13 Januari 2011

Keindahan Sembahyang Menurut Kitab Hikam

Al-'Arif billah al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as-Sakandari (wafat 709 Hijrah) radhiyallahu 'anhu menulis di dalam hikamnya (maksudnya):

Sembahyang itu adalah medium penyucian hati dan doa permohonan untuk membuka pintu ghaib.

Sembahyang itu adalah tempat munajat dan intipati cinta yang tulus murni. Lapangan rahsia menjadi luas di dalamnya dan sinaran cahaya terbit padanya. Dia (Allah) mengetahui kelemahanmu lalu Dia mengurangkan bilangannya. Dia mengetahui keperluanmu terhadap kurniaan-Nya lalu Dia memperbanyakkan anugerahnya.

Huraian:

Perhatian: Ayat yang diwarnakan adalah kalam Imam Ibnu 'Atoillah as-Sakandari manakala yang tidak berwarna itu adalah huraian terhadap kalam beliau.

Sembahyang itu adalah medium penyucian hati daripada kekeruhan kesan-kesan maksiat dan pencemaran makhluk selain-Nya serta daripada kekotoran dosa.

Dan doa permohonan untuk membuka pintu ghaib yang berupa makrifat dan rahsia-rahsia halus. Makrifat dan rahsia-rahsia halus ini diumpamakan seperti harta perbendaharaan yang tersimpan rapi di dalam sebuah bilik yang mempunyai pintu yang terkunci kemas. Apabila hati menjadi suci bersih, maka tersingkaplah tabir sehingga akhirnya rahsia-rahsia halus terlihat dengan jelas.

Sembahyang itu adalah tempat munajat di antara sang hamba dengan Tuhannya. Di dalam sembahyang, si hamba dengan penuh rendah hati menyebut sifat-sifat keindahan Tuhannya yang terdiri daripada kasih sayang-Nya, pemeliharaan-Nya, kekuasaan-Nya dan kelayakan-Nya untuk disembah. Lalu Tuhan berkenan untuk berbual-bual dengan sang hamba lantas melimpahkan makrifat dan rahsia-rahsia halus yang mendalam ke atas hamba berkenaan.

Dan intipati cinta yang tulus murni di antara sang hamba dengan Tuhannya. Di dalam sembahyang, si hamba menumpukan sepenuh jiwa raga, zahir dan batinnya kepada Tuhannya sehingga tiada lagi ruang di hatinya untuk makhluk. Ketika itu Tuhan sudi untuk memadu kasih dengan sang hamba lantas mengizinkan mata hati terbuka luas melihat limpahan cinta-Nya dan kebaikan-Nya. Namun keadaan ini bergantung kepada sejauh mana sang hamba mempersiapkan hatinya untuk melihat limpahan rahsia Tuhannya.

Lapangan rahsia menjadi luas di dalamnya untuk menampung limpahan cahaya dan rahsia makrifat yang mencurah-curah tanpa henti ibarat hujan lebat untuk memenuhi segenap ruang yang telah tersedia.

Dan sinaran cahaya terbit padanya hasil daripada kesan munajat dan cinta sehingga hati akhirnya menjadi tenang. Terlalu tenang lantas terhapus segala kesedihan dan kekecewaan. Pancaran cahaya itu juga jelas kelihatan pada wajah lalu tergambarlah ketenangan dan kepuasan.

Dia (Allah) mengetahui kelemahanmu daripada berterusan mengadap tajalli Ketuhanan dan kemalasanmu dalam melakukan sembahyang lalu Dia mengurangkan bilangannya iaitu daripada lima puluh waktu menjadi lima waktu sahaja. Bilangan rakaatnya juga kurang sehingga boleh dilakukan dengan mudah tanpa memakan masa yang lama.

Dia mengetahui keperluanmu terhadap kurniaan-Nya dengan mengadap-Nya dan memohon daripada-Nya apa yang engkau mahu lalu Dia memperbanyakkan anugerahnya berupa pahala sembahyang lima waktu yang menyamai pahala sembahyang lima puluh waktu.

Wallahu a'lam.

Bibliografi:

Kasyful Ghito' Syarh wa Tartib Hikam Ibni 'Ato', karangan Sayyid Muhammad Kholil al-Khotib al-Hasani .

2 ulasan:

barakallah berkata...

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah salat. Sesungguhnya salat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (salat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” ( Surah al Ankabut ayat 45 )

Makrifatullah berkata...

Alhamdulillah..tulis lg