19 Oktober 2010

Membaca Hadith Secara Bertajwid

Tajuk buku: Hal Yuqroul Hadith asy-Syarif Mujawwadan? [Adakah Hadith Boleh Dibaca Secara Bertajwid?]

Penulis: Dr. Muhammad Ibrahim al-'Asymawi.

Jumlah muka surat: 144.

Penerbit: Darat al-Karaz, Mesir.

Tahun cetakan: 2008.

Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam dikurniakan dengan kefasihan dalam berbicara. Ungkapan bahasa yang baginda gunakan begitu indah sehingga membuatkan orang yang mendengarnya ingin mendengarnya beberapa kali ditambah dengan intonasi suara baginda yang begitu merdu. Apatah lagi baginda dikurniakan kebolehan untuk mengungkapkan sesuatu ibarat menggunakan perkataan yang ringkas namun padat. Faktor-faktor ini menimbulkan persoalan, "Adakah hadith baginda boleh dibaca secara bertajwid?" kerana keindahan bahasa dan susunan ungkapan yang digunakan oleh baginda mendorong untuk persoalan sebegini timbul.

Menerusi buku ini, penulis cuba untuk mendedahkan beberapa fakta yang menunjukkan bahawa hadith boleh dibaca secara bertajwid malah dituntut secara mustahab (sunat). Ini adalah kerana, ilmu Tajwid bukanlah ilmu yang khusus berkaitan dengan al-Qur'an malah ilmu Tajwid boleh dipraktikkan dalam mana-mana ucapan dan juga syair-syair Arab. Ini dibuktikan bahawa ilmu Tajwid dikaji secara khusus dalam ilmu fonetik Arab. Cuma ilmu Tajwid agak sinonim dengan al-Qur'an kerana ia adalah firman Allah Ta'ala yang dituntut untuk diungkapkan dalam bentuk yang terbaik dan terindah. Justeru itu, ilmu Tajwid wajib diamalkan ketika membaca al-Qur'an kerana ia mempamerkan keindahan al-Qur'an dari sudut susunan kalimah dan intonasi ayat-ayatnya.

Penulis membahagikan buku ini kepada kalimah pembukaan, lima tajuk dan sebuah penutup. Buku ini juga telah dihiasi dengan ucapan penghargaan daripada empat orang tokoh akademik al-Azhar asy-Syarif iaitu:

- Prof. Dr. Judah Muhammad Abul Yazid al-Mahdi, Naib Rektor Universiti al-Azhar merangkap anggota Institut Kajian Islam al-Azhar asy-Syarif.
- Prof. Dr. Muhammad Hasan Jabal, Profesor Ilmu Usul Bahasa & Fonetik merangkap dekan Fakulti Bahasa Arab Universiti al-Azhar.
- Prof. Dr. Ahmad Isa al-Mi'asrowi, Syeikh Umum al-Quran Mesir merangkap pengerusi Unit Semakan Mushaf al-Azhar asy-Syarif.
- Prof. Dr. Sa'ad Sa'ad Jawisy, Profesor Hadith dan Ulum Hadith Fakulti Usuluddin Universiti al-Azhar.

Dalam kalimah pembukaan, penulis menyatakan bahawa hadith Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam bukan seperti ucapan-ucapan manusia yang lain kerana ucapan baginda dilindungi oleh Allah Ta'ala daripada sebarang kesalahan apatah lagi baginda bukanlah berbicara menurut hawa nafsu. Baginda berbicara berdasarkan wahyu. Ini menuntut agar hadith baginda diberi kedudukan istimewa dan perlu diungkapkan dalam bentuk yang istimewa juga.

Tajuk pertama buku ini membicarakan mengenai maksud hadith yang berbunyi, mafhumnya:

Saya dikurniakan dengan al-Qur'an dan yang seumpama dengannya. [Riwayat Imam Ahmad & at-Tobaroni].

Tajuk kedua pula membicarakan tentang keindahan bahasa dan ucapan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam berserta faktor-faktor yang menyokong keindahan dan kefasihan baginda dalam berbicara.

Tajuk ketiga membincangkan tentang definisi ilmu Tajwid, topik perbincangan ilmu ini dan objektif ilmu ini diaplikasikan. Perbincangan turut berlegar sekitar tentang adakah ilmu Tajwid hanya khusus untuk al-Qur'an atau sebenarnya ia sebahagian daripada ilmu Bahasa Arab.

Tajuk keempat memperkatakan tentang kepentingan mengambil berat terhadap lafaz-lafaz hadith serta memeliharanya daripada sebarang kesalahan sebutan.

Tajuk kelima membicarakan mengenai faktor-faktor yang membawa kepada kesalahan sebutan lafaz-lafaz hadith dan hukum-hakam yang berkaitan dengannya.

Dalam penutup buku ini, penulis mengetengahkan beberapa kesan negatif yang terhasil daripada kesalahan sebutan lafaz-lafaz hadith di samping keperluan membaca hadith secara bertajwid.

Buku ini boleh dikatakan sebagai hasil kajian yang julung-julung kali diketengahkan dalam topik perbincangan mengenai hadith.

Sebelum terlupa, penulis ialah seorang tenaga pengajar Hadith & Ulum Hadith di Fakulti Usuluddin Universiti al-Azhar cawangan Tonto.

Wallahu a'lam.

p/s: Terngiang-ngiang di telinga ini suara-suara para masyaikh kami yang membaca hadith seakan-akan mendengar Rasulullah berbicara...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.

Tiada ulasan: