19 Disember 2010

Nabi Kita Bercerita (Kisah 1)

Diriwayatkan daripada Sayyiduna Abu Sa'id Sa'ad bin Malik bin Sinan al-Khudri radhiyallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam bersabda, mafhumnya:


Pada zaman sebelum kamu, ada seorang lelaki telah membunuh 99 orang. Setelah itu, dia bertanya tentang orang yang paling alim di tempatnya lalu ditunjukkan kepada seorang pendeta (rahib). Dia pun bertemunya (pendeta itu) dan bertanya, "Ada orang telah membunuh 99 orang. Adakah taubatnya diterima?" Lantas pendeta itu menjawab, "Tidak." Lelaki tersebut terus membunuhnya lalu lengkaplah 100 orang (yang telah dibunuhnya). Kemudian, dia bertanya lagi tentang orang yang paling alim di tempatnya, lalu ditunjukkan kepada seorang alim. (Dia pun berjumpa orang alim itu) lalu bertanya, "Ada orang telah membunuh 100 orang. Adakah taubatnya diterima?" Orang alim itu menjawab, "Ya, siapa yang boleh menghalangnya daripada taubat? Cuma dia perlu pergi ke tempat sekian sekian kerana di sana ada golongan yang beribadat kepada Allah. Hendaklah dia pergi beribadat bersama-sama mereka dan jangan balik ke tempat ini kerana ini adalah tempat yang buruk."

Lalu lelaki tersebut pun pergi (menuju ke tempat yang baik itu) sehinggalah di pertengahan jalan, dia pun mati. Lalu malaikat Rahmat dan malaikat Azab bertengkar (mengenai status lelaki berkenaan). Malaikat Rahmat berkata, "Dia datang untuk bertaubat dan menghadap Allah dengan hatinya." Malaikat Azab pula berkata, "Dia tak pernah buat sebarang kebaikan pun!" 

(Sedang mereka bertengkar) satu malaikat yang menjelma sebagai manusia pun datang. Lalu mereka pun melantiknya sebagai hakim (untuk memutuskan hukum status lelaki itu). Malaikat itu pun berkata, "Ukur jarak antara dia dengan dua tempat tersebut. Mana yang lebih dekat, maka dia dikira begitu." Lalu mereka pun mengukurnya dan mendapati dia lebih hampir dengan tempat yang dituju (iaitu tempat yang baik) maka rohnya pun dipegang oleh malaikat Rahmat.

Pengajaran kisah ini:

1) Kelebihan orang alim berbanding rahib.
2) 'Abid yang hanya beribadat tanpa ilmu hanya memudaratkan dirinya dan orang lain.
3) Taubat pembunuh diterima oleh Allah Ta'ala. Ini adalah mazhab Ahli Sunnah wal Jama'ah.
4) Malaikat Rahmat lebih alim daripada malaikat Azab kerana malaikat Rahmat dapat mengetahui isi hati lelaki tersebut berbanding malaikat Azab yang hanya menghukum berdasarkan zahir.
5) Berhijrah meninggalkan keburukan menuju kebaikan.
6) Suasana memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi seseorang.
7) Memboikot golongan yang sering melakukan kejahatan. Ini adalah salah satu cara menasihati golongan tersebut setelah dinasihatkan dengan cara yang baik.
8) Galakan supaya bersahabat dengan golongan yang baik.
9) Manusia boleh berubah. Justeru itu, bila kita membenci seseorang, kita hanya perlu membenci perbuatannya yang buruk bukan dirinya kerana boleh jadi suatu hari nanti dia akan berubah.
10) Rahmat Allah Ta'ala yang Maha Luas.
11) Niat yang baik walaupun tidak dapat dilaksanakan tetap akan memberi manfaat.

Wallahu a'lam.

p/s: Marilah berlumba-lumba menuju Rahmat Allah Ta'ala.

Humair,
Panchor, Paroi,
Negeri Sembilan. 

2 ulasan:

insan... berkata...

Innamal a'malu binniyat..sesungguhnya sesuatu perkara itu brgntung kpd niat,ape yg diniatknnya.Jika hijrahnya adlh krn Allah dan RasulNya,maka hijrahnya adlh krn Allah dan RasulNya.Jika hijrahnya adlh krn duniawi,atau krn wanita yg ign dikahwininya,maka hijrahnya adlh brdasarkn ape yg diniatknnya..insyaAllah bersama memperbaiki niat dlm setiap amalan kita...

Unknown berkata...

baru aritu belajar dgn u psl rahmat Allah kn..semoga stiap amalan yg kita lakukn mdapat RahmatNYA