20 Mac 2008

Hidupkan Kembali Peranan Masjid


Masjid sebagaimana yang kita sedia maklum didefinisikan sebagai tempat ibadah umat Islam. Ini merupakan definisi secara umum. Kalimah 'masjid' dari sudut bahasa Arab membawa maksud 'tempat sujud'. Mengapa disebut tempat sujud? Sedangkan masjid merupakan tempat sembahyang dan ibadah. Kalimah ini merupakan majazi (metafora) dari sudut ilmu Balaghah di mana ia hanya menyebut satu bahagian tertentu daripada suatu perkara namun maksud sebenar adalah perkara tersebut. Seperti sujud yang merupakan satu rukun daripada rukun-rukun sembahyang digunakan di sini namun ia membawa maksud sembahyang. Ertinya masjid adalah tempat sembahyang.

Saya tidak bermaksud memanjangkan perbahasan mengenai definisi masjid dari sudut bahasa Arab dan Balaghah, namun daripada definisi yang telah saya utarakan ia mempunyai kaitan dengan isu yang ingin saya nyatakan di sini.

Peranan masjid tika ini dilihat masih hambar. Walaupun ada usaha untuk memakmurkan masjid yang timbul daripada kesedaran yang tinggi, namun usaha ini masih perlu digiatkan lagi. Kesedaran perlu ditingkatkan bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk beribadah semata-mata, bahkan masjid merupakan pusat kegiatan pelbagai aktiviti umat Islam sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Apa yang nyata, persepsi umat Islam terhadap masjid masih samar-samar kerana minda mereka telah digasak sekian lama bahawa masjid hanya tempat untuk beribadah sahaja. Sebarang aktiviti yang bukan berbentuk keagamaan tidak boleh dilakukan di masjid kerana ia dilihat boleh mencemarkan martabat masjid! Ini adalah persepsi yang salah. Ianya timbul daripada kekeliruan hasil daripada gerakan sekularisme yang ingin memisahkan agama daripada urusan hidup duniawi dalam diri umat Islam. Umat Islam hanya sesuai untuk beribadah sahaja, manakala aktiviti keduniaan tidak perlu diserahkan pada umat Islam. Atau dengan maksud yang lain, masjid hanya untuk kegiatan agama sahaja, manakala aktiviti lain perlu dilakukan di luar masjid. Hadith palsu yang berbunyi: Barangsiapa yang berkata-kata di dalam masjid dengan perkataan duniawi, maka amalannya terbatal selama 40 tahun! dilaungkan bahkan ditampal di dalam masjid! Ini adalah hadith yang palsu, mungkar lagi batil. Dicipta oleh golongan zindiq sekularis yang ingin memisahkan agama daripada urusan hidup berbentuk keduniaan. Kesannya umat Islam mundur, jumud, pasif dan hanya tahu tentang agama. Itu pun dengan pemahaman yang jumud juga!! Maka umat Islam menjadi seperti penganut agama lain yang berpandangan bahawa 'Tuhan' hanya ada di masjid, kuil, tokong, gereja dan saumaah. Bila keluar masjid, maka wataknya berubah. Bebas kerana tiada 'tuhan'. Yang ada hanya diri sendiri. Lalu dia pun berbuat sewenang-wenangnya sehingga melanggar batas agama!

Peranan masjid perlu dihidupkan semula. Sirah telah membuktikan bahawa masjid merupakan jentera penggerak kepada perkembangan Islam ke seantero dunia. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mentadbir negara bermula dari masjid. Baginda mengajar, berpidato, bersidang, menerima kunjung hormat para tetamu, merangka strategi peperangan dan lain-lain lagi urusan keduniaan di masjid. Masjid ketika itu bukan sekadar tempat ibadah, bahkan ia adalah sebuah universiti yang telah melahirkan para graduan yang hebat iaitu para sahabat r.ahm. Masjid adalah parlimen, dewan sambutan, dewan acara dan apa saja yang ingin kita namakan. Bukan bentuk masjid yang menjadi keutamaan kerana Masjid Nabawi pada zaman itu hanya sebuah masjid yang cukup sederhana. Tidak seperti masjid-masjid zaman ini. Namun yang penting adalah pengisiannya. Bagaimana masjid perlu digerakkan agar menjadi sebuah pusat janakuasa kekuatan umat Islam kini. Apa guna masjid yang tersergam indah, tetapi kosong seperti jasad yang tidak bernyawa ditambah pula dengan jumlah jemaah yang tidak sampai pun satu saf! Justeru, kita perlu bermuhasabah semula. Kita perlu fikirkan bersama cara untuk mem'popular'kan masjid sebagai sebuah pusat kegiatan segala aktiviti. Sebagaimana masjid merupakan tempat sembahyang yang merupakan asas pembangunan umat Islam, maka sembahyang itu juga mendidik kita bahawa masjid adalah tempat yang sangat sesuai untuk menjana pembangunan tersebut dalam pelbagai sudut lebih-lebih dengan laungan pembangunan modal insan yang diwar-warkan sekarang ini. Oleh itu, mari kita fikirkan bersama mengenai perkara ini. Berhati-hati dengan tindakan halus golongan sekularis. Adakah Tuhan hanya berada di masjid sahaja?! Setelah keluar masjid, tiada Tuhan lagi?! Sedangkan Allah Ta'ala sering memerhatikan kita di mana sahaja kita berada. Masjid perlu dihidupkan semula peranannya. Dihidupkan seperti zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan masjid perlu dihidupkan di dalam hati kita semua. Wallahu 'alam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam.bagus usaha anda. Selamat berkenalan