26 September 2010

Kejayaan Dan Kegagalan

Sudah menjadi lumrah, hidup berpasangan adalah bentuk kehidupan yang diatur indah oleh Allah Ta'ala. Sama ada pasangan secara hissi mahupun maknawi. Anda tidak boleh hidup berseorangan. Anda perlu berdua dan beramai-ramai. Itulah warna kehidupan yang indah. Hanya Dia sahaja yang Satu, Tunggal dan Esa. Dia tidak memerlukan kita, namun kita yang memerlukan Dia. Antara keperluan kita yang Dia Maha Tahu adalah keperluan hidup berpasangan dan hidup dalam suasana berpasangan. Pasangan yang hissi seperti lelaki pasangannya wanita. Bumi pasangannya Langit. Malam pasangannya Siang. Cahaya pasangannya Gelap.
Serta beberapa contoh zahir lain lagi. Manakala pasangan yang maknawi pula adalah seperti Hidup pasangannya Mati. Kaya pasangannya Miskin. Sedih pasangannya Gembira. Sibuk pasangannya Lapang. Tenang pasangannya Gelisah dan yang saya nak ceritakan di sini ialah tentang pasangan Kejayaan dan Kegagalan. Subhanallah! Walaupun berlawanan, tetapi pasangan yang saling perlu memerlukan malah tidak pernah berpisah.

Kejayaan dan Kegagalan tidak pernah berpisah. Sentiasa bersama. Saling memerlukan dan saling ingat-mengingati. Cinta mereka setia. Saling merindui. Bila anda mengecapi Kejayaan, jangan ingat anda tidak akan mendapat Kegagalan. Mereka adalah pasangan yang tidak pernah meninggalkan anda. Kenapa ye? Kenapa mereka saling setia sedangkan ternyata mereka memiliki sifat yang berlawanan. Kita hanya sukakan Kejayaan sahaja dan kita ingin lari dari Kegagalan. Bencikan Kegagalan! Kenapa mereka perlu hadir bersama-sama dalam hidup kita? Kenapa?

Sungguh! Allah Ta'ala tidak menggandingkan mereka tanpa sebab yang munasabah. Subhanallah! Ada hikmah di sebalik perancangan dan ciptaan-Nya. Saya akan tunjukkan kepada anda betapa mereka adalah pasangan yang serasi.

Kejayaan menuntut kita untuk bersyukur. Dalam masa yang sama, Kegagalan memberi amaran kepada kita bahawa jika kita tak bersyukur, ia akan datang menemui kita. Kejayaan meminta kita supaya meningkatkan usaha supaya ia dapat dikekalkan dan menjadi lebih baik. Dalam masa yang sama, Kegagalan mengingatkan kita bahawa jika kita leka dengan Kejayaan, ia akan datang untuk mengetuk kepala kita supaya kita tersedar. Kejayaan meminta supaya kita merendah diri bila ia datang mengunjungi kita. Dalam masa yang sama, Kegagalan berkata bahawa ia berkenan nak melawat kita kalau kita berbangga dengan lawatan Kejayaan. Bila Kejayaan datang, Kegagalan kirim salam pada kita dan beritahu bahawa Kejayaan takkan datang selama-lamanya selagi hidup di dunia ini. Ia beritahu yang satu hari nanti ia akan datang juga. Cuma minta kita bersedia saja. Yang peliknya, kadangkala Kejayaan bertukar sifat dengan Kegagalan. Bagi sesetengah orang Kejayaan mengundang Nikmat dan Kegagalan pula hanya membawa Azab. Tapi ada sesetengah masa, persepsi itu terbalik sebab kadang-kadang Kejayaan datang untuk bawa Azab sambil ketawa sebab kita tertipu. Kegagalan pula datang mengundang Nikmat sambil tersenyum dengan harapan supaya kita tak leka. Sebab itu bila Kejayaan datang, ia minta kita bermuhasabah sejenak dan beristighfar takut-takut ia hanya datang sebagai istidraj. Kegagalan pun sama-sama meminta kita supaya bermuhasabah. Mereka memang pasangan yang ideal. Saling bekerjasama untuk mengingatkan kita yang hidup di dunia yang fana ini. Mereka hanya berpisah bila tiba Hari Akhirat nanti.

Oleh itu, hargailah Kejayaan namun jangan marah pada Kegagalan. Mereka berdua adalah makhluk Allah Ta'ala. Mereka berdua adalah utusan Allah Ta'ala bertujuan untuk menguji manusia. Mereka hanya patuh pada perintah Allah Ta'ala sahaja. Mereka berdua bertindak berdasarkan tindakan manusia itu sendiri. Kalau kita rajin, maka kita akan bertemu Kejayaan kerana ia diikat dengan sebab yang bernama 'Usaha'. Kalau kita malas, maka Kegagalan berminat nak bertemu kita pula kerana ia diikat dengan sebab yang bernama 'Malas'. Tapi kalau kita Gagal juga walaupun dah berusaha dan boleh pula Berjaya dalam keadaan sambil lewa, maka bukan suatu yang mustahil pun. Ada mesej tersembunyi di sebaliknya yang menuntut kita untuk faham betul-betul.

Subhanallah! Allah Ta'ala Maha Bijaksana. Dia menyusun pasangan yang berlawanan tetapi saling memerlukan. Tidak ada yang mustahil di sisi-Nya. Yang peliknya mengapa kita masih tak gunakan akal fikiran yang ada untuk merenung dan menghayati serta berfikir?!!

p/s: Kegagalan adalah kejayaan yang ditangguhkan.. Ungkapan yang mendalam. Terima kasih buat pujangga yang mengungkapkan kalam ini. Saya hanya memetiknya saja untuk mengingatkan diri saya sendiri...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

izin kongsi ustaz ya?

Tanpa Nama berkata...

ahmad farid yaseer