26 Mac 2009

Hikmah Sakit Dan Nikmat Sihat

Baru-baru ini, ada junior saya (adik baru) yang dimasukkan ke hospital kerana mengidap apendiks. Ini adalah kali pertama sepanjang berada di Mesir saya menguruskan segala urusan berkaitan pembedahan beliau bermula dari menghantar beliau ke hospital sehinggalah menandatangani borang pembedahan serta menguruskan segala bayaran yang berkaitan dengan pembedahan. Bahkan pertama kali juga menjejakkan kaki di hospital tersebut padahal saya telah beberapa kali pergi ke tempat tersebut (cuma tak singgah hospital jela). Terasa juga peranan sebagai seorang senior ketika itu. Maklumlah, adik baru kan. Kita perlu bertanggungjawab juga. Cuma saya bukan nak berbicara tentang ini walaupun pelbagai pengalaman menarik saya hadapi ketika mengurus dan menjaga beliau di hospital. Yang saya nak utarakan ialah tentang betapa nikmatnya kesihatan dan ada hikmahnya juga sakit.

Bila saya tengok adik yang mengidap penyakit apendiks ini, saya rasa bersyukur sangat di atas kesihatan yang dianugerahkan. Sepanjang bersama beliau ketika di hospital, terasa betapa nikmatnya anasir yang dipanggil 'kentut'. Nampak seperti kelakar, tapi bila dikenang kembali memang terasa nikmatnya. Terfikir juga betapa pentingnya menjaga kesihatan bermula daripada menjaga tabiat pemakanan. Semua maklum, antara punca apendiks adalah makanan walaupun di sana ada faktor-faktor lain lagi. Apapun, yang penting jaga kesihatan khususnya yang berkaitan dengan tabiat pemakanan. Ada hikmah rupanya sakit ini. Ia mengingatkan kita agar bersyukur di atas nikmat kesihatan. Bila kita sakit, baru terasa nikmat sihat. Kalau kita tak pernah sakit pun, tengok orang sakit sudah boleh membuatkan kita sedar betapa besarnya nikmat sihat. Saya hanya ambil contoh adik ini sahaja yang mengidap apendiks. Sebelum pembedahan dan selepas pembedahan. Bila renung dan fikir kembali, baru terasa besarnya nikmat kentut, buang air besar, berjalan, berlari, duduk, bergelak ketawa, tunduk dan apa saja perbuatan yang ada kaitannya dengan perut. Syukur kepada Allah di atas nikmat kesihatan.

Itu baru nikmat sihat. Belum lagi dihitung nikmat-nikmat yang lain lagi. Dari sekecil-kecil nikmat sehinggalah ke sebesar-besarnya. Alhamdulillah. Semoga kita digolongkan ke dalam golongan yang sering bersyukur. Namun golongan ini sedikit sekali....

p/s: Jaga makan. Penting tu...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.

Tiada ulasan: