09 Januari 2011

Bencana Jasad Dan Bencana Roh

Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Ucapkanlah (wahai Muhammad), "Aku berlindung dengan (Allah) Tuhan yang menguasai waktu Subuh. Daripada kejahatan makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. Juga daripada kejahatan malam apabila ia gelap-gelita. Serta daripada kejahatan tukang sihir wanita yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Dan daripada kejahatan orang yang hasad dengki apabila dia melaksanakan kedengkiannya." [Surah al-Falaq: 1-5]


Allah Ta'ala berfirman lagi, mafhumnya:

Ucapkanlah (wahai Muhammad), "Aku berlindung dengan (Allah) yang memelihara manusia. Yang menguasai manusia. Juga Tuhan manusia. Daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi. Yang melemparkan bisikan dan hasutan di dalam dada manusia. (iaitu penghasut) dari kalangan jin dan manusia." [Surah an-Nas: 1-6]

Dalam Surah al-Falaq, Allah Ta'ala menyebut salah satu sifat-Nya iaitu Penguasa waktu Subuh lalu memerintahkan agar kita berlindung dengan sifat-Nya itu daripada empat perkara iaitu:

- Kejahatan makhluk ciptaan-Nya.
- Kejahatan malam yang gelap-gelita.
- Kejahatan tukang sihir wanita.
- Kejahatan sang pendengki.

Empat perkara ini adalah bencana yang hanya menimpa jasad.

Manakala menerusi Surah an-Nas, Allah Ta'ala menyebut tiga sifat-Nya iaitu Pemelihara, Penguasa dan Tuhan manusia lalu memerintahkan kita agar berlindung dengan tiga sifat-Nya daripada satu perkara sahaja iaitu kejahatan waswas syaitan al-Khannas.

Perkara yang satu ini adalah bencana yang menimpa roh dan jiwa.

Persoalannya: Mengapa Allah Ta'ala memerintahkan kita berlindung dengan hanya salah satu sifat-Nya daripada bencana yang menimpa jasad manakala untuk berlindung daripada satu sahaja bencana yang menimpa roh, kita diperintahkan untuk berlindung dengan tiga sifat-Nya?

Guru kami al-'Arif billah Sayyid Muhammad Kholil al-Khotib (1909-1986) radhiyallahu 'anhu menjawab, "Allah Ta'ala menyatakan begitu kerana Dia ingin menunjukkan kepada para hamba-Nya agar memelihara roh dan jiwa mereka dengan bersungguh-sungguh kerana roh dan jiwa adalah rahsia kejayaan hakiki di dunia dan akhirat. Sememangnya terdapat perbezaan ketara di antara bencana yang menimpa jasad dan bencana yang menimpa roh. Bencana yang menimpa jasad sebesar manapun jika dihadapi dengan sabar walaupun berakhir dengan kematian, maka ia membawa kepada keamanan (di akhirat kelak). Adapun bencana yang menimpa roh hanya akan membawa kepada kerugian di dunia dan akhirat."

Beliau menyatakan juga bahawa waswas itu adalah syaitan pada hakikatnya. Ia melemparkan khotir ke dalam hati seseorang. Setiap amalan mesti didahului dengan khotir. Khotir (lintasan hati) akan melahirkan roghbah (keinginan) lalu membawa kepada 'azimah (keazaman) yang menghasilkan niat. Niat akan membawa kepada terhasilnya perbuatan.

Daripada turutan ini, kita boleh melihat dengan jelas bahawa jika syaitan telah melemparkan waswas kepada khotir maka ia akan membawa kepada terhasilnya perbuatan yang jahat. Perbuatan yang jahat akan mendatangkan dosa. Dosa jika tidak dihapuskan dengan taubat, maka ia akan membawa kepada kecelakaan di dunia dan akhirat. Ini berpunca daripada bencana yang menimpa roh berupa waswas syaitan yang tidak ditangani dengan baik. Inilah rahsia mengapa Allah Ta'ala memerintahkan para hamba-Nya agar berlindung dengan tiga sifat-Nya daripada satu bencana dahsyat ini. Ya, sememangnya bencana yang menimpa roh sangat besar impaknya. Punca kerosakan di dunia ini berpunca daripada penyakit roh yang tidak dirawat. Benarlah kalam hikmah yang menyebut, "Buta mata masih boleh berjalan di dunia. Masih ada insan yang sudi membantu. Namun buta hati, tiada siapa yang boleh membantu."

Wallahu a'lam.

p/s: Maha Suci Allah yang melimpahkan ilham ke atas guru kami.

Humair,
Rumah Rakyat Panchor Paroi,
SEREMBAN.


2 ulasan:

insan... berkata...

muhasabah diri dengan membersihkan hati kita...sesungguhnya penyakit hati itu lebih bahaya dari pada penyakit hati yang zahir dilihat...syukran

Fatimahazzahra berkata...

AsSalam...wbkt

Alhamdulillah dapat berkongsi ilmu. Jemput datang ziarah ke blog saya juga. tabikcikgu.blogspot.com. daripada murid abuya imam Ashaari Muhammad attamimi. tarekat muhammadiyah