16 Jun 2011

Tiga Hubungan

Daripada Abu Zarr Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az bin Jabal رضي اللـه عنهما, daripada Rasulullah صلى اللـه عليه وآله وسلم bahawa baginda bersabda mafhumnya :

"Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Iringilah kejahatan dengan kebaikan, pasti kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut. Berakhlaklah sesama manusia dengan akhlak yang baik."

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi yang mana beliau berkata, "Ini adalah hadith hasan." Di dalam sesetengah manuskrip pula menyebut, "Hasan sohih."

Biografi periwayat hadith.

1) Sayyiduna Jundub bin Junadah رضي اللـه عنه . Lebih dikenali sebagai Abu Zarr al-Ghiffari. Beliau memeluk Islam ketika berada di Mekah al-Mukarramah. Diriwayatkan bahawa beliau pernah berkata, "Saya adalah orang keempat yang memeluk Islam." Rasulullah صلى اللـه عليه وآله وسلم telah menyifatkan Sayyiduna Abu Zarr sebagai orang yang paling benar dalam pertuturan. Baginda bersabda, mafhumnya, "Tidak ada orang yang paling benar pertuturannya daripada Abu Zarr yang pernah dinaungi oleh langit dan ditanggung oleh bumi." Beliau telah meriwayatkan sebanyak 281 hadith. Wafat di suatu tempat bernama al-Rabzah yang terletak berhampiran Madinah al-Munawwarah.

2) Sayyiduna Mu'az bin Jabal al-Ansori رضي اللـه عنه . Memeluk Islam dalam usia yang muda iaitu sebelum berumur 18 tahun. Terlibat dalam semua peperangan. Beliau merupakan sahabat yang telah menghafal al-Qur'an secara keseluruhan. Rasulullah صلى اللـه عليه وآله وسلم pernah memuji beliau dengan sabda baginda, mafhumnya, "Mu'az bin Jabal adalah orang yang paling alim tentang halal dan haram." Telah diutus menjadi qadhi dan gabenor di Yaman.

Faedah dan pengajaran hadith.

"Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada."

- Taqwa itu ialah suatu perkataan yang menghimpunkan maksud yang cukup luas. Namun secara umumnya didefinisikan sebagai melakukan segala titah perintah Allah Ta'ala dan menjauhkan diri daripada segala larangan-Nya.
- Namun begitu, saya lebih tertarik dengan definisi taqwa yang telah diutarakan oleh Amirul Mukminin Imam Ali bin Abi Tolib عليه السلام yang mana beliau berkata, "Taqwa itu ialah takut kepada Allah Ta'ala, beramal dengan isi kandungan al-Qur'an, merasa qana'ah dengan benda yang sedikit dan membuat persiapan untuk menghadapi kematian."
- Taqwa itu perlu ada di mana sahaja, dalam apa jua waktu dan keadaan. Ia tidak sekadar terbatas di masjid sahaja atau di bulan Ramadan. Juga tidak hanya ketika berada di khalayak ramai. Ini adalah kerana kewujudan Allah Ta'ala itu perlu dirasai sentiasa kerana Dia sentiasa bersama-sama para hamba-Nya. Dia Maha Melihat apa yang kita lakukan, Maha Mendengar apa yang kita ucapkan dan Maha Mengetahui isi hati kita. Ini menunjukkan perlunya ada konsep muroqobah dan muhasabah yang berterusan.
- Di antara lambang ketaqwaan ialah sembahyang. Sebagaimana kita perlu bertaqwa di mana-mana sahaja, maka kita diizinkan untuk bersembahyang di mana-mana sahaja kerana bumi ini telah dijadikan suci dan sebagai masjid untuk kita. Rasulullah صلى اللـه عليه وآله وسلم bersabda, mafhumnya, "Bumi itu telah dijadikan suci dan sebagai masjid untuk saya." Maksudnya, untuk baginda dan umat baginda juga. Dalam era kemodenan ini seiring dengan kemajuan teknologi, maka timbul isu-isu baru seperti masalah sembahyang di atas bulan, di atas kapal angkasa, di atas kapal terbang, di atas kapal laut, di dalam kapal selam, di atas kenderaan dan di bawah tanah. Dalam semua situasi ini, dibolehkan untuk bersembahyang. 
- Taqwa adalah punca kebahagiaan dan kebaikan. Kerana itu, Rasulullah صلى اللـه عليه وآله وسلم memulakan wasiat baginda ini dengan taqwa kerana ia merupakan puncak dan punca segala kebaikan.

