13 Mac 2009

Rasulullah dan Azhari

RASULULLAH DAN AZHARI[1]


INTRO.


Sempena sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1430 Hijrah kali ini, saya diminta untuk membentangkan kertas kerja. Saya tidak berminat untuk berbicara mengenai perkara yang sama apabila berlangsungnya sambutan Maulid. Oleh itu, saya cuba untuk membicarakan topik Maulid ini dari kerangka yang lebih kecil dan ada kaitannya dengan kita. Justeru, saya memilih tajuk 'Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan Azhari' sebagai topik perbincangan kali ini.


MENGAPA TAJUK INI?


Kerana jika dipandang dari perspektif yang lebih halus, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sebenarnya tidak dapat dipisahkan daripada keperibadian dan perbincangan Azhari. Seorang Azhari sememangnya memainkan peranan yang cukup penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan Baginda diteruskan. Kerana itu, saya melihat ia adalah tajuk yang sangat sesuai.


SIAPA AZHARI?


Menurut pandangan saya dan saya juga yakin ia adalah pandangan umum, seorang Azhari ditakrifkan secara mudah sebagai berikut:


1) Menuntut di al Azhar al Syarif (tanpa mengira bidang yang diambil).

2) Memperolehi sijil pengajian dari al Azhar (sama ada B. A., M. A. atau Ph. D).


Ini adalah dua kriteria yang perlu ada kebiasaannya apabila kita mendefinisikan Azhari. Cuma di sana masih ada lagi ciri-ciri yang perlu disisipkan bagi melengkapkan lagi takrif Azhari yang sejati. Itu akan kita lihat lebih lanjut menerusi kertas kerja ini.


HUBUNGAN AZHARI & RASULULLAH صلى الله عليه وآله وسلم .


Golongan Azhari sebenarnya termasuk dalam firman Allah Ta'ala yang berbunyi:


فَلَوْ لاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِى الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ


Mengapa tidak sekelompok daripada tiap-tiap puak (kabilah) antara mereka mendalami ilmu agama supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali agar mereka semua berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah) [al Taubah: 122]


Jika dikaitkan dengan ayat ini, maka golongan Azhari adalah toifah (kelompok) yang dipertanggungjawabkan untuk mendalami agama bertujuan untuk memberi peringatan kepada masyarakat apabila pulang kelak. Mereka adalah delegasi yang diutuskan oleh negara masing-masing bagi membawa pulang khazanah ilmu yang tersimpan di al Azhar al Syarif, kiblat ilmu dunia.


Apa yang dipelajari oleh seorang Azhari di al Azhar adalah perkara yang berkaitan dengan al Quran dan Sunnah. Baik anda mengambil bidang Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab, Pengajian Islam dan Takhassus Qiraat, kesemuanya menghubungkan anda secara langsung dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tanpa ada batas pemisah. Oleh itu, tanggungjawab anda terhadap hak Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah sangat besar. Maka anda adalah golongan yang lebih layak untuk berpegang teguh dengan sunnah Baginda.


Kita sedia maklum, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم diutuskan oleh Allah Ta'ala sebagai saksi (terhadap umat), pembawa berita gembira, pemberi peringatan, penyeru ke jalan Allah Ta'ala dan pelita yang terang bersinar. Ini terangkum menerusi firman Allah Ta'ala yang berbunyi:


يَآيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِرًا وَنَذِيرًا (45) وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُّنِيرًا (46)


Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami (Allah) mengutuskan anda (untuk menjadi) saksi (terhadap umatmu), pembawa berita gembira, pemberi peringatan; penyeru kepada (jalan) Allah dengan izin-Nya dan juga sebagai pelita yang menerangi. [al Ahzab:45-46]


Kriteria ini pula disimpulkan skopnya menerusi firman Allah Ta'ala yang lain:


هُوَ الَّذِى بَعَثَ فِى الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيْهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِى ضَلاَلٍ مُّبِينَ


Dia (Allah) jualah yang telah membangkitkan seorang Rasul (Muhammad) di kalangan Ummi (yang buta huruf atau bangsa Arab) untuk membacakan ayat-ayat-Nya, menyucikan mereka (dari kekotoran syirik dan dosa) serta mengajar mereka al Kitab (al Quran) dan al Hikmah (Sunnah) sedangkan mereka sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata. [al Jumu'ah: 2]


Jika diteliti secara halus, hakikatnya ini adalah kriteria yang perlu dimiliki oleh seorang Azhari sejati. Disebabkan Azhari itu berhubung dengan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم secara langsung, maka sudah pastilah dia juga turut mencedok dan menghirup titisan daripada limpahan sunnah Baginda. Oleh itu, seorang Azhari adalah saksi (terhadap masyarakat), pembawa berita gembira, pemberi peringatan, da'ie ke jalan Allah Ta'ala dan diumpamakan seperti pelita di tengah kegelapan jahiliah moden masyarakat. Seorang Azhari bertanggungjawab membasmi buta akidah dan akhlak masyarakat dengan membacakan ayat-ayat Allah Ta'ala, menjadi agen penyucian jiwa dan akidah serta mendidik masyarakat mengenali dan memahami al Quran dan Sunnah.


Kemudiannya, Allah Ta'ala mengajar Nabi-Nya methodologi dakwah yang juga merupakan methodologi kita sebagai da'ie berjawatan Azhari menerusi firman-Nya:


ادْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِى هِىَ أَحْسَنُ


Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan cara yang berhikmah dan nasihat yang baik serta berbahaslah dengan mereka melalui cara yang terbaik. [al Nahl: 125]


Hikmah itu ada pada ilmu yang luas. Maka sewajarnya seorang Azhari mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu di samping mempelajari ilmu dakwah yang berkesan. Nasihat yang baik itu terpancar melalui keikhlasan Azhari dalam berdakwah di samping menunjukkan tauladan yang baik. Perbahasan pula memerlukan hujah-hujah yang kukuh dan meyakinkan. Ia berbalik semula kepada sejauh mana seorang Azhari mempersiapkan dirinya dengan senjata ilmu dan thaqafah. Anda harus ingat, anda perlu ada kesemua ciri ini kerana anda adalah pewaris dakwah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Persoalannya: Adakah anda telah bersedia?


APA YANG ANDA BELAJAR BERKAIT RAPAT DENGAN BAGINDA!


Apa yang anda belajar di universiti mahu pun di halaqah ilmu, semuanya berkait rapat dengan Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Kerana itu, jangan mudah putus asa dalam mendalami subjek-subjek yang anda pelajari kerana ia adalah medium kepada pengamalan sunnah Baginda. Di sini saya hanya kemukakan beberapa subjek daripada setiap bidang bagi menunjukkan kaitannya dengan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .


1) Syariah Islamiyyah.


a) Usul Fiqh.

b) Fiqh Muqoron (Fiqh Perbandingan Mazhab).


2) Usuluddin (berserta jabatan-jabatannya).


a) Hadith Tahlili dan Maudhu'i.

b) Tasawuf.


3) Pengajian Bahasa Arab.


a) Nahu.

b) Balaghah.


4) Fakulti al Quran dan Takhassus Qiraat.


a) Ilmu Qiraat.

b) Ulum al Quran.


Apabila kita meneliti subjek-subjek yang saya senaraikan daripada jumlah-jumlah subjek yang ada, jelas menunjukkan bahawa subjek-subjek tersebut mempunyai kaitan rapat dengan Risalah Muhammadiyyah. Semua subjek menjelaskan kepada kita cara untuk memahami dan mendalami sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Walaupun ada di antara subjek tersebut agak sukar untuk dikuasai dan difahami menurut pandangan sesetengah kita, namun realitinya subjek itulah yang membantu kita memahami sunnah dengan pemahaman yang sebenar.


REALITI AZHARI MASA KINI.


Sebagai muhasabah bersama, saya ingin mengajak sidang pembaca untuk merenung sejenak tentang realiti kita sebagai Azhari pada hari ini di samping membuat perbandingan dengan generasi Azhari terdahulu. Terus terang secara peribadi saya menyatakan bahawa kita memiliki kelemahan yang mengambil masa yang lama untuk dibaiki. Jika dibandingkan dengan generasi Azhari terdahulu, kita sebenarnya jauh ketinggalan. Namun saya tidak menyalahkan Azhari kini kerana ia sebenarnya berpunca daripada sistem pendidikan yang ada. Sistem dahulu berbeza dengan sistem sekarang. Jika dibuat analisa, ternyata sistem dahulu lebih berkesan dalam melahirkan tokoh ulama' berbanding sistem sekarang. Sistem sekarang dipanggil sistem ekspres dan manja lagi menyelesakan ditambah dengan kurangnya semangat juang di kalangan Azhari masa kini. Kita menyangka sistem yang ada membuatkan kita lebih maju, namun realitinya ia membuatkan kita semakin mundur dalam bidang keilmuan. Siapa tak kenal Syeikh Muhammad Idris al Marbawi رحمه الله , Tok Kenali رحمه الله , Syeikh Muhammad Sa'id al Linggi رحمه الله , Sohibus Samahah Dato' Hj. Murtadza حفظه الله , Prof. Dr. Abdul Aziz Hanafi حفظه الله dan beberapa lagi tokoh ternama di Malaysia yang pernah menuntut di al Azhar. Pernahkah kita terfikir mengapa mereka boleh menjadi hebat sebagaimana yang kita sedia maklum? Kerana sistem yang mereka lalui telah membentuk mereka menjadi sedemikian rupa. Kita pula bagaimana? Adakah sistem hari ini mampu membentuk kita menjadi seperti mereka atau kita hanya mampu menjadi ulama' muqorror (silibus)? Sama-sama kita muhasabah…


SIFAT SEORANG AZHARI SEJATI.


Di akhir kalam ini, suka saya nyatakan bahawa seorang Azhari sejati perlu memiliki 3 ciri penting selain daripada ciri-ciri yang telah disebutkan di atas bahkan ciri-ciri ini adalah natijah daripada ciri-ciri yang telah disebutkan. Kriteria-kriteria itu ialah:


1) Azhari adalah seorang Rabbani.


Firman Allah Ta'ala:


وَلَكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ


Akan tetapi (sepatutnya dia berkata),"Jadilah golongan Rabbani kerana kamu sering mengajarkan isi kandungan al Kitab serta sering pula mempelajarinya. [Aali 'Imran:79]


Rabbani adalah nisbah kepada Rabb. Golongan Rabbani adalah golongan yang memiliki ciri murabbi kerana Rabbani itu sentiasa melakukan tugas tarbiah. Tarbiah yang berdiri di atas asas al Quran dan Sunnah.


2) Azhari adalah seorang Salafi.


Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :


خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ


Sebaik-baik manusia adalah yang hidup pada kurun saya, kemudian golongan yang menyusuli mereka selepas itu, kemudian golongan yang menyusuli mereka selepas itu.[2]


Salafinya anda bererti anda mengikut jejak langkah golongan salaf dalam memahami Islam dengan pemahaman yang sebenar. Mereka adalah para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in. Untuk menjadi Salafi tidak bererti anda perlu mengikut jemaah yang menggelarkan diri sebagai Salafiyyah kerana Salafinya seseorang bukan terletak pada jemaah yang tertentu. Salafiyyah itu terletak pada setiap jiwa yang ingin mengikut jejak langkah salafus soleh bukan mengikut jejak langkah yang mendakwa salafi.


3) Azhari adalah seorang Haraki.


Harakiyyah yang perlu wujud dalam peribadi seorang Azhari adalah penggemblengan tenaga dalam menggerakkan dakwah Islam. Berkata Dr. Solah al Kholidi di dalam kitab beliau yang berjudul al Khittoh al Barroqoh Li Zin Nafsit Tawwaqoh:


Harakiyyah yang kami maksudkan ialah menggembleng tenaga untuk berkhidmat buat agama ini (Islam), berdakwah kepadanya dan menyebarkan ajarannya di samping mengambil berat urusan kaum Muslimin serta berkerja untuk mendidik dan membimbing mereka lalu memimpin mereka menuju kecemerlangan iman, akhlak, ibadah dan ilmu.[3]


Ketiga-tiga sifat ini perlu wujud serentak dalam diri seorang Azhari. Jika kurang salah satu, maka akan pincanglah keperibadian seorang Azhari. Azhari sejati adalah seorang Rabbani, Salafi dan Haraki.


PENUTUP.


Diharapkan kertas kerja ini boleh dijadikan manfaat bersama dalam menentukan hala tuju sebenar seorang Azhari di samping memahami hakikat bahawa Azhari adalah insan yang paling rapat dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Di mana sahaja anda berada dan apa jua jawatan yang akan anda pegang selepas menamatkan pengajian kelak, anda tetap bersama Baginda. Maka peliharalah baik-baik kebersamaan itu agar kita sentiasa bersama Baginda di dunia ini dan di akhirat kelak.


وصلى الله على سيدنا محمد وآله وصحبه وسلم والحمد لله رب العالمين


Al Faqir IlalLah,

Danial Farhan bin Dolmat al Khotibi,



Bibliografi:


- Al Quran Mushaf Malaysia Dan Terjemahan, Yayasan Restu.

- Al Dalil al Mufahris li Ayat al Quran al Karim, Dr. Husain Muhammad Fahmi al Syafi'i, cetakan pertama 1418 (1998), terbitan Darus Salam, Kaherah, Mesir.

- Sohih Muslim, Imam al Hafiz Muslim bin al Hajjaj al Naisaburi, tahqiq Syeikh Kholil Makmun Syiha, cetakan pertama 1426 (2005), terbitan Darul Ma'rifah, Beirut-Lubnan.

- Al Khittoh al Barroqoh li Zin Nafsit Tawwaqoh, Dr. Solah al Kholidi, cetakan keenam 1428 (2007), terbitan Darul Qolam, Damsyik dengan kerjasama al Dar al Syamiah, Beirut.



[1] Kertas kerja ini disediakan bersempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan pada 13 Mac 2009 (16 Rabi'ul Awwal 1430) bertempat di Dewan Syeikh Abdul Qadir al Jilani (SAQAJ), Rumah Negeri Sembilan Kaherah (RNSK), Republik Arab Mesir.

[2] Sohih Muslim, hadith no: 6419, kitab Fadhoil as Sohabah, daripada riwayat Sayyiduna Abdullah bin Mas'ud.

[3] Al Khittoh al Barroqoh, halaman 80.

1 ulasan:

Roslizan B.Mohd Yusof (e-jan) berkata...

salam..alhamdulillah satu kertas kerja yang menarik n bermanfaat sekira di amalkan...