19 Januari 2011

Niat Dan Kepentingannya

عن أمير المؤمنين أبي حفص عـمر بن الخطاب رضي اللـه عنه قال: سمعت رسول اللـه صلى اللـه عليه وآلـه وسلم يقـول: إنمـا الأعـمال بالنيات وإنمـا لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى اللـه ورسولـه فهجرته إلى اللـه ورسولـه. ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امـرأة ينكحها فهجرته إلى ما هـاجر إليـه. (رواه البخـارى ومسـلم)


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Sayyiduna Umar bin al-Khattob radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:

Saya mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam bersabda: "Semua amalan itu hanya diambil kira berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat (pahala atau dosa) berdasarkan niatnya. Oleh itu, siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka dia mendapat pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Manakala siapa yang berhijrah kerana ingin mendapat habuan dunia atau kerana ingin mengahwini seorang wanita, maka dia mendapat apa yang dia niatkan dengan hijrahnya itu." [Riwayat al-Bukhori dan Muslim]

Sanad hadith:

Hadith ini diriwayatkan oleh Yahya bin Sa'id al-Ansori secara bersendirian daripada Muhammad bin Ibrahim at-Taimi daripada 'Alqomah bin Abi Waqqos al-Laisi daripada Sayyiduna Umar bin al-Khattob radhiyallahu 'anhu. Hanya ini sahaja jalan periwayatan hadith yang benar-benar sohih berbanding dengan jalan-jalan periwayatan lain berkenaan hadith ini. Hadith ini turut diriwayatkan oleh sahabat-sahabat yang lain seperti Sayyiduna Abu Sa'id al-Khudri, Sayyiduna Abu Hurairah dan lain-lain namun hanya jalan periwayatan daripada Sayyiduna Umar sahaja yang sohih. Boleh rujuk di dalam kitab Muntahal Amal fi Syarh Hadith Innamal A'mal karangan al-Hafiz Jalaluddin as-Suyuti radhiyallahu 'anhu.

Sebab hadith ini diucapkan (sebab wurud hadith):

Sayyiduna Abdullah bin Mas'ud radhiyallahu 'anhu berkata, maksudnya, "Siapa yang berhijrah dengan niat untuk mendapatkan sesuatu, maka dia hanya mendapat apa yang diinginkan (berupa pahala atau dosa). Ada seorang lelaki berhijrah dengan niat untuk berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Ummu Qais. Kerana itu, lelaki berkenaan digelar sebagai Muhajir Ummu Qais."

Menurut riwayat at-Tobaroni pula, maksudnya, "Dalam kalangan kami ada seorang lelaki yang meminang seorang wanita bernama Ummu Qais. Namun beliau enggan menerima pinangan lelaki tersebut melainkan jika lelaki itu berhijrah. Lalu si lelaki pun berhijrah dan akhirnya berkahwin dengan Ummu Qais. Kerana itu kami memanggilnya Muhajir Ummu Qais."

Pengajaran dan renungan daripada hadith:

Hadith ini sememangnya sebuah hadith yang agung. Banyak pengajaran dan faedah yang boleh dipetik daripada hadith ini jika kita meneliti dan menghayati setiap patah perkataan yang terkandung di dalam hadith ini. Justeru, Imam asy-Syafi'i radhiyallahu 'anhu pernah menyatakan, "Hadith ini merangkumi 70 bab dalam masalah Fiqh."

Begitu juga sebahagian ulama' pernah menyebut bahawa hadith ini adalah satu pertiga Islam.

Ada beberapa faedah daripada hadith ini yang boleh kita petik berdasarkan topik-topik seperti berikut:

[1] Topik Akidah.

Hadith ini menegaskan bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan hanya akan diterima oleh Allah Ta'ala jika ia disokong oleh keikhlasan niat. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Mereka hanya diperintahkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas dalam keadaan yang lurus. [Surah al-Bayyinah: 5]

Imam Ibnu 'Atoillah as-Sakandari (wafat 709) radhiyallahu 'anhu berkata menerusi hikam beliau:

Amalan-amalan itu adalah (seumpama) tubuh yang berdiri kaku (tanpa roh). Rohnya ialah kewujudan rahsia keikhlasan di dalamnya (amalan itu).