"Iringilah kejahatan dengan kebaikan, pasti kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut."

- Manusia adalah makhluk yang sering melakukan dosa dan kesalahan. Namun itu tidak boleh menghalangnya daripada melakukan kebaikan. Kerana itu baginda berpesan agar sentiasa melakukan kebaikan kerana kebaikan itu boleh menghapuskan kesalahan. Kebaikan yang kecil sekalipun mampu untuk menghapuskan kesalahan yang banyak.
- Ayat ini juga menunjukkan bahawa kita perlu segera bertaubat apabila melakukan kesalahan. Orang yang bertaubat daripada dosanya, seakan-akan tiada lagi kesalahan dalam dirinya.
- Kita dituntut untuk sentiasa memperbaiki diri supaya menjadi seorang insan yang lebih baik.
- Rajin-rajinlah berbuat kebaikan walaupun sedikit kerana ia mempunyai kuasa untuk menghapuskan kejahatan dan kesalahan walaupun banyak.
- Jangan putus asa jika anda banyak melakukan dosa. Selagi pintu taubat masih terbuka, selagi itu anda masih diundang untuk bertaubat. Jika anda ada melakukan kebaikan di samping dosa yang anda buat, percayalah dosa anda tidak akan dapat menghapuskan kebaikan yang telah anda buat, sebaliknya dosa itu yang terselindung malah terhapus di sebalik kebaikan tersebut. Inilah rahmat Allah Ta'ala buat hamba-hamba-Nya yang beriman kepada-Nya.
- Hadapilah kejahatan dengan kebaikan yang berterusan, pasti kejahatan itu akan lenyap jua berganti dengan kebaikan dan kasih sayang.

"Berakhlaklah sesama manusia dengan akhlak yang baik."

- Kita dituntut untuk bergaul dengan manusia melalui akhlak yang baik. Kita tidak mampu menawan hati mereka dengan harta benda, namun hanya dengan akhlak yang mulia kita akan disayangi. Dalam sebuah hadith menyebut, mafhumnya, "Kamu tidak akan mampu membahagiakan orang lain dengan harta kamu. Oleh itu, bahagiakanlah mereka dengan senyuman dan akhlak yang baik." Subhanallah!
- Kita dituntut untuk berakhlak kepada manusia tanpa mengira agama, bangsa, latar belakang pendidikan dan sebagainya.
- Akhlak yang mulia itu adalah lambang kesempurnaan iman dan taqwa. Dalam sebuah hadith menyebut, mafhumnya, "Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya."
- Akhlak yang mulia itu adalah asas pembangunan modal insan dan ketamadunan. Ini dibuktikan melalui fakta sejarah Islam yang menunjukkan bahawa Islam itu disebarkan melalui akhlak mulia. Kerajaan Islam juga berdiri lama disebabkan akhlak. Apabila runtuhnya akhlak, maka itu adalah petanda runtuhnya sesebuah kerajaan.
- Jika anda ingin menguasai manusia, kuasailah mereka dengan kuasa akhlak kerana fitrah manusia ialah mereka akan tertawan dengan orang yang mempunyai budi pekerti. Anda tidak perlu menjadi pemimpin untuk bertakhta di hati manusia, namun hanya dengan akhlak yang mulia anda sebenarnya telah bersemayam di singgahsana hati mereka.

Kesimpulan akhir:

- Hadith ini menggariskan tiga hubungan yang perlu ada dalam kehidupan seorang muslim iaitu:

1) Hubungan dengan Allah Ta'ala yang dipamerkan melalui taqwa.
2) Hubungan dengan diri sendiri yang dipamerkan melalui taubat dan sering memperbaiki diri.
3) Hubungan dengan orang lain yang dipamerkan melalui akhlak yang mulia.

- Taqwa, taubat dan akhlak adalah senjata ampuh yang diperlukan oleh seorang muslim dalam meniti kehidupan lebih-lebih lagi di era akhir zaman yang semakin mencabar ini.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: