Islam BN bukan sekadar slogan: Najib
Oleh Ismail Mat, Khairul Anuar Abd Samad, Wan Faizal Ismayatim dan Haspaizi Mohd Zain
BACHOK: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangunan Islam yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) mencakupi semua aspek kehidupan umatnya dan bukan sekadar slogan kosong seperti dilaungkan Pas.
Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun BN dan Pas sama-sama mengamalkan Islam, pendekatan BN lebih realistik serta mampu memajukan ummah sehingga dihormati masyarakat antarabangsa.
"Memang BN dan Pas sama-sama mengamalkan Islam tetapi BN tidak mahu Islam itu semata-mata dilihat dari segi luaran dan akidah saja.
"Puak hijau yang di dalamnya kosong itu pun nak Islam, banyak bunyi Islam, sekadar slogan membangun bersama Islam tetapi segalanya kosong," katanya ketika merasmikan Bangunan Baru Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kawasan Tiga Daerah Pasir Puteh di sini, semalam.
Najib berkata, Islam bukan hanya membabitkan soal akidah dan akhlak, sebaliknya turut mencakupi perjuangan membina tamadun yang cemerlang dan hebat.
"Itu bezanya antara Umno dan Pas. Kita perjuangkan bukan saja Islam, tetapi martabat dan maruah umat Islam," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 2 pula, Najib berkata, Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi, memuji Malaysia yang disifatkan sebagai contoh negara Islam terbaik di dunia.
Beliau berkata, Sheikhul Al-Azhar juga mengiktiraf apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah mengikut al-Quran serta sunnah Rasulullah.
"Islam tidak suka umatnya mundur dan menolak kemajuan. Sebarang usaha kebajikan adalah kehendak Islam, menghapuskan kemiskinan juga Islam, malah menyediakan peluang pekerjaan, itu juga Islam. Jangan kita sempit pengertian Islam.
"Kalau Islam agama pembangunan dan kemajuan, tidak suka tengok umatnya mundur, hidup dalam kemiskinan, terhina serta dijajah orang lain, bukankah itu menjadi asas perjuangan Kerajaan BN selama ini," katanya.
Sehubungan itu, Najib yang mempunyai program padat sempena lawatannya ke negeri ini, berkata rakyat Kelantan tidak seharusnya menolak kemajuan dan perubahan yang mahu dibawa BN.
"Kenapa kita tidak mahu perubahan, sedangkan Islam adalah agama kemajuan, kejayaan, pembangunan dan kemakmuran dunia serta akhirat. Islam bukan agama yang membawa kemunduran kepada umatnya dan kerosakan kepada bumi ini," katanya.
Timbalan Perdana Menteri percaya selepas 18 tahun di bawah Pas, rakyat Kelantan kini semakin bersedia membuka minda dan menerima penerangan yang diberikan BN mengenai usaha membangunkan negeri ini.
Sambil mengarahkan seluruh jentera BN bekerja habis-habisan, Najib berkata: "Kini adalah masa terbaik untuk BN ambil alih Kelantan. Seluruh jentera BN perlu ketepikan soal remeh temeh. Mereka wajib sokong semua calon yang diputuskan parti."
Pada majlis peletakan batu asas Masjid Kubang Sawa dekat Pengkalan Kubor yang bernilai RM1.4 juta, lewat petang semalam, Najib juga mengingatkan rakyat Kelantan supaya tidak membiarkan Pas terus menyempitkan pengertian dan tafsiran Islam.
Katanya, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sudah menyatakan komitmen bagi memastikan semua janji dalam manifesto BN Kelantan akan dilaksanakan sebaik diberi mandat kali ini.
Beliau meminta seluruh pengundi Kelantan, termasuk di luar negeri ini, supaya mengundi BN bagi membolehkan perubahan dibuat ke arah Kelantan Baru, Kelantan Maju.
*Sumber: Berita Harian, 4 Mac 2008.
Komentar saya
Biasalah, ucapan ini akan muncul dalam suasana pilihanraya yang hangat. Kenyataan-kenyataan begini akan keluar dari mulut mana-mana pemimpin UMNO yang juga merupakan teknik memancing undi sebenarnya. Ya, secara umum kita akui bahawa Islam bukan sekadar omongan kosong, bahkan Islam adalah perkataan dan tindakan. Islam sememangnya syumul merangkumi segenap aspek. Namun suka saya bertanya: Jika benar kenyataan Datuk Seri mengenai pembangunan Islam yang diamalkan oleh BN, mengapa masalah akidah dan akhlak umat Islam di negara kita masih berada di tahap yang membimbangkan. Datuk Seri menyatakan bahawa Islam bukan sekadar tertumpu pada soal akidah dan akhlak, bahkan mencakupi usaha membina sebuah tamadun yang hebat. Hebat ucapan ini! Namun adakah Datuk Seri sedar bahawa akidah dan akhlak merupakan asas utama ke arah pembinaan tamadun yang gemilang, cemerlang dan terbilang. Kita akui bahawa tiada siapa yang menolak ketamadunan. PAS sendiri pun tidak menolak kemajuan dan pembangunan kerana itu sememangnya ajaran Islam. Namun yang penting ialah pembangunan akidah dan akhlak. Apa guna ketamadunan, kemajuan dan kemodenan sesebuah negara, tetapi akidah dan akhlak rakyatnya rapuh. Sedangkan jika kita menyingkap sirah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, kita akan dapati Baginda berjuang selama 13 tahun di Mekah al Mukarramah hanya untuk menanamkan akidah dan akhlak yang kukuh sebelum membina sebuah negara yang berjaya. Kita sering mendengar pemimpin-pemimpin BN menggunakan hujah tentang tamadun Islam yang silam, namun adakah mereka membaca dengan teliti bahawa akidah dan akhlak tamadun Islam yang lalu sangat kukuh mengiringi ketamadunan yang mereka capai di bawah naungan khilafah Islam atau adakah mereka membaca kisah-kisah sejarah hanya untuk mencari fakta yang menyokong hujah mereka dengan mengabaikan fakta yang lain. Setelah 50 tahun kita merdeka, memang negara kita semakin pesat membangun. Namun kita bermuhasabah, selama 50 tahun juga adakah akidah dan akhlak rakyat negara kita mengalami peningkatan atau semakin lama semakin terhakis? Jawapan ada pada anda. Anda melihat, mendengar dan merasai sendiri suasana negara kita sekarang. Kalau benar BN ingin memperjuangkan Islam dengan lebih lengkap, sila selesaikan masalah akidah dan akhlak dulu kerana kita takut negara yang maju tetapi diiringi dengan kemunduran akidah dan akhlak rakyatnya, kemajuan itu tidak kekal lama.
1 ulasan:
Semua orang terlibat dalam akhlak anak-anak. Ibubapa, sanak saudara, guru-guru, jiran-jiran, masyarakat sekampung, daerah, negeri, seluruh rakyat dan juga ulama dan pemerintah umarak.
Catat Ulasan