun yang sedang saya tonton setakat ini. Kartun ini bertajuk: The Law Of Ueki. Sebuah kartun Jepun dan ditayangkan secara bersiri. Watak utama kartun ini ialah seorang pelajar sekolah menengah yang bernama Ueki. Beliau merupakan salah seorang wira dalam siri-siri pertempuran yang dibimbing oleh seorang 'calon Tuhan' yang bernama Kobasen. Dalam siri-siri pertempuran ini, pelbagai suka duka yang dilalui oleh Ueki. Namun beliau berjaya menempuh semua ujian tersebut dengan tabah sehingga membuatkan Kobasen kagum terhadapnya. Sebenarnya saya bukan hendak menyatakan jalan cerita kartun ini. Namun saya hendak menyatakan sesuatu mengenai plot kartun ini kerana ia ada kaitan dengan akidah!

Ueki adalah salah seorang wira daripada 100 orang wira yang semuanya terdiri daripada para pelajar sekolah menengah. Setiap pelajar dibimbing oleh seorang 'calon Tuhan'. Pertempuran-pertempuran ini mempunyai beberapa peraturan. Jika kalah, maka si wira akan hilang kuasa dan kembali menjadi manusia biasa. Manakala 'calon Tuhan' pula akan dihantar ke penjara neraka! Kemuncak pertempuran ini ialah pemenang boleh menentukan 'bakal Tuhan' yang akan menggantikan 'Tuhan' yang ada.

'Tuhan' dalam kartun ini digambarkan sebagai seorang yang hebat tetapi 'funky' bahkan kaki perempuan! Memakai baju Hawaii dan berseluar pendek. 'Tuhan' mengadakan pertandingan ini kerana dia merasa bosan lalu ingin mencari hiburan. Dia berjanji, sesiapa yang menang maka dia akan turun takhta untuk diserahkan kepada bakal 'Tuhan' yang dipilih oleh pemenang.

Calon-calon 'Tuhan' pula ada dua pihak. Pihak yang baik dan pihak yang jahat. Namun mereka juga menghadapi risiko jika wira-wira didikan mereka kalah dalam pertempuran ini. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, mereka sanggup 'main tipu' hanya untuk merebut kerusi 'Tuhan'.

Manakala wira yang menang, dia berhak memilih bakal 'Tuhan' yang diingini.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah kartun ini boleh merosakkan akidah kanak-kanak yang menontonnya. Lihat saja plot kartun ini, para pembaca sudah jelas dan faham. Menggambarkan 'Tuhan' dengan sifat yang merapu, ada pula perebutan kuasa dan manusia boleh memilih bakal 'Tuhan'! Ertinya 'Tuhan' ditentukan oleh makhluk! Maha Suci Allah daripada gambaran-gambaran yang sebegini. Saya bimbang dengan kartun ini kerana tak mustahil ia boleh mempengaruhi pemikiran kanak-kanak Islam lalu memesongkan akidah mereka. Secara zahirnya ia adalah suatu hiburan, namun secara halus jarum pemesongan akidah turut dicucuk.

Apa yang perlu kita lakukan dengan kartun-kartun yang sebegini? Adakah kita hendak menjadikan ia sebagai hiburan untuk adik-adik kita? Jawapan ada pada anda untuk menilainya..

Tiada ulasan: