20 Oktober 2008

Persoalan Tentang Kesempurnaan Rasulullah

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang sempurna. Itu adalah suatu hakikat yang diterima oleh umat Islam yang beriman dengan Baginda. Kesempurnaan risalah Islam itu memerlukan kepada kesempurnaan penyampainya. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sebagai utusan Allah yang bertanggungjawab untuk menyampaikan risalah tersebut telah dilengkapkan oleh Allah Ta'ala dengan kesempurnaan yang mengukuhkan kesempurnaan risalah Islam.

Jika kita merujuk kembali sirah Baginda, kita dapati Baginda adalah manusia yang sempurna dalam semua aspek. Baik lahiriah mahupun batiniah. Kesempurnaan rupa Baginda dan bentuk kejadiannya menimbulkan kekaguman setiap orang yang melihat Baginda sehingga mendorong Sayyiduna Hassan bin Thabit radhiyallahu 'anhu meluahkan ungkapan hatinya yang berbunyi:

Engkau dicipta suci daripada kecacatan;
Seolah-olah engkau dicipta mengikut kehendakmu sendiri!

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam juga sempurna pada akhlaknya. Ini adalah perkara yang diakui oleh kawan dan lawan. Allah Ta'ala menghimpunkan dua kesempurnaan pada diri Baginda iaitu kesempurnaan lahiriah yang berupa kecantikan rupa bentuk dan batiniah yang berupa kemurnian akhlak dan budi. Ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi kesempurnaan risalah Islam.

Cuma di sini boleh timbul beberapa persoalan. Saya cuma fokuskan dua sahaja. Ia timbul daripada andaian saya bahawa persoalan ini berkemungkinan timbul. Maka saya sediakan jawapannya sekali.

Soalan pertama:

Boleh jadi timbul persoalan; jika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam seorang yang sempurna, maka mengapa Baginda seorang ummi (tidak tahu menulis dan membaca) atau dengan erti kata lain buta huruf? Sedangkan sifat ini adalah suatu kecacatan serta boleh menghalang pertumbuhan tamadun yang cemerlang. Maka Baginda tidak sempurna jika dipandang dari aspek ini..

Kami menjawab:

Tidak tahu menulis dan membaca tidak bererti seseorang itu akan jahil selama-lamanya. Ilmu itu bukan diperolehi melalui penulisan dan pembacaan semata-mata bahkan melalui pengalaman. Apatah lagi kita dapati praktikal itu lebih berkesan berbanding teori semata-mata. Umminya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bukanlah suatu kekurangan apalagi kecacatan bahkan umminya Baginda adalah suatu kesempurnaan buat diri Baginda. Hikmahnya adalah untuk memelihara al Quran daripada tuduhan bahawa ia adalah daripada hasil karya Baginda. Apabila kita mengetahui bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam seorang yang ummi dan ianya disokong oleh fakta sejarah, maka yakinlah kita bahawa al Quran itu bukan hasil karya Baginda bahkan ia adalah wahyu daripada Allah Ta'ala. Namun kita melihat umminya Baginda tidak menghalang Baginda daripada membina generasi Islam yang gemilang bahkan generasi yang diakui kewibawaannya sepanjang sejarah. Baginda adalah seorang yang ummi, tidak pernah belajar daripada mana-mana guru dan bukannya graduan dari mana-mana universiti namun sejarah mengakui Baginda adalah tokoh yang paling hebat sepanjang sejarah kemanusiaan. Baginda adalah pemimpin yang berwibawa, pengatur strategi yang pintar, pentadbir yang dikagumi dan mahaguru cemerlang yang lahir daripada didikannya generasi yang cerdik pandai serta mampu mengubah dunia. Bukankah ini adalah bukti bahawa umminya Baginda adalah suatu kesempurnaan bukannya suatu kecacatan dan kekurangan. Bahkan generasi demi generasi sehingga hari ini mengambil ilmu bersumberkan petunjuk Baginda yang hanyalah seorang ummi! Maka dimana kurangnya jika Baginda seorang ummi sedangkan umat Islam yang pandai menulis dan membaca sekalipun mengambil ilmu bersumberkan petunjuk Baginda. Bahkan jika ilmu itu tidak bersumberkan petunjuk Baginda yang ummi, pasti ilmu tersebut pincang dan menyesatkan! Justeru, umminya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah suatu kesempurnaan yang sangat mengkagumkan..

Persoalan kedua:

Jika Baginda sempurna, mengapa Baginda boleh lupa? Lupa adalah sifat kekurangan..

Kami menjawab:

Kerana Baginda adalah manusia. Antara sifat manusia adalah lupa sehingga terdapat ungkapan yang berbunyi:

Tidaklah dinamakan insan itu insan melainkan kerana sifat lupanya!

Walaupun Baginda terlupa, namun ianya bukan suatu kecacatan bahkan suatu kesempurnaan. Baginda bukannya selalu terlupa sehingga boleh disifatkan sebagai pelupa. Lupanya Baginda adalah berdasarkan kehendak Allah Ta'ala jua. Bukan disebabkan kecacatan atau kekurangan pada pemikiran Baginda. Hikmahnya ialah untuk menunjukkan bahawa Baginda adalah manusia seperti kita jua. Namun di sebalik lupanya Baginda, adanya syariat. Kita sedia maklum bahawa setiap perkataan dan perbuatan Baginda adalah syariat yang diwahyukan oleh Allah Ta'ala. Maka lupanya Baginda dalam sesuatu perkara adalah berdasarkan kehendak Allah Ta'ala kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak berbicara mahupun bertindak melainkan dengan gerakan Allah Ta'ala. Ini adalah suatu kesempurnaan yang luar biasa. Baginda adalah kekasih Allah. Makhluk yang paling rapat dengan-Nya. Allah Ta'ala mencintai Baginda dengan cinta yang mendalam. Maka segala tingkah laku Baginda dikawal oleh Allah Ta'ala sehingga ianya menjadi pedoman dan tauladan buat umat manusia sehinggakan sifat lupa itu sendiri adalah mengikut kehendak Allah Ta'ala. Ianya mengandungi hikmah yang tersendiri. Subhanallah! Sememangnya Baginda adalah manusia yang sempurna walaupun ianya kelihatan cacat pada pandangan zahir kita yang lemah ini.

Akhir kalam, kesempurnaan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah suatu perkara yang tidak boleh dipertikaikan. Semakin anda kuat mengikut sunnah Baginda, maka semakin jelas kesempurnaan Baginda di mata anda. Sehingga akhirnya anda sampai ke penghujungnya, lalu anda berteriak, "Ya Rasulullah! Alangkah sempurnanya tuan!"

Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam yang sempurna ke atas junjungan-Nya, penghulu kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam, penghimpun segala kesempurnaan...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Kaherah,
MESIR.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam ziarah dari bumi Dublin. Nice blog!! Keep it up. Kalau rajin, dtg laa ziarah blog hamba.. :)

Tanpa Nama berkata...

Siapa di angkat Allah sebagai Imam manusia ( Semua manusia wajib mengikutinya)
Jawapan sila baca Surah 2 ayat 124

Nabi Muhammad di suruh mengikuti agama siapa?
Jawapan sila baca surah 2 ayat 135

Siapa pengasas Agama yang Allah suruh semua manusia ikuti termasuk semua nabi-nabi dan rasul-rasul?

Jawapannya BACALAH......BACALAH Surah 2 ayat 130, 135, Surah 3 ayat 95, Surah 4 ayat

125, Surah 6 ayat 161, Surah 12 ayat 37,38, Surah 21 ayat 73, Surah 22 ayat 78


Apakah maksud ayat diatas?

Ini jelas menerangkan bahawa semua umat manusia termasuk Nabi Muhammad disuruh Allah MENGIKUTI Agama Imam Manusia(?)di mana segala amalan agama seperti solat, zakat,puasa, haji telah pun tersedia ada. Rujuk surah 21 ayat 73

Jadi Apa SHAHADAH Imam Manusia?

Renung-renungkanlah sebelum menuduh fahaman manusia lain SESAT agar Allah tidak membiarkan kita sesat dan TIDAK MEMBIMBING kita ke jalan yang diredainya.
Bila kita percaya Allah serta memuja di SAMPING-SAMPINGNYA maka ALLAH akan membiarkan kita sesat dan TAK AKAN MEMBIMBING kita. Bayangkan ALLAH tak membimbing kita sebab itu manusia yang degil / ego/ ingkar atau ragu-ragu ayat-ayat Allah ini umum dan perlu ada kitab lain menerangkannya maka Tuhan jadikan kita pekak tuli dan buta pada mesej dan amaran Allah dalam ALQURAN. Baca dan faham maksud Surah Yasin ayat 1 hingga 9.

Allah berkali kali berfirman yang Dia tidak akan MEMBImBING manusia yang INGKAR akan ayat-ayatnya dan EGO dengan pendapat/ pegangan tradisi nenek moyang yang sukar untuk dikikiskan sama seperti kaum-kaum terdahulu yang INGKAR pada setiap Nabi/Rasul utusanNYA pada kaum masing-masing kerana merasakan pendapat mereka itu benar di mata mereka padahal Allah maha MENGETAHUI.

Sebab itu kebanyakan MANUSIA gagal ke SYURGA kecuali sedikit.
Sebab itu Nabi Muhammad mengatakan Kebanyakan kaumnya tidak mengamalkan Quran kecuali
sedikit.(perhatikan Nabi Muhammad tak kata umatnya (sebab dia tidak tahu masa depan)
Sebab itu Allah berfirman sekiranya kita mengikuti kebanyakkan manusia(hadis ciptaan
manusia) kita akan sesat.