25 September 2010

Majlis Ilmu

Seingat saya, majlis pengajian di Rumah Negeri Sembilan Kaherah (RNSK) bersama masyaikh al-Azhar bermula sejak tahun lepas lagi. Bermula apabila kami menjemput guru kami Sayyid Asyraf Hamid Hasanain al-Husaini, salah seorang imam Masjid al-Azhar untuk mengajar di RNSK. Beliau sendiri mencadangkan untuk membaca kitab al-Ilhamun Nafi' karangan al-'Arif Billah Sayyid Soleh al-Ja'afari yang merupakan imam besar Masjid al-Azhar suatu ketika dahulu. Kitab ini adalah huraian kepada risalah empat kaedah tasawuf yang digariskan oleh Sayyid Ahmad bin Idris, pengasas tariqat Ahmadiyyah Idrisiyyah. Ternyata kitab ini sangat menarik ditambah lagi dengan limpahan ilmu yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala buat Sayyid Soleh al-Ja'afari dalam menghuraikan kaedah-kaedah tasawuf tersebut. Alhamdulillah, kitab tersebut telah pun kami khatamkan sebelum bulan Ramadhan pada tahun ini berserta ijazah untuk meriwayatkan dan menterjemahkan kitab tersebut ke dalam Bahasa Melayu. Kami juga menerima ijazah umum untuk meriwayatkan dan menterjemahkan semua kitab karangan Sayyid Soleh al-Ja'afari. Namun begitu, ijazah yang diterima adalah bersyarat. Guru kami meletakkan tiga syarat sebelum mengijazahkan kami iaitu:


1) Apabila ditanya tentang sesuatu, jika kita tidak tahu jawapannya mesti menjawab, "Tidak tahu." Dengan maksud lain, jangan memandai-mandai!

2) Mesti mengamalkan ilmu yang dipelajari daripada kitab tersebut.

3) Syarat yang ketiga ini pula khusus untuk terjemahan kitab iaitu mesti menterjemahkan kitab tersebut dengan jujur tanpa pengurangan mahupun tambahan.

Ada wakil kami yang pulang bercuti di Malaysia menyatakan bahawa dalam pertemuan beliau bersama bekas mufti Negeri Sembilan iaitu Sohibus Samahah Syeikh Muhammad Murtadza, Sohibus Samahah meminta supaya kitab ini diterjemahkan oleh anak-anak Negeri Sembilan yang berkemampuan. Insya-Allah, hasrat beliau akan cuba kami tunaikan.

Sekarang ini, guru kami membaca kitab yang baru pula berjudul Fathun wa Faidhun wa Fadhlun Minallah, sebuah kitab yang membicarakan tentang ilmu Tauhid yang juga merupakan karangan Sayyid Soleh al-Ja'afari.

Di samping bersama guru kami Sayyid Asyraf, kami juga mengundang al-Habib Umar Zain Sumait al-'Alawi al-Husaini untuk membacakan kitab al-Arba'in an-Nawawiyyah, Nailur Roja' dan al-Manhaj as-Sawiyy. Semoga pengajian bersama beliau dapat diteruskan seperti biasa.

Ini hanya suasana majlis ilmu di RNSK. Sedangkan banyak lagi suasana-suasana tersebut di tempat lain. Yang menariknya, kami mengadakan kerjasama bersama para pelajar Kedah untuk pengajian bersama guru kami Sayyid Asyraf kerana beliau turut mengajar di Rumah Kedah H7 iaitu kitab Tuhfatul Atfal dan Mafahim Yajibu An Tusohhah karangan al-Muhaddith Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki. Sebelum itu, kami telah pun selesai mengkhatamkan kitab al-Fawaid al-Ja'afariyyah yang merupakan himpunan 40 hadith pilihan Sayyid Soleh al-Ja'afari sendiri yang juga berlangsung di Rumah Kedah H7. 

Saya sengaja menyebutkan perkara ini dalam entri kali ini sebagai suatu kenangan indah sebelum saya meninggalkan bumi Mesir yang penuh keberkatan ini juga sebagai ingatan buat sahabat-sahabat yang masih meneruskan pengajian di sini untuk terus mengambil peluang mengaut sebanyak mana ilmu yang ada. Ini adalah bumi al-Azhar. Al-Azhar asy-Syarif adalah kiblat para penuntut ilmu sebagaimana yang disebutkan oleh guru kami ayahanda Sayyid Mahmud al-Khotib al-Hasani. Antara perkara yang menyeronokkan saya dan membuatkan saya merasa bangga adalah barisan masyaikh kami semuanya berketurunan Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam sama ada masyaikh yang kami tadah ilmu daripada mereka atau yang kami terima ijazah daripada mereka. Mereka semua bertanggungjawab menyemai perasaan cinta terhadap Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam dan ahli bait Baginda 'alaihimussalam di dalam hati kami. Itu yang membuatkan saya merasa seronok. Kini saya cuma mengharapkan dapat menghabiskan pembacaan kitab al-Adab al-Mufrad karangan Imam al-Bukhori bersama-sama guru kami al-Muhaddith Sayyid Mahmud Sa'id Mamduh al-Husaini. Guru yang sangat menyayangi penuntut ilmu terutama yang berbangsa Melayu. Saya masih ingat lagi pada hari raya pertama tahun ini, kami menziarahi beliau untuk mendengar hadith musalsal Hari Raya lantas saya memberitahu beliau yang saya telah selesai membaca beberapa buah kitab karangan beliau dan meminta beliau mengijazahkan saya untuk meriwayatkan kitab-kitab tersebut. Tanpa perasaan lokek, beliau terus berkata, "Saya mengijazahkan kamu semua kitab-kitab karangan saya." Subhanallah! Tak dapat saya nak gambarkan perasaan saya ketika itu. Terasa terharu dan terasa bersemangat untuk menghabiskan pembacaan kitab-kitab beliau yang masih belum sempat saya baca. Itulah kasih seorang guru...

Buat sahabat-sahabat, teruskan perjuangan menuntut ilmu. Dampingi para ulama' yang arif dan belajarlah akhlak daripada mereka. Berusaha memahami manhaj al-Azhar yang bersifat wasatiyyah. Mudah-mudahan kita mendapat bimbingan Allah Ta'ala dengan keberkatan para masyaikh kita. Amin..

p/s: Tuntutlah ilmu sehingga mati..

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.

Tiada ulasan: