27 Oktober 2010

Antara Dua Ajaran (Bhgn 3)

Sambungan daripada entri yang lepas..

Minuman Yang Memabukkan/Arak.

Nabi Isa 'alaihissalam ialah seorang nabi yang sering mengabdikan diri kepada Allah Ta'ala. Oleh itu, baginda diperintahkan supaya menjauhkan diri daripada sebarang minuman yang memabukkan. Ini adalah berdasarkan perintah yang dirakamkan di dalam Perjanjian Lama:

Hebrew Bible
Dan Tuhan berfirman kepada Musa, "Katakan kepada orang-orang Israel bahawa mana-mana lelaki atau wanita yang telah mengikat sumpah istimewa, sumpah Nazirite untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, maka dia mesti menjauhkan diri daripada arak dan minuman yang memabukkan. Dia tidak boleh meminum cuka yang terhasil daripada arak dan minuman yang memabukkan serta tidak boleh meminum sebarang minuman yang diperbuat daripada anggur, dia tidak boleh memakan anggur segar mahupun kering. Sepanjang hari yang digunakan untuk beribadat, dia tidak boleh memakan makanan yang diperbuat daripada pokok anggur, malah tidak boleh makan biji dan kulitnya juga." [Numbers 6:1-4]

Ajaran Islam juga turut melarang daripada arak dan minuman keras sebagaimana firman Allah Ta'ala, mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan tilikan nasib menggunakan anak panah itu hanyalah kotoran (dosa) daripada perbuatan syaitan, maka jauhilah ia (perkara-perkara yang disebutkan itu) agar kamu berjaya. [Surah al-Maidah: 90]

Di dalam Injil John [John 2:1-11] terdapat kisah bahawa Nabi Isa telah menukarkan air biasa menjadi arak sebagai salah satu mukjizat baginda. Namun kisah ini sebenarnya bercanggah dengan apa yang dirakamkan oleh tiga Injil yang lain (Mark, Luke dan Matthew). Begitu juga, para cendekiawan Kristian sendiri turut meragui akan kebenaran kisah tersebut.

Berwudhuk Sebelum Sembahyang.

Nabi Isa 'alaihissalam berwudhuk sebelum menunaikan sembahyang berdasarkan ajaran Taurat. Ini adalah kerana Nabi Musa dan Nabi Harun 'alaihimassalam dilaporkan berbuat demikian. Perjanjian Lama menyebut:

Dia pun meletakkan sebuah bekas besar di antara khemah pertemuan dengan altar lalu menuangkan air di dalamnya supaya Musa, Harun dan anak-anak baginda dapat membasuh tangan dan kaki mereka.... sebagaimana yang diperintahkan oleh Tuhan kepada Musa. [Exodus 40:30-31]

Di dalam al-Qur'an, perintah berwudhuk sebelum sembahyang dirakamkan seperti berikut, mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu ingin mendirikan sembahyang, maka basuhlah muka dan tangan kamu sehingga ke siku serta sapulah kepala kamu dan (basuhlah) kaki kamu sehingga ke buku lali... [Surah al-Maidah: 6]

Bersambung....

Tiada ulasan: