30 September 2010

Pemahaman Tentang Ayat

Pagi tadi, saya membaca surah al-Qosos di hadapan guru kami Sayyid Asyraf al-Husaini yang merupakan salah seorang imam Masjid al-Azhar. Apabila sampai pada ayat yang berbunyi, mafhumnya:

Salah seorang daripada mereka (anak perempuan Nabi Syua'ib) berkata, "Ayah! Upahlah dia (Nabi Musa) kerana orang yang paling baik untuk ayah upah ialah orang yang kuat dan jujur amanah." (Nabi Syua'ib pun) berkata (kepada Nabi Musa), "Saya berkenan untuk menikahkan kamu dengan salah seorang anak perempuan saya ini dengan syarat (mahar) kamu berkerja dengan saya selama lapan tahun...." [Surah al-Qosos: 26-27]

Lantas guru kami pun berkata, "Anak perempuan Nabi Syua'ib berkata begitu kerana dia ingin berkahwin dengan Nabi Musa. Lalu Nabi Syua'ib memahami maksud yang tersirat di sebalik permintaan anaknya itu dan menyuarakan hasratnya kepada Nabi Musa. Ini menunjukkan bahawa tidak salah untuk si bapa meminang seseorang untuk dikahwinkan dengan anak perempuannya jika si anak itu yang meluahkan perasaan. Bagi sesetengah orang, perkara ini dianggap mengaibkan sedangkan bukan begitu malah ia adalah daripada ajaran agama."

Kemudian saya pun berkata kepada guru kami itu, "Maulana! Tentang ayat ini juga saya teringat bahawa mazhab Hambali mengharuskan mahar dalam bentuk manfaat berdalilkan ayat ini." Guru kami lantas mengakuinya dan memuji saya di atas kenyataan tersebut. (pujian guru adalah antara bentuk doa yang perlu diharapkan)

Bila saya pulang ke rumah, saya masih berfikir tentang ayat ini, mencari-cari sekiranya ada maksud lain yang boleh saya fahami. Saya hanya dapat faham tentang satu perkara sahaja iaitu anak perempuan Nabi Syua'ib tertarik dengan Nabi Musa kerana baginda memiliki dua sifat mulia iaitu kekuatan dan kejujuran. Seolah-olah al-Quran menyebutkan perkara itu sebagai pengakuan bahawa wanita sememangnya meminati lelaki yang kuat dan jujur. Kekuatan perlu kerana wanita inginkan lelaki yang boleh menjadi pelindungnya. Kejujuran pula meyakinkan wanita akan kesetiaan lelaki yang diminati. Wallahu a'lam.

p/s: Seronok bila menuntut ilmu secara musyafahah dengan para masyaikh. Bertanya, bertukar pandangan dan berbincang dengan mereka. Barulah ilmu itu ada kekuatannya...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.


1 ulasan:

'ananisa berkata...

salam ustaz.mohon share ilmunya.jazakallahu kher.