Oleh itu, hadith ini menegah kita daripada beberapa penyakit hati yang boleh menjejaskan niat yang baik malah boleh membawa kepada kerosakan amalan iaitu:

1) 'Ujub.

'Ujub ialah penyakit hati yang berbahaya. Orang yang 'ujub sentiasa merasakan bahawa dia telah melakukan amalan yang terbaik sehingga dia enggan mengakui kebaikan amalan orang lain. Ini membawa kepada lahirnya sikap ego dan sukar untuk menerima pendapat orang lain. Tidak hairan apabila Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam seringkali berdoa memohon perlindungan Allah Ta'ala daripada sifat ini memandangkan betapa bahayanya ia. Sifat 'ujub juga boleh membinasakan amalan kebaikan yang dibuat.

2) Riya'.

Riya' ialah syirik yang tersembunyi. Ia merupakan lawan kepada ikhlas. Orang yang riya' suka melakukan amalan di hadapan orang lain dengan niat supaya orang ramai akan memuji-muji dirinya sedangkan ketika berseorangan dia tidak melakukan amalan pun. Kalau dia melakukan amalan sekalipun, dia melakukannya dengan perasaan malas. Ini juga merupakan sifat golongan munafik / hipokrit.

[2] Topik Fiqh.

Menurut ulama' Fiqh, niat diperlukan sebagai alat yang membezakan di antara ibadat dan adat. Begitu juga di dalam ibadat itu sendiri, niat diperlukan untuk membezakan di antara ibadat wajib dengan ibadat sunat. Oleh itu, para ulama' sependapat menyatakan bahawa sembahyang, puasa, haji dan yang seumpamanya tidak sah jika tidak disertai dengan niat.

Selain itu, tempat niat adalah di hati. Jika seseorang berniat di dalam hati untuk sembahyang atau berpuasa tanpa melafazkannya, itu pun sudah memadai. Namun begitu, di sisi ulama' mazhab Syafi'i, melafazkan niat itu adalah sunat dengan tujuan untuk membantu hati mengungkapkan niat.

Dalam masalah ibadat, kita tidak boleh mewakilkan orang lain untuk melakukan ibadat kita. Seperti contoh, kita tidak boleh mewakilkan orang lain untuk menunaikan sembahyang kita, puasa dan haji. Namun begitu, ada beberapa ibadah yang boleh diwakilkan seperti pembayaran zakat dan sembelihan korban.

[3] Topik Kemasyarakatan.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa setiap orang mempunyai tanggungjawab dalam masyarakat. Lelaki mahupun wanita, semuanya bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga terhadap orang lain. Niat yang baik boleh menatijahkan perkara yang baik buat diri dan orang lain. Begitu juga sebaliknya. Justeru, setiap individu bertanggungjawab untuk memperbetulkan niat supaya sentiasa ikhlas agar memberi manfaat buat diri dan orang lain. Bertitik tolak daripada niat yang baik, boleh membawa kepada terbentuknya masyarakat yang baik. Begitu juga sebaliknya.

[4] Topik Politik.

Hadith ini menunjukkan bahawa semangat nasionalisme tidak memberi apa-apa faedah terhadap perjuangan Islam. Ia tidak boleh menghalang mahupun menyekat daripada pekerjaan dakwah kerana Islam itu tidak mengenal batas sempadan. Ia boleh disebarkan di mana-mana. Perjuangan bertunjangkan nasionalisme adalah perjuangan sempit yang hanya menyempitkan lagi medan dakwah yang sememangnya telah luas.

Banyak lagi faedah-faedah yang boleh dipetik daripada hadith ini. Terlalu banyak sehingga tidak mungkin boleh untuk dimuatkan di dalam ruangan yang terbatas ini. Semoga mendapat manfaat bersama.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: