25 Jun 2010

Sempena Rejab Yang Mulia

Menerusi entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan sidang pembaca beberapa maklumat menarik yang saya dengar daripada khutbah Jumaat hari ini yang disampaikan oleh imam Masjid al-Libi, Hayyu Sabi'. Beliau menyampaikan khutbah berkaitan bulan Rejab yang mulia ini. Antara perkara yang beliau sampaikan ialah:-

Bulan Rejab adalah bulan haram yang mulia sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah Ta'ala menerusi firman-Nya, mafhumnya:

Sesungguhnya bilangan bulan (mengikut kiraan yang sebenar) di sisi Allah ialah dua belas bulan yang terdapat di dalam ketentuan Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ialah empat bulan yang dihormati (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram & Rejab). [Surah at-Taubah: 36]


Ini dijelaskan lagi oleh sabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wa alihi wasallam, mafhumnya:

Sesungguhnya peredaran bulan telah mengikut kiraannya yang sebenar. Jumlah bulan (yang sebenar dalam setahun) ialah dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan yang dihormati iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab Mudhor. [Riwayat Imam Ahmad]

Dalam hadith ini, Baginda mengaitkan bulan Rejab dengan kabilah Mudhor kerana kabilah ini sangat menghormati dan memuliakan bulan Rejab. Orang Arab Jahiliah dahulunya menamakan bulan Rejab sebagai bulan Allah yang pekak kerana di dalam bulan ini mereka tidak mendengar sebarang suara peperangan disebabkan peperangan di dalam bulan ini adalah haram. Mereka juga memanggil bulan Rejab sebagai bulan Allah yang melimpah ruah kerana di dalam bulan ini kebaikan melimpah ruah disebabkan mereka melakukan amal kebajikan yang banyak berupa korban binatang ternakan untuk disedekahkan dan diagih-agihkan kepada fakir miskin. Bulan Rejab juga dipanggil bulan Allah yang tunggal kerana bulan ini berasingan daripada bulan-bulan haram yang lain. Disebabkan mereka sangat menghormati bulan ini juga bulan-bulan haram yang lain, maka mereka mengharamkan sebarang peperangan dan pertumpahan darah daripada terjadi di bulan-bulan ini hatta jika seorang lelaki bertemu dengan pembunuh ayahnya atau anaknya di dalam bulan-bulan ini, dia tidak akan membalas dendam kerana menghormati bulan-bulan ini.

Tiada halangan untuk berpuasa di bulan ini kerana tiadanya hadith yang melarang daripada berpuasa di bulan ini mahupun di bulan-bulan haram yang lain malah hadith-hadith yang menggalakkan berpuasa sunat secara umum sangat banyak. Jika Rasulullah sollallahu 'alaihi wa alihi wasallam menggalakkan berpuasa sunat di setiap bulan, maka tidak syak lagi bahawa bulan Rejab juga termasuk dalam galakan tersebut apatah lagi bulan Rejab adalah bulan yang mulia lagi dihormati. Ertinya pahala amalan kebaikan juga turut digandakan di dalam bulan ini sebagaimana ia digandakan di bulan-bulan haram yang lain.

Beliau turut mengingatkan supaya tidak melakukan adat yang biasa diamalkan oleh penduduk Mesir iaitu mengkhususkan bulan ini untuk menziarahi kubur. Golongan ini dipanggil 'Rejabiah'. Beliau menyatakan adat ini adalah bida'ah kerana tiada dalil yang mengkhususkan mana-mana bulan untuk tujuan menziarahi kubur. Malah kita boleh menziarahi kubur bila-bila masa saja tanpa pengkhususan waktu kerana tujuan menziarahi kubur adalah untuk mengambil iktibar dan peringatan.

Wallahu a'lam.

Perhatian (tambahan dari saya)

Hadith tentang kelebihan bulan Rejab yang berbunyi mafhumnya:

Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulan saya dan Ramadhan adalah bulan umat saya.

Imam al-'Ajluni menerusi kitab beliau yang berjudul Kasyful Khofa' menulis bahawa hadith ini diriwayatkan oleh al-Hafiz ad-Dailami di dalam musnad al-Firdaus. Hadith ini dihukumkan maudhu' oleh al-Hafiz Ibnu al-Jauzi juga al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqolani. Yang zahirnya hadith ini berlegar di antara dho'if dan maudhu'. Namun begitu, yang perlu kita fahami sekarang ialah walaupun hadith ini bermasalah, ia tidak menghalang kita untuk berpuasa di bulan ini bagi meraih kelebihannya kerana puasa sunat itu digalakkan di setiap bulan lebih-lebih lagi bulan-bulan haram yang mengandungi kelebihan yang ditegaskan oleh Allah Ta'ala dan Rasul-Nya sollallahu 'alaihi wa alihi wasallam. Biarpun hadith ini tidak boleh dijadikan dalil yang menunjukkan kelebihan bulan Rejab, namun makna hadith ini adalah sohih kerana ia disokong oleh al-Quran dan sunnah. Wallahu a'lam.

Humair,
Rumah Negeri Sembilan Kaherah,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.